Tuesday, 3 February 2015

I S L A M O F O B I A

KALAU tidak silap perkataan fobia itu ialah istilah psikologi yang bermaksud ketakutan, kebimbangan atau kecurigaan yang tidak berasas. Apabila seseorang mengalami perasaan takut, bimbang, curiga atau was-was terhadap sesuatu walaupun sesuatu itu tidak membahayakan, tidak mengancam atau menyakitkan bererti seseorang itu sedang mengalami 
kekacauan jiwa. Apakah itu merupakan penyakit jiwa atau mental barangkali hanya doktor psikologi atau psikaitri sahajalah yang mampu mengesahkannya.

Berasaskan keterangan di atas  Islamofobia yang sekarang sering diucapkan dalam media, perbincangan dan sebagainya , bererti takutkan atau curigakan ajaran Islam dan orang Islam. Apabila ada perasaan, dan sikap mental, seperti itu maka akan timbul ketakutan dan kebencian serta permusuhan terhadap agama Islam dan pengikutnya.Seterusnya akan berlaku pula perbuatan dan tindakan negatif, diskriminasi, tuduhan, ancaman dan malah keganasan terhadap harta benda dan nyawa masyarakat Islam. Ia akan pergi lebih jauh melalui strategi, taktik dan perancangan halus melagakan kelompok-kelompok dan puak Islam hingga boleh berbunuhan sesama sendiri. Ini adalah cara dan pendekatan yang lebih kemas dan berkesan apabila umat Islam melakukan penghapusan diri tanpa terlibat berperang secara fisikal dengan bukan Islam, yakni berperang sesama seagama malahan sebangsa ( seperti Melayu dengan Melayu, Malaysia dengan Indonesia misalnya).

Memang tidak mungkin umat Islam seratus persen kompak bersatu padu kerana perbezaan ilmu, pendapat dan cara melihat serta menyelsaikan masalah kehidupan ada pelbagai dan tidak hanya satu cara sahaja. Sejak sebelum merdeka pun ada aliran tua dan muda , aliran lama dan baru, dan yang ortodoks dan yang modern, dalam pemikiran agama . Malahan perbezaan pandangan dan  pendapat sebenarnya adalah suatu kebaikan bagi membanding-bandingkan buruk  baik , dan daripada fikiran yang dilektikal itu akan wujud jalan baharu yang lebih ampuh.

Bagaimanakah kesediaan untuk berdialog dengan akal sihat antara pelbagai pihak sosial, ekonomi dan lebih-lebih lagi politik dapat disemai, dipupuk, diperkembangkan dan dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin Melayu Islam negara kita ini. Rasanya selagi budaya dialog sosial-politik ini tidak tumbuh di kalangan pemimpin Melayu-Islam di negara kita, selama itulah negara ini tidak akan stabil. Kestabilan itu jauh lebih penting daripada cakap-cakap tentang demokrasi yang idealistik; dan melalui kestabilan politiklah akan terjamin kelangsungan demokrasi yang menjamin ekonomi serta ketenteraman hidup pelbagai kaum.
Jangan terpedaya dengan Islamofobia yang membuat orang Islam menjadi defensif dan mengalah dalam semua perundingan dan pertikaian. Islamofobia bukan sahaja satu strategi dan taktik menentang Islam, tetapi juga satu penyakit jiwa Eropah dan Amerika yang sedang menular di ASEAN.





  




















   














Friday, 16 January 2015

KEBEBASAN BERFIKIR DAN BERKOMUNIKASI;
ANTARA AKAL CERDIK  dan CETEK

BERFIKIR dengan bebas, tanpa kongkongan dan paksaan sangat digalakkan, malahan patut sering dipupuk bagi menemukan pelbagai sudut dan seginya, baik, buruk dan apa juga sifatnya.Demikianlah maklumat dan ilmu pengetahuan dikumpul oleh penyelidik, ilmuwan dan pemkir. Demikianlah hakikatnya bagaimana kebudayaan dan tamadun dibina.

