Monday, 28 July 2008

Surat Kepada Ketua Pengarah Pelajaran

Assalamualaikum

Yang Berbahagia Dato’ Haji Alimuddin bin Mohd Dom.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.


ISU BAHASA PENGANTAR DALAM SAINS Dan MATEMATIK


Diucapkan setinggi terima kasih atas kesudian Dato’ mempelawa sesiapa yang berhasrat menyampaikan pandangan tentang soal “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)”, untuk dihantar melalui -(alimuddin.dom@moe.gov.my ), seperti yang tersiar dalam akhbar SUNDAY STAR , 20 Julai 2008.


Ini adalah suatu tindakan demokratik yang sangat baik supaya pihak kerajaan dapat mengetahui pelbagai pendapat untuk nanti membuat keputusan matang dan bijaksana kerana isu ini bukan hanya menyangkut masalah bahasa dan pendidikan sahaja , tetapi agenda negara yang lebih besar , iaitu pembangunan akal budi, tamadun, jati diri dan perpaduan bangsa yang berasaskan tradisi setempat dan sejarah perjuangan kemerdekaan. Selain daripada itu keputusan yang akan dibuat , mahu tidak mahu, akan ada implikasi politiknya.


Keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia pada 2002, dan dilaksanakan melalui Menteri Pelajaran, dan Ketua Pengarah Pelajaran (almarhum) pada 2003 sangat bersifat authoritarian, dan tidak menghormati perjuangan kemerdekaan bangsa kerana pendaulatan Bahasa Melayu adalah salah satu landasan perjuangan kemerdekaan. Itulah juga sebabnya Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai badan perancangan dan pembangunan bahasa, ditubuhkan (1956) setahun lebih awal sebelum kemerdekaan diisytiharkan (1957).


Apa pun alasan dan agenda yang terselindung di sebalik tindakan yang tidak boleh dianggap beretika itu ( kerana rakyat tidak dirunding dahulu dalam soal yang besar ini) ia adalah suatu diskriminasi terhadap orang Melayu sendiri yang telah bermati-matian pada zaman penjajahan memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu. Selain itu sejak tahun 1970-an lagi bahasa ini sudah menjadi bahasa pengantar ilmu pengetahuan dengan jayanya sehingga jutaan ilmuwan, profesional dan cendekiawan dikeluarkan dan menjadi modal insan yang membangunkan pendidikan, pentadbiran , kebudayaan dan ekonomi negara.


Sehingga ini alasan-alasan dan hujah yang dikeluarkan sangatlah kabur dan mengelirukan rakyat. Pada mulanya PPSMI ini dikatakan bertujuan untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris. Ini adalah alasan yang cetek dan telah dikritik kerana ia bukanlah pendekatan yang berkesan dan masuk akal untuk mencapai tujuan tersebut. Kemudian diterangkan bahawa ia bertujuan untuk menerangkan konsep sains dan matematik. Alasan ini lebih lemah kerana untuk tujuan itu mengajar melalui Bahasa Melayu atau bahasa ibunda adalah lebih mesra pelajar, lebih berkesan dan lebih difahami. Setelah demikian ramai individu serta organisasi menyatakan bantahan dengan hujah yang objektif, dan juga beberapa penyelidikan ilmiah dikemukakan untuk membuktikan kesan negatif PPSMI terhadap pelajar , Alhamdulillah, pihak kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa ketetapan akan diputuskan selepas keputusan UPSR 2008. Pengumuman tersebut namun menimbulkan anggapan bahawa keputusan UPSR akan menjadi asas pertimbangan untuk sama ada meneruskan atau menamatkan amalan yang diperkenalkan sejak 2003. Terakhir YB Menteri pelajaran menafikannya kerana yang dimaksudkan ialah hanya selepas ujian itu baru diumumkan keputusan kerana kerajaan memerlukan waktu untuk menyelesaikan sesi rundingan meja bulat tentang isu ini.


