Thursday, 15 May 2008

MELAYU PINGGIRAN

Ada yang mengutus pesanan ringkas bertanya kenapa dalam blog saya sangat percaya terhadap penulis generasi muda. Saya hanya menaruh kepercayaan dan mengajak mereka yang berusia sekitar 25-40 tahun sekarang berfikir dan berjuang secara asasi, bukan serpih-serpihan, tentang apa maknanya menjadi Melayu. Generasi yang selepas usia 40 tahun ke atas sudah ramai terperap dalam budaya pinggiran: Melayu tidak Barat tidak, tradisi tidak modern tidak, bahasa Inggerisnya bahasa komunikasi pejabat, bahasa Melayunya tidak canggih. Pokoknya dari segi budaya dan intelektual mereka serba tanggung walaupun dari segi pangkat, kemewahan kebendaan, dan pendapatan bulanan cukup lumayan, berkat manfaat Dasar Ekonomi Baru. Apa yang mereka utamakan ialah lambang-lambang status material-visual yang dipujuk oleh propaganda iklan media tanpa cita rasa yang asli dan kriatif. Mereka sudah tidak sensitif lagi kepada nasib dan masa depan tradisi, warisan dan budaya etnik sendiri akibat proses modernisasi sosial yang sangat berpaksikan kebendaan dan bukan intelektual dan nilai-nilai yang unggul. Sebab itulah juga timbul perlawanan seperti yang dilahirkan melalui pelbagai gerakan Islam.
Inilah adalah hasil kejayaan pembangunan yang tak seimbang, dan telah menjadi sejarah. Sejarah itu bukan sekadar keterangan tentang sebab-sebab terjadi peristiwa , tetapi satu naratif tentang apa yang berkembang dalam sikap dan fikiran manusia. Dalam hal kita,ialah, kisah Manusia Melayu Pinggiran yang seba tanggung; seperti selimut singkat di tubuh kita: tarik ke atas kaki terjulur; tarik ke bawah kepala terdedah.

6 comments:

haslina hassan said...

memang itulah hakikat generasi muda kini yang bakal dan sedang menerajui masa depan negara. rasa takut pulak nak balas komentar di halaman pakar bahasa ni...sekadar berkongsi pendapat

Amiene Rev said...

Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada kami, orang-orang dari kalangan generasi muda.

bahazain said...

Kerana saya pernah muda dan Keris Mas , Usman Awang etc yg lebih tua memberi kepercayaan kpd saya untuk menggerakkan persuratan. Kepercayaan itulah yg sangat bermakna, yang harus dikongsikan dengan orang lain.

bahazain said...
This comment has been removed by the author.
mba2u said...

Salam Pak Baha;

Saya baru menemui blog ini. Di sini saya sertakan sebuah puisi yang ditujukan khusus untuk Pak Baha. Ia ditulis oleh Nailun "Tukang Kebun". Saya rasa Pak Baha mengenali beliau. Saya cuma sampaikan ucapan ini khusus untuk Pak Baha. Asalnya puisi ini adalah dalam entri blog saya: http://mba2u.blogspot.com




BAHASAKU MELAYU
- Buat Bapak Baha Zain

Bahasa Melayuku
Akar menunjang ke bumi identiti
Menjangkar tumbesaran pohon tamadun
Menualang mantap di belantara globalisasi

Semenanjung pengkaran mendalam meluas
Semenualang silaraan membuah menuah

Terhasil sudah:
Kembangan Melayu mewangi Hanum
Khuldi Melayu bersari ranum

Menjadi
Penghandalan lebah belantara bermadu cinta
Penghandalan pipit desa bersarang meloka
Penghandalan enggang nusantara memaruh harapan
Penghandalan hud-hud lima benua bersafar tajir.

Tapi sayang!
Tanpa mehu disedarkan
Paritan pamah fikiran nan menyempit kebahasaan menyelut
Pohonan landskap kepemimpinan nan merakus prioritas
menindas
Tunjang nan mendalam mereput pada keasaman lokos
Sekunda nan meluas melonde pada jangkar terputus
hingga
Terlangkalah kehijauan Melayu
Terlangkalah kembangan Melayu
Terlangkalah khuldi Melayu


-Nailun "tukang kebun"

Anonymous said...

generasi muda jg tak kurangnya ramai yang terpesong