Fikiran, pandangan dan maklumat patut disebarkan melalui komunikasi( ucapan, tulisan, lukisan , isyarat etc), tetapi harus terlebih dahulu diperhitung dan diukur buruk baiknya terhadap masyarakat, negara atau manusia seluruhnya.Bagaimanakah mengukur buruk dan baiknya. Di sinilah peranan nilai-nilai (values) menjadi sangat penting.Sebagai contoh minum arak, berjudi dan makan daging babi nilainya sangat buruk bagi penganut agama Islam kerana dilarang oleh ajaran agamanya, tetapi tidak menjadi masalah bagi pengguna-pengguna atau masyarakat lain yang bukan Islam. Makan daging lembu tidak diizinkan bagi penganut agama Hindu , dan tidak memakan daging lembu itu adalah nilai yang baik bagi masyarakat Hindu.

Keinsafan terhadap pentingnya nilai yang mengatur tingkah laku masayarakat atau pengikut agama tertentu, jiran tetangga, dan manusia lain , sangatlah mustahak bagi melengkapkan ilmu pengetahuan, fikiran dan kecerdikan seseorang.Keinsafan ini namun tidak menjamin kematangan sosial dan tanggungjawab seseorang terhadap manusia lain kerana pengetahuan tentang nilai juga boleh digunakan untuk mencemuh, mengkritik dan mengejek orang lain.

Itulah yang terjadi apabila media Charlie Hebdo ,  di Paris, Perancis menerbitkan bahan yang mencemuh, mengejek dan menghina Nabi Muhammad (S>A>W>).Bukan wartawan-wartawan itu orang bodoh, naif dan medioker dalam bidang kewartawanan Eropa. Apa yang tercetus di Paris ini ini  adalah tanda atau isyarat tentang kebimbangan dan prasangka anti-Islam di kalangan masyarakat Barat. Faktor-faktor dan sebab musababnya bukan sekadar masalah perbezaan agama, tetapi menyangkut banyak hal politik, ekonomi, percaturan politik internasional, persengketaan  Islam-Zionis, dan sisa-sisa sejarah yang perlu dikaji secara halus dan tepat oleh negara-negara Islam.

Apa yang dicetuskan oleh Charlie Hebdo memang ada rahmatnya bagi kita di Malaysia kerana ia membuka sedikit mata fikir kita tentang persepsi salah atau kekeliruan umat lain terhadap Islam. Agama Islam sebenarnya bukanlah ancaman terhadap agama lain walaupun memang ada orang Islam yang mengancam malahan membunuh bukan Islam. Samalah juga dengan perbuatan hina bangsa bukan Islam (persengkokolan Amerika,Britain, Perancis dan negara Eropah) terhadap Islam seperti menghancurkan Iraq berdasarkan alasan palsu (weapon of mass destruction) yang diada-adakan.

Charlie Hebdo dan jutaan  pihak lain itu jahil  bahawa Muhammad (SAW) itu tidak boleh terpisah daripada kepercayaan dan akidah umat Islam dalam kehidupan Islam setiap hari. Setiap hari, setiap kali azan, setiap kali solat nama Muhammad itu disebut dan diucapkan beberapa kali di lidah-lidah orang Islam. Apabila waktu-waktu solat lima waktu serta azan berubah-ubah dari satu kawasan geografi dan negara di bumi Tuhan ini maka setiap minit nama Muhammad (S.A.W.) diucapkan dan bergema tanpa henti-hentinaya di muka alam ini.
Jadi tidakkah mengejek dan mencela Rasul itu bererti sama dengan mengejek dan menghina Islam dan siapa-siapa sahaja yang beragama Islam. Jadi apakah aneh kalau ada pula seseiapa yang sanggup membunuh dan bersedia dibunuh oleh musuh-musuh Islam.

 Mereka juga lupa bahawa agama Islam tidak menggalakkan orang Islam menekan dan berlaku tidak adil terhadap agama lain.Justeru itu kita umat Islam  perlu terus mempertahan dan memperkuatkan umat Islam tanpa menghina dan kejam terhadap mereka, kecuali apabila dihina dan dikejami.