Kalau disoroti kembali sekalian keterangan dan kenyataan yang kabur, dan mengelirukan itu jelas bahawa banyak sekali andaian atau premis fikiran yang berubah-ubah sehingga telah berlaku krisis epistemologi dalam usaha menghuraikan kebijaksanaan pendidikan dan kebahasaan yang sangat penting ini.


Saya menerima baik penjelasan Menteri Pelajaran di atas (lihat SUNDAY STAR, 20 July , 2008) bahawa UPSR bukanlah asas untuk memutuskan sama ada PPSMI diteruskan atau tidak kerana ia tidak relevan sama sekali dengan isu Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan akta-akta tertentu.


Isu pokok dan paling dasar ialah amalan yang diperkenalkan mulai 2003 dalam Tahun Satu dan Tingkatan Satu itu sedang menghapuskan status dan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada masa depan. Apabila sampai ke sekolah menengah lebih 70 peratus mata pelajaran yang berasaskan sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris. Akibat sangat buruk seterusnya daripada amalan itu ialah akan terbantut perkembangan persuratan, wacana ilmiah dan intelektual, kesenian dan kebudayaan Melayu Islam yang menjadi teras keperibadian dan pola-pola kehidupan umat Melayu Islam di negara ini.


Bahasa Melayu sebagai wadah emosi dan akal, nilai-nilai dan pandangan dunia terhadap kehidupan dan agama tidak boleh dipisahkan, malahan aspek yang sangat penting bagi kebudayaan Melayu. Jadi keputusan menyingkirkan kedudukan dan fungsi Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara sekarang ini adalah satu serangan terhadap kebudayaan Melayu yang sepatutnya menjadi asas kepada kebudayaan kebangsaan. Selain itu ia boleh ditafsirkan sebagai tindakan diskriminasi songsang (reverse discrimination) yang dilakukan oleh pemimpin politik dan pemimpin pendidikan Melayu terhadap bangsanya sendiri.


Perlu juga ditegaskan bahawa pendapat dan pendirian yang dikemukakan di sini tidak sama sekali menentang usaha kementerian untuk meningkatkan kemahiran ( membaca, bertutur, menulis dan menterjemah) melalui bahasa Inggeris atau melalui mana-mana bahasa lain pun. Persoalan ini tidak timbul kerana kebolehan berkomunikasi dalam bahasa-bahasa antarabangsa adalah satu aset penting bagi membina modal insan yang moden. Hanya ia tidak layak mengambil alih tempat bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara sebagaimana juga yang diamalkan di negara-negara maju lain.


Jadi sangatlah penting dipisahkan masalah penguasaan bahasa Inggeris daripada isu status Bahasa Melayu yang terjejas pada hari ini. Maka dengan hormat serta harapan yang tinggi kami memohon masalah yang rumit dan boleh berpanjangan ini akan diselesaikan segera dengan mengembalikan Bahasa Melayu kepada tempatnya yang sah sebagai bahasa pengantar matematik dan sains.

Hanya sekian, dan salam hormat daripada saya


Baha Zain

Timbalan Presiden .

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).


25 Julai 2008/25 Rejab 1429

Saturday, 26 July 2008

K E I N D A H A N ITU B A G A I M A N A ?

Nampaknya percakapan di mana-mana sangat serius. Semakin serius apakala yang dibicarakan hal-hal yang tragik, pertentangan kelompok, jenayah, korupsi, pelanggaran akhlak, skandal , itu dan ini.Jadi mari kita bercakap tentang " k e i n d a h a n". Semoga kita ceria, tidak murung, pesimis dan positif memandang dunia . Subjek ini pun sebenarnya sangat serius; bukan main-main. Tuhan mencipta keindahan , dan suka pada keindahan. Tetapi apa, dan bagaimana?

