Thursday, 28 August 2008

KACAU --BANGSA DALAM KEKELIRUAN

Mewujudkan Ekologi Kebahasaan


Semalam sehari suntuk saya dan beberapa teman menyertai perbincangan tentang isu
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah. Turut hadir perwakilan dari persatuan-persatuan Cina, Tamil, Kadazan dan Iban. Cukup panas, banyak perbincangan dialektik, tetapi tak ada resolusi. Biasalah budaya moden Malaysia sekarang bincang, bincang, bincang dan tak ada tekad untuk membuat keputusan dan bertindak. Namun demikian ia sangat berfaedah kerana banyak memberi maklumat tentang pelbagai fikiran dan persepsi. Rupa-rupanya antara peserta yang konon dianggap elit, canggih, berpendidikan tinggi dan moden di situ ramai pula yang tak pandai berfikir secara konseptual dan rasional.


Kalau saya mahu merumuskan keseluruhan perbincangan itu, saya boleh berkata begini: ada yang setuju , dan ramai yang tak setuju. Masing-masing dengan alasannya berdasarkan latar belakang hidup masing-masing, pekerjaannya, hubungannya dengan kerajaan, falsafah atau tak ada falsafah kebangsaannya.

Apa yang menarik ialah (i) ada tanggapan bahawa sesiapa yang tak setuju dengan PPSMI dianggap menentang Bahasa Inggeris. (ii) Ada yang berpendapat bahawa Bahasa Inggeris itu adalah jendela dan kunci bagi segala ilmu, Sains, Matematik, dan juga kejayaan dalam hidup. (iii)Ada yang menyangka kenapa dibahaskan sangat isu ini kerana ia hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja ( Sains dan Matematik).

Ketiga-tiga pendapat atau tanggapan di atas jelas menunjukkan sangat ramai penduduk negara ini yang mempunyai persepsi yang keliru terhadap apa yang berlaku dalam pendidikan kita, terutama isu PPSMI. Ia juga menggambarkan budaya berfikir, dan nilai-nilai yang mempengaruhi pandangan hidup masyarakat kita sangat kacau, tidak jelas arah budaya
yang hendak dituju, dan tidak mengetahui secara sungguh-sungguh tentang masalah bahasa, ilmu, dan erti kejayaan dalam hidup bangsa kita. Tentulah banyak sekali faktor-faktor yang menyebabkan kita jadi begitu. Antara sebabnya ialah penduduk kita terdiri daripada tiga kaum besar yang memiilki kepercayaan, bahasa dan adat kebiasaan yang berbeza-beza sehingga menjadi masyarakat yang tidak padu dan tidak sama pandangan dunianya. Tentu juga rasa iri hati dan persaingan kebudayaan berlaku antara kita. Inilah masalah besar kerajaan yang sampai hari ini masih tak terdaya mengintegrasi kaum mengikut visi kebangsaan sendiri.

Berbalik kepada isu bahasa, tidak ada sesiapa yang waras fikiran menentang penguasaan Bahasa Inggeris atau bahasa apa pun, lebih-lebih lagi Bahasa Kebangsaan (malu kalau tak mahir membaca, menulis, dan berkomunikasi dalam bahasa negara ini). Tetapi janganlah gunakan Bahasa Inggeris untuk mengambil alih Bahasa Kebangsaan dalam Sains dan Matematik. Ini tak patriotik. Masakan ada rakyat yang mengaku nasionalis sanggup buat begitu. Jepun, Korea, Cina, Rusia, Perancis, Sepanyol, Arab, Jerman, Belanda dan Brazil buat seperti kita kah? Apakah mereka tak maju macam Amerika atau England?

