Monday 30 June 2008

TANAH AIRKU, TANAH TUMPAH CINTAKU

Jam hampir satu malam. Hanya suara cengkerik dan unggas menikam gelap kelam. Ada berita buruk terbang pada waktu siang: tuduhan, tohmahan dan pergelutan politik memanjang; tentang pembunuhan, sodomi, pengambilalihan kekuasaan, pengkhianatan dan cerita penyembelihan keadilan hingga mati, tetapi hidup kembali. Apakah itu sahaja makna tanah air kita ? Apa pun itulah wajah rakyat kita, wajah bumi kita ; suka atau tidak suka.

Apabila Pablo Neruda, penyair besar negara Chile, pemenang Hadiah Nobel, bercakap tentang Perhubungan Penyair dengan Rakyat Negaranya, beliau berkata:

"... sepanjang sejarah tanggungjawab penyair memastikan perhubungan ini . Mengisinya dengan
penuh dedikasi, dengan penderitaan, dengan kebahgiaan.

Peringkat pertama kehidupan penyair dihabiskan untuk menyerapi intipati tanah airnya ; kemudian dia harus memulangkannya kembali. Dia harus mengembalikannya seperti asalnya; dia misti membalasnya. Puisinya dan tindakannya harus menyumbang ke arah kematangan dan pertumbuhan rakyatnya.

Penyair tak boleh diceraikan daripa buminya kecuali dengan paksaan. Walaupun dalam keadaan begitu, akarnya misti merentang menyeberangi lautan dalam, biji benihnya terbang bersama angin, kemudian menjadi darah daging di tanah airnya. Dia misti menjadi nasionalis yang rasional dan berwawasan, patriot yang matang.

Penyair itu bukan seperti batu yang berguling. Dia mempunyai dua tanggungjawab: berangkat dan pulang. "

Demikianlah juga tugas dan tanggungjawab seniman dan pengarang tradisi dan modern di bumi tanah air bangsa kita sejak ratusan tahun dahulu lagi. Dalam kerinduannya dia menulis pantun dan syair cinta. Dalam pengembaraannya dia mencipta puisi yang merindui kampung halamannya. Ribuan puisi dikarang menyuarakan perjuangan kemerdekaan rakyatnya sebelum negara ini disinari cahaya matahari pertama 31 Ogos 57. Pungguk, Afrini Adham, Masuri, Usman Awang dan ratusan yang lain menjadi lidah rakyat yang tertindas. Hari ini kita anak-anak merdeka berebutan menghunus belati dan tohamahan , berusaha dan berkonspirasi menewaskan lawan, atas nama keadilan sosial , demokrasi dan kesamarataan. Apakah kita telah menjadi nasionalis yang rasional dan berwawasan, patriot yang matang.? Apakah yang telah kita ambil daripada negara , yang patut kita kembalikan?

Wednesday 25 June 2008

NASIHAT PENYAIR KEPADA PENULIS MUDA

Ada kalanya kita ingin lari daripada pelbagai kemelut di sekitar untuk bersendirian; mencari jarak dan tidak terlibat dalam persoalan yang rumit; persoalan yang tak mungkin diselesaikan secara mudah oleh kita sendiri. Dan dalam diri kita itu menunggu sekian banyak kerinduan , kerinduan yang mendamba perasaan , yang menunggu pengucapan ; menunggu bahasa kita sendiri menyuarakannya. Apakah ia dinamakan kesenian, keindahan, puisi atau hanya sebuah catatan, terserahlah istilah apa yang hendak kita gunakan. Penulis, pengarca, pelukis, pemusik, eseis, malah penari pun selalu merindukan kesendirian itu sebagai yang paling berharga, iaitu untuk mendengar bisikan hati kita sendiri di tengah-tengah kesibukan dunia.

Sayangnya kata-kata yang tersusun, walaupun menjadi bahasa pengucapan, tak mungkin pula mengungkapkan kerinduan dan keindahan itu, kerana kata-kata begitu ia menjadi sebuah teks ia adalah suatu realiti yang lain. Kata-kata pun bergantung maknanya dengan merujuk kepada kata-kata lain, dan bukan kepada realiti dalaman yang dilambangkannya. Teks puisi dan realiti adalah dua kewujudan yang berbeza, dan pengarang terpaksa membebaskannya untuk ditanggapi pembaca dalam acuan persepsi dan tafsirannya yang merdeka.