Keindahan ditakrif sebagai kecantikan. Indah itu cantik, elok dan molek. Keindahan itu katanya kualiti yang menimbulkan rasa keseronokan, menggembirakan , terutama apabila melihatnya. Tun Teja ( Hikayat Hang Tuah), Helen of Troy ( lagenda Yunani), Puteri Gunung Ledang (Sejarah Melayu) antara wanita yang dianggap sangat cantik dalam kesusasteraan dunia. Apakah ada kualiti yang tertentu sehingga sesuatu yang cantik itu semua yang menatapnya sama-sama bersetuju? Bagaimana tentang alam, seperti pemandangan atau bunga mawar, tanjung, cempaka, kasidang, anggerik, melur, dan teratai? Ramai yang seia sekata barangkali.

Kalaulah keindahan atau kecantikan hanya terletak pada ciri-ciri fisikal yang konkrit dan objektif ( bentuk, warna, bau, dan bunyi) dan semua manusia mempunyai tanggapan yang sama tentulah ia akan menimbulkanbanyak perbalahan antara seniman, penulis, pahlawan dan raja-raja kerana semua merebut objek yang sama.

Keindahan pun tidak abadi kerana ia juga sangat bergantung kepada hati serta perasaan yang mengaguminya. Malahan kecantikan seorang kekasih akan bertukar menjadi cemburu, dendam dan permusuhan sekiranya
tidak setia, berkhianat dan curang. Keindahan yang membawa perasaan rindu, berahi, bahagia, ceria, aman dan tenteram bila-bila masa saja boleh menimbulkan kerusuhan, kesedihan ,kesepian, dan perang. Justeru itu alangkah banyaknya ungkapan, kiasan, metafora , pantun, lukisan, arca dan puisi yang terbangun daripada keindahan. Keindahan sangat erat hubungannya dengan kemuliaan, keikhlasan, kejujuran, pengorbanan, kasih sayang, dan akhlak; tak terpisahkan. Entah berapa juta ciptaan sastera , muzik, gambar, arca dan drama dalam sejarah dunia telah didedikasikan kepada kata KEINDAHAN yang sangat subjektif. Marilah kita melupakan segala yang buruk, dan memujuk hati kita untuk berasa indah dan mimpikan yang indah-indah saja dalam tidur pada malam ini.Semoga esok pagi kita akan bangun sebagai seorang yang dirahmati oleh Tuhan



Yang baik budi, yang indah bahasa (Pantun Melayu)
*
Keindahan itu kebenaran, kebenaran itu keindahan ( John Keats)
A thing of beauty is a joy for ever ( John Keats)
*
Keindahan adalah pemberian tuhan ( Aristotle)
*
Keindahan adalah bahagian daripada bahasa yang sempurna yang berbicara tentang kebaikan (George Eliot)
*
Keindahan adalah sekuntum bunga ( Shakespeare)
*
Mawar itu paling harum apabila dimandi embun pagi
Dan paling indah apabila digenangi air mata ( Walter Scott)
*
Mawar di taman cantik dan wangi
Sekuntum di hati tidak berduri
Tidakkah itu yang terindah? ( Baha Zain)

Percayalah Tuhan senantiasa dengan kita andainya kita percaya kepada kudrat- Nya yang selalu ingin menaburkan keindahan alam dan kehidupan ini untuk kita tafsir dan terjemahkan.
____________________________________________________________________

Tuesday, 22 July 2008

KESEPIAN ITU TIDAK ABADI

...tiba-tiba ada pesanan di telepon: " Pak baha, masih sepi lagikah?". Kacau . Tidak . Saya tidak sepi , tetapi bersendiri beberapa hari, membaca sebuah novelet tentang seorang anak remaja yang membesar dalam suatu masyarakat desa Melayu-Minang yang aman damai, tetapi memendam kepura-puraan yang menekan pertumbuhan emosi dan kejujuran. Dia disayangi, dia digoda perempuan, dia cemburu pada orang, dia benci pada kekuasaan, akhirnya dia berontak secara tak berakhlak. Apakah dia mangsa sosial atau membalas dendam dalam dosa?

Memang sudah beberapa hari tidak menjenguk blog. Tadi malam saya bergegas ke DBP untuk mendengar pembicaraan tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Ghouse Nasuruddin. Pagi ini sebelum saya membuka komputer saya turun sebentar ke taman untuk melawat-lawat pohon yang masih sejuk sebelum di timpa cahaya. Sedang memetik daun-daun tua di pokok ciku seekor ular hijau berbintik-bintik merah di kepala dan lehernya sedang melingkar tenang di dahan ciku. Saya segera menjauhkan diri dan mengambil kayu menghalaunya. Dia patuh, dan aneh, ular juga boleh melompat ke pokok lain. Bayangkan banyak hal di luar dugaan dan sangkaan kita selama ini.

Demikian juga tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK). Apabila kita menyebut istilah dasar seperti itu, bermakna kita berbicara tentang politik kebudayaan; iaitu suatu kebijaksanaan kebudayaan nasional yang menjadi semacam filsafat dan moral kebangsaan. Tentulah juga ia bersifat normatif dalam erti: ada yang serasi dan ada yang tidak serasi dengan kerangka atau pengertian kebangsaan itu. Dalam sangkaan umum DKK tentulah bertujuan untuk memupuk jati diri atau keperibadian bangsa sebagai pusat berkumpulnya perasaan perpaduan , kesetiaan dan kemegahan kita menjadi warga negara yang bernama Malaysia. Betulkah itu yang diimpi dan dilaksanakan?

Sampai hari ini DKK adalah suatu kekaburan yang dielus-elus selama lebih 35 tahun sejak 1971.
Apakah "kebudayaan" itu hanya bermaksud suatu aspek sahaja , iaitu kebudayaan estetik atau kesenian (seni visual, seni sastera, seni persembahan, seni tradisi dan seni moden)? Apakah DKK itu sudah diluluskan oleh Kabinet dan kerajaan secara rasmi? Jawabnya belum pernah.

Ada juga yang berpendapat apa gunanya diluluskan atau diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan kalau tidak dilaksanakan dengan jujur dan penuh komitmen. Lihat saja status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dinyahkan begitu saja fungsinya di sekolah dan dipancung namanya dengan menggantikan namanya sebagai bahasa Malaysia. Semua kerja jahat ini bukan dilakukan oleh pemimpin Cina atau India, tetapi pemimpin Melayu kerana hendak mengambil hati kaum lain. Jual maruah bangsa sendiri.

Dalam perbincangan malam tadi timbul juga soal tidak adanya keberanian pentadbiran di kalangan pegawai-pegawai kerajaan dalam usaha menegakkan kebudayaan kita. Dalam satu hal memang betul kerana yang bertugas membina, memperkembang dan menyebarkan bahasa, sastera, penerbitan, filem, karya cetak, elektronik; dokumentasi, penyelidikan dan promosi kebudayaan hampir 90 peratus diamanahkan kepada pegawai atau pentadbir Melayu, tetapi apa yang dihasilkan?

Kritikan diri, introspeksi dan analisis diri ini akan menemukan dosa Melayu sendiri . Kelekaan, kemalasan dan tidak bersikap dinamik dalam kerja-kerja pengurusan baik oleh si pencipta atau pentadbir ciptaan adalah kenyataan yang tidak lagi harus dinafikan dalam situasi budaya Melayu yang lembab hari ini. Kebudayaan setempat akan dilanda oleh asakan budaya komersial yang datang melalui arus global dan komuinikasi elektronik dari Cina, Jepun, Eropa dan Amerika. Jadi jangan tunggu DKK itu. Para karyawan dan seniman harus berani bersuara dan berjuang walaupun nanti terpaksa menyekutukan diri dalam nama-mana kelompok perjuangan.

Tadi malam juga di DBP, saya menyebut bahawa yang lebih penting ialah keberanian intelektual yang sepatutnya datang daripada sasterawan , ilmuwan, seniman dan budayawan yang selalu bercakap tentang kebenaran, kejujuran, keindahan dan nilai-nilai unggul. Di mana tokoh-tokoh seniman, budayawan dan sasterawan apabila Bahasa Melayu sejak 2003 diinjak dan diperlekehkan? Jawatan , pangkat, gelaran, gaji, royalti, honorarium, hadiah atau anugerah? Itukah yang membungkamkan ? Memang ini semua adalah hal-hal yang praktis dan pragmatik.
Apabila seniman, penulis, budayawan dan cendekiawan tidak menegur atau memperingati bangsanya, tunggulah satu hari nanti generasi bangsa masa depan akan hidup dalam penghinaan yang lebih memalukan di bawah kekuatan budaya asing. Segalanya sudah terlambat kalau hari ini tidak ada perlawanan yang hebat.