Tentang ilmu janganlah kita terperangkap dalam fikiran penjajahan bahawa Bahasa Inggeris itu sahaja yang hebat mengandungi ilmu. Tanyalah Profesor Fizik, Matematik, Sains, danPerubatan bahawa bahasa-bahasa Portugis, Sepanyol, Perancis, Itali, Jerman , Cina dan Jepun kalau tidak lebih, sama sendat padat dengan penemuan-penemuan kajian dan ilmiah dalam bidang sains dan teknologi. Di sini pun siapa sangat yang pakai kereta dari Amerika dan England. Audi, Mercedes, Volkswagen, dan BMW dari Jerman; Toyota, Lexus, Honda, Nissan, Suzuki, Yamaha, Nikon, Olympus, Canon dan Sony dari Jepun. Hanya kerana secara tradisi kita daripada dahulu lagi terlatih dalam Bahasa Inggeris maka kita tak nampak kekuatan bahasa dan negara lain. Memang Bahasa Inggeris itu sangat berpengaruh dalam bidang perdagangan antarabangsa dan diplomasi, tetapi dalam bidang ilmu tak boleh kata ia paling unggul.

Dalam perbincangan yang berlangsung itu ada dua tiga orang ahli perniagaan (bank, syarikat korporat, dan badan swasta) berpendapat sesiapa yang tak petah dan lancar berbahasa Inggeris tak mungkin berjaya dalam negara. Memang ada juga kebenarannya kerana bukan sahaja syarikat swasta , agensi kerajaan pun hendakkan pekerja pandai Bahasa Inggeris. Cuma perlu ingat bahawa bukan mesti Bahasa Inggeris itu jawapan bagi segala kejayaan hidup. Di England, New York dan Chicago, Filipina atau India ada ramai juga peminta sedekah dan penganggur yang pandai berbahasa Inggeris. Selain itu pengertian kejayaan itu bukan mesti dijamin oleh Bahasa Inggeris kerana moral, akhlak, kejujuran dan amanah adalah juga penting bagi keperibadian seseorang rakyat. Ingat skandal kewangan BMF yang terbesar dekad 80-an dahulu dilakukan oleh dua tiga orang profesional Melayu yang sangat pintar berbahasa Inggeris. Jadi janganlah nilai martabat dan kejayaan seseorang itu dipandang daripada kelulusan, kekayaan dan bahasanya. Berapa banyak kereta dia ada mungkin bukan daripada titik peluh yang halal.

Tentang ada yang merungut kenapa hebohkan sangat PPSMI ini kerana melibatkan dua subjek sahaja. Lagi sekali ramai yang keliru. Ada Menteri pun pernah keliru . Apabila tiba pada tahap sekolah menengah semua subjek yang berasaskan Sains dan Matematik ( Fizik, Kimia, Biologi, Matematik, Matematik Tambahan, Kejuruteraan Awam, Elektrik, Teknologi etc.etc) kira-kira
70% semuanya akan diajar dalam Bahasa Inggeris. Jadi siapa peduli pada Bahasa Melayu lagi. Sekarang pun ibu bapa sudah menghantar anak-anaknya ke kintergarden Inggeris. Tak boleh salahkan ibu bapa kerana mana ibu bapa mahu anaknya ketinggalan di sekolah nanti kalau begini keadaannya.

Tegasnya memang berlaku kekeliruan besar dalam fikiran dan kebudayaan bangsa kita terhadap soal bahasa, ilmu, kejayaan dan masa depan kebangsaan dan jati diri negara ini.

Saya berpendapat untuk orang Melayu Islam mempertahankan jati diri dan agamanya, mulailah mendidik anak masing-masing menguasai tiga bahasa: pertama Melayu, Inggeris dan Arab. Dua bahasa lagi yang semakin penting di dunia ialah Mandarin dan Sepanyol yang dijangka akan menggeser Bahasa Inggeris ke tempat ketiga di bawah. Bahasa Melayu, Arab dan Hindi diduga akan berada pada kelompok keempat di bawah Mandarin, Sepanyol dan Inggeris.

Pemimpin negara kita dari sekarang misti memikirkan orientasi kebudayaan di masa depan dalam soal menguasai bahasa dan ilmu. Perlu diwujudkan ekologi kebahasaan di mana penguasaan dan profisensi Bahasa Melayu itu penting, dan dua bahasa lain lagi bagi setiap pelajar.

