Sunday 7 November 2010

TRANSFORMASI

TRANSFORMASI KINI MENJADI ISTILAH YANG BESAR MENYANGKUT MASA DEPAN NEGARA.
APA TAKRIFAN DAN MAKSUDNYA DALAM KONTEKS POLITIK DAN EKONOMI SEMASA ?
APA IMPLIKASINYA TERHADAP KEBUDAYAAN DAN SOSIAL PENDUDUK PELBAGAI BANGSA?
KITA PELU MEMAHAMINYA SEGERA.

TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA ?

Tertulis pada dinding sebelah pintu gerbang Jel Pudu
Seusai tahalil, zohor dan solat hajat di rumah anak saudara pada tengah hari Sabtu kelmarin, kami dijamu makan tengah hari. Saya sering memulai makan dengan buah-buahan terlebih dahulu. Selesai makan nasi baru menjamah sedikit kuih pembasuh mulut. Kalau makan buah-buahan dahulu perut sudah sedikit berisi dan taklah makan nasi dan daging banyak sangat. Khabarnya ini cara yang lebih baik bagi kesihatan. Ia tidak mendera sangat sistem penghadaman, tetapi seolah memujuknya untuk beransur-ansur menyerap zat makanan. Tak berlaku transformasi mengejut pada sel-sel dalaman. Ini bukan pendapat profesional, tetapi kalau betul baguslah.

Sesudah makan kami bersembang. Antara topik yang berlegar ialah rancangan besar kerajaan untuk mentransformasi ekonomi negara. Pelbagai pendapat dikemukakan dan didengar. Setelah setengah jam saya teruja untuk bertanya lawan bicara: apa maknanya transformasi itu; dan apa aspek-aspek tertentu yang akan ditransformasi; dan apa hasil yang boleh diukur yang dirancangkan? Jawabnya , tidak ada sesiapa yang boleh menjawab dengan jelas.

Tak tahulah apakah Adun, dan Ahli Parlimen di Lenggong atau di Teluk Menegun akan dapat menghuraikannya kepada ahli jemaah selepas solat Magrib di surau, atau sewaktu santai-santai minum kopi di warung-warung tepi jalan.

Wednesday 20 October 2010

Desakota: MALAYSIA: KUASA EKONOMI ASIA 2020

Desakota: MALAYSIA: KUASA EKONOMI ASIA 2020: "PINTU BESAR JEL PUDU KEKAL DALAM ARUS TRANSFORMASI : PERINGATAN TENTANG HADIRNYA JENAYAH DAN KEBOBROKAN DALAM KEMAKMURAN Lama sangat ..."

Saturday 4 September 2010

MEREBUT ERTI RAMADHAN DAN IDILFITRI

Masih saja kampung yang ditinggalkan memaut kerinduan

Hari-hari Ramadhan menggamit dan akhirnya mendakap keceriaannya pada Hari Raya Idilfitri. Menjelang gelombang nada takbir teriring doa restu dan ucapan 'Semoga sdr sekalian selamat beribadat dan menemui keredhaan Allah'.

Kiranya inilah ucapan yang tulus daripada saya kerana Tuhan telah menyeru kita berpuasa agar kita menjadi mukmin yang bertakwa.Apakah makna besar daripada istilah takwa itu? Tidakkah ia mengajak kita membuat kebaikan dan mencegah keburukan dalam hubungan kita secara vertikal dengan Tuhan, dan secara horizontal dengan makhluk lain.

Jalan ke arah itu tak lain tak bukan melalui ketauhidan atau kepercayaan kita terhadap kewujudan Tuhan yang Maha Esa; dan dengan bersenjatakan ketauhidan itu kita menuju ke arah amalan ibadat solat, puasa ,zakat, dan haji. Tentulah ini sahaja tidak mencukupi kalau di sekeliling kita masih meliar ( judi, arak, jenayah, penipuan, dadah, pembunuhan bayi, kezaliman, rasuah, penindasan, ketidak adilan, riba, fitnah, penyeludupan barang dan manusia etc).Tidakkah sekarang masyarakat kita sedang dilanda pelbagai keburukan dan krisis sosial?

Krisis sosial itu berlaku kerana adanya krisis moral. Krisis moral itu berlaku
kerana adanya krisis iman. Maka itu apabila iman kita mengalami krisis, akan menjelmalah krisis moral yang membawa kepada krisis sosial.Apakah penawar dan ubatnya?

Ubatnya ialah dengan memperbetulkan atau memperkuatkan iman individu dan masyarakat.
Maka itulah diseru agar individu dan pemimpin berjihad membangunkan kehidupan yang berlandaskan nilai-nilai dan prinsip Islam melalui kempen, dakwah, tarbiah dan dasar-dasar institusi serta negara.Perlu dilakukan banyak pemikiran yang positif, kritikan yang membina dan imaginasi kreatif bagi membangunkan suatu bangsa yang beragama dan berakhlak.

Amalan yang selama ini hanya memberi kepentingan terhadap pembangunan kebendaan dan teknologi tanpa memberi tekanan yang sama hebat terhadap dimensi budaya, moral dan rohaniah misti diberhentikan segera.Inilah formula bagi mebangunkan suatu bangsa yang maju dan adil -- bukan untuk rakyat Islam sahaja-- , tetapi juga untuk penduduk yang bukan Islam.Islam tidak berlaku zalim kepada manusia beragama lain, dan malah terhadap alam semula jadi pun.

Bukanlah sesuatu yang janggal dan aneh bagi Malaysia untuk bergerak ke arah negara Islam yang lebih bermakna kerana dalam Perlembagaan Malaysia, Islam adalah agama Persekutuan; dan raja-raja Melayu berperanan sebagai memelihara adat istiadat Melayu dan agama Islam.Selain daripada itu telah dibagunkan undang-undang syariah di sisi undang-undang sivil.Telah juga diwujudkan perbankan Islam di neger-negeri. Namun semua ini hanya sebahagian kecil saja daripada keseluruhan kehidupan kebudayaan, ekonomi, pentadbiran, pendidikan, media dan perundangan.

Maka dalam semangat Ramadhan serta Hari Raya Idilfitri ini, marilah kita ( menteri, peguam, doktor, seniman, budayawan, guru, jerurawat, petani, nelayan, pelajar dan tentera serta polis) berjihad membangunkan tasawur (weltanschaung) Islam sedaya yang mampu , paling-paling dengan niat yang baik kerana Allah-- demi suatu zaman gemilang negara, demi ketakwaan kita dan keredhaan Tuhan . Semoga dengan niat serta amalan demikian kita akan memperoleh pahala serta keredhaan-Nya.

"SELAMAT BERHARI RAYA;SELAMAT BERJIHAD SERAYA KITA MEMOHON DAN MEMBERI MAAF "
AMIN!!!

Daripada saya Baha Zain

Friday 6 August 2010

SELAMAT BERIBADAT DAN BERMUHASABAH


kalau angsa patuk si anak kecil yang nakal ini, bukanlah salah angsa kerana dia pergi buka dirnya macam itu di tepi pagar yang patut melindungi keselamatannya

Memang agak lama tak melontarkan apa-apa pandangan. Sebelum Ramadhan menjelang saya ingin mengucapkan selamat menyempurnakan amal ibadat yang wajib, memperbanyak doa serta amalan baik; dan merenung jauh ke dalam diri dan juga terhadap masyarakat . Biasanya bulan yang merubah kebiasaan makan minum ini membawa rahmat yang hebat: menggoncang jasad , rohani dan pemikiran kita.

Orang berlapar buat beberapa jam itu rupa-rupanya menggerakkan sistem semula jadi dalam tubuh kita, yakni berlaku intoksikasi, iaitu pengeyahan toksik dan lebihan-lebihan hampas, lemak dan cecair yang tak berguna bagi organ-organ badan ( sebab itu orang menjadi kurus atau lebih kurus spt saya), tetapi juga dalam waktu yang sama mengheningkan perasaan serta daya berfikir . Inilah waktu untuk melakukan analisis diri, introspeksi,dan merenung ke luar (masyarakat, jiran tetangga, bangsa,dan umat Islam sekaliannya). Seraya mengumpul sebanyak pahala untuk diri sendiri , bagaimanakah dapat kita memikirkan nasib masyarakat kita dan saudara-saudara kita yang jauh di mana-mana.