Seperti ular hijau yang membelit dahan ciku saya pada pagi tadi ( senyap dan tak bergerak), musuh kebudayaan bangsa sedang senyap-senyap melingkari keliling tubuh bangsa kita. Ular-ular berbisa sedang membelit pohon dan dahan kebudayaan bangsa . Beringat dan mengingatkanlah dengan penuh kewaspadaan.

Thursday, 17 July 2008

SEPI ITU AJAIB

Bagaimana kita tiba-tiba bercakap tentang kesepian sedangkan di sekitar riuh rendah terdengar konspirasi ( bolehkah konspirasi didengar?), hasutan dan fitnah, laporan jenayah dan tangkapan, perdebatan dan tunjuk perasaan. dan...dan inflasi menghimpit kemiskinan. Justeru tindakan bersendirian untuk mencari kesepian menjadi sangat perlu bagi menemukan kebenaran.
Akhirnya kesepian itu relatif dengan kondisi sanubari dan persekitaran kita, dan apakah sama dengan teori fisik Einstein (relativiti) ?

Kira-kira 20 tahun yang lalu saya pernah mengalirkan air mata , tak tertahan-tahan, sewaktu di Makam Ibrahim, kerana tiba-tiba berasa sangat hiba, sepi dan rindu meskipun berada di tengah-tengah ratusan ribu umat yang sedang berdoa. Seolah-olah saya hanya bersendirian dan keseorangan di dalam banjir lautan manusia; hanya saya dan Tuhan. Pengalaman ajaib itu menjadikan saya bagai baru lahir ke dunia dan berasa yakin menghadapi apa saja dengan cinta-Nya.

Saya percaya saudara anuar, sinaganaga, jiwafaham, izwan , ainon, sham, danielle corelleon, dan blogger lain bukan sekali , mungkin beberapa kali, terlontar ke dalam kesepian, merenung jauh
ke masa lalu dan menduga bayangan masa depan. Ada kenangan , nostalgia dan kerinduan yang menghantar kita ke dunia yang sepi lalu mengingati peristiwa di mana kita pernah sangat bahagia atau sebaliknya. Kita pun tak mungkin berfikir mendalam sewaktu berinteraksi dengan orang ramai kerana sangat berhati-hati menjaga perasan orang di tengah hiruk pikuk yang menjengkelkan. Kesepian itu sangat banyak tingkatnya dan sangat bervariasi sifatnya. Sunyi sepi seorang sufi tentulah tak sama dengan kesepian seorang seleberiti atau politikus. Di bukit tinggi Janda Baik kita dapat melihat luasnya alam terhampar di bawah, dan dalam udara yang bersih nyaman kita dapat menginsafi rahmat-Nya yang tertulis di alam terbentang. Alam itu adalah sebahagian daripada rumah sdr Ainon; alam luas merumahkan sanubari kita yang insaf. Rumah yang besar boleh menjadi lemas dan sempit kalau hati kita tertutup kepada-Nya. Kata peribahasa Jepun, cinta hidup dalam teratak ataupun istana.

Ruang fisikal membantu memberikan nikmat kesepian, alam semula jadi pun demikian, tetapi kita harus mengembara bersendirian ke alam kesepian sanubari kita untuk menemukan sihir serta keajaibannya. Jalalludin Rumi, Hamzah Fansuri dan Amir Hamzah berkelana di alam rohani untuk mencari sinar suci yang kudus. Seperti kata Lord Byron, "In solitude , we are least alone."Kata puisinya juga:
There is a pleasure in the pathless woods,
There is rupture on the lonely shore,
There is a society where none intrudes,
By the deep sea , and music in its roar:
I love not man less, but nature more.
_____________________________

BERSENDIRIAN

apabila cengkerik berhenti berbunyi
sepi semakin menjadi
muzik alam mati sendiri
dan aku terlontar keseorangan
belajar mencari tempat isterihat
dalam bayangan mimpi.