Wednesday, 20 August 2008

PERSOALAN SAINS Dan MATEMATIK Di SEKOLAH

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) masih diperbincangkan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengatur Persidangan Meja Bulat pada 27 Ogos dan mengundang sejumlah wakil-wakil NGO's untuk memberi pandangan masing-masing. Baguslah KPM bertindak demikian kerana ini isu yang besar dan mempunyai implikasi politik serta kesan yang jauh dalam kehidupan generasi akan datang. Jangan lagi berulang keputusan yang bersifat kuku besi memaksa tanpa dirujuk kepada rakyat atau kelompok yang prihatin sewaktu PM mengarahkan PPSMI pada 2003.

Tentang isu yang sama Tun Dr Mahathir dalam blognya chedet.com pada 10 Ogos telah mempertanggungjawabkan keputusannya itu dengan memberi alasan yang kira-kira boleh dirumus begini:

* Dia mahukan bangsanya kuat dan boleh bertanding dengan negara-negara maju.

* Untuk tujuan itu dia mahu memperhebat penguasaan ilmu oleh bangsanya.

* Ilmu Sains dan Matematik sangat penting bagi kemajuan ilmu pengetahuan sesuatu bangsa.

* Untuk segera menguasai ilmu-ilmu baru serta ilmu Sains dan Matematik gunakan Bahasa Inggeris.

* Bahasa Inggeris memiliki segala macam ilmu.

*Terjemahan ke dalam Bahasa Melayu lambat dan terbatas.

* Untuk segera mencapai matlamat strategi ini gantikan Bahasa Melayu sebagai pengantar dalam Sains dan Matematik dalam kelas tahun satu, dan tingkatan satu mulai tahun 2003.

* Mereka yang menentang keputusannya ini hanya mengutamakan Bahasa Melayu sahaja dan tidak boleh mendakwa sebagai pejuang bangsa dan agama. Mereka tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.

Saya berharap saya berlaku adil merumuskan pandangan Tun Mahathir seperti di atas , dan tidak salah mentafsirkannya.

Berdasarkan kenyataan di atas kita patut puji niat dan impian Tun Mahathir. Tak mungkin ada nasionalis
yang tak mahu bangsanya kuat dan setanding dengan bangsa-bangsa lain. Juga tak ada sesiapa yang sehat akalnya menganggap ilmu tidak penting. Sehiingga hari ini masih tak terbukti ada nasionalis atau pejuang-pejuang Bahasa Kebangsaan yang mengatakn Bahasa Inggeris tidak penting sehingga mengutamakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda sahaja. Kalau ada sesipa yang berkata begitu, ia adalah suatu fitnah .

Sekali baca hujah atau alasan-alasan Tun Mahathir nampak meyakinkan dan mudah difahami, dan tidak susah diikuti jalan fikirannya. Tetapi apabila diteliti secara mendalam , apa implikasinya , dan cara pelaksanaannya , maka jalan fikiran Tun Mahathir adalah simplistik , tidak berpandangan jauh dan tidak bijaksana. Selain daripada itu dia berfikir secara hitam putih (binary), iaitu sesiapa yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik, bererti mereka mengutamakan "penguasaan bahasa ibunda sahaja". Ini tidak benar kerana yang ditentang ialah penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar menggantikan Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik. Bukan Bahasa Inggeris per se yang ditentang.

Keputusan dan pelaksanaan PPSMI tersebut pada 2003, dilakukan secara tergesa-gesa selepas diumumkan pada September 2002 . Pada mulanya dijelaskan untuk memperkukuh kemahiran Bahasa Inggeris, dan kemudian konon untuk mengajar konsep-konsep sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Kedua-dua alasan ini tidak betul kerana untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris harus diajar subjek itu dengan sempurna, dan untuk mengajar konsep atau idea Sains dan Matematik kepada kanak-kanak pada awal zaman persekolahan adalah lebih berkesan melalui bahasa ibunda masing-masing. Semua ini menunjukkan tidak jelas serta tidak kukuh rationale bagi PPSMI ini kerana andaian atau premis bagi keputusannya sering berubah-ubah. Ia membuktikan pemikiran yang terperinci tidak diberikan bagi memahami masalah pelaksanaannya serta kesan-kesan positif dan negatif yang timbul dalam jangka pendek dan panjang .

Apabila kita bercakap tentang ilmu pula, kita tidak hanya memikirkan ilmu Sains dan Matematik dan ilmu-ilmu lain yang berasaskan Sains dan Matematik saja. Ilmu itu sangatlah luasnya dan bukan yang bersifat kuantitatif saja. Bangsa kita harus berimbang rohani dan jasmaninya, kebendaan dan akhlaknya, kebebasan dan patriotismenya, dunia dan akhiratnya. Ilmu-ilmu sains sosial, kemanusiaan, falsafah, estetika, etika, sejarah, undang-undang, agama dan sejumlah yang lain adalah juga penting bagi kehidupan jasmaniah dan rohaniah yang berimbang.

Dalam zaman globalisasi sekarang Bahasa Inggeris itu memang penting dan harus kita kuasai. Kita juga perlu insaf Bahasa Inggeris itu pula bukan segala-galanya. Tidak semua keperluan ilmu
dapat diberikan olehnya. Bahasa Jerman, Perancis, Mandarin, Jepun , Sepanyol, Rusia dan Arab
juga memiliki khazanah dan ilmu yang kita perlukan bagi kekuatan bangsa. Dalam waktu yang sama kita harus juga fikirkan kepentingan Bahasa Melayu bagi kesinambungan nilai-nilai dan jati diri bangsa kita. Kalau kita abaikan kita akan ditelan oleh prosese globalisasi yang didominasi oleh Bahasa Inggeris dan agenda Amerika yang hendak menyebarkan fahaman demokrasi dan hegemoninya ke atas dunia Islam dan negara membangun. Maka di sinilah diperlukan suatu dasar pendidikan yang membolehkan kita melalui bahasa menyerap kekayaan ilmu dari dunia luar dan dalam waktu yang sama memelihara kelangsungan sosial dan budaya bangsa.

Bagaimanakah ikhtiar kita untuk memanfaatkan bahasa-bahasa antarabangsa dan membina Bahasa Kebangsaan kita dalam satu sistem yang menang-menang dan tidak membantutkan Bahasa Melayu dalam perkembangannya sebagai bahasa ilmu yang moden. Ini persoalannya.
Usaha terjemah menterjemah melalui tenaga profesional manusia dan melalui bantuan komputer harus dijadikan suatu agenda besar negara bagi tujuan memperkaya iilmu dan Bahasa Kebangsaan. Mengadakan dua atau tiga ratus tenaga penterjemah yang ahli dalam bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Mandarin, Sepanyol, Itali, Arab dan Rusia bukanlah suatu kemewahan, tetapi adalah suatu keperluan yang mendesak untuk digembeleng dalam sebuah institusi atau akademi yang moden. Kalau kita boleh bina KLCC, Putrajaya, dan Litar Formula One, adalah aneh kalau kita menganggap cita-cita ini tidak penting. Sudah tiba waktunya kita
memikirkan pembangunan literasi dan akal budi bangsa kita sama pentingnya dengan pembinaan prasarana ekonomi. Di tengah-tengah sekalian pembangunan itu adalah pembangunan manusia. Di sinilah Dasar Pendidikan, Dasar Kebudayaan dan Dasar Ekonomi
harus berhubung kait antara satu dengan yang lain.

***
Isu besar akibat PPSMI ini ialah bukan saja kemerosotan pelajaran ratusan ribu pelajar, terutama anak-anak Melayu di luar bandar, tetapi juga akan hancurnya Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kita tidak menyedari bahawa Bahasa Melayu itu dari segi jumlah penutur dan kekuatan ekonomi di belakangnya adalah antara kelompok 10 bahasa terbesar di dunia.
Dengan pelaksanaan PPSMI ini bererti kerajaan kita melakukan serangan terhadap Bahasa Melayu; dan dalam beberapa tahun lagi akan membunuhnya sebagai bahasa ilmu di Malaysia.

Siapakah yang berani mengaku bertanggungjawab? