Tuesday, 29 April 2008

Terhakiskah Kuasa Melayu ?

Malam 28 April saya berkesempatan hadir pada diskusi khas tentang soalan di atas. Tak ramai, dan yang hadir adalah antara nama-nama yang dikenal umum, ada aktivis agama dan sosial, ada profesor, ada CEO, ada pengarang, bekas MP, bekas Speaker, editor , dan pokoknya mereka yang prihatin terhadap masalah politik dan kemasyarakatan. Perbincangan tentu sekali tak dapat lari daripada PRU 12, dan keputusannya , terutama yang berkaitan dengan jumlah calon parti yang menang. Pelbagai pandangan dikemukakan, ada yang berasaskan angka-angka statistik, ada yang sekadar tanggapan pribadi atau persepsi masing-masing.
Persoalan Melayu ini banyak dimensinya dan boleh ditafsir daripada pelbagai sudut, dan tidak kurang pula dipengaruhi oleh agenda peribadi, pegangan politik, atau hubungan individu terhadap tokoh-tokoh pemimpin politik tertentu. Jadi ada yang yakin bahawa dengan kemorosotan UMNO/BN kuasa orang Melayu sekarang sudah terhakis; dan ada yang berfikir sebaliknya. Sebab musabab kemerosotan UMNO itu banyak dan pelbagai; dan rata-rata menyatakan telah berlaku banyak kelemahan daripada politik UMNO dan kesalahan kepemimpinannya di pelbagai peringkat.

Suatu hal yang cukup menarik ialah , apabila kedudukan UMNO dan BN merosot ( merosot teruk), ramai yang menjadi sangat prihatin, malahan cemas, terhadap masa depan Melayu. Apakah masa depan itu ditafsirkan sebagai kekuasaan politik dan ekonomi, ketuanan, kedaulatan, atau apa? Tidak semua jelas tentang kekhuatiran yang ada di dalam fikirannya. Atau kekhuatiran pribadinya sendiri kerana dia berkedudukan (jangan baca berkesedudukan) atas restu UMNO. Walau apapun kebimbangan yang dialami oleh peserta diskusi, ia menggambarkan kepercayaan besar masyarakat Melayu selama ini terhadap UMNO bagi menjamin nasib , dan masa depan orang Melayu. Ini adalah satu kredit atau pujian kepada UMNO kerana selama ini diberikan kepercayaan besar oleh massa Melayu, baik ahli atau bukan ahli. Apakah kepercayaan itu satu metos atau kenyataan ? Kenapa kalau PAS atau PKR kalah orang tak sibuk tentang kekuasaan Melayu, tetapi kalau UMNO banyak kalah ada yang panik dan berasa sangat prihatin? Renungkanlah bersama.

Isu yang perlu dihuraikan: 1 Apakah yang dimaksudkan dengan Melayu; 2 Betulkah kuasa Melayu terhakis? Kita bincang nanti...

No comments: