Thursday 21 November 2013
Ironi Tragis Melanda Bahasa Kebangsaan
Bagaimana terjadinya? Ceritanya begini:
Sabtu 17 Nov. diadakan forum: ' Masa Depan Bahasa dan Persuratan Melayu', di Rumah PENA. Begitu majlis terbuka untuk hadirin sekalian, sahabat lama saya, Dato' Noor Azam turut berucap. Beliau merumuskan kira-kira beginilah: hidupkan semula sekolah Inggeris dan PPSMI supaya orang Melayu tidak ketinggalan ilmu pengetahuan dan tidak ketinggalan dalam bidang pekerjaan. Rupa-rupanya sebelumnya lagi beliau sudah pun menulis tentang hal ini dalam Dewan Masyarakat, Ogos 2013.
Saya yang duduk betul-betul di sebelah kanan pahanya agak terkesima dan kurang percaya tentang kesungguhan maksud ucapannya. Walau bagaimanapun saya menahan diri tidak memberi reaksi spontan kerana selalu berusaha berfikir
secara berimbang dan dewasa meskipun pendirian dan pandangan berbeza. Pada teori dan prinsipnya begitulah. Sebab itulah juga saya tidak berasa perlu hilang akal dan membuang masa yang bernilai untuk menyanggah satu dua kerat pendapat yang berperasangka aib dan berbaur tohmah. Semua orang harus bebas berfikir dan mengeluarkan pandangan kepada masyarakat asalkan dilakukan secara berakal dan beradab kerana ini digalakkan oleh Islam demi kebaikan umat.
Beberapa hari kemudian saya mencari majalah Dewan Masyarakat untuk membaca tulisan Noor Azam , dan memang ucapannya tak berbeza. Hanya dia memberi alasan bahawa masalahnya pemimpin korporat, segala papan tanda dan iklan di sekitar, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, pemimpin dan Menteri pun berucap dalam bahasa Inggeris, sehingga seluruh persekitaran fisikal dan sosial yang penting nampaknya mengutamakan bahasa Inggeris. Jadi buat apa kita menipu anak-anak sekolah dengan menyuruh mereka belajar dalam bahasa Melayu, ujarnya. Diperkuatkannya hujjahnya dengan berkata: "...bahasa Melayu belum mencapai kedudukan,seperti bahasa Jepun, Perancis, Jerman, dan Rusia. Bahasa mereka kuat kerana bangsa mereka maju dan kuat dalam semua bidang kehidupan moden. Kita baru sedang mencari istilah ilmu dan teknologi mutakhir, sedang mereka telah pun menguasai ilmu dan teknologi yang kita baru nak belajar". Alasan ini sama dengan yang pernah disebut oleh Tun Mahathir; boleh sahaja dhujah, tetapi akan mengulangi sahaja apa-apa yang telah duhujah beberapa tahun yang sudah. Lagipun kita bukan anti-bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris bukan menjadi penentu kemajuan teknologi dan ekonomi Jepun, Jerman, Perancis dan Rusia. Isu pokok ialah bahasa Ingggeris tidak boleh mengambil alih peranan dan fungsi bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Dahulu kami sama-sama " berjuang " menegakkan bahasa Melayu seawal 1963 ( beliau di sidang pengarang majalah Dewan Masyarakat, dan saya turut menyumbang dengan menterjemahkan tulisan-tulisan Inggersi ke Melayu, selain daripada terlibat dalam kegiatan kebahasaan lain). Hanya selepas tahun 1982 kami berpisah tempat kerja. Kalau Noor Azam sudah membuat keputusan yang berbeza, saya tetap tak berubah malah menjadi lebih mengerti tentang masalah idealisme kehidupan dengan realti pengalaman . Dia yang dahulu sangat menyayangi bahasa Melayu dan bergiat memperjuangkannya, tetapi kini " seolah-olah membencinya " . Ini tafsiran yang ekstrim. Beliau sebenarnya bersedia bahasa Inggersi itu kembali menjadi lebih berkuasa, dan bahasa Melayu terpinggir semula dalam sistem pendidikan negara.
Bagaimanakah hendak dibaca fikiran dan sikapnya secara saksama? Membandingkan sikapnya yang dahulu dengan yang sekarang , dan kekesalannya terhadap usaha-usaha memartabatkan bahasa Melayu yang lambat dan lemah sehingga memutuskan sahaja peminggirannya, ternyata ini adalah suatu pengucapan yang ironis. Seluruh peristiwa menjadi aneh, absurd dan tragis. Saya kira Noor Azam bukan sekadar kecewa, tetapi marah dan berontak terhadap kenyataan sekitar yang gagal menyempurnakan idealisme zaman mudanya. Sepatutnya Noor Azam terus bertahan dengan idealismenya dan melawan persekitaran negatif dan musuh-musuh bahasa Melayu yang menghambat kemajuan bahasa kebangsaan. Dengan membuat keputusan mengejutkan seperti sekarang bererti menyerah kepada tenaga-tenaga durjana yang sedang menghalang pencapaian impian dan cintanya. Memang dalam beberapa hal beliau tak boleh disalahkan sangat kalau berfikir demikian kerana kelembapan memodenan bahasa Melayu akan membuat generasi muda terperangkap dalam kecepatan globalisasi dan revolusi digital. Hanya Noor Azam tidak bersabar untuk berfikir lebih jauh bagaimana mengatasi
kerumitan besar yang melanda pembinaan bahasa hari ini.
Ini mengingatkan kita kepada tragedi King Lear (Shakespeare) yang menyerahkan hartanya kepada kedua-dua anak perempuannya yang berpura-pura sayang dan kasih kepadanya, dan membenci anaknya Cordelia yang tidak pandai berpura-pura , tetapi benar-benar kasih pada ayahandanya. Akhirnya terbukti Codelialah yang menyelamatkan ayahnya, tetapi Cordelia dihukum gantung oleh kakaknya, dan tinggallah King Lear merana dan patah hati lalu mati pada saat-saat tuanya. Ini adalah cerita yang ironis dan tragis: membenci darah dagingnya yang jujur serta sejati kasihnya; mengasihi orang yang berpura-pura serta gila harta, tetapi akhirnya menghina martabat serta nasibnya.
Thursday 14 November 2013
PERBINCANGAN TENTANG INTEGRASI RAKYAT
DI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, 12 NOVEMBER 2013, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (HUAZONG), menganjurkan suatu majlis diskusi khas di kalangan sejumlah peserta undangan bagi membincangkan:
i) Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang;
ii) Hal-hal lain tentang masalah perpaduan.
Turut serta Tan Sri Kamarul Ariffin, Dr. Syed Husin Ali, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran selaku wakil DBP, Tan Sri Pheng Yin Huah ( Pengerusi Huazong),Encik Tan Kai Hee (Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negara Huazong) juga sebagai penaja Anugerah, Dr. Chua Yee Yan, S/U Agung Kehormat Huazong, dan beberapa yang lain daripada beberapa NGO, serta pengarang Tionghua. Salah seorang pengarang yang hadir ialah sdr Chan Yong (bekas tahanan ISA di Taiping; agaknya lebih 10 tahun terkurung) yang telah menterjemahkan puisi protes saya yang tertulis kira-kira 45 tahun dahulu.
Sewaktu saya dipelawa oleh Pengerusi perbincangan, Datuk Abang Sallehuddin, untuk memberikan apa-apa pandangan ( sebenarnya pada mulanya saya tak berhajat mengeluarkan apa-apa fikiran; sekadar hadir untuk menyokong Anugerah yang baik itu) antara lain saya menyatakan tahniah serta sokongan terhadap Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang. Memang nama hadiah itu tepat mengingat Allahyarham cukup jujur terhadap perpaduan dan kedamaian, meskipun di dasar hati, emosi dan rasa bahasanya kental Melayu.
Berikutan sokongan tersebut, saya menyatakan bahawa isu perpaduan di negara ini di kalangan pelbagai keturunan ras dan suku kaum adalah masalah yang sangat kompleks. Ia harus dilihat dan difahamai berdasarkan ilmu pengetahuan dan dengan fikiran yang rasional. Tak boleh lagi diselesaikan dengan cara melihat menurut prasangka mahupun persepsi dangakal dan yang tidak tepat. Sering masalah ini hanya dilihat berdasarkan golongan rakyat yang jelas di mata kita: Melayu, China dan India sebagaimana yang terlihat di Kuala Lumpur. KL seolah-olah pusat segala kehidupan dan dunia bangsa. Kita lupa bahawa ramai kelompok lain yang berkepentingan yang tidak diinsafi benar-benar.
Bagaimana dengan penduduk pelbagai suku kaum di Sabah dan Serawak: Iban, Dayak, Murut, Kadazan, Murut, Banjar, Bajau, Bugis, Tausuq dan sebagainya. Apakah kita di Semenanjung sedar kehadiran dan kepentingan mereka?
Justeru itu saya melontarkan cadangan agar diwujudkan sebuah organisasi khas, Institut Perpaduan Rakyat (IPR) atau apa sahajalah namanya untuk membuat kajian ilmiah tentang pelbagai isu serta masalah perhubungan penduduk, struktur sosial, nilai-nilai budaya, sikap mental, kedudukan ekonomi, pendidikan etc. etc. supaya kita (khusunya pemimpin sosial dan politik) diberikan maklumat serta kefahaman yang lebih betul; bukan berdasarkan imaginasi dan pengetahuan yang dangkal. Berdasarkan sekalian keterangan dan fakta barulah negara kita boleh mencarikan jawapan yang jitu secara jangka panjang. Bukan sekadar mengikut selera politik daripada satu pilihan raya ke pilihan raya yang lain.
Matlamat atau terms of reference institut perpaduan ini bukan sahaja melakukan penyelidikan, tetapi memberi syor untuk membentuk dasar, mencadangkan tindakan-tindakan yang struktural sifatnya kepada pemerintah, dan mendidik rakyat ke arah toleransi dari waktu ke waktu melalui pelbagai cara dan media massa.
Hanya yang perlu diingat: apapun cadangan mestilah dalam perimeter Perelembagaan Persekutuan yang ada kerana kalau ada yang berkira-kira untuk mengubah perlembagaan Persekutuan itu, bukan sahaja masalah yang ada tak dapat diatasi, malah mengundang masalah yang lebih rumit.
"Selamat Hidup Bersama ; Beradab dan Bersopan. "

Subscribe to:
Posts (Atom)