Di situlah akan kutemui
musim bunga dan mata air
yang tak berhenti mengalir

Baha Zain

Tuesday, 15 July 2008

RUANG--WAKTU-- KESEPIAN--DAN DIRI

SEPI ITU SIHIR

Sewaktu kecil dahulu, pada zaman kanak-kanak, kita melihat betapa besarnya sekolah, padang bola, kolam masjid, rumah Tuk Penghulu; dan tidak menyedari , malah tidak ambil peduli tentang waktu. Hari demi hari kita membesar; tiba-tiba menjadi dewasa, dan berkeluarga.

Hari ini apabila kembali ke kampung, sekolah, padang bola, masjid dan jalan serta rumah-rumah yang dahulu terasa sangat besar , kini sekalian ruang serta bangunan itu terasa kecil di depan mata. Kita sudah tidak kagum dan tidak terpukau oleh ruang lagi. Kadang-kadang kita tidak sedarpun bahawa kita bergerak di dalam ruang, di atas lantai, dan dikelilingi oleh dinding atau pohon-pohon. Fikiran lebih dihantui oleh waktu; dirisaukan dan merisaukan waktu; tidak cukup waktu atau tiba-tiba kehabisan waktu. Waktu, waktu dan waktu memenuhi kesedaran kita.

Kehidupan yang begitu sibuk setiap hari dan setiap waktu membuat kita merindui kesepian; ingin aman dan bersendirian; jauh daripada rakan sepejabat. Apa kah kesepian? Ia bukanlah keadaan atau perasaan, tetapi peluang untuk kita berjalan mengembara jauh ke dalam dunia dalam diri kita; ke dasar-dasar yang gelap dan dilupakan. Jelajahilah landskapnya: lorong-lorong yang dihiasi pohon-pohon, bunga-bunga yang harum, daun yang hijau merimbun, telaga yang jernih serta dingin, dan bayu yang berhembus. Di situ ada keamanan, muzik dan impian yang bersihir, dan tak terdugakan. Bersykurlah apabila anda menemukannya kerana ia akan menjadi sumur yang mengalir dengan air jernih bagi mengungkapkan karya anda.

Jadi lupakanlah sekejap masalah waktu yang tidak cukup itu. Menyepi dan bersendirianlah untuk mengucapkan sesuatu . Pada saat-saat inilah waktu menjadi sangat bermakna; dihayati serta dimanfaatkan, tidak dibazirkan, tetapi diisi dengan makna diri yang dalam--- Sepi itu sihir.

Tuesday, 8 July 2008

MENULISLAH DENGAN PENUH PERASAAN

Ramai bakat muda bertanya bagaimana penulis terkenal menulis. Saya tidak berani menjawabnya secara jelas kerana tidak pernah melakukan kajian atau memerhatikan secara teliti tingkah laku pengarang. Daripada pengalaman, saya lihat Usman Awang menggunakan mesin taip dengan cawan kopi di atas meja dan rokok kretek terpasang . Orang lalu lalang di depannya dia tak ambil pusing. Keris Mas juga menggunakan mesin taip manual; sambil menaip sesekali berhenti mengisap paip tembakau cap nenas yang semerbak baunya sampai ke luar biliknya. Kedua-duanya bekas wartawan 50-an , dan biasa menggunakan mesin taip di ruang kerja yang sibuk. Pengarang muda selepas zaman mereka ramai bukan wartawan dan lebih selesa menggunakan pena. Sebab itu pada dekad 60-an hingga 80-an fountain pen Parker, Sheafers, Cross, dan Pilot sangat populer, dan jadi semacam lambang status pegawai, guru atau pengarang. Yang menariknya tentang zaman lampau itu, sebelum generasi komputer muncul,
draf karya pengarang , dua atau tiga draf yang menunjukkan pembetulan, pemotongan dan sebagainya, boleh diperolehi dan ada yang tersimpan sampai hari ini. Sekarang susah nak dapat kerana pengarang sudah menggunakan komputer; lebih mudah menyunting draf dan lebih pantas menyiapkan karya di komputer saja.

Ah! semua itu hanya alat. Tanpa mesin taip atau komputer tak mesti orang tak boleh menulis Kabarnya Ernest Hemingway menggunakan pensil dan sebelum menulis dia akan mengasah sedozen dua pensil terlebih dahulu. Thomas Wolfe suka menggunakan kertas warna kuning. Demikian juga Truman Capote suka menggunakan kertas kuning
; dan suka menggunakan pensil hitam Faber Castell. Masing-masing mempunyai kebiasaan dan keanehannya tersendiri. Ini pun kebebasan juga; bebas berfikir dan bebas mengucapkan diri dalam bentuk serta cara yang disukainya. Akhirnya yang penting ialah hasil karya ; tak kira ditulis di dapur, di sisi tandas atau di bilik hotel.

Pada dekad 70-an saya bertemu dengan pengarang Amerika keturunan Cina, Maxine Hong Kingston, yang mengarang novel The Warrior Woman ( kalau saya tak silap eja nama dan judul karyanya). Dia memberitahu saya yang dia sangat terhutang budi kepada editor sasteranya yang bertanggungjawab menyunting serta memperbaiki novelnya sehingga layak diterbitkan . Demikian juga dengan pengarang terkenal Michener yang saya ketemui di Bangkok pada tahun
1981, menceritkan novel-novelnya tidak mungkin sehebat itu penerimaan dan jualannya kalau tidak kerana bantuan editor sastera yang komited. Agaknya inilah nasihat yang berguna bagi sekalian penulis, baik bakat baru atau yang veteran, supaya berasa perlu dan yakin bahawa
bantuan profesional editor sangatlah mustahak bagi memberi pandangan tentang isi dan gaya, membetulkan kesilapan bahasa , mencadangkan bentuk dan wajah buku, jenis cetakan
dan jilidan , malahan strategi pengedaran. Penulis memang mempunyai bakat, pandai mengarang, tetapi dia tidak mengetahui segala-galanya tentang penerbitan, dan selalu tidak nampak kesilapan-kesilapan kecil yang boleh mencacatkan penerimaan pembaca , selepas begitu banyak tenaga, waktu dan perbelanjaan dicurahkan.

Sesekali penulis perlu merendah diri, berlapang dada, dan berfikiran terbuka kerana ular menyusur akar takkan hilang bisanya. Masalahnya editor yang mahir dan sanggup memberi waktu untuk membina penulis atau orang lain sangatlah sukar diketemui.

Wednesday, 2 July 2008

SATU TENGAH HARI DENGAN PERDANA MENTERI

Selasa 1 Julai 2008 ( 27 Jamadilakhir 1429 ) adalah hari yang mempunyai pengertian yang tersendiri dalam jerih payah usaha mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di sekolah.

Pada hari tersebut Tuhan melorongkan kesempatan untuk saya menyampaikan langsung ke tangan YAB Pak Lah Perdana Menteri Malaysia, Warkah Bulan Jun ( Surat Terbuka kepada YAB Perdana Menteri ) , yang sebelumnya disiarkan pada posting 17 Jun 2008 dalam bahazain.blogspot.com. Saya tidak pernah membayangkan bahawa ada peluang untuk menyampaikan terus surat tentang isu bahasa ini ke tangan Perdana Menteri di kamar kerjanya di Putera Jaya atau di Parlimen. Saya menulis surat terbuka itu sebagai salah satu usaha terakhir bagi meyakinkan kepada Perdana Menteri bahawa soal bahasa ini bukan soal kecil, soal tamadun, untuk kepentingan negara, dan bukan untuk kepentingan kocek orang-orang tertentu. Saya bersyukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya suara saya itu dapat juga disampaikan ke mata serta telinga tokoh yang cukup berkuasa; mampu di dalam kekuasaan politik serta pentadbiran negara melaksanakan sesuatu yang munasabah dan sangat penting bagi kesejahteraan ilmu serta maruah bangsanya.

Sesekali emosi saya berasa sangatlah tegang dan dukacita kenapalah sekalian rungutan, permintaan, dan hujah yang ilmiah serta rasional untuk memulihkan semula kedudukan Bahasa Melayu ini seperti terbentur ke dinding yang tebal atau seperti air jernih yang mengalir ke danau besar yang bertuba. Kenapalah susah sangat mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu ke tempatnya yang merdeka seperti yang telah diperjuangkan oleh cendekiawan serta patriot sejak puluhan tahun sebelum sesetengah orang Melayu, Cina dan India pandai menyebut, “Merdeka !”. Mereka yang berbincang secara profesional atau pseudo-profesional tentang kontrak sosial, dan tentang peruntukan perlembagaan sedarkah bahawa Pendeta Za'aba, Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin Helmi, Aminuddin Baki, Keris Mas, Asraf, Usman Awang dan ratusan penulis serta budayawan lain telah memperjuangkan peri pentingnya Bahasa Melayu sebagai salah satu asas pokok yang harus dimerdekakan terlebih dahulu dalam perjuangan menolak penjajahan Inggeris, sehingga Dewan Bahasa Dan Pustaka itu sendiri ditubuhkan setahun lebih awal (1956) sebelum negara diistiharkan merdeka ( 1957).

Kenapa kah pemimpin-pemimpin politik , dan para pendidik Melayu hari ini sanggup menyaksikan dengan mata kepalanya bagaimana Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara di tolak sebagai paria di sisi bahasa Inggeris? Kita tidak menolak penguasaan bahasa Inggeris atau bahasa apa pun, asal jangan jiwa dan sikap kita dikuasai atau ditawan oleh bahasa asing. Apa kah emosi, jiwa dan fikiran kita telah dipariakan oleh budaya imperialisme Barat yang masuk secara halus melalui nilai-nilai kebendaan, sains dan teknologi yang tidak mengenal tradisi, batas budaya, agama dan kedaulatan sesuatu bangsa ? Kata Edward Said , pengkritik sastera dan kebudayaan Palestin-Amerika yang terkenal dengan idea pasca-kolonial, dalam bukunya , Culture and Imperialism : penjajahan langsung kebanyakannya telah tamat, tetapi imperialisme masih berkeliaran di tempat-tempat di mana ia pernah berada, dalam persekitaran budaya secara umum dan dalam amalan-amalan tertentu politik, ideologi, kemasyarakatan dan ekonomi. Apakah rakyat Malaysia dan pemimpin-pemimpin politiknya masih belum pulih daripada beban penjajahan lama, dan dalam waktu yang sama sikap mentalnya sedang diracuni pula oleh beban globalisasi baru ?

Kita bukan hendak kembali kepada sejarah. Kita mesti berubah dan bergerak ke depan; bukan berundur, tetapi ingin memanfaatkan sejarah. Masyarakat akan berfikir lebih baik, dan bertindak lebih bijaksana andainya ia memahami sejarah dengan lebih luas. Sekiranya kita kurang memahami sejarah atau sengaja memilih untuk menidakkan peristiwa-peristiwa penting masa lalu,( seolah-olah kehidupan hari ini baru bermula pada tahun 1957 ), dan sesiapa saja boleh menghujah apa saja bagi menafikan peristiwa-peristiwa perjuangan sebelumnya, janganlah kecewa nanti kalau kita hilang peluang untuk hidup lebih aman serta makmur. Profesional dan cendekiawan bukan Melayu nampaknya semakin fasih dan petah berhujah tentang hal-hal sejarah, kontrak sosial dan semangat Perlembagaan sementara orang Melayu seperti biasa sangat masyhur dengan kesabarannya. Berapa jauh kah dan sampai bila kah kita boleh amalkan kebebasan bersuara dan toleransi yang hebat seperti itu itu dalam masyarakat kita di Malaysia ini?