Monday, 29 December 2014

D A T A N G L A H 2 0 1 5

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada sekalian pembaca, sahabat handai dan kenalan.
Menjelang 2015 ini diharap kita semua menjadi lebih bijaksana dan bersedia menempuh tahun -tahun yang mungkin lebih mencabar dan menduga jiwa raga kita semua.

Semoga Tahun 2015 - meskipun nampaknya sangat tidak menentu keadaan ekonomi dan sosial, dengan pendapatan negara daripada hasil minyak yang merosot hari ini, dan kos serta harga barangan semakin tinggi, ditambah lagi akibat banjir teruk pada hujung tahun 2014 yang menimpakan kerugian kepada rakyat ( khususnya penduduk Melayu) - kita akan lebih gigih menguruskan kehidupan secara lebih berdisiplin dan berjimat bagi memelihara waktu, wang ringgit, dan tenaga cipta ke arah yang lebih produktif dan berkualiti.

Dengan kemuudahan teknologi digital ada kecenderungan ramai anggota mayarakat terjebak dalam pembaziran kerana terpikat dengan maklumat, berita dan cerita-cerita yang lebih bersifat hiburan, malahan yang negatif seperti gosip, kritikan dan tohmahan.Inilah wajah hitam  daripada kebebasan yang luar biasa yang hari ini dihadiahkan oleh kebebasan demokrasi media yang hanya dapat dijinakkan dengan keinsafan terhadap dosa pahala dan hati nurani yang jernih.

Semoga kita lebih mahu memilih tujuan dan cita-cita POSITIF untuk membina suatu masyarakat yang hebat, mampu bersaing dengan bangsa lain melalui kekuatan mental dan imaginasi kreatif yang tinggi. Mari kita mulai dengan tujuan dan matlamat  --untuk orang lain dan untuk diri kita-- supaya Malaysia lebih terhormat; dan kuat ekonomi, pemerintahan, budaya dan pertahanannya (jasmani serta rohani)

.
                                             KEPADA SAUDARA-SAUDARA SEMUA
SELAMAT MEMASUKI TAHUN 2015 DENGAN BERGAYA DAN KEYAKINAN YANG BESAR

Thursday, 21 November 2013


Ironi Tragis Melanda Bahasa Kebangsaan

Bagaimana terjadinya? Ceritanya begini:
 Sabtu 17 Nov. diadakan forum: ' Masa Depan Bahasa dan Persuratan Melayu', di Rumah PENA. Begitu majlis terbuka untuk hadirin sekalian, sahabat lama saya, Dato' Noor Azam turut berucap. Beliau merumuskan kira-kira beginilah: hidupkan semula sekolah Inggeris dan PPSMI  supaya orang Melayu tidak ketinggalan ilmu pengetahuan dan tidak ketinggalan  dalam bidang pekerjaan. Rupa-rupanya sebelumnya lagi beliau sudah pun menulis tentang hal ini dalam Dewan Masyarakat, Ogos 2013.

Saya yang duduk betul-betul di sebelah kanan pahanya agak terkesima dan kurang percaya tentang kesungguhan maksud ucapannya. Walau bagaimanapun saya menahan diri tidak memberi reaksi spontan kerana selalu berusaha berfikir
secara berimbang dan dewasa meskipun pendirian dan pandangan berbeza. Pada teori dan prinsipnya begitulah. Sebab itulah juga saya tidak  berasa perlu hilang akal dan membuang  masa yang bernilai untuk menyanggah satu dua kerat pendapat yang berperasangka aib dan berbaur tohmah. Semua orang harus bebas berfikir dan mengeluarkan pandangan kepada masyarakat asalkan  dilakukan secara berakal dan beradab kerana ini digalakkan oleh Islam demi kebaikan umat.

 Beberapa hari kemudian saya mencari majalah Dewan Masyarakat untuk membaca tulisan Noor Azam , dan memang ucapannya tak berbeza. Hanya dia memberi alasan bahawa masalahnya pemimpin korporat, segala papan tanda dan iklan di sekitar, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, pemimpin  dan Menteri pun berucap dalam bahasa Inggeris, sehingga seluruh persekitaran fisikal dan sosial yang penting nampaknya mengutamakan  bahasa Inggeris. Jadi buat apa kita menipu anak-anak sekolah dengan menyuruh mereka belajar dalam bahasa Melayu, ujarnya. Diperkuatkannya hujjahnya dengan berkata: "...bahasa Melayu belum mencapai kedudukan,seperti bahasa Jepun, Perancis, Jerman, dan Rusia. Bahasa mereka kuat kerana bangsa mereka maju dan kuat dalam semua bidang kehidupan moden. Kita baru sedang mencari istilah ilmu dan teknologi mutakhir, sedang mereka telah pun menguasai ilmu dan teknologi yang kita baru nak belajar". Alasan ini sama dengan yang pernah disebut oleh Tun Mahathir; boleh sahaja dhujah, tetapi akan mengulangi sahaja apa-apa yang telah duhujah beberapa tahun yang sudah. Lagipun kita bukan anti-bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris bukan menjadi penentu kemajuan teknologi dan ekonomi Jepun, Jerman, Perancis dan Rusia. Isu pokok ialah bahasa Ingggeris tidak boleh mengambil alih peranan dan fungsi bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Dahulu kami sama-sama " berjuang " menegakkan bahasa Melayu seawal 1963 ( beliau di sidang pengarang majalah Dewan Masyarakat, dan saya turut menyumbang  dengan menterjemahkan tulisan-tulisan Inggersi ke Melayu, selain daripada terlibat dalam kegiatan kebahasaan lain). Hanya selepas tahun 1982 kami berpisah tempat kerja. Kalau Noor Azam sudah membuat keputusan yang berbeza, saya tetap tak berubah malah menjadi lebih mengerti tentang masalah idealisme kehidupan dengan realti pengalaman . Dia yang dahulu sangat menyayangi bahasa Melayu dan bergiat memperjuangkannya, tetapi kini " seolah-olah membencinya " . Ini tafsiran yang ekstrim. Beliau sebenarnya bersedia bahasa Inggersi itu kembali menjadi lebih berkuasa, dan bahasa Melayu terpinggir semula dalam sistem pendidikan negara.

Bagaimanakah hendak dibaca fikiran dan sikapnya secara saksama? Membandingkan sikapnya yang dahulu dengan yang sekarang , dan kekesalannya terhadap usaha-usaha memartabatkan bahasa Melayu yang lambat dan lemah sehingga memutuskan sahaja peminggirannya, ternyata ini  adalah suatu pengucapan yang ironis. Seluruh peristiwa menjadi aneh, absurd  dan tragis. Saya kira Noor Azam bukan sekadar kecewa, tetapi marah dan berontak terhadap kenyataan sekitar yang gagal menyempurnakan idealisme zaman mudanya. Sepatutnya Noor Azam terus bertahan dengan idealismenya dan melawan persekitaran negatif dan musuh-musuh bahasa Melayu yang menghambat kemajuan bahasa kebangsaan. Dengan membuat keputusan mengejutkan seperti sekarang bererti  menyerah  kepada tenaga-tenaga durjana yang sedang menghalang pencapaian impian dan cintanya. Memang dalam beberapa hal beliau tak boleh disalahkan sangat kalau berfikir demikian kerana kelembapan memodenan bahasa Melayu akan membuat generasi muda terperangkap dalam kecepatan globalisasi dan revolusi digital. Hanya Noor Azam tidak bersabar untuk berfikir lebih jauh bagaimana mengatasi
kerumitan besar yang melanda pembinaan bahasa hari ini.