Tentulah keutamaan kita dahulu adalah masalah rumah tangga kita, masyarakat dan negara;dan kalau termampu dengan kemudahan serta tanggungjawab amanah untuk menaburkan rahmat daripada Allah ke seluruh alam semesta , maka itu adalah yang sebaiknya.

Pada blog yang lalu saya melontarkan beberapa pandangan tentang kedudukan masyarakat Melayu. Ini bukan berniat menafikan kehadiran jiran tetangga bukan Melayu, hak-hak dan peluang kehidupan mereka. Saya lebih bercakap dalam konteks kebangsaan , dalam hubungan keadilan sosial, dan tradisi budaya. Lebih-lebih lagi apabila ramai yang seperti kuda andung yang berjalan ke depan tak nampak kiri kanan kerana telah dikenakan alat pendinding pada kiri kanan kepala kuda itu. Orang sudah tak menyebut assalamualaikum lagi, tetapi terus saja membuka kata " salam 1 Malaysia" yang ditujukan kepada Islam, kafir, Melayu, Cina, India, serani dan juga kepada pendatang asing yang ada sekitar 3 atau 4 juta dalam satu Malaysia ini.

Kemudian ( barangkali dalam semangat 1 Malaysia) iklan Ron 95 Petronas di TV pun bercakap dalam macam-macam bahasa; TV Bernama pun ada 4 bahasa, kalau siaran Astro tergendala pun akan bercakap dalam 4 bahasa, kalau hendak longgokkan pelakon atau penari atau penyanyi atas pentas pun mesti memancarkan empat tradisi dan bahasa; sesudah itu dibungkuslah 1 Malaysia ini (seperti membungkus rojak dalam plastik)dengan slogan "Malaysia Truly Asia". Bukankah lebih menasabah dari segi sejarah, akar tradisi setempat,kedudukan geografi, dan idealisme perjuangan kemerdekaan sejak awal 20-an, sepatutnya disebut dengan lebih masuk akal "Malaysia truly Southeast Asia".

Kita jangan menyalahkan orang Cina atau India kalau senario buruk dan landskap budaya cemar ini mengganggu pandangan dan hati nurani kita. Mereka tidak membuat keputusan merompak milik dan harta benda kita. Mereka telah bekerja keras sesuai dengan nilai-nilai mereka (walaupun nilai-nilai ini spt perjudian, arak dan pelacuran yang membawa banyak keuntungan sangatlah bertentangan dengan nilai-nilai Islam); dan berani berhadapan dengan risiko dalam perjuangannya. Pertanyaannya: di mana duduk dan tegaknya pendirian, keputusan dan tindakan pemimpin Melayu Islam? Inilah pertanyaannya; pertanyaan yang menampar muka kita sendiri kerana ketidakupayaan kita sebagai rakyat untuk berbuat sesuatu.

Saya sedang membaca Asian Godfathers: Money and Power in Hong Kong and Southeast Asia
(NY:Atlantic Monthly Press,2007) oleh Joe Studwell. Buku in mengemukakan sejumlah nama bapak jutawan di Asia Tenggara (Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina) yang sebahagian besarnya keuturunan Cina dan India ( seperti Vincent Tan, Khoo Kay Peng, Ananda Krishnan, Robert Kouk, Francis Yeoh, etc). Antara lain katanya:

"...what are the true reasons for the godfathers' rise and for their apparently unshakable grip on power.... This book argues that these individuals are above all the economic products of the political environment in which they operate and that it is this same political environment that is preventing the region from achieving sustained economic progress. In worst-case scenario, south-east Asia may be headed towards Latin America-style stagnation and inequality.

Betulkah sistem politik dan pemimpin politik kita (terutama Melayu) sejak bertahun-tahun yang lalu adalah penyebab kepada kekuatan ekonomi individu bukan Melayu yang berlebih-lebihan; dan ketimpangan atau ketidaksaksamaan
ekonomi antara kaum? Bahaskanlah dengan waras dan adil; dan fikirkanlah supaya pemimpin yang dilihat sebagai pagar, tidak mendedahkan kita kepada kebinasaan sehingga membawa padah seperti nasib malang si anak kecil itu.

Sunday 6 June 2010

SURIA-KLCC BERAPA KERAT PENIAGA MELAYU?

ISTANA BERSEJARAH KAMPUNG GELAM DI SINGAPURA:
Hanya Kesaksian yang Tinggal tentang Kedaulatan Melayu yang Punah
Bulan Mei lalu kebetulan ulangtahun hari jadi saya. Saya tidak biasa meraikan hari jadi sendiri. Entah bagaimana ada yang teringat tarikh hari jadi saya lalu dia memujuk saya untuk berkunjung ke kedai buku Kinokuniya di KLCC. Pilih saja judul yang saya ingin baca. Dia akan belikan.Saya anggap ini hadiah yang sangat berharga kerana bukan sahaja saya ingin membaca buku-buku baru, tetapi berada di depan rak-rak buku sahaja sudah menyegarkan imaginasi.

Saya hanya memilih sebuah buku sahaja. Tidak mahal harganya. Buku tentang autobiografi. Saya beritahu Dia, memadailah untuk melekakan saya seminggu. Selepas itu dia menarik saya minum teh ke ruang jamuan Harrods di tingkat satu. Cukup selesa, rapi dan mewah. Tempat jamuan elita dan profesional yang bersedia membayar segelas minuman jus buah 20 ringgit dengan layanan yang sopan santun dan beradab. Ini tentu francais Harrods di London yang dulu milik jutawan Mesir, bapak kepada teman lelaki Princess Diana yang bersama-sama terbunuh dalam kemalangan kereta di Perancis. Harrods sekarang khabarnya sudah dibeli oleh jutawan dari Qatar. Harrods kecil di KLCC dipegang oleh Tradewinds Premium Goods Sdn Bhd.

Pada 1 Jun saya balik ke Harrods menanyakan kalau ada tertinggal cermin mata bacaan saya. Hampa . Tak ada. Saya bergegas pula ke Kinokuniya di tingkat tiga. Tutup pula kerana mereka melakukan stock checking sehari. Saya sangat sayang cermin mata itu kerana bingkainya bulat spt cermin mata zaman 70-han, dan berwarna coklat. Ah! sudahlah . Tak ada rezeki, kata hati saya. Saya beredar dengan perasaan yang sedikit gelisah dan hampa. Saya bergerak ke tempat makan kerana baru terasa perut kosong pada tengah hari itu.

Di ruang makan di tingkat 4 yang menghala ke Jalan Ampang orang penuh sesak. Kebetulan ada satu meja yang sedang diduduki oleh seorang pemuda yang sedang makan nasi ulam. Saya minta izin menggunakan kerusi kosong di situ kalau tak ada orang lain . Beliau dengan senyum mempersilakan. Saya bertanya kepadanya makanannya daripada warung mana. Dia menunjukkan warung makanan Kelantan. Dia menemankan saya pula ke warung itu. Pesanlah apa -apa yang saya sukai. Saya minta nasi dagang. Bila saya hendak bayar dia memberitahu saya tak perlu bayar kerana itu warungnya. Dia belanja. Saya tersentak. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih, dan kebetulan nasi dagangnya memang sedap. Saya lebih gembira kerana ada juga orang Melayu yang mampu berniaga di tempat mewah dan mahal di Suria KLCC
itu.

Kalaulah lantai perniagaan di Suria KLCC itu mampu disewa oleh banyak peniaga bumiputera (barangkali sebanyak 40%) , tentulah sangat bermakna bagi kita kerana menara berkembar yang dianggap ikon kemajuan itu, juga menunjukkan kemajuan bumiputera dalam persaingan kewangan dan perdagangan modern negara. Saya masih menyimpan statistik kecil yang lama tentang kedudukan Bumiputera vis-a-vis penduduk asing sebagai gambaran untuk kita menduga bagaimana pula statusnya pada hari ini:

1 PEMILIKAN EKUITI (1998):

i) Bumiputera....................19.4 %
ii) Bukan Bumi..................41.1 %
iii) Rakyat Asing...............31.8 %

Jadi lebih daripada 80% ekuiti dimiliki oleh bukan Bumiputera.

2. PROFESIONAL BERDAFTAR (1999):

i) Akauntan..............Bumi 15.9 % Bukan Bumi (84.1%)
ii) Arkitek.....................................28.9 (71.1)
iii) Doktor..................................... 36.7(63.3)
iv) Doktor Gigi............................. 34.8( 65.2)
v)Doktor Vetriner........................ 42.6( 57.4)
vi) Jurutera................................... 26.5( 73.5)
vii) Juru Ukur................................ 47.8(52.2)
viii) Peguam...................................31.3(68.7)
__________________________
[28.9 %] [ 71.1 %]


KALAU ANGKA-ANGKA INI YANG LEBIH 10 TAHUN DAHULU MASIH TAK BANYAK BERUBAH APA GUNA KITA BERCAKAP TENTANG 1 MALAYSIA.BARANGKALI SUDAH BANYAK PERUBAHAN SEKARANG. POKOKNYA PEMIMPIN-PEMIMPIN MELAYU DALAM KERAJAAN , NGO DAN UMNO HENDAKLAH MELAKUKAN PENYELIDIKAN YANG SAINTIFIK DAN BERDASARKAN ANGKA-ANGKA STATISTIK BARU MELAKUKAN TINDAKAN YANG ADIL BUAT SELURUH RAKYAT PELBAGAI KAUM. BAYANGKAN PADA BEBERAPA WAKTU YANG LALU PEMIMPIN MELAYU BERCAKAP TENTANG SISTEM MERIT . BETAPA BEBALNYA CARA BERFIKIR BAGI MENYELESAIKAN KEADILAN EKONOMI DAN SOSIAL . Mari kita cari statisk terkini.

Tuesday 25 May 2010

PERJUANGAN BAHASA KEBANGSAAN BELUM BERAKHIR : Kesihan Orang Melayu

Apakah rakyat, terutama orang Melayu, sudah cukup selesa apabila ditegaskan lagi bahawa mulai tahun 2012, iaitu kira-kira setahun setengah daripada sekarang, akan dilaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Perhatikan apabila ada kenyataan umum tentang perkara ini, pihak kerajaan akan menyebut sekali tentang meningkatkan bahasa Inggeris. Sebabnya tak lain dan tak bukan masih ramai yang menentang penggunaan Bahasa Melayu dalam dua mata pelajaran ini, walaupun sejak tahun 1970 hingga 2002 (30 tahun lebih) bahasa Melayu itulah yang digunakan di sekolah-sekolah dan kemudian melahirkan jutaan graduan.

Ini semua menunjukkan betapa hebatnya kesan penyingkiran dan penentangan terhadap Bahasa Melayu yang tersemai apabila mantan PM, Mahathir Muhammad, mencabut martabat bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik dalam sistem pendidikan kebangsaan. Kaum dan kelompok yang anti bahasa orang Melayu, yang gila dan taksub akan mitos bahawa bahasa Inggeris adalah kunci bagi segala kemodenan, kemajuan dan kesejahteraan akal budi manusia, berkeras dan tak habis-habis mengkritik apabila Menteri Pendidikan baru , Muhyiddin Yassin,
mengumumkan pembatalan PPSMI.

Malangnya masih ramai pegawai birokrat dan pemimpin politik Melayu masih menunjukkan ketakunannya terhadap pengkritik-pengkritik bahasa Melayu ini sehingga apabila hendak menyebut tentang memartabatkan bahasa Melayu dalam sains dan matematik , tak habis-habis menyebut juga untuk meningkatkan bahasa Inggeris. Lihat betapa nipis dan dangkalnya perasaan serta keyakinan diri mereka sebagai penegak kedaulatan bahasa Melayu. Apa yang telah terjadi kepada semangat kebangsaan dan perjuangan masyarakat yang betrnama Melayu?

Lain pula ceritanya dengan pemimpin politik Cina. Dalam akhbar STAR, 7 Mei, 2010, terpampang judul berita yang bercetak tebal : Chua: Give more to Chinese Schools: Govt should allocate more funds under 10MP, says MCA president.

Chua Soi Lek meminta kerajaan memberikan lebih banyak dana pembangunan bagi sekolah-sekolah Cina pada masa depan. Kalau dalam Rancangan Malaysia Kesembilan kerajaan memberikan RM 300 juta , Chua menggesa supaya kerajaan memberi jauh lebih tinggi daripada 300 juta ringgit dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh. Kerajaan juga patut menyediakan tapak sekolah bagi sekolah-sekolah Cina di mana ramai penduduk Cina. Kerajaan juga harus memperuntukkan kewangan (maintenance's fees) bagi memelihara semua sekolah Cina. Pada masa sekarang ada sejumlah sekolah yang dibantu penuh, tetapi katanya masih ada lebih 800 yang tidak mendapat bantuan penuh.

Perlukah kita menyalahkan Presiden MCA ini kalau memperjuangkan nasib bahasa dan pendidikan kaumnya? Dia telah dipilih oleh kaum Cina dalam MCA untuk menjadi pemimpin kaum mereka, jadi memang menjadi tugas dan amanah baginya untuk memperjuangkan nasib kaum Cina , bahasa serta petndidikan Cina. Kita tak boleth menyalahkan dia kalau dia tidak peduli atau tidak memperjuangkan bahasa kebangsaan atau sekolah kebangsaan walaupun setiap hari pemimpin BN memberi salam 1 Malaysia. Tidakkah dalam semangat 1 Malaysia itu dalam ertinya yang petnuh hanya ada satu sistem persekolahan sahaja, iaitu sistem kebangsaan. Tetapi Chua betrcakap dalam batas undang-undang dan perlembagaan
negara yang tidak melarang seruan-seruan yang seperti itu. Lebih-lebih lagi Perdana Menteri
selalu menyebut kita misti berubah daripada "tolerance" kepada "acceptance". Apakah orang Melayu, terutama petmimpin-petmimpin politik Melayu, misti terima (accept) semua yang lantang disuarakan oleh petmimpin bukan Melayu .

Masalah kita pada hari ini bukan suara-suara pemimpin bukan Melayu yang berasa bertanggung jawab kepada komunitinya, tetapi adalah pendirian, suara dan kejelasan
perjuangan pemimpin politik serta NGO Melayu. Apakah kita sudah tidak berani lagi secara terbuka menegaskan perkara-perkara pokok Perlembagaan Persekutuan ( bahasa, agama, raja-raja, dan hak-hak ketistemewaan ) sebagai landasan pembentukan bangsa dan negara? Kesihan orang Melayu. Terasa sepetrti saya meludah muka sendiri

Sunday 25 April 2010

KENAPA POLITIK BUDAYA ?




















Brosur " Malam Puisi ASEAN/KOREA" Jun 2009 di pulau Peranginan Jeju; dihadiri 10 penyair negara ASEAN dan beberapa penyair Korea, sempena Persidangan Kemuncak ASEAN dan Republik Korea.








M
ari kita beralih perhatian daripada politik kekuasaan Hulu Selangor kepada politik kebudayaan. Dalam satu aspek, politik di Hulu Selangor membawa rahmat kepada rakyat setempat yang mendapat banyak rezeki durian runtuh atas nama "Rakyat " sewaktu pilihan raya kecil.Nampaknya setiap kali ada pilihan raya sedemikian rezeki datang mencurah-curah ke dapur, periuk nasi dan saku rakyat jelata. Alhamdulillah, asal rakyat jangan terus mendoakan ada lagi wakil rakyat yang mati di kawasan lain supaya mengalir duit ringgit dan peluang seperti hujan tengkujuh.


Perebutan politik yang diikuti dengan kempen, propaganda, fitnah memfitnah,
dan suap menyuap, kerahan petugas media, dan ribuan orang lain bukan mematangkan kehidupan , tetapi mempertajam persengkitaan dan menambah dosa. Fikiran rakyat akan terus menjuruskan kepada perlawanan, permusuhan,
sakit hati, perseteruan dan meninggalkan parut yang sukar dipulihkan. Tetapi apa lagi pilihan lain apabila terperusuk dalam sistem demokrasi populer yang ditiru dari Inggeris dan Barat itu?

Marilah kita beralih fikiran sebentar bercakap tentang kebudayaan, kesusasteraan, bahasa , keindahan, dan kemanusiaan. Bagaimana dapat kita bangunkan politik budaya (bukan budaya politik) yang mengajak rakyat memberi perhatian terhadap imaginasi, kreativiti, keindahan dan kehidupan yang manusiawi sifatnya. Politik budaya sesebuah negara perlu membangunkan gagasan, konsep, sistem, dasar, dan institusi bagi meraikan rakyat tua muda memperkembangkan bakat dan penciptaan tentang persuratan, pertukangan tangan, lukisan, pembikinan filem, teater, arca, senifoto, landskap taman, hiasan dalaman, senibina, fesyen pakaian, seni masakan, gubahan bunga dan beratus-ratus lagi rekaan dan penciptaan.

Tidakkah semua ini mengalih perasaan dan hati nurani serta akal budi kita daripada kegiatan menjatuhkan orang dengan kegiatan membangunkan perasaan halus, indah dan kasih sayang? Lebih daripada itu inilah yang hendak kita tunjukkan kepada dunia agar kesenian kita menjadi sebahagian daripada warisan antarabangsa. Malaysia menyumbang kepada tamadun dunia.

Satu bidang kegiatan ke arah ini ialah menterjemahkan persuratan penting berbahasa Melayu ke dunia bahasa-bahasa antarabangsa. Berikut dipetik
pandangan Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Tn. Haji Mohd Khair Ngadiron dalam sebuah pengantar buku yang membawa terjemahan karya tempatan bagi bacaan luar negara:

" A half- century of independence has witnessed a rapid educational, economic and industrial development, followed by great social change. This advancement of development and rapid change in the nation has resulted in disorientation in values of traditional culture, while at the same time new values and ideas increasingly surge in through the process of globalization. All of these cause an impact and pose a challenge to cultural and intellectual life. The backwardness of life in colonial times, followed by the time of independence which brought about important changes, are reflected in a large part of Malay literary works. The translation of novels, short stories, poetry, plays and essays published in this Malaysia Literature Series offers an insight into the awareness of a society in turmoil, struggling to prepare itself to face new international changes. Through the translation of these works, the Malaysian National Institute of Translation hopes the reader will recognize the beauty and the universal human values contained therein that must always be an important touchstone in judging any artistic works..."

[ Lihat perbicaraan yang berkaitan pada blog Kebuncipta]

Friday 16 April 2010

Thursday 15 April 2010

ORANG POLITIK PUN BUKAN SENANG

RAKYAT PERLU BEBAS DARIPADA WANG POLITIK
BERSIH DAN CERGAS MENJALANI KREATIVITI HIDUPNYA




Petang tadi tak sangka bertemu dengan orang politik. Ahli Parlimen yang punya Ph.D. Duduk semeja dan segera kami menjadi ramah tamah seolah-olah sudah kenal lama. Barangkali dia telah mengenali saya dari jauh dan tahu saya datang dari dunia minat yang sangat berbeza dengan dunia kekuasaan. Jarang -jarang saya menemui orang politik yang bercakap terus terang tentang persepsi golongan terpelajar atau profesional , malahan rakyat biasa, tentang orang seperti dia.

Dia tidak menyembunyikan pandangan negatif orang terhadap pemimpin rakyat seperti dia. Susah hidup kerana ramai yang sangat mudah mengkritik; ada sahaja yang tak kena. Politik sekarang sangat rumit, katanya. Saya memang selalu tidak memandang sangat hormat terhadap sesiapa sahaja yang berebut kekuasaan.Kali ini saya menaruh hormat dan simpati kerana YB nampak insaf akan persekitaran semasa yang kompleks, sangat banyak berubah, dan sulit diagak. Barangkali kerana dia bekas ahli akademik maka sikapnya lebih terbuka dan berani berterus terang. Sambil berterus terang secara tak langsung dia juga menyelar orang yang hiperkritis.

Saya seperti biasa tidak cepat memberi pandangan suka tidak suka, kecuali apabila sudah kenal lama lawan bicara. Saya lebih suka mendengar masalah orang, daripada menceritakan masalah pekerjaan sendiri. Kerana perkenalan singkat itu cepat mesra, saya sebut juga bahawa masyarakat sudah kurang percaya kepada pemimpin politik sekarang. Dahulu pemimpin adalah orang perjuangan yang memang sejak mula memasuki gelanggang bertujuan membela kemiskinan. Saya juga memberitahu YB masyarakat kita sudah jauh terlajak ke depan. Kalau mahu memperbetulkannya yang mungkin adalah terhadap generasi akan datang. Itupun mesti dimulai di peringkat sekolah secara struktural melalui perubahan besar dengan matlamat falsafah untuk membina akal budi manusia, bukan akalnya sahaja. Zaman ini sangat ramai orang yang berakal, cerdik, berpendidikan tinggi, berteknologi canggih, dan mempunyai kekuasaan besar. Tetapi itulah ; akal sahaja yang lebih.


Dia bersetuju. Barangkali dia masih memiliki banyak saki baki ilmu dari kampus, dan belum terlajak jauh berlawan menjatuhkan lawan kerana baru menjadi wakil rakyat. Kalau sudah lama berpengalaman luka, terluka dan melukai barangkali
dia tidak akan menjadi sensitif lagi --seperti sekarang. Dia masih manusia, belum menjadi political animal yang tebal muka, dan tebal telinga.

Sebenarnya tidak semua pemimpin politik itu jahat, mata duitan, rasuah, tidak telus dan penuh kepura-puraan. Masih ada yang bersih. Masih ramai yang kelabu alias separuh hitam. Tetapi kalau semua orang politik pula menyangka bahawa rakyat hanya mengharapkan ganjaran, peluang dan faedah dengan merapati mereka, tak betul juga.

Saya harap YB yang ini kekal menaruh kepercayaan bahawa masih ada orang yang diketemuinya bersikap jujur walaupun berfikiran berbeza.

Saya baru selesai menulis cerpen yang memberi pandangan simpati dan positif
terhadap watak utama yang bergelar YB. Dalam cerpen ini yang menjadi biang keladinya adalah watak-watak tambahan di sekelilingnya. Barangkali untuk menebus dosa saya yang selalu curiga terhadap YB . Jadi saya lepaskan sahaja tempeleng tangan kanan itu ke muka orang-orang kepercayaan di sekelilingnya yang barangkali lebih parah sikapnya berbanding rakyat biasa.

Thursday 25 March 2010

APA YANG TELAH TERJADI PADA POLITIK KITA?

Dunia politik kita ( seperti juga di Thailand) penuh drama. Setiap hari ada berita yang baru. Parlimen pun ada kalanya macam sarkis; selalu menarik pandangan penonton: gajah boleh berdiri atas dua kaki, monyet menunggang kuda mengelilingi gelanggang, harimau melompat menembusi gelung api, badut naik basikal satu roda dan macam-macam pertunjukan luar biasa.

Pemimpin baik dia Ahli Parlimen atau tidak , harus mempunyai moral yang baik supaya rakyat boleh hormat dan percaya bahawa mereka boleh diharap untuk memimpin rakyat bukan sahaja
dalam bidang ekonomi, pentadbiran, dan sosial, tetapi juga kebijaksanaan akal budi .
Parlimen itu adalah tempat yang tertinggi dan mulia untuk berdialog dan berbahas tentang isu-isu dasar kenegaraan demi kepentingan rakyat terbanyak. Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri bukan balai raya, kelab golf, restoran atau pasar borong. Kalau kata-kata dan ungkapan tepi longkang boleh terdengar dalam Parlimen, apa bezanya Dewan Rakyat dengan kedai Kopitiam. Nampaknya di negara ini sesiapa sahaja layak menjadi pemimpin sehingga tak ada apa-apa istemewanya bergelar YB itu.

Maka sebab itulah Khalifah Islam Keempat, Ali bin Abi Talib, berpesan kepada Malik bin al-Haris al-Ashtar sewaktu dilantik sebagai Gabenor Mesir"

" Ketahuilah oleh kamu, wahai Malik bahawa kami menghantar kamu menjadi Gabenor sebuah negeri yang pada masa lalu yang telah mengalami pemerintahan yang adil mahupun tidak adil. Orang akan memerhatikan tingkah laku kamu dengan
teliti sebagaimana kamu pernah meneliti tingkah laku orang, sebelum kamu dan orang akan bercerita tentang kamu , sebagaimana kamu bercerita tentang orang lain.

Sebenarnya orang selalu memuji mereka yang berbuat baik,Merekalah yang menjadi saksi kepada perbuatan kamu. Sebab itu harta yang paling berharga yang patut menjadi idaman kamu ialah perbuatan amar maaruf. Kawallah hawa nafsu kamu dan jauhkanlah diri kamu daripada perkara-perkara yang ditegah kerana dengan menahan hawa nafsu kamu dapat membezakan segala yang baik dan segala yang buruk buat kamu.

Tanamkanlah semangat cinta akan rakyatmu dalam diri kamu, semoga rakyatkamu memperoleh manfaat dan rahmat daripadanya."

Tuesday 16 March 2010

POSPONIENDO LA VEDAD Y OTROS


Demikianlah terjemahan untuk "MENANGGUHKAN KEBENARAN dan PUISI-PUISI LAIN" atau "POSTPONING TRUTH and OTHER POEMS" dalam bahasa Sepanyol.

Bahasa Sepanyol adalah bahasa antarabangsa yang ketiga besar jumlah penuturnya selepas bahasa Mandarin dan Inggeris. Sebahagian besar daripada negara-negara Amerika Latin ( Argentina, Chile, Peru etc) menggunakan bahasa Sepanyol.

Di negara kita bahasa Perancis, Jerman, Sepanyol, Belanda, Portugis, Russia misalnya tidaklah di ketahui sangat kerana perjalanan sejarah kita lebih banyak bersentuhan dengan bahasa Arab, Inggeris dan Cina. Selain daripada itu orientasi pendidikan kita juga lebih menghala kepada United Kingdom dan Amerika Syarikat; dan dengan asakan arus globalisasi bahasa Inggeris menjadi sangat berpengaruh mencorakkankan fikiran, ekonomi serta kebudayaan bangsa.Oleh hal yang demikian kita banyak jahil tentang kekayaan serta kecemerlangan yang terkandung dalam tamadun yang berkembang dalam bahasa-bahasa lain seperti Russia, Jerman, Sepanyol, Perancis, dan Portugis. Alam pengalaman bangsa kita masih belum benar-benar luas terbuka kepada dunia yang beraneka ragam rahsianya.

Posponiendo La Vedad Y Otros ( Menangguhkan Kebenaran dan Puisi-puisi Lain)
ialah judul buku bagi kumpulan puisi-puisi saya yang pada mulanya diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh; dan sekarang diterjemahkan ke bahasa Sepanyol oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Sebagai pengarang saya telah diminta oleh ITNM hadir pada sesi dialog di Pesta Buku Antarabangsa (PWTC), pada (Selasa) 23 Mac 2010,
jam 2.00-3.00 petang,
di gerai pameran buku-buku ITNM.


Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih dan memberi penghargaan yang besar kepada ITNM kerana telah mulai berusaha memperkenalkan - bukan diri saya- tetapi tradisi dan persuratan bangsa kita ke dalam dunia bahasa-bahasa lain. Ini sangatlah penting supaya dunia luar mengenali bukan sahaja bijih timah, getah, kelapa sawit,
minyak dan bahan-bahan mentah yang lain, tetapi juga faham bahawa Malaysia juga seperti tamadun lain memiliki segi seni, kreatif, intelektual,kemanusiaan dan peradaban yang unik.Lebih daripada itu dalam warisan seni budayanya terkandung juga tak kurang berharganya nilai-nilai kemanusiaan universal yang boleh menjadi sebahagian daripada warisan dunia. Tahniah ikhlas kepada ITNM.

Sangatlah jarang saya tampil ke depan dengan karya-karya saya, tetapi mengingat
usaha yang serius dilakukan oleh ITNM untuk mengangkat imej sastera dan penerbitan Malaysia , InsyaAllah, saya akan menghadirkan diri pada Selasa, 23 Mac
tersebut. Saya ingin mengambil kesempatan di ruang ini menjemput teman-teman yang mengunjungi blog saya berkunjung ke acara tersebut. Kita hanya bertemu di ruang maya, bertukar pandang dan berdialog di gelombang udara. Mudah-mudahan kita dapat bersua muka dan bersalaman memanjangkan silaturrahim sebagai satu angkatan yang bebas suara dan hati nuraninya.

Sampai berjumpa, dan teriring doa restu untuk saudara.Amin.

Drpd Baha Zain



Thursday 4 March 2010

NGO MELAYU BERPAKAT MEMPERTAHANKAN MELAYU-ISLAM: 10 SOALAN untuk MPM

Pada hujung Feb. 2010 sejumlah kira-kira 84 NGO Melayu bermesyuarat membentuk kesepakatan bagi memantau dan mempertahankan Perlembagaan, dan kepetingan Melayu dan Islam.

Ramai nama pemimpin organisasi yang datang terdiri daripada nama-nama yang terkenal ( bekas pemimpin politik, bekas pemimpin tentera, aktivis sosial) dan ada juga nama-nama yang tak terkenal, malah tak kuat kredibilitinya. Walau apapun ini adalah peristiwa agak luar biasa dan boleh dibaca pelbagai makna serta implikasinya.
Kelahirannya berupa tanda atau simptom daripada kegelisahan dan ketidak senangan masyrakat Melayu Islam terhadap situasi semasa yang nampak kacau, tak menentu dan bergolak dari hari ke hari baik dalam bidang politik, undang-undang serta kehakiman, mlaha keselamatan rakyat.


1. Apakah ini reaksi sekumpulan pemimpin Melayu yang prihatin terhadap kemunculan suara dan tindakan perkauman daripada kaum Cina dan India seperti Hindraf itu?

2. Apakah ia berupa kemerosotan kepercayaan terhadap pemimpin UMNO yang memerintah yang dianggap berkompromi dalam banyak hal sosial, bahasa, kesenian, ekonomi dan politik dengan kaum-kaum bukan Melayu untuk meraih sokongan politik?

3 Boleh jadi juga ia berupa langkah proaktif bagi mengawal kepentingan Melayu-Islam kalau-kalau pembangkang PR yang komponen pentingnya DAP, dan tokoh-tokoh bukan Melayu dalam Parti Keadilan akan mengambil kuasa pada masa depan.

4. Bolehkah beberapa tokoh dalam Majlis Perundingan NGO Melayu (MPM) dipercayai kesetiaannya kepada keputusan2 MPM, dan tegas memperjuangkannya secara terbuka apakala bertentangan dengan keputusan pemimpin-pemimpin politik UMNO kerana ramai nama-nama yang menyertai mesyuarat MPM itu adalah nama-nama penting dalam UMNO sendiri walaupun sudah terpinggir daripada kerajaan?

5. Mampukah YB Ibrahim Ali yang mengambil inisiatif menemukan NGO tersebut mengambil sikap intelektual yang rasional dan bukan politikal dalam dialog dan keputusan-keputusan yang akan dibuat secara demokratik?

6. Mampukah pemimpin-pemimpin NGO yang lebih bersikap nasionalistik dan bukan condong kepada politik kepartian menerima kalau ada antara tokoh-tokoh terlibat cuba memihak kepada mana-mana pemimpin parti politk baik dalam kerajaan atau pembangkang?

7. Apakah tanggapan bukan Melayu terhadap ketegasan suara MPM seperti yang diucapkan oleh YB Ibrahim Ali?

8. Masyarakat Melayu yang goyah kepercayaannya terhadap kestabilan politik, kurangnya ketegasan pemimpin Melayu dalam kerajaan sekarang, dan pintu yang semakin luas terbuka kepada kaum lain, terutama gagasan 1 Malaysia yang diterjemahkan sebagai Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew dahulu, menyambut baik MPM, tetapi apakah ini akan mewujudkan polarisasi yang lebih tajam di negara ini?

9. Senario sosial-politik yang mencair dan berpolarisasi ini barangkali mencerminkan
kegagalan kerajaan membina perpaduan dan jati diri nasional yang berpaksikan
peruntukan2 penting Perlembagaan Persekutuan ( Bahasa Melayu, Islam, Kesultanan, Hak-hak Keistemewaan Melayu, dan budaya ).

10. Sejauh mana tokoh-tokoh dan pemimpin-pemimpin NGO dalam MPM boleh bertahan secara ampuh dengan idealismenya dalam keadaan krisis terutama bila berhadapan dengan konfrontasi intelektual ataupun ugutan politik dan sogokan kebendaan ( baik wang mahupun peluang) ?

Akhirnya ujian paling getir ialah krisis. Mudah-mudahan Tuhan akan melindungi dan memberkati semua mereka yang berjuang secara ikhlas, jujur, berintegriti, berani dan berakhlak. Teriring Doa Restu Untukmu . Amin.



Tuesday 16 February 2010

MENCARI JALAN MELALUI WAHYU-NYA

MEMBACA JALAN YANG LURUS

Pagi-pagi lagi, pada 15 Febuari, seorang teman menghantar pesanan ringkas melalui telepon bimbit yang terlepa di sisi katil. Pada mulanya saya menyangka itu ucapan Valentine yang terlambat atau Kong Hi Fa Cai seperti yang diheboh-hebohkan oleh media cetak serta media elektronik negara. Saya tak segera membacanya. Selepas sarapan pagi baru tergerak untuk membaca sms. Rupa-rupanya ucapan "Selamat menyambut Rabiulawal".
Saya segera membalas dengan mengucapkan: "Terima kasih, dan Selamat Menantikan Maulidul Rasul, 12 Rabiulawal /26 Feb".
Demikianlah masih ramai yang tidak terpesona dengan perayaan-perayaan agama orang lain yang semakin menjadi cara hidup yang digalakkan oleh sesetengah tokoh kita .
Dalam kemelut hidup politik dan sosial serta kekaburan arah tujuan hari ini marilah kita membuka hati bagi mencari jalan yang jernih serta lurus yang telah disediakan untuk kita, tetapi tersilau selalu pada pandangan mata. Semoga Tuhan memberikan hikmah kepada pemimpin-pemimpin yang berkuasa agar kita semua tidak beramai-ramai disesatkan semata-mata kerana kepentingan memenangi kekuasaan politik yang segera dan sementara; bukan yang bernilai abadi untuk dunia dan akhirat.
Sambil menaruh harapan kepada mereka , marilah kita sendiri berusaha menuju ke arah itu dengan memburu cahaya hebat yang terpancar dari Kitab Mulia yang diam terbiar di meja. Dengan getar dan rahasia cahayanyalah sekalian kekaburan atau kekalutan di atas akan tersuluh untuk membijaksanakan kita memisahkan yang tulen daripada yang lancung.
Alangkah beruntungnya kita semua kerana melalui Muhammad SAW kita diajar pula contoh teladan yang agung. Baginda telah dilahirkan pada bulan Rabiulawal tatkala sebuah bintang baru tiba-tiba terbit terang di langit, sebagai tanda suatu kebesaran hebat akan diturunkan untuk seluruh umat manusia . Dalam sedikit hari lagi kita akan merayakan peristiwa yang luar biasa itu supaya kita selalu mengingatinya, lebih-lebih lagi makna yang terkandung di dalamnya.

Thursday 4 February 2010

KE MANA BANGSA KITA SEDANG MENUJU ?

Pengarah Pusat Kebudayaan dan Sains Russia, Kedutaan Besar Russia Membacakan Puisi Russia dan Malaysia di Rumah Pena, Dis.2009

Apakah politik negara sedang menuju kekacauan ?
Parti-parti komponen BN sedang goyah sehingga merosot keyakinan pengundi terhadapnya; dan parti-parti pembangkang dalam PKR juga tidak kurang berantakannya. Kestabilan pemerintahan negara mungkin tidak mantap seperti dahulu, tetapi negara ini sudah kukuh dan memiliki institusi pentadbiran, keselamatan, perundangan, dan kehakimannya yang ditadbirkan oleh kaki tangan bukan politik . Apa pun perubahan terhadap pemain-pemain besar politik di atas, tidak akan menggoncang negara secara traumatik. Di situlah letaknya keindahan atau poetry pemerintahan demokrasi Malaysia kecualilah ( ingat! kecuali) tercetusnya pertentangan kaum dan agama seperti konflik berdarah Mei 1969 yang menyebabkan demokrasi dan Parlimen ditangguhkan.

Ingat Tragedi Mei itu adalah satu pengajaran yang pahit . Ingat juga bahawa sentimen kaum dan agama ( terutama agama) masih menjadi potensi ledakan yang terpendam. Anehnya ramai pula yang berpendapat bahawa tragedi buruk yang berlaku 40 tahun dahulu telah menginsafkan penduduk daripada pelbagai kaum supaya jangan mudah celupar mulut dan terlalu ghairah memperjuangkan isu-isu yang condong untuk kepentingan sempit bangsa dan keturunan sendiri sehingga melupakan kenyataan-kenyataan tradisi, sejarah dan pengorbanan jiwa raga , keringat serta air mata pejuang-pejuang yang bersuara dan bertindak melawan penjajahan. Apakah rakyat Malaysia pada hari ini sudah lupa akan hakikat tersebut kerana ramai aktivis Melayu, Cina dan India adalah orang muda yang masih berhingus hidungnya dan dibersihkan najisnya oleh ibu bapa empat puluh tahun dahulu, iaitu pada tahun 1969 itu ? Berapa usia anda sekarang?

Sekarang ramai yang bersuara menuntut kebebasan sama rata; dan ramai pula pemimpin yang memberi gula-gula bahawa semua rakyat sama hak-hak dan kebebasannya. Mana ada manusia yang dilahirkan ke dunia sama rata ? Lelaki dan perempuan yang sebangsa dan seagama pun tak sama rata dalam hak-hak dan tanggungjawabnya. Apa yang ada ialah kesaksamaan (ekuiti) dan keadilan bukan sama rata. Perlembagaan yang menjadi landasan tata hidup negara juga tidak memberikan kebebasan serta hak-hak yang sama rata bagi semua dan setiap individu dalam semua dan setiap lapangan kehidupan. Tidak ada negara di dunia yang berbuat demikian walaupun peluang untuk berjaya di dalam hidup secara sah terbuka luas di depan.

Rakyat cerdik pandai boleh berdebat berhari-hari tentang hal ini seolah-olah
semua orang rasional, waras, sihat otak dan lupa akan tradisi , sejarah, keturunan dan pegangan agamanya. 1 Malaysia adalah gagasan yang mulia, dan usaha yang baik untuk menempatkan semua orang dalam kedudukan selesa dan terhormat di tanah air ini. Tetapi ia adalah formula yang hanya boleh berjaya apabila jelas memelihara dan tidak meminggirkan bahasa, nilai-nilai , tradisi mulia, dan agama setiap bangsa, terutama majoriti peribumi dan Islam.

Kita misti berterus terang dalam hal ini. Kita tak boleh memulai langkah dari 0 , nol, atau kosong. Kita ada Perlembagaan Persekutuan yang peruntukan-peruntukan fundamentalnya harus dijunjung dan dipatuhi. Kita jangan kelirukan diri sendiri atau orang lain untuk suatu kejayaan yang sementara.

Apa yang sangat penting ialah mari berterus terang dan bergaduh otak sekarang bagi mencipta masa depan anekawarna budaya yang kukuh serta penuh toleransi untuk semua rakyat peribumi, Cina, India, dan lain-lainnya. Hanya perlu diingat bahawa bukan semua adat serta kepercayaan boleh diangkat sebagai etos kebangsaan atau kita sengaja memaksakan sesuatu kepalsuan nasional untuk menunjukkan suatu kesatuan negara yang tulen. Kepalsuan tidak boleh mengambil alih pertumbuhan budaya dan bangsa yang tulen meskipun boleh dipujuk ke arah itu.

Ingat apa yang baru terjadi beberapa tahun ini apabila kerajaan cuba meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam usaha memodenkan pendidikan dan pemikiran generasi akan datang kerana tujuan hendak memajukan negara dalam persaingan dunia antarabangsa--sehingga istilah global menjadi kata-kata sakti pemimpin . Kecerdikan tidak selalu mengiringi kemodenan. Usaha itu telah mengikis kepercayaan ramai orang Melayu terhadap pemimpinnya gara-gara bekas Perdana Menteri overestimate pengaruh kekuasaannya dan gagal membaca emosi dan kepercayaan rakyat jelata. Mari kita jangan ulangi kebodohan ini dalam usaha mewujudkan satu rupa bangsa Malaysia yang modern dan damai.

