Wednesday, 30 April 2008

Melihat Melayu dari Jendela Jiran

Kata Sang Tokoh , kekuasaan Melayu sekarang terhakis. Betul, jika di lihat dari angka-angka wakil rakyat BN yang menguasai Parlimen. Rumusan ini diperkuat lagi dengan kejatuhan lima negeri yang kini diperintah oleh penentang BN yang mengambil nama Pakatan Rakyat.Di Wilayah juga angka BN merosot menjadi minoriti. Tetapi ingat, angka-angka boleh main silap mata, dan terdedah kepada tafsiran. Makna di sebalik angka-angka itu yang penting, dan dari sudut pandangan yang panik , kekuasaan Melayu sedang terlantar dalam krisis. Pendapat ini benar andaikata yang memperjuangkan kepentingan Melayu itu dibebankan kepada UMNO/BN.

Dari sudut jendela lain, apa yang terhasil adalah satu ekuiblirium atau keseimbangan baru dalam politik Melayu: 1) Dalam Parlimen UMNO tetap kekal menjadi tulang belakang barisan yang memerintah di bawah PM, dan TPM Melayu. 2) Barisan pembangkang pula ada dua parti politik majoriti Melayu/Islam, dan ketua pembangkang dalam Parlimen bukan Cina lagi , tetapi Melayu.3) Empat daripada lima negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dipimpin oleh Menteri Besar Melayu (sama seperti dahulu). Jadi kali ini kepentingan Melayu boleh disuarakan dengan lebih luas dan melalui platform yang lebih banyak. 4) Ingat juga, kalau sebelum PRU 12, hanya ada 117 ahli Parlimen Melayu, sekarang sudah bertambah menjadi 133 orang. Nah! bukan kah hebat Melayu bermain politik. TETAPI INGAT ! jangan lupa ini semua kekuasaan Allah ; jangan takbur, jangan mabuk dengan kekuasaan; dan jangan jadi kacang lupakan kulit, atau harapkan pagar, pagar perkosa padi.

Optimisme baru ini hanya akan bermakna andaikata pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa ini benar-benar beriltizam untuk memelihara dan memajukan kebudayaan, kesenian, bahasa ,ilmu pengetahuan, teknologi , Islam, ekonomi dan sumber daya Melayu dalam rangka kesejahteraan bersama rakyat kebangsaan . Kalau tidak sama sajalah; tak ada apa-apa pembaharuan.
Para penulis dan budayawan pula harus berwaspada; dan jangan terlalu murah menjengulkan tengkuk di bawah ketiak tokoh politik.

1 comment:

MARSLI N.O said...

Pak Baha: Saya suka sangat bahagian tulisan Pak Baha yang menyebut: "Para penulis dan budayawan pula harus berwaspada; dan jangan terlalu murah menjengulkan tengkuk di bawah ketiak tokoh politik."

Saya katakan begitu kerana memang pun penulis dan budayawan kita suka berbuat begitu. Kalau lagi dekat dan rapat lagilah teramat-amat sukacitanya penulis dan budayawan ini.

Tetapi Pak Baha saya tahu cukup bijak menjaga jarak dan selalu waspada dalam tindak.

Kerana itu saya tetap menyukai karya dan mengagumi Pak Baha.

Wassalam,
MARSLI N.O