Ini  mengingatkan kita kepada tragedi King Lear (Shakespeare) yang menyerahkan hartanya kepada kedua-dua anak perempuannya yang berpura-pura sayang dan kasih kepadanya, dan membenci anaknya Cordelia yang tidak pandai berpura-pura  , tetapi benar-benar kasih pada ayahandanya. Akhirnya terbukti Codelialah yang menyelamatkan ayahnya, tetapi Cordelia dihukum gantung oleh kakaknya, dan tinggallah King Lear  merana dan patah hati lalu mati pada saat-saat tuanya. Ini adalah cerita yang  ironis dan tragis: membenci darah dagingnya yang jujur serta sejati kasihnya; mengasihi orang yang berpura-pura serta gila harta, tetapi akhirnya menghina martabat serta nasibnya.
                                                                     
                                                                                       

Thursday, 14 November 2013

PERBINCANGAN TENTANG INTEGRASI RAKYAT

DI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, 12 NOVEMBER 2013, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (HUAZONG), menganjurkan suatu majlis diskusi khas di kalangan sejumlah peserta undangan bagi membincangkan:
i) Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang;
ii) Hal-hal lain tentang masalah perpaduan.

Turut serta Tan Sri Kamarul Ariffin, Dr. Syed Husin Ali, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran selaku wakil DBP, Tan Sri Pheng Yin Huah ( Pengerusi Huazong),Encik Tan Kai Hee (Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negara Huazong) juga sebagai penaja Anugerah, Dr. Chua Yee Yan, S/U  Agung Kehormat Huazong, dan beberapa yang lain daripada beberapa NGO, serta pengarang Tionghua. Salah seorang pengarang yang hadir ialah sdr Chan Yong (bekas tahanan ISA di Taiping; agaknya lebih 10 tahun terkurung) yang telah menterjemahkan puisi protes saya  yang tertulis kira-kira 45 tahun dahulu.

Sewaktu saya dipelawa oleh Pengerusi perbincangan, Datuk Abang Sallehuddin, untuk memberikan apa-apa pandangan ( sebenarnya pada mulanya saya tak berhajat mengeluarkan apa-apa fikiran; sekadar hadir untuk menyokong Anugerah yang baik itu) antara lain saya menyatakan tahniah serta sokongan terhadap Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang. Memang nama hadiah itu tepat mengingat Allahyarham cukup jujur terhadap perpaduan dan kedamaian, meskipun di dasar hati, emosi dan rasa bahasanya kental Melayu.

Berikutan  sokongan tersebut, saya menyatakan bahawa isu perpaduan di negara ini di kalangan pelbagai keturunan ras dan suku kaum adalah masalah yang sangat kompleks. Ia harus dilihat dan difahamai berdasarkan ilmu pengetahuan dan dengan fikiran yang rasional. Tak boleh lagi diselesaikan dengan cara melihat menurut prasangka mahupun persepsi dangakal dan yang tidak tepat.  Sering masalah ini hanya dilihat berdasarkan golongan rakyat  yang jelas di mata kita: Melayu, China dan India sebagaimana yang terlihat di Kuala Lumpur. KL seolah-olah pusat segala kehidupan dan dunia bangsa. Kita lupa bahawa ramai kelompok lain yang berkepentingan yang  tidak diinsafi benar-benar.

 Bagaimana dengan penduduk pelbagai suku kaum di Sabah dan  Serawak: Iban, Dayak, Murut, Kadazan, Murut, Banjar, Bajau, Bugis, Tausuq dan sebagainya. Apakah kita di Semenanjung sedar kehadiran dan kepentingan mereka?

Justeru itu saya melontarkan cadangan agar diwujudkan sebuah organisasi khas, Institut Perpaduan Rakyat (IPR) atau apa sahajalah namanya untuk membuat kajian ilmiah tentang pelbagai isu serta masalah perhubungan penduduk, struktur sosial, nilai-nilai budaya, sikap mental, kedudukan ekonomi, pendidikan etc. etc. supaya kita (khusunya pemimpin sosial dan politik) diberikan maklumat serta kefahaman yang lebih betul; bukan berdasarkan imaginasi dan pengetahuan yang dangkal. Berdasarkan sekalian keterangan dan fakta barulah negara kita boleh  mencarikan jawapan yang jitu secara jangka panjang. Bukan sekadar mengikut selera politik daripada satu pilihan raya ke pilihan raya yang lain.

Matlamat atau terms of reference institut perpaduan ini bukan sahaja melakukan penyelidikan, tetapi memberi syor untuk membentuk dasar, mencadangkan tindakan-tindakan yang struktural sifatnya kepada pemerintah, dan mendidik rakyat ke arah toleransi dari waktu ke waktu melalui pelbagai cara dan media massa.

 Hanya yang perlu diingat: apapun cadangan mestilah dalam perimeter Perelembagaan Persekutuan yang ada kerana kalau ada yang berkira-kira untuk mengubah perlembagaan Persekutuan itu, bukan sahaja masalah yang ada tak dapat diatasi, malah mengundang masalah yang lebih rumit.

"Selamat Hidup Bersama ; Beradab dan Bersopan. " 

Saturday, 14 May 2011

ISLAM: ISU YANG DIKONTROVERSIKAN

Dari kiri: Raja Ahmad (pengarang), Lat (kartunis), Wakil Civitila Foundation (Itali), Syarifah Zuriah(pelukis), Baha Zain.


Fakta bahawa Islam adalah salah satu faktor yang sangat penting (kalaupun tidak yang terpenting) dalam menentukan ketenteraman dan persefahaman penduduk Malaysia yang majemuk ini, sedang digunakan oleh pihak-pihak politik yang bersaingan untuk mendapat sokongan majoriti pengundi, khususnya Melayu-Islam. Dalam waktu yang sama , bagi tujuan politik yang sama, isu agama Islam digunakan juga untuk mendeskredit atau memburukkan lawan politik.
Perihal Islam semakin memenangi hati dan fikiran masyarakat Melayu, dan semakin mengurangi daya tarikan semangat kebangsaan Melayu (Malay nationalism) sesudah lebih 50 tahun tercapainya kebebasan politik daripada penjajahan ( terutama melalui perjuangan semangat kebangsaan Melayu pada zaman dahulu), Islam sebagai pentadbir kehidupan individu, kelompok, dan negara akan terus mengambil tempat di tengah pentas dalam landskap politik Malaysia.

Namun Islam dalam kenyataan politik tanahair terdedah pula kepada pelbagai perspektif pandangan sehingga ia boleh sahaja dipergunakan untuk mengancam pihak lawan politik--bukan untuk tujuan menegakkan kebenaran dan keadilan Islam dalam tatanegara-- tetapi
untuk kepentingan kekuasaan parti , yakni untuk menguasai pemerintahan, ekonomi, perniagaan, kewangan, dan masa depan.

Baru-baru ini timbul dialog, juga perdebatan yang emosional, tentang Islam sebagai "agama Persekutuan" atau "agama Rasmi"; dan tentang boleh tak bolehnya pemimpin bukan Islam menjadi Perdana Menteri. Memang dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai "agama Persekutuan", dan tidak menetapkan bahawa Perdana Menteri itu misti beragama Islam. Apakah implikasinya "agama Persekutuan " itu; apa bezanya dengan "agama rasmi"?. Kalau diubah pun kepada agama Rasmi bolehkah ia menghalang pemimpin bukan Islam daripada parti majoriti yang menang untuk duduk atas kerusi utama Putra Jaya?Dengan Islam dijadikan agama rasmi apakah bererti juga Malaysia menjadi negara Islam ( Islamic State)?

Semua persoalan, implikasi undang-undang , sepatutnya dibahaskan oleh pakar undang-undang dalam bidang Undang Perlembagaan; bukan orang media biasa atau pemimpin politik yang hendak menangguk sokongan emosi pengundi. Justeru ramainya pemimpin politik, dan merebaknya budaya perebutan kuasa, dengan segala macam juak pecacai
yang tak bertanggungjawab terhadap membangunkan budaya negara yang waras, rasional dan positif, maka semakin merebak pertengkaran yang boleh membawa perkelahian . Islam mengajak umatnya berfikiran waras, bertimbang rasa, bersabar dan menyelidiki kebenaran terlebih dahulu sebelum tuduh menuduh . Inilah indah dan hebatnya Islam untuk semua kaum.

Seorang sahabat mengirim e-mel kepada saya dengan pendapatnya bahawa BN yang telah lama berkuasa dan telah membuktikan kejayaannya, harus melakukan transformasi dengan membersihkan UMNO sebagai parti induk daripada pemimpin2 yang tidak bersih, yang oporcunistik, yang kerjanya hendak mencari habuan dan pengaruh. Inilah jaminan masa depan bangsa, katanya. Saya menjawabnya dengan menyatakan persetujuan, tetapi dengan tambahan UMNO diharap berlumba-lumba dengan PAS untuk melaksanakan prinsip-prinsip Islam; dan kedua-dua parti tak perlu berada di bawah satu bumbung. Bukan hanya satu cara sahaja untuk mentadbir negara berdasarkan ajaran-ajaran Islam. Jadi rakyat (Islam dan bukan Islam) boleh memilih parti politik mana yang lebih adil, UMNO, PAS atau PKR?

Sewaktu diminta melancarkan buku karangan Raja Ahmad Aminullah, Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, di Rumah Universiti UM, pada 9 April, saya menyebut bahawa kita memerlukan ramai cendekiawan Islam untuk berbicara tentang pembangunan negara dalam bidang sains, teknologi, pendidikan, ekonomi, budaya, dan kemodenan. Semoga Malaysia akan lebih kaya dan memberi kekuatan baru untuk membina tamadun manusia di rantau Nusantara ini.

Friday, 29 April 2011

ADIOS ! atau KE MANA KITA PERGI?

Betul atau tidak, demokrasi telah bersuara di Serawak. BN kembali berkuasa, seperti lima tahun dahulu, seperti 30 tahun dahulu, Taib Mahmud terus memegang tampuk kekuasaan.Tahniah BN, tahniah Parti Bumiputera Bersatu Serawak.Tetapi sekali gus keputusan pilihan raya negeri mengeluarkan signal yang membimbangkan BN.

Khabarnya BN memperolehi sekitar 55% undi, dan pembangkang 41%.Bererti sudah dekat separuh rakyat pengundi tidak menyokong BN. Signal kedua pengundi-pengundi Cina telah mengalihkan sokongannya kepada pembangkang terutama DAP. SUPP parti komponen
BN yang dianggotai orang Cina tumpas teruk. BN selamat kerana sokongan kuat bumiputera; dan juga kerana kawasan-kawasan yang dimenangi mempunyai tidak ramai pengundi; masih konservatif, dan mudah dipengaruhi. Demikianlah kedudukan masalah yang diceritakan oleh seorang teman dari negeri itu.

Kalau kecenderungan mood, sikap, sentimen yang berkembang di Serawak menular ke Semenanjung, bererti pengundi-pengundi Cina di sini tidak akan memasukkan undinya ke dalam kotak untuk menyokong calon Cina dari Gerakan atau MCA; dan akan mengundi DAP atau Pakatan Rakyat.Jadi apakah BN akan banyak bergantung kepada kertas undi Melayu. Dahulu calon India( MIC) dari BN, letak di manapun kalau majoriti di situ Melayu , dia akan menang. Apakah sekarang orang Melayu mahu menyokong calon Cina atau India lagi kerana mereka telah menunjukkan suara yang agresif melalui Hindraf,atau mengecam dan membakar novel serta gambar pengarang Melayu, penulis Interlok?Ramai pula antara mereka yang kembali menyokong PPSMI yang dianggap mengkhianati martabat bahasa Melayu di sekolah.Pemimpin MCA Chua soi Lek pernah menyokong aktivis PPSMI supaya sekolah diberi pilihan untuk menggunakan PPSMI atau tidak sedangkan dasar ini ditolak sama sekali oleh pejuang-pejuang bahasa dan para pendidik kebangsaan.

