Monday, 19 May 2008

MAHATHIR PATUT MEMINTA MAAF KEPADA BANGSA MELAYU

Sekitar jam 1.20 seseorang mengirim SMS memberitahu Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO. Saya kira dia telah mendapat apa yang dia kehendaki , cuma dia tak dapat terus apa yang dia hendak selepas melepaskan jawatan sebagai Presiden dan PM. Demikianlah hebatnya kesetiaan Mahathir terhadap UMNO; tidak seperti allahyarham Tun Ghafar Baba , ahli UMNO tulen, yang meskipun disaingi keluar daripada jawatan tertingginya dalam parti, dia masih redza. Seperti kata Mat Salleh: no one is indispensable . Kita yang di luar parti janganlah masuk campur urusan perebutan kuasa dlm UMNO kalau tak melukai hati nurani, sandang pangan, budaya dan agama kita. Cuma dalam hal Mahathir ini, dia patut meminta maaf kepada bangsa Melayu kerana telah merusakkan kedudukan dan fungsi Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan sewaktu dia menjadi PM dahulu. Masalah ini masih menjadi masalah yang terus dipergunjingkan; dan melibatkan jutaan pelajar Melayu, dan memudaratkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada masa depan.
Dia telah melakukan kerosakan terhadap tamadun Melayu. Ini bukan kesalahan kecil. Bolehkan tamadun Melayu memaafkannya? Kalau kesalahan terhadap individu barangkali boleh, tetapi terhadap peradaban atau tamadun bagaimana? Dalam jangka 30 tahun dari sekarang B. Melayu itu dijangka akan menjadi bahasa dunia yang keempat di dunia selepas Mandarin dan Sepanyol meletakkan bahasa Inggeris pada tempat ketiga.
Perbuatan meminggirkan BM ini satu dosa tamadun yang sukar dilupakan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab besar bagi PM sekarang, YAB Datuk Abdullah Ahmad Badawi memperbetulkan balik kesalahan Mahathir kerana dia yang mengambil alih Presiden parti dan PM. Kalau tidak UMNO dan sejumlah tokohnya akan terseret sekali ke dalam sejarah yang sekarang sedang dikumpul dokumen serta sumber-sumber penulisannya.

11 comments:

SATIRA + KACAU said...

Pak Baha Ydh: Memang benar oknum ini meninggalan dosa yang besar terhadap tamadun bangsa ini.

Namun anehnya, kenapa diteruskan juga oleh mereka selepasnya dengan pelbagai dalih bodoh dan rekaan?

Dan kita cuba diajak terjun bersama ke dalam laut kehinaan sebagai suatu bangsa yang bermaruah.

Sekarang, di mana maruah itu?

Satira + Kacau.

mba2u said...

Amat setuju dengan entri Dato'. Selain Melayu, Islam juga begitu. Cubalah renungkan kembali, berapa ramai orang convert meninggalkan Islam di zaman pemerintahannya?.

suhaimi hj. khalid said...

"Dosa terhadap bahasa ibunda tak dapat ditebus;
Nasib jutaan anak bangsa bakal hanyut terus!!
Inilah yang saya tulis dan tampalkan pada dinding bilik pejabat saya sejak beliau mengubah dasar bahasa dan dasar pendidikan kebangsaan itu.
Memang wajar beliau mohon maaf dan malah teramat wajar beliau mohon masuk Melayu semula sesudah "murtad kemelayuannya" akibat pelbagai "buah fikiran sumbangnya" dan caci makinya terhadap umat melayu!!
Sesudah terpinggir daripada kekuasaan perdana sekarang, beliau ingin bercakap tentang kekuasaan dan ketuanan Melayu? Sebenarnya, beliau mahu merayu sokongan orang Melayu. Beliau lupa, atau barangkali beliau memang tak pernah sedar tentang kekalutan yang ditimbulkannnya terhadap umat Melayu. Benih kekalutan yang beliau tanam dulu, sudah bertunas, dan melata ke merata-rata merosakkan minda dan jatidiri Melayu.

Puan Ainon Mohd. said...

Dato'

Izinkan saya siarkan petikan daripada entri ini dalam blog saya.

lutfi said...

saya, sebagai seorang individu, tidak akan memaafkan kesalahannya. Melihat mahathirisme, sebenarnya melihat seorang manusia moluska - daripada seorang yang percaya kepada malay power, kemudian orang yang meruntuhkan sendi-sendi Melayu. Kadang-kadang saya tertanya, apakah sebenarnya yang merosakkan beliau. Adakah anak-anaknya?

bahazain said...

Sdr satira,mba,suhaimi, ainon dan lutfi, ASM.

Reaksi sdr sekalian melegakan hati.Saya berasa tidak salah cakap kerana ada yang turut sama prihatin terhadap harga diri bahasa dan bangsa kita. Kadang-kadang saya berasa keseorangan melihat ramai orang kita tak ambil kisah tentang kebiadaban yang dilakukan oleh orang yg sebangsa dengan kita terhadap status B.Melayu. Sdr Ainon, kalau hendak siarkan semula blog saya silakan.Lebih luas tersebar pandangan kita tentu lebih baik.Saya tak kisah, siapa saja boleh terbitkan semula.

Web Sutera said...

Assalamualaikum Dato' Baha,

Apa khabar? Saya setuju dengan pandangan Dato'. Inilah sikap yang patut kita sokong dan sama-sama perjuangkan, bukannya terus menerapkan hegemoni kolonial menguasai masyarakat Malaysia.

Saya turunkan satu kenyataan yang tidak menyokong Bahasa Melayu digunakan kembali untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah.

Ianya dipetik dari Yellow Post, isu 9 - 15 Mei 2008, begini ”My heart sank when I read the newspaper reports last week which said that the teaching of Maths and Science might be reverted back to Bahasa Melayu. There goes the education system in chaos yet again. One again parents and students will be left scratching their heads in frustration. After 50 years independence, Malaysia still deciphering something as basic as education.”

Saya sedih Dato'.

Anonymous said...

pak baha,
saya cukup terkejut dgn tindakan tun.

saya juga kurang faham dengan permainan yang telah dimulakan ini.

tapi apapun,
saya turut kecewa.
(mengeluh panjang...)

Anonymous said...

"Jiwa kacau" seorang negarawan. Satu lagi episod penelanjangan diri dan "dosa" sendiri yang dilakukan di bawah minda sedar. Seorang negarawan yang "dikagumi dan disanjungi" tidak sepatutnya mengugut seorang pemimpin tertinggi negara sedemikian. Dia juga pernah menjadi pemimpin tertinggi negara. Memperlihatkan teladan yang jahat kepada rakyat.

Fikirlah dan renunglah sedalam-dalamnya ...

sahrunizam abdul talib said...

Salam Dato' Baha,

Insyallah perjuangan bagi mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam mata pelajaran Sains dan Matematik akan diteruskan.

Unknown said...

Mahathir tidak mungkin meminta maaf dan itu bukan prioriti parti yang ditinggalkannya.