Beberapa orang penyair muda meminta nasihat atau pandangan daripada saya tentang karya mereka. Sayalah yang akan sangat bahagia kalau dapat mengajar orang bagaimana menulis puisi yang baik. Memang saya tak terdaya melakukannya sehingga saya harus meminjam nasihat Rainer Maria Rilke, penyair Jerman yang sangat terkenal pada awa abad ke-20. Katanya:

" Tak ada siapa yang boleh menasihati atau menolong anda--tak seorang pun. Hanya satu yang anda patut lakukan. Masuklah ke dalam diri anda. Carilah apa sebab yang menggesa anda menulis; lihat apakah akarnya telah berkembang masuk jauh ke dalam sanubari anda; tanya diri anda apakah anda sanggup mati andainya anda dilarang menulis. Tanyalah terutama pada saat -saat yang sangat sepi pada malam hari: mestikah aku menulis? Selami diri anda untuk mencari jawapan yang mendalam. Kalau anda menemukan suatu jawapan yang sangat mudah, "Aku mesti", maka binalah hidup anda seia-sekata dengan kemestian ini...bebaskan diri anda daripada menulis tema-tema yang umum, dan tulislah tentang apa-apa yang kehidupan berikan setiap hari kepada anda; ceritakan kepedihan dan impian anda; fikiran yang melintasi benak, dan keyakinan anda tentang sesuatu keindahan-- ceritakan semua ini dengan penuh perasaan, kejujuran yang murni, dan bila anda mengungkapkan diri , gunakanlah apa yang wujud di sekitar: citra daripada mimpi anda, dan objek-objek yang anda kenangi. Kalau kehidupan anda miskin, jangan kesalkan diri sendiri, mengakulah anda belum menjadi penyair sepenuh-penuhnya untuk menjadi kaya, kerana bagi si pencipta tak ada kemiskinan dan tak ada kekayaan. .. lahir daripada menyelami ke dalam diri itu, menjelmalah puisi, dan anda tidak perlu bertanya orang sama ada bagus atau tidak. Juga tak usahlah cuba memikat mana-mana majalah untuk menerbitkannya: anda akan melihatnya sebagai milik yang tersayang, sebahagian daripada hidup anda, sebuah suara daripadanya. Sebuah karya seni adalah bermutu andainya ia menjelma daripada kemestian, tak boleh tidak. Itulah cara untuk seseorang menilainya. Oleh itu, Tuan, saya tak boleh memberi apa-apa nasihat, kecuali ini: masuklah ke dalam diri anda dan lihat berapa jauh tempatnya dari mana kehidupan anda mengalir; dari sumbernya anda akan menemui jawapan bagi pertanyaan, sama ada anda mesti mencipta. Terimalah jawapannya tanpa mentafsirnya. Kemungkinan anda akan menemui bahawa anda terpanggil menjadi seniman. Maka terimalah destini itu untuk diri anda, dan tanggunglah, bebannya dan kegemilangannya , tanpa menanyakan apakah hadiah ganjaran yang akan datang dari luar. Bagi setiap pencipta dia adalah sebuah dunia tersendiri dan mesti mencari setiap sesuatu dari dalam dirinya, dan dari alam semula jadi, tempat dia menumpahkan pengorbanannya."

Kalau anda sudah menemui bakat diri sebagai seorang seniman, percayalah itu
adalah anugerah serta amanah daripada Tuhan; jangan dipersia-siakan
.

Sunday 22 June 2008

MENCARI AKAL SIHAT DLM KEPIMPINAN POLITIK DAN PEMBANGUNAN SOSIAL

Sabtu 21 Jun tersiar dalam Berita Harian, kenyataan Kamal Shukri Abdullah Sani, Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), tentang penentangan terhadap pengajaran Matematik dan Sains dlm bahasa Inggeris. Antara lain:

"...(PLM) berpendapat , keputusan Kementerian Pelajaran untuk menjadikan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 sebagai penanda aras sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diteruskan atau sebaliknya dalam sistem pendidikan , bukan suatu keputusan bijak. Turut dinyatakan hujah terkini bahawa PPSMI bukan bertujuan menguasai bahasa Inggeris tetapi bertujuan menguasai konsep sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Pada awal dulu begitu kuat hujah bahawa langkah PPSMI itu bertujuan membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik sebab ramai pelajar kita lemah bahasa itu. Apabila banyak pihak seperti cendekiawan dan tokoh akademik , termasuk badan bukan kerajaan membantah dengan mengatakan itu bukan cara betul menguasai bahasa Inggeris, tetapi melalui pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri, maka hujah kedua itu pula dikemukakan. Keadaan ini menunjukkan pelaksanaan PPSMI khusunya melalui hanya pandangan bekas Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamnad adalah secara ' kelam kabut ' tanpa tujuan yang benar-benar jelas, tanpa sebarang kajian empirikal, tanpa merujuk ahli akademik yang benar-benar berwibawa dan sebab itulah alasan bagi mewajarkan pelaksanaan PPSMI selalu berubah-ubah. ...
Negara besar dan kecil di Eropah Tengah, Utara , Timur dan Selatan seperti Finland, Sweden, Denmark, Jerman , Perancis, China, Jepun, Korea, Luxembourg, Switzerland, Portugal,Sepanyol, Russia juga maju dan terus maju tanpa melaksanakan pengajaran dalam bahasa Inggeris. Negara bekas jajahan atau koloni British di Afrika atau kepulauan (bahasa Inggeris) dan jajahan Perancis yang melaksankan dalam bahasa Perancis tidak juga maju, malah ada yg sangat mundur. "

Komentar saya:
1) Tahniah atas keberanian intelektual sdr Kamal Shukri sebagai pegawai awam, dan PLM sebagai badan ilmuwan linguistik dan pencinta bahasa, kerana mengemukakan pendapat kepada khalayak ramai demi kesedaran orang ramai, kebenaran ilmu , pembangunan pendidikan dan tamadun di negara ini.


2) Isu bahasa ini menunjukkan kecelaruan cara berfikir dan membuat keputusan yang dipengaruhi oleh metos
kepimpinan Mahathir yang dianggap cerdik, bijaksana, bermanfaat dan berpandangan jauh. Ternyata sekarang kekohongan (stinks) kepimpinan authoritariannya dlm bidang pendidikan, kehakiman, media, perniagaan, dan pentadbiran menjadi beban (baggages) yg harus dibersihkan sehingga partinya UMNO, yang dipimpinnya sepanjang 22 tahun, sekarang kesuntukan waktu untuk melakukannya dengan selamat.

3)Kelangsungan PPSMI melarat sehingga 5 tahun (2003-2008) ini juga mencerminkan betapa lemahnya golongan penulis, cendekiawan, tokoh sasterawan, seniman dan budayawan berfikir, membuat pendirian dan menentang isu-isu yang anti-intelektual yg dilakukan oleh pemimpin politik yang tidak bijaksana fikirannya.

4) Penyingkiran Bahasa Melayu dlm PPSMI, dan daripada nama asal batang tubuhnya sehingga dipanggil bahasa Malaysia, menunjukkan betapa tipisnya pemahaman kebudayaan dan pengetahuan sejarah pemimpin apabila tunduk kpd kepentingan politik pragmatik yg sementara sifatnya( iaitu untuk m,engambil hati rakyat bukan Melayu) . Istilah Bahasa Melayu itu merangkumi wilayah yg sangat besar mencakupi penduduk sekitar lebih 250 juta di Nusantara, sedangkan istilah bahasa Malaysia itu terbatas kpd penduduk yang hanya 25 juta jiwa. Penyingkiran ini bukan dilakukan oleh pemimpin India, dan Cina , tetapi pemimpin Melayu sendiri. Kita jangan salahkan masyarakat bukan Melayu, tetapi kita orang Melayu sendiri. Bermuhasabahlah sedalam-dalamnya mulai saat ini.

5) Apakah yang telah kita pelajari drp sekalian persitiwa yg lalu, yg belum jauh meninggalkan kita? Kita harus membaca banyak teori penulisan sejarah dan falsafah sejarah bagi membantu kita mentafsir sejarah supaya kita tidak tetrjebak menilai kehidupan drpd segi ekonomi, kebendaan, kuantitatif, dan pragmatik semata-mata, tetapi apa maknanya bahasa, kebudayaan, nilai-nilai agama, dan tradisi dlm kesejahteraan hidup yang total ( individ dan nasional) dlm konteks umat manusia sejagat.

6) Kita harus meragui kesahihan setiap kenyataan pemimpin politik supaya rakyat tidak mudah terperangkap dalam gembar gembur retorik yang indah wajah daripada isi, terutama kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin parti politik ( tidak kira yg memerintah atau yang membangkang) yg cenderung disokong atau diperkuatkan oleh pemimpin bawahannya ( spt dlm kes pengajaran Matematik dan Sains) sehingga akibatnya merusakkan proses kemajuan Bahasa Melayu dan perkembangan kognitif ratusan ribu murid sejak 5 tahun yg lalu, yg sukar dipulihkan.

Tuesday 17 June 2008

WARKAH BULAN JUN

WARKAH BULAN JUN
( Surat Terbuka Kepada YAB Perdana Menteri)

.
Assalamualaikum YAB Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia, semoga dalam perlindungan dan limpahan rahmat-Nya.

Ini bukanlah kali pertama saya menyampaikan permintaan dan harapan tentang soal mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kepada YAB Pak Lah, baik dalam suatu pertemuan yang khas di Putra Jaya mahupun melalui dua e-mel kepada http://www.warkahuntukpm.com.my/ Walaupun saya mengenali Pak Lah, dan juga sebaliknya, tetapi surat ini disampaikan sebagai seorang penulis rakyat biasa yang setia kepada negara dan sangat prihatin terhadap Bahasa Melayu (BM) sebagai Bahasa Kebangsaan tanah air yang satu-satunya ini.

Bekas Perdana Menteri, Mahathir Muhammad ( sekarang Tun) telah memberhentikan BM sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains dalam sistem pendidikan kebangsaan pada 2003. Ini memberi akibat sangat buruk terhadap status dan fungsi BM sebagai bahasa ilmu dan juga jati diri negara. Bagi saya ini adalah satu dosa besar yang dilakukan oleh seseorang pemimpin negara terhadap warisan, tamadun serta jati diri bangsanya. Semua bangsa maju (Cina, Jepun, Jerman, Perancis, dan Korea) membina kemajuan, ilmu, dan tamadunnya melalui bahasa kebangsaan masing-masing, dengan tidak menafikan sumbangan bahasa-bahasa antarabangsa sebagai sokongan. Tidak ada hujah yang rasional dan alasan yang kuat untuk menyingkirkan peranan Bahasa Melayu itu dalam sistem pendidikan negara setelah dilaksanakan dengan jayanya selama lebih 30 tahun.

Saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab YAB Pak Lah sebagai Perdana Menteri yang berkuasa sekarang, memperbetulkan balik apa jua kerosakan atau kesalahan dasar serta pelaksanaan yang memberi kesan buruk terhadap nasib dan masa depan tamadun negara. Apabila generasi baru masa depan menjadi dewasa dan maju dalam budaya bahasa Inggeris dan kemudian berasa rendah diri kerana tidak memiliki bahasa kebangsaan yang bernilai ekonomi serta tidak menjadi wahana ilmu dan teknologi, kerajaan dan pimpinan negara dekad inilah yang patut dikecam. Apabila generasi masa depan itu menjadi maju dan bangga dengan bahasa, tamadun serta jati diri bangsanya , pemimpin hari inilah yang patut dipuji dan dihormati. Terlalu banyak wajah dan semangat masa depan itu perlu YAB Pak Lah rancang dan lakar secara berani pada hari ini juga.

Saya tidak mewakili mana-mana pihak, tetapi percayalah suara saya ini dikongsi bersama oleh ribuan individu lain terutama golongan penulis yang berasa sangat marah terhadap jenayah dan dosa terhadap Bahasa Melayu ini.

Akhirnya dengan rendah hati saya memohon YAB Pak Lah agar terbuka hati untuk menimbangkan isu ini secara serius dan mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu.

Saya berdoa semoga Allah merestui segala perbuatan dan niat yang baik, dan melindungi YAB .

Salam hormat daripada,

Baha Zain. 17 Jun 2008.

___________________________________________________

(Catatan: Menyalin dan menyebarkan warkah ini diizinkan )

Saturday 14 June 2008

Nasihat Untuk Segala Pemimpin

Siapa penasihat anda? Apakah anda memerlukan penasihat ? Setiap tokoh pemimpin biasanya dikelilingi oleh penasihat, baik individu yang terdiri daripada sahabat rapat atau orang yang dipercayai atau kumpulan pemikir( think tank ). Sewaktu Malik bin Al-Haris Al-Ashtar dilantik menjadi Gabenor Mesir, Khalifah Islam Keempat, Ali bin Abi Talib , memberitahu beliau kalau mencari Penasihat atau mendengar nasihat :
" Jangan sekali-kali kamu mendengar nasihat orang yang kedekut kerana dia akan merosakkan keluhuran budi kamu dan menakut-nakutkan kamu tentang kemiskinan.Dan janganlah kamu mendengar nasihat si pengecut kerana dia akan membuat kamu lekas hilang sermangat. Dan janganlah kamu mendengar nasihat orang yang tamak kerana dia akan menanamkan rasa tamak haloba dalam diri kamu dan membuat kamu menjadi orang yang zalim.Sifat-sifat kedekut, pengecut dan tamak membuat manusia tidak yakin kepada Allah.

Penasihat yang paling keji ialah orang yang pernah menjadi penasihat kepada pemimpin-pemimpin yang tidak adil dan turut sama bersubahat melakukan kemungkaran. Janganlah kamu mengambil sebagai penasihat orang-orang yang pernah menjadi sahabat raja [ pemimpin politik--pen.] yang zalim atau bersubahat melakukan kejahatan. Kamu boleh mendapat orang lain yang jauh lebih baik daripada itu, yang pintar, berpandangan jauh dan berhati suci, orang yang tidak pernah membantu raja [pemimpin politik--pen.] yang zalim melakukan kezaliman atau menolong seorang penjahat melakukan kejahatan. Orang-orang yang mempunyai sifat seperti ini tidak akan sekali-kali menjadi beban kepada kamu. Sebaliknya pula, merekalah sumber bantuan dan kekuatan kamu pada setiap masa. Mereka akan menjadi sahabat kamu dan menjadi orang asing kepada musuh-musuh kamu. Pilihlah orang-orang yang seperti itu sahaja menjadi sahabatmu--sebagai teman biasa dan teman seperjuangan. Malah di kalangan mereka ini pun, hendaklah kamu mengutamakan mereka yang sentiasa menyanjung kebenaran , walaupun kadang-kadang sukar bagi kamu untuk membuat pilihan itu, dan seterusnya pilihlah orang-orang yang tidak suka menunjuk-nunjuk kelembutan hatinya kerana sifat itu tidak diredhai Allah.