Malangnya pada hari ini pula orang Melayu juga berpecah teruk , sebahagian menyokong perjuangan Islam melalui PAS, sebahagian lagi menyokong PKR,ramai yang masih menyokong UMNO, dan ramai pula generasi muda Melayu seperti biasa bersikap anti-establishment serta tak mengundi pun.Ada yang mentafsirkan situasi sosial-politik Melayu ini sedang membawa sial politik kepada orang Melayu sendiri kerana dengan perpecahan itu suara undi Melayu tidak kompak dan padu lagi sehingga UMNO perlu mengambil hati dan berkompromi dengan tuntutan kaum Cina dan malahan kaum India yang minoriti itu.

Sejak keputusan Pilihan Raya 2008 pelbagai pihak secara ilmiah, secara profesional atau melalui pengalaman telah menganalisis anjakan-anjakan pola-pola politik kebangsaan.Banyak faktor daripada isu kredibiliti pemimpin, dasar-dasar parti, demografi, teknologi,dan nilai-nilai sosial-budaya etc. telah diperinci. Masing-masing pihak berkepentingan terus melengkapi kajian masing-masing untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Secara dialektis ada yang melihat bahawa daripada senario politik yang dinamik ini muncul satu keinginan kuat di kalangan penduduk Melayu-Islam, iaitu cita-cita untuk mencari keharmonian dan kesucian hidup yang lebih unggul dan suci.Bukan lagi sekadar untuk mencari keselesaan dan kemewahan kerana pada asasnya orang boleh saja mendapat pekerjaan untuk makan minum dan berumah tangga kalau berusaha.Kemiskinan bukan lagi membelit setiap penjuru jalan dan kampung seperti 40 tahun dahulu.Perkembangan pendidikan Islam ( baik secara formal atau tidak) juga semakin mennyemai benih-benih iman, keyakinan rohani, dan akhlak sehingga masyarakat Melayu semakin menghormati kehidupan yang bersih, halal, bermoral, tidak rasuah,tidak menipu, dan tidak berlebih-lebihan. Perkembangan semangat Islam pada hari ini bukanlah seperti api besar menyala di padang lalang (jelas dipandang dan mudah dipadamkan), tetapi seperti api yang merebak di tanah gambut atau di dalam sekam.

Hakikat inilah yang harus difahami, disedari dan benar-benar diinsafi oleh aktivis politik tentang faktor penentuan yang sedang mempengaruhi arah jalannya poltik Malaysia.Jadi setiap parti harus membersihkan imejnya dengan menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang kebendaan, sekuler, oporcunistik dan tidak nampak jujur membela kebenaran hidup yang berbudaya, beragama,dan adil.Perihal peratus pertumbuhan ekonomi,peluang pekerjaan, gaji yang lebih tinggi, penghapusan kemiskinan,dan
peluang pekerjaan,dan keperluan-keperluan hidup yang lain, memang terus menjadi tanggungjawab mana-mana parti yang berkuasa. Dalam kehidupan yang lebih berilmu, lebih berpengetahuan agama, lebih canggih dengan maklumat global, masyarakat memerlukan lebih daripada sekadar sandang pangan, tetapi ke arah mana idealisme, darjat kemanusiaan, moral,dan akal budi bangsa hendak direncanakan.

Apa yang berlaku sehari dua ini dengan kelucahan moral serta seks diangkat ke khalayak ramai melalui media perdana atau media nyamuk,didedahkan di muka anak bini,dan sanak saudara, sangatlah mengaibkan budaya politik bangsa kita.Di manakah letaknya hati nurani, perasaan bersalah dan berdosa, perasaan segan silu tokoh-tokoh masyarakat, alim ulama, pemimpin politik, dan ketua-ketua masyarakat kita dalam senario yang mengaibkan sekarang?

Bolehkah kita percaya lagi kepada mereka yang berebutan kuasa, baik dalam kerajaan mahupu parti pembangkang itu?

Semoga Tuhan menjauhkan kita semua daripada terlibat dalam kebusukan politik.Dan melindungi rakyat yang tidak berdosa daripada ditimpa musibah, bencana dan mala petaka. Marilah kita berusaha kembali ke jalan kebenaran; dan jalan yang lurus.