Friday, 20 February 2009

AKHIRNYA KITA KEMBALI juga KEPADA-NYA

Allahyarham Ibrahim Hoesin pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya dengan meninggalkan seberkas karya seni lukisan yang cemerlang sehingga mengangkat imej budaya negara di dunia seni lukis antarabangsa. Selama tiga dekad sejak hujung 60-an dia menanjak terkenal dan karya-karyanya menjadi himpunan pengumpul-pengumpul lukisan yang terdiri daripada orang kenamaan dan badan koporat di Malaysia dan juga di luar negara. Sebuah karyanya diangkat daripada puisi Usman Awang berjudul "Pak Utih", dan beberapa yang lain diilhamkan oleh perihal peralihan masyarakat dan manusia Melayu memasuki zaman teknologi moden.

Selesai memberikan sedekah al-Fatihah dan doa untuk Allahyarham saya beredar ke luar, dan kebetulan Tan Sri Kamarul Ariffin berada di situ dan mempelawa saya duduk di kerusi sebelahnya. Saya sudah lama tidak bersua dengan Tan Sri. Dahulu sesekali bertemu juga kerana kebetulan dia menjadi Pengerusi, Lembaga Amanah, Balai Seni Lukis Negara, dan kemudian Pengerusi, Lembaga Pengelola , DBP; dan saya turut menjadi ahli lembaga di Balai Seni Lukis , dan juga lembaga DBP. Dalam selang seli berbicara tentang allahyarham, kami juga bercakap tentang isu bahasa (PPSMI). Saya meminta pengesahan daripadanya tentang keterlibatannya dalam gerakan kebahasaan pada tahun 60-an.

Beberapa hari sebelum ini saya ada menyebut dalam blog saya nama beliau dan Tun Daim Zainuddin antara 15 peguam Melayu yang menandatangani memorandum menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) yang masih memberi tempat kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di samping bahasa Melayu. Beliau mengesahkannya , malah menyebut nama lain ialah Allahyarham Tun Hussein On, ayah kepada Menteri Pelajaran sekarang. Adalah cukup ironis apabila YB Dato' Hishamuddin, puteranya sendiri kini menjadi sasaran kritikan penulis, cendekiawan , pelajar dan sejumlah ahli politik Melayu (UMNO , PAS, dan PKR) kerana mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris yang tak masuk akal untuk mengajar sains dan matematik kepada budak-budak sekolah.

Sejurus kemudian datang Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan, dan duduk bersama
kami. Beliau bertanyakan kabar tentang bahasa, dan apa saya buat sekarang. Saya mengenali beliau sewaktu dahulu beliau juga turut memberi ceramah pada hujung 60-an menentang bahasa Inggeris untuk dijadikan bahasa rasmi di samping bahasa kebangsaan . Kemudian sewaktu dialog pra- belanjawan (prebudget dialog) di Kementerian Kewangan , saya mengemukakan permohonan bagi pihak pengarang agar bayaran royalti dikecualikan daripada cukai pendapatan. Beliau sebagai Menteri Kewangan tanpa banyak cakap meluluskannya. Seperti biasa Tun Daim berpakaian ringkas dan biasa, dan kami juga menyebut tentang Dr Kassim Ahmad yang kabarnya kurang sehat sekarang, tetapi aktif membuat kajian tentang agama.

Dalam perjalanan pulang saya terfikir apakah pemimpin-pemimpin politik muda hari ini benar-benar insaf akan perjuangan dua tiga dekad yang lalu, terutama usaha Allahyarham Tun Razak
mendaulatkan dan memberi maruah kepada bahasa Melayu, dan juga merintis tempat dan asas bertapak yang selesa bagi menteri-menteri Melayu pada hari ini, terutama pemimpin-pemimpin UMNO.

Tidakkah aneh kalau pemimpin-pemimpin yang naik ke atas seperti Tun Mahathir (punca masalah kebahasaan sekarang), Dato' Seri Abdullah Ahmad, Dato Najib, dan Dato Hishamuddin , dan menteri-menteri kabinet Melayu, bersikap tidak peduli langsung terhadap rintihan, rayuan dan suara-suara kuat orang Melayu yang memperjuangkan agar bahasa Melayu dipelihara sebagai bahasa ilmu ? Kenapa? Apakah ertinya "Melayu" itu kepada mereka?
Apakah makna istilah "Melayu" itu pada mereka? Jadi janganlah menyalahkan pengarang, ilmuwan, cendekiawan, aktivis budaya, dan generasi pelajar menunjukkan protesnya kepada pemimpin-pemimpin dan hilang kepercayaan kepada mereka sebagai pembela MELAYU : bahasa Melayu, agama Islam, adat resam dan kebudayaan Melayu ( unsur-unsur dan amalan hidup yang mensyaratkan seseorang itu layak dipanggil Melayu). Bolehkah sesiapa yang tidak mengutamakan bahasa Melayu, malah meminggirkannya dalam kegiatan penting negara, mengaku dirinya Melayu; dan bercakap atas nama membela Melayu?

Akhirnya izinkan saya mengulangi penutup ucapan Allahyarham Dato' Asri Muda, tokoh PAS yang sangat terkenal , sewaktu menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967)
di Dewan Parlimen ( Mac, 1967) di depan Perdana Menteri Allahyarham Tunku Abd Rahman:

"Akhirnya , Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik UMNO yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak" ( KERANDA 152: BAHASA KITA; AIR MATA & MARUAH KITA. KL:PLM, 2002, HAL. 20)

Wednesday, 18 February 2009

PPSMI DITOLAK LAGI

Kelmarin 17 Febuari, GMP (Gerakan Membasmi Pengajaran, Pembelajaran Sains dan Matematik) di bawah pengetuaan Dato' Dr Hassan Ahmad, bersama Dr Shahril, Dr Abdullah Hassan, sdr Ainon dan Hasni serta sejumlah yang lain memasuki Parlimen dan mengedarkan memorandum yang menolak PPSMI kepada Ahli-Ahli Parlimen dan juga Menteri. Tidak mungkin usaha ini dilakukan oleh mereka tanpa komitmen, semangat yang tinggi , dan keyakinan yang besar terhadap apa yang mereka perjuangkan. Mereka adalah suatu kumpulan celik huruf yang berilmu dan bukan aktivis politik atau badan pergerakan sosial yang biasa. Perjuangan mereka bukan untuk faedah poket, pangkat, atau nama . Malah berhadapan dengan risiko kerana yang ditentang adalah dasar pihak kerajaan yang mempunyai pelbagai macam pengaruh serta kekuatan untuk menghancurkan mereka. Ini adalah satu kes yang sangat bersejarah dalam peristiwa pendidikan dan politik negara . Apa selanjutnya ?

Pada hari ini ( 18 Febuari). saya mendapat kabar bahawa PKPIM ( Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia) telah pula membuat aduan polis tentang pelanggaran
perlembagaan dan undang-undang (Akta Pendidikan) oleh Kementerian Pelajaran.
Lagi usaha ini mempunyai ertinya yang tersendiri mengingat bahawa yang bertindak adalah para pelajar generasi muda. Jadi sekarang hampir lengkaplah gambaran penentangan PPSMI itu iaitu dari rakyat yang tua hingga kepada yang muda: cendekiawan dan pelajar.

*****

Apakah di samping pelbagai krisis ekonomi, sosial, politik, dan pentadbiran , timbul pula satu lagi masalah , iaitu terbentuknya sekumpulan terpelajar yang tidak bersetuju dengan kerajaan. Peristiwa ini memendam risiko yang boleh menggoncang kestabilan sosial apabila ia bercantum dengan krisis-krisis yang ada . Ahli-ahli Parlimen yang bersidang dan berbincang dengan lantang , perlu berfikir secara mendalam dan bijaksana sebelum membuka mulut mengecam gerakan anti-PPSMI. Mereka tak boleh berfikir dan bercakap sambil lewa atau sesuka hati sahaja. Mereka harus meneliti hujah-hujah yang dikemukakan , dan jangan mudah terpukau dengan formula kejayaan bangsa yang klise bahawa kemajuan negara mesti melalui sains dan matematik bahasa Inggeris. Fikiran yang simplistik begini menafikan hakikat yang sebenarnya bahawa kemajuan dan ilmu sesebuah negara bukan mutlak berlandaskan sains, matematik dan bahasa Inggeris. Ada faktor-faktor lain dan suasana budaya tertentu yang melahirkan kemajuan tamadun.

Apabila berlaku kesenjangan atau jurang yang lebar pada sikap dan pemikiran antara golongan terpelajar dengan golongan pemimpin politik , maka pada adatnya, lambat laun, akan diikuti pertentangan yang tajam di dalam masyarakat. Bagi orang politik matlamatnya adalah kekuasaan; bagi cendekiawan dan pelajar matlamatnya adalah pengisian kebenaran . Kedua-dua kumpulan selalu menjuarakan kepentingan awam. Cuma apa yang diertikan dengan kepentingan awam itu tidaklah sama. Siapa yang boleh mengatakan bahawa tafsiran kepentingan awam oleh orang politik itu salah? Yang boleh mengatakan salah hanya lawan politiknya atau mereka yang berani dan apolitical.

Monday, 16 February 2009

DARI GAPENA KE POLIS BRICKFILED

Badan-badan penulis tanah air, Persatuan Sejarah Malaysia, Persatuan Melayu Perlis , GMP, badan-badan bukan kerjaan Pulau Pinang, dan ramai perwakilan lain berhimpun di Rumah Gapena, pada 15 Febuari atau 15.2 sempena Perkara 152 dlm Perlembagaan Persekutuan yg menyataka tentang bahasa Melayu sbg bahasa kebangsaan rasmi negara.



Selepas Tan Sri Aziz, seorang peguam dan bekas Pengerusi Eksekutif MAS, memberi ceramah tentang bahasa Melayu dlm perspektif undang-undang dan perlembagaan, sebahagian hadirin berangkat ke Balai Polis Brickfield, K.L. untuk membuat laporan polis tentang PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik) yg dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan , dan Akta Pendidikan 1966.



Kami berempat : Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 Gapena, Dato' Dr Zainal Abidin Borhan, Ketua Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, dan Rjab F.I. , Persatuan Melayu Perlis, dan saya masuk ke Balai Polis jam 12.15, dan selesai membuat laporan yg ditandatangani oleh Tan Sri Ismail , pada jam 1.45. Teman-teman lain, dan sekumpulan besar wartawan menunggu di pintu pagar.



Laporan itu dikendalikan oleh tiga pegawai polis wanita yang sangat bersopan, ramah tamah dan memberikan kerjasama yang baik . Jadi kami tak berasa gelisah sangat selama satu jam di ruang pengaduan itu. Orang jahat ? Tentu kami tidak berasa begitu kerana kami mengadukan tentang orang lain membuat kesalahan supaya disiasat dan diambil tindakan. Kalau kami orang jahat kami akan tunjuk perasaan di jalan raya macam samseng: lempar batu, selipar, baju dan kecuali seluar.



Apa lagi yang dapat kami lakukan untuk meluahkan perasaan tak puas hati terhadap tindakan kerajaan yang merugikan perkembangan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang moden ? Kenyataan akhbar telah dibuat sejak Jun 2002, surat dan e-mel telah dihantar kepada Perdana Menteri, malahan berjumpa langsung dengan mantan PM pada 2002, dan dengan PM sekarang. Dapatan penyelidikan ilmiah pun dihantar kepada Kementerian Pelajaran. Cuma sembah kaki menteri saja yang tidak dilakukan. Bukanlah kami ini terlalu hina sangat sampai hendak suruh buat seperti itu.



Malam ini sewaktu menonton berita TV 3, keluar kenyataan Menteri Pelajaran , mempersoalkan kenapa baru sekarang hendak buat laporan polis; apakah ada tujuan-tujuan tertentu. Barangkali yang dimaksudkannya tujuan politik untuk menjatuhkannya. Kami tak berminat tentang politik kepartian, dan persaingan antara tokoh-tokoh politik untuk merebut kekuasaan atau tempat. Gapena itu sendiri sangat akrab dengan tokoh-tokoh politik UMNO, walaupun apolitical. Politik kami kaum penulis hanyalah politik kebahasaan, dan politik persuratan dan budaya yang bersifat kebangsaan. Apabila bertindak bukanlah didorong oleh niat politik dalam parti UMNO, atau dalam parti pembangkang. Kiranya inilah yang perlu difahami.



Alangkah baiknya kalau Menteri Pelajaran mempelawa kami untuk berdialog atau bermesyuwarah secara ikhlas dari hati ke hati. Malangnya ini tidak berlaku kecuali Persidangan Meja Bulat yang akhirnya membuat rumusan tanpa dipersetujui oleh pesertanya sehingga lebih merupakan propaganda . Dan hari ini nampaknya TV 3 cuba mencondongkan pemberitaannya supaya memihak kepada pro PPSMI dengan menggunakan konon e-mel, dan wawancara yg terpilih-pilih. Siapa orang yg melakukan kebejatan ini. Penonton bukanlah terlalu bebal untuk menerima taktik media yg klise dan mentah ini.



Kami penulis memang menyedari bahawa kita tak boleh melawan kekuasaan politik yang menjadi Raja, Singa atau Naga yg memiliki kekuatan wang ringgit, kekuasaan pelaksanaan, alat propaganda dan orang-orang yg digaji khas untuk melawan siapa saja yg menentang kehendak menteri. Tetapi itulah risiko yang perlu dihadapi oleh penulis, sasterawan, cendekiawan dan siapa saja yang memilki hati nurani ( yang insaf akan sesuatu dalam politik negara sedang
merosakkan warisan , jati diri dan tamadun bangsanya).

Malangnya penentangan yang menemukan artikulasi yang tegas dan semakin jelas berlaku pada saat keadaan sosial, politik dan ekonomi agak kacau. Dalam kehidupan ada kalanya semua nasib buruk datang berhimpun pada waktu yang sama. Ini agaknya tanda daripada kepimpinan yang lemah menguruskan hal-ehwal kenegaraan atau tanda bahawa pola-pola kehidupan sosial dan politik lama sedang menempuhi satu asakan nilai-nilai yang fundamental yang tidak difahami oleh pemimpin dan sukar dibendungnya lagi.

Apakah politik pembangunan sedang digempur oleh politik ideologi seperti yang ditunjukkan oleh penentangan idealisme budaya terhadap PPSMI yg berorientasikan filsafat kebendaan dan globalisasi ? Kiranya perlu diperingatkan apabila penulis , penyair, seniman yang selalu tidak memihak, tidak suka campur urusan perebutan kekuasaan di kalangan ahli politik profesional, terpaksa terseret ke dalam kancah politik, itulah pertanda bahawa sesuatu yang sangat serius
sedang membusuk di dalam rohani bangsanya seperti keterlibatan pelajar dan budayawan kreatif dalam krisis politik Indonesia pada zaman Soeharto (1998).

Friday, 13 February 2009

PERGESERAN POLITIK -CENDEKIAWAN

@ PAGI AHAD 15 FEBUARI 2009
@RUMAH GAPENA
@JALAN DEWAN BAHASA
*PERHIMPUNAN MENENTANG PPSMI.

PERTEMUAN INI MEMBUKAKAN RUMAH GAPENA KEPADA SESIAPA SAJA TETAMUNYA YANG PRIHATIN TERHADAP BAHASA MELAYU DAN BERSIMPATI DENGAN PERJUANGAN BUDAYA OLEH SEKELOMPOK RAKYAT.

Peristiwa di atas mengingatkan saya pada apa yang berlaku 42 tahun dahulu, iaitu pada 3 Mac 1967, apabila Balai Budaya , DBP, penuh tepu dengan pejuang-pejuang nasionalis baik dari parti PAS, UMNO, persatuan guru-guru dan badan-badan bukan kerajaan, serta individu yang komited memperjuangkan bahasa kebangsaan. Kakitangan DBP yang ada turut menjayakan perhimpunan itu, terutama kerana Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan itu sendiri berpusat di DBP.

Perhimpunan luar biasa tersebut menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang sedang dibahaskan di Parlimen. Rang undang-undang ini masih memberi tempat kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi sedangkan sebahagian besar masyarakat Melayu hendakkan bahasa Melayu sahaja sebagai bahasa rasmi yang tunggal. Rang undang-undang ini bukan sahaja ditolak oleh
rakyat biasa, malahan oleh sekelompok 15 tokoh peguam Melayu seperti Kamarul Ariffin (sekarang Tan Sri), dan Daim Zainuddin (sekarang Tun). Mereka tahu akan akibat jangka panjangnya terhadap kedaulatan bahasa Melayu.

Penentangan tersebut menjadi semakin getir apabila orang Melayu menyedari bahawa UMNO di bawah pimpinan Perdana Menterinya Tunku Abdul Rahman, sangat banyak bertolak ansur dengan masyarakat Cina dan India, bukan sahaja dari segi bahasa dan pendidikan, tetapi juga dari segi hak kerakyatan. Perlu juga diingat bahawa pada tahun 1965 di bawah pimpinan PM yang sama , kerajaan Malaysia telah menyerahkan pulau Singapura yang kaya raya itu kepada kerajaan DAP yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew, yang hendak menjadikan Malaysia ini sebagai hak bersama dan sama bagi semua bangsa atau Malaysian Malaysia. Ini semua menimbulkan perasaan benci dan muak kaum cendekiawan Melayu kerana berasa pemimpin UMNO sangat mengalah dan menyerah banyak kepada tekanan bangsa lain, sehingga merugikan kepentingan perjuangan asal bangsa Melayu.

Daripada karya-karya puisi, cerpen, esei, wacana , dan antologi puisi protes (Keranda 152, Teluk Gong, dan Suara Tujuh) yang terbit pada penghujung dekad 60-an itu dapat kita baca apa yang sebenarnya terpendam dalam jiwa dan fikiran rakyat, yakni ketidak-percayaan kepada menteri-menteri dan Perdana Menterinya. Kredibilit kerajaan merosot, kepercayaan rakyat merundum serendah-rendahnya, dan orang Melayu berasa pemimpinnya telah mungkir janji dan berkhianat. Akhirnya kesombongan kaum lain menjadi-jadi, dan kemarahan orang Melayu meluap terus.
Jadi memang tidak peliklah apabila tiba Pilihan Raya Umum 1969, kerajaan kalah teruk, dan terjadi perkelahian berdarah dan berbunuh-bunuhan antara kaum Melayu dan bukan Melayu pada 13 Mei 69.

Soalnya sekarang: apakah telah berulang kembali situasi sejarah di mana masyarakat Melayu, terutama cendekiawan , penulis, pelajar dan pencinta bahasanya sudah tidak percaya lagi kepada pemimpin Melayu yang berkuasa? Apakah mereka
berasa amanah dan janji sudah dimungkiri? Apakah Menteri-menteri Melayu sudah menjadi begitu jauh (aloof) atau bersikap masa bodoh terhadap suara-suara budaya bangsanya, sehingga tak berasa sedikit pun getar yang bergelombang dalam rohani
rakyatnya.

Kalau pemimpin Melayu sekarang yang berusia sekitar 40-50 tahun tidak memahami apa yang membakar jiwa Melayu dan melukai hati orang Melayu pada tahun 1965-1969 , saya tidaklah hairan sangat kerana mereka masih berhingus pada waktu itu, dan tidak insaf akan kesusahan dan kehinaan ibu bapa dan saudara maranya yang rata-rata orang miskin. Kadang-kadang tidaklah juga adil menuduh mereka yang berjawatan besar dan tinggi sebagai, " Kacang Lupakan Kulit", " Lupa Daratan", atau "Si Kudung Dapat Cincin", kerana mereka telah menjadi mangsa sistem pendidikan yang tidak menanamkan kesedaran sejarah serta semangat patriotisme. Sistem pendidikan yang kita lalui lebih bertujuan untuk memberi maklumat, menyediakan pekerja mahir untuk pejabat serta kilang atau di ladang-ladang, dan bukan juga untuk melahirkan manusia berfikir, inovatif, berakhlak mulia dan bangga akan tradisi kebudayaannya .

Pada tahun 60-an itu sangat terasa pertentangan pendapat dan idea antara pemimpin politik kerajaan dengan kaum penulis sehingga PENA menerbitkan suatu MANIFESTO PENULIS apabila semakin terasa tekanan dan propaganda politik terhadap kebebasan bersuara . Establishment pada waktu itu tidak sensitif terhadap fikiran yang alternatif dan gagal membina jambatan antara aktivis politik Melayu dengan aktivis budaya Melayu--satu keadaan yang sama seperti yang sedang berlaku pada hari ini. Tidak ada engagement yang produktif. Hanya sinisme daripada kedua belah pihak. Hanya kesombongan politik ( political arrogance), aloofness dan intellectual snobbery di sana sini. Manusia sudah tidak autentik lagi; retoriknya lancung dan menjadi suara-suara khemah kepentingan kelompok. Satu zaman yang gelap untuk tanah air apabila manusia tidak tulen dan jujur bersuara; dan pemimpin menjadi kelas eksklusif bersama dengan ahli-ahli parti politiknya di tengah-tengah rakyat jelata yang banyak, yang apolitical.

Walau apapun kita cuba melihat cahaya yang cerah daripada pertembungan yang dilektikal ini. Mudah-mudahan ada kebaikannya; mengembalikan kita kepada asal usul dan kebenaran yang hakiki. Itulah rahmat Allah, yang selalu ada di mana-mana.





i

Wednesday, 11 February 2009

PENENTANGAN PPSMI MENINGKATKAN TEMPONYA

APAKAH BANTAHAN PPSMI SEDANG MEMBINA TEMPO PERGERAKANNYA?
Dimaklumkan bahawa Dato. Dr Hassan Ahmad ( Pengerusi, Gerakan Membasmi PPSMI) akan mengadakan sidang akhbar pada Khamis, 12 Feb, 2009. Kira-kira apa yang akan dinyatakan oleh beliau tidaklah jelas.

Saya mengenali Dato' Hassan sejak 1964 lagi sewaktu beliau menjadi Pegawai Penyelidik di DBP. Dia bukan kaki gaduh, lebih-lebih lagi bukan samseng jalanan. Kalau saya sedikit nakal, suka berkeluyuran di jalan-jalan KL (pada waktu dulu tidak seribut dan berserabut seperti zaman ini) , beliau lebih aman, berdisiplin, ilmiah, dan tekun membuat kerja. Pokoknya dia lebih stabil , berkhalwat selalu dengan buku, dan tak mungkin berdemonstrasi di lapangan, walaupun jenakanya kadang-kadang sangat jorok (istilah Jakarta). Tetapi sekarang beliau nampaknya menjadi pemberani dan seolah-olah membujur lalu melintang kopak dalam tindakan menentang PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dlm Bahasa Inggeris).

Nampaknya semakin berusia , semakin berbisa. Kenapa ? Jawabnya beliau adalah antara yang sangat berpengetahuan tentang makna bahasa dalam peradaban sesuatu bangsa, dan menjadi sangat patriotik memperjuangkannya di tengah-tengah masyarakat, meskipun beliau sepatutnya hidup aman dan diam-diam menikmati zaman pencennya. Suara dan hati nuraninya membuat dia berasa berdosa kalau membiarkan pemimpin mengkhianati bahasa negaranya.
****

Pada Sabtu 14 Feb. pula Gapena akan menjadualkan mesyuarat Jawatankuasa Penuh
bersama-sama pemimpin-pemimpin badan penulis , iaitu kerabatnya dari neger-negeri Semenanjung, Sabah dan Serawak. Isu PPSMI menjadi agenda penting, dan khabarnya akan diadakan juga solat hajat pada sebelah malamnya memohon perkenan daripada Tuhan dalam urusan perjuangannya. Pagi Ahad esoknya, 15 Feb.
akan diadakan perhimpunan dan ucapan-ucapan khas dari tokoh-tokoh tertentu tentang kedudukan Bahasa Kebangsaan dalam rangka perundangan negara.

Dalam kelompok Gapena ini juga kita menyaksikan bahawa jentera penggeraknya ialah Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein yang sudah menjengkau usia lebih 70 tahun. Beliau pernah menjadi Pensyarah saya sewaktu di Universiti Malaya pada tahun 60-62, dan juga seorang sarjana dan aktivis budaya yang sangat menjaga silaturrahim, selalu lebih pendiam untuk mendengar. Ada kalanya muncul dengan fikiran budaya yang kontroversi.

Prof Ismail dari dahulu tetap berdiri sebagai seorang patriot yang gigih memikul perjuangan bahasa dan kebudayaan nasional. Memang tak dapat dibayangkan tokoh seperti dia akan mengambil keputusan bertindak yang ditafsir agresif. Tetapi beliau dan para kerabatnya mungkin saja bertindak tegas menghadapi pihak berkuasa dalam isu PPSMI kali ini.
****
Bagaimanakah semua ini bisa mengubah sikap dan pendirian para cendekiawan dan budayawan negara kita, yang selalu mencari langkah-langkah yang lunak dalam segala persoalan sosial-budaya? Baik Dato' Hassan, mahupun Tan Sri Ismail bukanlah contoh-contoh yang terasing, kerana puluhan bijak pandai dan ilmuwan lain juga menjadi sangat prihatin dan berasa getir terhadap apa yang berlaku dalam sistem persekolahan . Ini adalah keadaan yang sangat malang, yang sepatutnya telah diselesaikan dengan akal yang bijaksana; dan bukan menjadi pertentangan antara kerajaan BN dengan golongan budayawan yang tak ada kepentingan politik kepartian.

Apakah sekarang telah berlaku mungkir janji pemimpin; dan ketidakpercayaan antara rakyat dan pemimpin yang berkuasa ? Apakah pemimpin telah berfikir sangat jauh ke depan yang sukar difahami oleh rakyat sehingga timbul pergeseran pandangan? Memang pihak berkuasa itu adalah raja atau singa, dan rakyat itu selalu dilihat sebagai jelatang atau pengacau kalau menentangnya, lebih-lebih lagi kalau berhimpun di tengah-tengah jalan bagi mengartikulasikan rayuannya sebagai langkah terakhir.
'jANGAN pANDANG bELAKANG'
jANGAN PANDANG dEPAN
aDA JIN DI kIRI kANAN

Sunday, 8 February 2009

DARIPADA' RAJA' KEPADA 'KERAJAAN'

PADA SAAT MENULIS paparan ini istana Perak menjadi pusat perbahasan di tengah-tengah dua kerajaan yang masing -masing mengaku berkuasa secara sah. Rakyat biasa yang bukan ahli dalam bidang undang-undang, malahan peguam profesional pun tdak semua yang boleh mengatakan dengan tepat siapakah antara kerajaan negeri ( PKR dan BN ) yang benar-benar absah (legitimate) atau apakah keputusan istana yang menitahkan Menteri Besar PKR mengundurkan diri sebagai betul atau salah?



Pertikaian dan kemelut politik serta undang-undang ini akan mewujudkan tindakan-tindakan perundangan dan pembicaraan di depan hakim dalam waktu terdekat . Ini akan menjadi peristiwa yang memberi pengalaman serta pengetahuan perundangan yang rumit . Ia akan memperkaya pemikiran perundangan di negara ini. Dalam waktu yang sama ia juga menandakan bahawa rakyat semakin yakin terhadap sistem kehakiman untuk menjadi tempat rujukan terakhir bagi sebarang pertelingkahan . Jadi serahkanlah kepada sistem kehakiman untuk memberi kata putus dalam pertikaian demokrasi yang telah menemui jalan buntu.




Apa yang sangat mendukacitakan ialah banyak pihak menggunakan kesempatan ini
( tokoh politik, individu, pemimpin NGO, media ) untuk menyeret istana , dalam nada menyokong atau menentang . Ada yang mengkritik istana kerana membuat keputusan yang tidak tepat berasaskan hak-hak dan kuasanya. Ada yang mempertahankan istana dan menuduh penentangnya sebagai derhaka. Tidak semua yang menyokong atau menentang istana ini jujur atau ikhlas kerana ramai yang bermotifkan politik kepartian, dan tidak kurang pula yang bermotifkan perniagaan, kedududukan, dan peluang-peluang peribadi pada masa depan dengan menampakkan dirinya sebagai penyokong atau penentang sewaktu krisis .


Walau apa pun imej istana Perak itu sekarang terlempar dalam kontroversi yang semakin dirumitkan oleh media yang tidak peduli apakah kesan dan akibatnya dalam persepsi, hati dan perasaan rakyat terhadap istana dan Raja yang berkuasa. Rasanya inilah pertama kali istana atau institusi di raja dihadapkan dengan tunjuk perasaan di jalan raya oleh rakyat Melayu sendiri; dan diambil tindakan undang-undang atas isu politik oleh seorang pemimpin bukan Melayu. Apakah tanda-tanda sosial yang dapat kita baca daripadanya? Apakah sedang berlaku perubahan besar nilai-nilai sosial budaya di kalangan penduduk sekarang? Apakah fahaman demokerasi dan hak-hak sivil sedang mengacu pada kebebasan yang boleh menggoncang institusi sosial yang ada?



Istana dan raja itu adalah tradisi politik tanah air yang boleh ditelusuri ratusan tahun ke belakang dalam sejarah negara kita. Istana dan Sultan itu menjadi lambang kedaulatan kekuasaan politik Melayu pada zaman lampau; dan pada zaman ini menjadi pemelihara tradisi keMelayuan, adat istiadat, budi bahasa dan sopan santun serta keharmonian bersama bagi seluruh rakyat Melayu, Cina , India dan lain-lainnya . Dari istilah "raja" itulah terbitnya istilah "kerajaan" yang dalam sistem demokrasi berparlimen, dan raja berperlembagaan, istana, Agong dan Sultan itu berada di atas politik kepartian. Raja dan istananya menjadi lambang keadilan bagi seluruh rakyat, dan lambang kedaulatan negara demokratik yang merdeka .



Justeru itu peranannya dalam menstabilkan kehidupan rakyat jelata melalui tindakannya yang adil dan berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang sangatlah penting. Sultan di takhta tidak tertakluk pada pilihanraya lima tahun sekali seperti Perdana Menteri dan Menteri-menterinya. Sultan berada di tempat yang istemewa bukan sahaja dalam erti yang rasmi, tetapi sangat dekat dengan hati masyarakat Melayu sehingga apa jua penentangan terhadapnya ( lebih-lebih lagi daripada rakyat bukan Melayu) berkemungkinan mencetuskan konflik antara kumpulan atau kaum.


Pergolakan politik di Perak sekarang memberi banyak iktibar kepada kita, terutama masyarakat Melayu sendiri, supaya jangan memperalatkan nama istana; dan istana pula harus berwaspada memelihara martabatnya sebagai sumber cahaya keadilan bagi semua rakyat jelata. Krisis di Perak itu juga diharap akan lebih membijakjsanakan agar pada masa depan tokoh-tokoh politik tidak memandang mudah terhadap kekuasaan dan pengaruh istana; dan istana pula tidak lalai akan kemungkinan kedaulatannya disanggah oleh rakyat.



Mari kita semua kembali kepada akal sihat , dan tidak lebih memudaratkan keadaan dengan tindakan serta kenyataan-kenyataan yang memancing publisiti di media. Media juga sepatutnya jangan memancing pembaca dan penonton dengan sengaja mencari-cari atau mengada-adakan juru ulas, penganalisis dan sebagainya. Masyarakat sekarang sudah ramai yang berfikiran canggih dan mampu membezakan propaganda daripada laporan yang objektif; pandangan yang berat sebelah dengan pandangan yang saksama; dan tokoh yang autentik dengan tokoh yang bergelar.

Keghairahan media untuk memihak sering menjadikan pemberitaannya bersifat overkill dan hasilnya counter-productive . Tidak hairanlah kalau ramai orang berasa bosan dan muak sehingga lebih percaya kepada kredibiliti blog daripada media perdana. Jadi serahkanlah kepada mahkamah , dan yakinlah Allah akan memberi kemenangan kepada yang benar( cepat atau lambat).




Wednesday, 4 February 2009

PUISI PAGI

PUISI PAGI
( SESUDAH PECAH FAJAR , SEBELUM PAGI MENINGGI)




Sesudah pecah fajar
pada hujung dinihari
azan dan kokok ayam menyepi
pohon mempelam berbalam-balam
burung-burung terjun ke bumi
sihir pagi beransur hadir:
jernih dan dingin
aman dan hening.

Kenapa aku termenung
diselubungi sepi
tanpa hasrat dan mimpi
apakah sudah Kau lengkapi hatiku
tenteram menunggu
tanpa keluh dan keinginan baru?


Baha Zain
Taman Permai Jaya
4 Feb 2009