Berdamping rapatlah dengan orang-orang yang jujur dan bertakwa dan beritahulah kepada mereka bahawa kamu sekali-kali tidak gemar mereka memuji-muji kamu dan menyanjung kamu demi kebaikan yang tidak kamu lakukan kerana pujian yang berlebih-lebihan dan sanjungan yang tidak kena pada tempatnya membuat manusia menjadi bongkak dan sombong."

Jadi apakah PM, Pak Lah, Dato. Najib, Menteri- Menteri Besar, Menteri, Presiden-presiden sekalian parti politik, Datin Seri Azizah, Dato' Seri Anwar, Dato. Hj.Hadi Awang, YAB Dato. Hj Nik Aziz dan lain-lainnya ada di kalangan penasihat mereka orang-orang yang kedekut, tamak, pengecut, bersubahat melakukan kezaliman dan kejahatan, yang suka memuji-muji atau bercakap apa yang pemimpin suka dengar bukannya apa yang dia patut dengar, yang tidak bertakwa atau tidak jujur ? Bukan senang hendak menyelami hati dan nawaitu setiap orang di sekitar. Harap-harap mereka yang memiliki watak dan ciri-ciri negatif ini mengubah sikapnya atau dengan sukarela menarik diri daripada menjadi penasihat demi kesejahteraan rakyat.

Friday 13 June 2008

Cermin dan Pisau Di Mana-mana

Selepas solat Isyak tadi saya bersembang dengan tuan imam masjid , dan bertanyakan teks khutbah Jumaat dua minggu lalu yang cukup menarik : tentang kepemimpinan dan tentang amanah serta tanggungjawab yang sangat berat bagi setiap pemimpin. Saya memohon untuk meminjamnya bagi menelitinya di rumah dan mengembalikannya nanti. Bukankah sekarang sangat ramai yang bercakap tentang politik, dan anehnya orang ramai seolah-olah sedang mencari pemimpin, meskipun bukan kecil jumlah yang berebut-rebut hendak menjadi pemimpin. Apakah rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin yang pernah memimpin
atau kerana terlalu ramai yang menonjolkan diri untuk menjadi pemimpin maka pengikut-pengikut berhadapan dengan masalah memilih. Dalam kata lain rakyat sedang mengalami kekacauan dalam dirinya: tidak tahu untuk membuat pilihan yang tepat.

Bagaimanakah dalam negara yang sekecil ini terlalu ramai yang berasa yakin diri , sangat percaya kepada kemahiran, ilmu, kebijakan, moral dan akhlak dirinya untuk memikul tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin ? Kenapa orang tidak berebut-rebut untuk menjadi pengikut dan rakyat yang baik? Apakah berbuat demikian sudah tidak normal lagi?

Di mana-mana orang bercakap dan berhujjah tentang apa yang sedang berlaku, dan akan terjadi pada bulan Julai, September dan Disember 2008. Perbahasan kecil ada di mana-mana lokasi. Orang bercakap perlahan, bercakap lantang atau berbisik-bisik tentang pemimpin si anu si anu. Seolah-olah ada komplot di sana sini. Orang seolah-olah sedang mengasah pisau untuk mempertahankan diri atau menikam. Sangat tidak tenteram. Harga barang dapur pula sedang menanjak naik dan kesusahan sedang menyeludup masuk ke dalam hati dan fikiran. Jiwa yang sakit akan bertambah sugul dengan peningkatan jenayah serta kejahatan. Kejahatan yang dilakukan oleh orang berpelajaran tinggi atau berharta lebih berbahaya dan kejam.

Ini semua menjadi cermin kehidupan untuk kita melihat diri sendiri, ke dalam diri bangsa kita,
melihat secara dialektik bagi mencari yang unggul dan benar kerana yang unggul-benar selalunya akan menang. Jadi sekalian pisau yang diasah untuk membedah sekalian persoalan yang beraneka warna itu akan mendedahkan kepalsuan dan kedurjanaan. Begitulah kalau kita hendak melihat pergolakan sosial secara positifnya. Menurut kata khutbah Jumaat: Rasullullah
pernah bersabda," Akan wujud kemudian nanti pemerintah yang menjalankan tugas dengan penuh pengetahuan dan melakukan apa-apa yang ditugaskan. Akan tetapi, akan wujud juga nanti pemerintah yang menjalankan tugas tanpa pengetahuan dan membuat apa-apa yang tidak ditugaskan.Sesiapa yang membetulkan pemerintah sedemikaian, bermakna dia telah menjalankan tugasnya dan sesiapa yang menyekat pemerintahan demikian, ia akan selamat."

Jadi apabila ada kawan-kawan yang bertanya kenapa saya memberi judul "KACA DAN BELATI KEHIDUPAN" pada blog ini, itu hanya kebetulan sahaja timbul daripada perasaan yang prihatin terhadap kemelut yang sedang membina momentumnya terhadap kehancuran akhlak dan kesejahteraan rakyat sejak dua dekad yang lalu. Bukan lantaran apa yang terjadi hari ini.

Sunday 8 June 2008

SELANGOR BERDENYUT DENGAN KESENIAN

Apabila saya menulis posting 31 Mei, dan 2 Jun tentang Malam Karyawan II yg dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor, saya seolah-olah mengimpikan suatu idealisme : negeri ini merumahkan pelbagai seniman dan genre seni yg bukan eksklusif Selangor , tetapi yang inklusif sifatnya. Nah! tadi malam melalui ucapan-ucapan Dr Siddiq Fadil, Eddin Khoo, Prof. Muhammad Hj Salleh, Tan Sri Khalid, dan Dato' Seri Anwar Ibrahim terucap idealisme yg lebih besar, yakni kesenian dan kebudayaan menjadi bahagian serta roh bagi pembangunan politik dan ekonomi yang manusiawi. Perihal Bahasa Melayu yang terpinggir di sekolah pula dijanjikan akan dikembalikan kedudukan dan kedaulatannya apabila Parti Pakatan Rakyat memerintah negara . Semuanya ini disambut dengan tepukan bergemuruh di dalam Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Menyelangi sekalian ucapan bernas dan penuh harapan itu, supaya tidak semua berkesudahan sebagai retorik, diumumkan pembentukan suatu badan kebudayaan , dipanggil PAKSI yang menyatakan manifestonya, melaui seorang pembicaranya . Secara konkrit dan cepat maka terbentuk sudah suatu mekanisme yang akan mendenyutkan kehidupan kesenian di negeri ini, yang pada masa yang sudah-sudah tidak menentu kegiatan serta citranya. Menteri Besar pula memperkuat pelawaannya kepada sekalian seniman budayawan, di mana -mana saja untuk berkongsi membangunkan kebudayaan, dan kerajaan negeri bersedia menimbangkan apa-apa yang dapat disokong. Semuanya ini menandakan bermulanya suatu cahaya baru bagi kriativiti dan kegiatan intelektual yang rancak di pusat negara , di negeri yang memiliki kemudahan serta potensi budaya yang sangat kaya berbanding negeri-negeri lain. Dan apakah citra dan fokus budaya yang hendak ditonjolkan oleh Selangor? Apakah suatu budaya kosmopolitan dan pluralis sementara membuat pilihan di dalamnya akan muncul suatu sosok budaya yang kuat sebagai keistemewaan Selangor yang menjadi pintu gerbang bagi kemasukan pelancong, pendatang, peniaga dan eksport import perkhidmatan serta komoditi global?

Walau apa pun milieu atau persekitaran kesenian , dan penghormatan yang dilimpahkan, para seniman dan cendekiawan, tidaklah boleh sampai lupa diri akan panggilan hati nuraninya terhadap perjuangan menegakkan kebudayaan nasional, meningkatkan keadilan, etika serta moral, dan menunjukkan kebenaran di sebalik kenyataan-kenyataan politik dan sosial. Tentang kebebasan menulis, mencipta , berucap, berteater dan mengarca misalnya, seniman jangan mengharapkan terlalu banyak janji kerana dalam mana-mana politik pun apabila suara seniman dan suara politik tidak bersenada, seniman harus diam atau melawan. Di situlah kesenimanannya diuji kerana dia hanya harus takut kepada Tuhan. Barangkali tidaklah meleset kalau menyebut nama Usman Awang dan Chairil Anuar sebagai antara contoh ikon kesenian nasionalis yang berani
melawan gelombang dan deru campur debu politik melalui puisi yang sangat indah, halus dan memukau.
Oleh itu kebebasan bukan dihadiahkan, tetapi harus dimenangi dan diperjuangkan.

Tadi malam 7 Jun 2008, Selangor telah bersuara, seolah-olah berkata : wahai seniman, kusediakan untukmu sebuah rumah yang baru; apakah yang kalian hendak ciptakan?

Thursday 5 June 2008

Jangan Panik. Jangan Bebal. Masa Depan Lebih Menjanjikan

Hari ini Majlis Tertinggi UMNO berkumpul di luar cara kebiasaan untuk melakukan sumbang saran. Dalam sesi sumbang saran biasanya setiap peserta bebas menyuarakan fikiran dan yang lain menanggapinya secara kritis untuk dibahas , dipersetujui atau ditokok tambah, atau dibangkang. Ke manakah UMNO akan pergi dan apakah strategi dan langkah-langkah tindakan akan diambil? Barangkali yang hangat dibincangkan ialah kemerosotan undi BN dlm PRU 12, dan apakah faktor-faktor lama serta baru yang menyebabkannya , dan apakah penawarnya? UMNO lebih mengetahuinya daripada orang lain.

Oleh kerana kebiasaan ramai penduduk Melayu berfikir (termasuk yang cerdik pandai) bahawa nasib Melayu berada di tangan UMNO, maka prestasi buruk UMNO baru-baru ini menimbulkan kegelabahan teruk . Maka diadakanlah Perhimpunan Perpaduan Melayu ; kemudian Kongres Pemaufakatan Melayu. Sebelum ini mereka aktivis Melayu ini seperti tokoh-tokoh politik Melayu lain berada dalam zon selesa, satu disolusi tentang kenyataan. Bukan itu sahaja mereka lebih banyak menceritakan apa-apa yang tokoh politik suka
dengar, justeru mengangkat sehingga pemimpin politik menjadi lupa atau hilang sentuhan dengan kenyataan yang ada di dlm hati sanubari massa. Bolehkah kita katakan : apabila cerdik pandai menjadi bebal maka bangsanya akan hancur.

Dari segi politik Melayu, senario politik hari ini boleh ditafsirkan memberi kekuatan baru kpd masyarakat Melayu kerana lebih ramai jumlah Ahli Parlimen Melayu berbanding pada masa lalu. Dan baik di pihak kerajaan mahupun dalam kelompok pembangkang pemimpin-pemimpin Melayu menguasai kedua-dua barisan. Jadi orang Melayu misti mengnyahkan fikiran tradisi yang mekanikal yang automatik merujuk kpd satu-satu parti saja bagi survivalnya. Mereka misti memanfaatkan realiti politik yang ada. Pengundi Melayu masih setia kepada pemimpin Melayu dan Islamnya. UMNO gagal mempertahankan kekuatannya kerana undi Cina dan India lari dari BN dan menyokong parti lain . Itu saja. Jangan gelabah dan menjadi bebal.

Kalau UMNO tidak mengulangi lagi kealpaannya mempertahankan hak-hak Melayu ( spt bahasa Melayu, agama Islam, keistemewaan , biasiswa etc) kerana hendak memikat hati bukan Melayu, UMNO tentu boleh terus menjadi darling pengundi Melayu. Kalau PKR dan PAS tidak malu-malu menyuarakan kepenting Melayu( spt apa yg termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ) pengundi-pengundi Melayu akan kekal dan bertambah lagi. Masyarakat Melayu misti berfikir kritis dan praktis. Jangan setia membuta tuli dan fanatik. Masyarakat Cina dan India sangat praktikal, tetapi kita jangan tiru mereka. Kita boleh menjadi kuat tanpa membuta tuli meniru taktik mereka. Kita Islam; ada etik dan etika trertentu. Islam menyuruh kita berfikiran memilih, dan jangan taksub.

Jadi optimislah. Entah siapa yang berkata: Orang yang optimis melihat cahaya di depan; mereka yang pesimis memadamkannya. Oleh itu jangan mati tawakal, dan jangan tak menggunakan ikhtiar dan akal. Mari kita rebut masa depan itu hari ini juga.

Diharap UMNO yang menjadi parti dominan dalam kerajaan persekutuan akan mewujudkan suatu visi dan budaya baru bagi masyarakat Melayu ; menjadikan mereka gigih berfikir dan berusaha , dan bukan memperbudakkannya . Melayu dan tamadunnya sepatutnya menjadi asas bagi perpaduan dan jati diri nasional. Bukan sebaliknya. Kiranya inilah juga formula bagi survival UMNO.

Wednesday 4 June 2008

Puisi Malaysia Menyusuri Pantai Ke Korea Selatan

Kelmarin berlangsung perbincangan antara wakil PENA dengan pegawai-pegawai ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad) tentang kemungkinan kerjasama bagi majlis pelancaran rasmi antologi terjemahan puisi-puisi Malaysia ke bahasa Korea dua bulan dari sekarang. Sekali gus mengadakan pembacaan puisi Melayu/Korea antara penyair Malaysia dan penyair Korea yang akan berkunjung ke mari seramai kira-kira 20 orang.

Puisi-puisi Malaysia yang diterjemahkan dipilih oleh Prof Dr Chung Young Rhim yang pernah mengikuti kuliah di Universitas Indonesia, Jakarta, dan di UKM, Bangi.Juga pernah menjadi Penulis Tamu DBP serta menterjemahkan sastera Korea ke bahasa Melayu dan sebaliknya.

Menurut pihak ITNM ini adalah antara projek awal dalam siri terjemahan karya-karya Malaysia ke bahasa antarabangsa bagi menyebarkan kreativiti dan citra persuratan Melayu ke dunia yang lebih luas dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Dalam usaha ini ITNM telah merancang strategi yang lebih berkesan untuk menorobosi pasaran luar, yakni dengan menerbitkan karya-karya terjemahan kita melalui penerbit di negara masing-masing. Mereka yang lebih tahu siapa pembaca, di mana pasarannya dan bagaimana menyebarkan buku mengikut kesesuaian persekiataran sosialnya. Ini adalah satu langkah cerdik yang selama ini masih sulit dipecahkan untuk mempromosi karya kita di negara-negara luar. Tentulah pelbagai masalah kewangan, pemilihan judul, kualiti terjemahan dan penerbitan akan dihadapi , tetapi langkah pertama yang berani dan kerja yang bersungguh-sungguh akan mematangkan pengalaman serta usaha bagi meletakkan karya kita dalam peta tamadun dunia.

PENA berasa gembira kerana diberi kepercayaan untuk menjayakan pelancaran buku tersebut, dan acara bulanan Baca Pusi Pena akan membuka rumah serta halamannya untuk pertembungan dan diplomasi budaya apabila tiba saatnya nanti.

Salut untuk ITNM kerana berkhidmat untuk penyair tanah air; niat yang baik Insyallah Tuhan akan restui.

Monday 2 June 2008

Selangor : Era Baru Kebudayaan?

Apakah Selangor akan memberi senario dan roh baru kesenian dalam waktu terdekat ini? Nampaknya begitulah kalau ditinjau dari segi nama-nama pemidato yang telah ditunjuk untuk berucap pada Malam Karyawan , 7 Jun 2008. Tentulah pemidato undangan malam itu tidak akan bercakap kosong atau retorik muluk-muluk sahaja. Saya percaya mereka akan melontarkan idea yang boleh diamalkan bagi kesuburan kehidupan kebudayaan di negara ini. Selangor mempunyai banyak kemudahan dan berpotensi besar untuk menjadi pusat penciptaan, eksperimen dan inovasi kerana bersentuhan dengan lokasi lalu lalang seniman pelbagai genre dan generasi (bukan sahaja karyawan tempatan, tetapi juga antarabangsa), dan dekat dengan institusi-institusi ilmiah, persuratan , perpustakaan dan budaya.

Untuk menjadi pusat kesenian yang hidup dan dinamik ( penulisan, persembahan, visual, dan mutimedia) negeri ini misti membuka seluas-luas penyertaan bukan sahaja untuk anak-anak Selangor ( spt masa lalu), tetapi turut merumahkan penyertaan dari seniman-seniman lain dari dunia Nusantara. Pusat Kesenian Jakarta yang bertapak di Taman Ismail Marzuki adalah contoh yang paling cemerlang bagaimana pertembungan fikiran dan kreativiti antara daerah mengangkat wajah Jakarta sebagai pelabuhan seni yang kaya dan aneka warna.

Pelbagai program bermakna boleh diwujudkan seperti : 1 Latihan dan bengkel penataran bakat; 2 Pendedahan
penari kepada tokoh koreografi bagi ciptaan persembahan; 3 Hadiah pengiktirafan pengarang/seniman muda bawah usia 40 tahun; 4 Pertukaran seniman Malaysia/Asean; 5 Galeri seni tampak yang canggih dll.

Walau apa pun sekalian gagasan haruslah dipimpin dengan iltizam , passion, dan cita-cita budaya yang tinggi bukan sekadar untuk politik pragmatik kalau Selangor ingin menempah tempat sebagai kota seni istemewa dalam peta budaya di rantau ini.

Sekalian seniman, budayawan, pencipta, pengarca, pengarang, pembikin filem dan pengkritik sedang mencari-cari ruang dan wadah yang segar itu. Apakah kali ini mereka akan menemuinya di Shah Alam?

Sunday 1 June 2008

Wahai Alam! Aku Rindu Padamu Selalu

Terbentang luas parasmu alam
Tidak terkata indahnya bulan,
Terhimpun kemas rahmat terpendam,
Tidak terbaca rahsia-Mu Tuhan.

Bulan Jun ini mengajak kita mengingati Alam Sekitar, berjihad untuk memelihara kesejahteraannya untuk hari dan bulan-bulan berikutnya demi kepatuhan kita kepada Tuhan Yang Maha Esa, dan cinta terhadap sekalian manusia. Daripada " alam" kita menangkap " alamat" dan menghimpun "ilmu" bagi memperkayakan muka bumi: bercucuk tanam, berjual beli, menyebarkan maklumat serta kebaikan, mengajak kepada perdamaian; dan melarang merokok, menanam ganja, memfitnah, rasuah dan korupsi. Semuanya ini hanya mungkin melalui keberanian yang berpaksikan kepercayaan kental kepada-Nya. Hari ini mengingatkan saya kepada lebih 35 tahun dahulu apabila saya membaca," Bahasa Alam":

Kehijauan adalah bahasa alam
yang minta diabadikan,
Tuhan maha pencipta dan manusia
kecil di dalam-Nya.

Dialah penyair yang melukiskan
mendung dan warna,
Kita manusia resah
tertegun dalam sinar-Nya.