Masyarakat Melayu sambil mempertahankan kedudukan haknya di sisi sejarah serta agama; dan kedaulatannya dari segi Perlembagaan, harus bersedia untuk berfikiran rasional, bekerja kuat, merebut ilmu dunia dan akhirat serta mengubah strategi . Cara biasa berfikir dan bertindak , suka berhibur dan menaruh kepercayaan bahawa pemimpinnya akan selalu meyelamatkan nasibnya adalah suatu kebodohan modern . Kalau mereka mahu berubah, berubahlah untuk pembaharuan dan kemajuan; bukan untuk kehinaan akhlak, intelektual dan ekonomi di mata orang, lebih-lebih lagi di mata Tuhan yang senantiasa menyeru kepada kebaikan :
"kerahmatan untuk semesta alam ".

Wednesday 27 January 2010

UMAT ISLAM: DIDUGA dan DIBIJAKSANAKAN

USAHAWAN RAKYAT: WARUNG BERGERAK DI BAWAH POHON

Warung kereta bergerak menjual rojak di atas adalah milik mamak India beragama Islam. Pada waktu makan tengah hari ramai pelanggan datang memesan rojak dan cendul. Jawabnya pasti untung. Ini adalah contoh bagaimana orang Islam yang datang ke Malaysia berikhtiar, bekerja gigih, berhemat hidup, dan berani meneroka pintu rezeki yang sangat luas terbuka. Mereka belum tentu berkelulusan tinggi, hebat berbahasa Inggeris, Mandarin atau bahasa Melayu, tetapi hebat berfikir, mengeraskan sikap mental, dan bekerja rajin di bawah pukulan cuaca tropika untuk hidup.

Lebih daripada itu mereka bebas daripada kehinaan meminta-minta, mengampu, memburu rasuah, dan melakukan jenayah. Tegasnya mereka hidup dengan mencari rezeki halal, dan atas kebebasan hati nurani ( freedom of conscience) walaupun pada zahirnya nampak tak ada status, tak bercitra mewah dan berdarjat, hanya penjual rojak di bawah pokok.

Apakah pengajaran atau iktibar? Masyarakat Islam misti tekun berusaha, mencari ilmu dan mempelajari seni hidup yang bebas, terutama dalam lapangan perniagaan, supaya kuat kedudukan ekonominya
dan mampu mempertahankan agama dan maruah kehidupannya sebagai umat Islam. Berjihad dan berjihad. Mereka misti nampak gigih, berdikari , dan berani menghadapi apa jua keadaan, apa jua cabaran -- baik tentang mencari rezeki ataupun tentang melawan musuh.

Pada malam Rabu, 27 Januari , tersiar berita dua masjid dicemari dengan sengaja, secara terancang oleh pengkhianat Islam tertentu, dengan menghantar kepala babi hutan di kawasan rumah ibadat tempat umat Islam solat menyembah Allah. Biasanya babi hutan ini diburu, diperangkap atau ditembak baru di bawa keluar hutan. Ini bukan babi peliharaan yang jinak, malah boleh menyerang dengan ganas. Bulunya tidak putih, tetapi gelap dan kasar; menyeluduk tanah dengan muncungnya untuk memakan cacing. Hodoh, kotor , najis dan baik diternak atau liar, babi adalah babi, haram dan menjijikkan.

Tentulah reaksi spontan orang Islam adalah marah, berang, dendam dan tergerak untuk menyerang balas. Tetapi apa sebabnya dan siapa mereka itu? Mungkin hasutan dari luar negara, mungkin perbuatan pengikut Kristian, atau pengikut agama Hindu atau Buddha, atau mungkin orang Islam sendiri yang mempunyai niat tertentu. Jadi tidak bijak bagi masyarakat Islam bertindak gopoh dan mengikut kata hati yang sedang terbakar sekarang. Bersabar ! dan berfikir cerdik dan bijak.

Barangkali Allah sedang menunjukkan kepada kita bahawa kita telah lalai atau menjalani kehidupan leka yang banyak melupakan nikmat dan suruhan-Nya sehingga sampai orang lain berani menghina bangunan ibadat dan masyarakat Islam. Syiar dan kegagahan citra Islam di Malaysia ( yang majoriti pendukungnya Melayu ) tidak dihormati dan tidak mengagumkan masyarakat bukan Islam. Mereka tidak berasa segan silu , tidak menaruh hormat; dan tidak gentar terhadap risiko balasan daripada perbuatan biadab dan pengecut. Syukur masih ramai umat Islam sihat akal dan emosinya bagi menghindarkan rusuhan agama dan sosial.

Walau apapun dengan sekalian petunjuk yang timbul akhir-akhir ini, Umat Islam misti bangkit segera memperjuangkan haknya dalam pentadbiran negara, ekonomi, sosial, budaya dan politik.
Pemimpin politik Islam dalam kerajaan, pemimpin politik Islam parti pembangkang, pemimpin-pemimpin NGO Islam, misti bercakap dan bertindak mewujudkan sistem kehidupan kebangsaan yang berdasarkan konsep, nilai-nilai, dan akhlak Islam . Jangan menjadi apologetik dan malu-malu menyuarakan kepentingan prinsip-prinsip Islam dalam institusi kebangsaan kerana nilai-nilai dan akhlak Islam inilah yang akan memelihara keadilan bagi semua rakyat.

Kestabilan dan kesejahteraan masyarakat Melayu-Islam akan menjamin kesejahteraan dan kesaksamaan sosial negara ini. Unsur Melayu dan unsur Islam tidak boleh tidak harus menjadi asas masa depan bangsa, menjadi jati diri dan pembangunan tamadun dengan diperkaya oleh unsur-unsur budaya Cina, India dan modern yang tidak bertentangan. Melayu-Islam bukan Melayu-Arab. Melayu-Islam telah berakar dan berkembang melalui pengalaman jalur sejarahnya yang khas di kulit bumi Nusantara ini. Allah telah menjadikan Melayu itu berkulit sawo matang dan tentu ada peranannya di dunia sebelah sini, dan jalur sejarah serta budayanya berbeza dengan bangsa Arab di tanah Arab sumber wujudnya pandangan dunia, nilai-nilai dan akhlak Islam yang universal.

Pemimpin dan individu Islam, terutama masyarakat Melayu, misti berubah dan bertindak segera dengan suara dan kegigihan perjuangannya seperti pada zaman menentang penjajahan Inggeris sebelum merdeka. Elit dan kelas menengah Melayu yang sedang hidup dalam kemewahannya jangan lupa daratan. Kerana mereka Melayulah maka ramai yang diberi keistemewaan melalui biasiswa, kuota, kenaikan pangkat, dan kini waktunya membalas jasa itu dengan merangsang daya hidup dan keberanian baru di kalangan manusia sebangsa dan segamanya. Janganlah kita menjadi seperti kacang lupakan kulit, lebih-lebih lagi menjadi seperti pagar makan padi, semata-mata kerana hendak melonjakkan kepentingan diri sendiri atau memenangkan kekuasaan kelompok politik masing-masing sehingga rela mengkhianati kepentingan besar umat .

Sudah sampai saatnya orang Islam melakukan analisis dan kritik diri, dan tidak melampiaskan kesalahan kepada orang lain yang sudah pintar merebut apa jua peluang yang terbuka akibat kelemahan, kelekaan atau keseronokan hidup pada hari ini. Jihad yang awal ialah memerangi pemikiran ,sikap , pandangan hidup dan stail kehidupan bangsa kita sendiri.

Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui.

Thursday 7 January 2010

HIKMAH DI SEBALIK NAMA -NYA


TIBA-TIBA sejurus bermula hari pertama (1 Januari) tahun masihi 2010, tahun baru Kristian, meletus penentangan terhadap penggunaan istilah ALLAH yang dibenarkan penggunaannya oleh Mahkamah Tinggi kepada penerbitan Kristian, Herald.
Pada malam 31 Disember sebelumnya ribuan orang membanjiri Kuala Lumpur sampai lepas tengah malam untuk bersuka ria , meraikan ketibaan tahun baru Kristian. Anehnya, majoriti pemuda pemudi Melayu Islam yang berpusu-pusu di tempat hiburan itu.
Hari-hari berikutnya bertambah protes dan penentangan terhadap keputusan mahkamah. Kali ini yang berhimpun majoriti Melayu Islam juga, tetapi tentulah yang bukan berhimpit-himpit di konsert tahun baru pada tengah malam itu. Bagus ! ini menandakan bahawa ada tenaga-tenaga yang berlawanan , yang bertentangan, bagi mewujudkan ekuiblirium yang sihat bagi umat Islam.
Peristiwa ini juga diharap dapat mencelikkan mata orang Islam daripada kelalaian hidup dan kealpaan fikirannya bahawa di tanah air ini kewujudan Islam belum tentu selamat, tanpa digugat, pada masa akan datang. Berwaspadalah.
Masyarakat majmuk ini sudah semakin hilang perspektif terhadap keadaan sosio-budaya dan politik Malaysia. Masing-masing semakin gelojoh untuk memperjuangkan kehendaknya , kebebasan fikiran dan warisannya tanpa mempedulikan sensitiviti agama, kebudayaan, bahasa, sejarah dan warisan yang masih kuat mempengaruhi pandangan dunia majoriti penduduk.
Sebenarnya fakta bahawa masyarakat Melayu itu sebahagian besarnya sangat dibentuk oleh nilai-nilai Islam, patuh pada ajaran-ajaran prinsipnya, terutama harus bersikap toleran terhadap manusia lain, pengamal agama lain, asal tidak menentang dieinya, maka penduduk bukan Islam ( Kristian, Hindu, Buddha, animisme etc) berada dalam keadaan aman dan tenteram untuk menjalani kehidupan mereka. Malahan dalam banyak hal mereka lebih berjaya daripada Melayu Islam sendiri, terutama di bandar-bandar dimana berbilion atau ribuan juta ringit berpusing dan berpindah dari saku ke saku. Lihat sahaja bangsa apakah yang penuh sesak membeli bunga, permaidani, pakaian dan lain-lain barangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Siapa ribuan pembeli ini dan siapa majoriti peniaganya pula....................
Semoga semua pengikut agama ( baik Islam dan bukan Islam) jangan lupa daratan, dan jangan lupa diri sehingga meminta berlebih-lebihan daripada yang wajar.
Saya cuba merujuk beberapa kamus Barat untuk memastikan takrifan "Allah" kalau-kalau ada yang jelas menyebut , secara eksplisit, bahawa nama ini juga digunakan dalam pengajaran agama Kristian. Nampaknya tak ada, walaupun ada disebut berasal dari Arab dan digunakan oleh orang Arab. Memang Arab bukan semuanya Islam. Walau bagaimana pun "Allah" itu bukanlah digunakan secara meluas di kalangan pengikut Kristian seluruh dunia atau boleh ditafsirkan bahawa ia sebahagian daripada perbendaharaan kata-kata agama Kristian. Kalau ada di sana sini, ia hanya merupakan kekecualian. Kekecualian itu tidak boleh menghalalkan penggunaannya di kalangan masyarakat Kristian terutama dalam konteks majoriti Islam yang menentang penggunaannya kerana secara universal Allah sudah diakui sebagai Tuhan Yang Maha Esa dalam syahadah ribuan juta penganut Islam di seluruh dunia.
Tidakkah common sense dan kebijaksanaan ini ( di samping semangat Perlembagaan Malaysia) patut menjadi prinsip penting untuk sekalian orang yang berpelajaran membuat keputusan waras, mengizin atau tidak mengizinkan penggunaan Allah oleh Herald, agar kesan sosialnya positif terhadap keseluruhan anggota masyarakat. Tidakkah pihak yang membawa kes ini ke mahkamah dapat anticipate atau menduga reaksi umat Islam di negara ini atau memang beranggapan berdasarkan banyak kejadian masyarakat Melayu Islam sudah merosot daya juangnya. Barangkali memang betul begitu.
Bayangkan di Perancis wanita Islam tidak dibenarkan memakai tudung, dan lelaki Sikh memakai serban apabila berada dalam institusi pendidikan. Selain itu ada negara Eropah yang melarang membina menara masjid; dan di Singapura yang majoriti Cina itu tidak mengizinkan azan dikumandangkan apabila masuk waktu solat kecuali satu-satunya di Kampung Gelam. Itu pun kerana tempat itu dianggap sebagai simbol kewujudan warisan Melayu-Islam Singapura.
Rujukan Kamus:
1. Al-lah, God especially in Islam. [ Arabic Allah.]
-The American Heritage Dictionary of the English Language ( Third Edition), 1992
2. Allah - in Islam, the name of God [ Late 16thC. From Arabic "allah.]
- Encarta World English Dictionary, Bloomsbury Publishing Plc, 1999.
3.Allah--the name of God among Arabs and Muslims.
- The Concise Oxford Dictionary of Current English, Eighth Edition, 1990
4. Allah- the Muslim name for the Supreme Being; God
-Random House Websters Englis Learners Dictionary, 1999
5. Allah [ not after the] the Islamic name for God
-Cambridge International Dictionary of English, Cambridge University Press, 1999
Agaknya sudah tiba waktunya kerajaan membatalkan sebarang perayaan menyambut ketibaan tahun baru Kristian mulai tahun depan. Menjadikan hari Khamis dan Jumaat hari cuti Am menggantikan hari Sabtu dan Ahad; dan meraikan Maal Hijrah, kedatangan tahun baru Hijrah secara besar-besaran di peringkat nasional dengan penuh semangat ukhuwah sesama Islam, dan persahabatan dengan agama-agama lain di negara ini. Amin

Friday 1 January 2010

HASSAN ALI , PENGARANG MUSAFIR YANG MERENDAH DIRI

Allahyarham Haji Hassan Ali (bersongkok) di sisi anaknya sewaktu kami menziarahinya di rumah. Rajasewari dan Ahmad Razali di belakang.

Sekembali dari majlis tahlil , jam 10 malam, saya membaca pesanan ringkas telepon bimbit di rumah. Rupa-rupanyanya jam 12 siang sdr Saleeh Rahmat (Timbalan Presiden PENA) sudah menyampaikan berita tentang pemergian pengarang novel Musafir ( yang telah memenangi tempat kedua peraduan mengarang novel merdeka anjuran DBP sewaktu baru-baru negara merdeka dahulu). Tidak ada pemenang pertama dalam peraduan ini. Novel Salina karangan A.Samad Said mendapat hadiah sagu hati, tetapi ternyata kemudian lebih terkenal. Musafir telah dicetak ulang belasan kali; barangkali antara judul yang paling banyak dicetak semula.

Pada bulan Julai 2009 saya tergerak hati ingin bertemu dengannya, lantas mengajak ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PENA berkunjung ke rumahnya. Beliau sudah agak uzur, tetapi masih baik pendengaran, penglihatan dan ingatannya. Dia menceritakan teks novelnya itu ditulis tangan sewaktu beliau menjalani latihan sebagai guru di Bukit Senyum, dan mengirimkannya untuk peraduan. Hadiah wang daripada peraduan itulah digunakannya untuk membeli mesin taip yang pertama; dan ternyata sangat banyak budinya mesin itu apabila pelbagai karya sastera berhasil diterbitkan oleh Allahyarham.

Beliau pernah bergiat cergas di dalam GAPENA dan PENA. Seorang pengarang yang taat kepada agama, rendah hati dan tak meninggi diri, bercakap dengan sopan dan lembut, Hassan Ali sangat banyak berjasa kepada pengajaran bahasa, dan penulisan karya sastera kanak-kanak dan dewasa.

Hari ini beliau kembali dipanggil Tuhan, dan buat selama-lamanya meninggalkan kita. Hanya karyanya yang kita ada di barisan buku-buku yang tersusun di perpustakaan bangsa. Dia telah menyumbang terhadap penyebaran bahasa Melayu; dia telah menambah jumlah muka surat yang bertulis dalam persuratan bangsa, dan sepanjang hayat penulisannya selalu berpandukan hati nurani guru untuk menyemaikan kebaikan akal budi kepada pembaca.

Semoga Allah menempatkan rohnya di sisi mereka yang disirami dengan rahmat dan ganjaran yang baik daripada-Nya. Amin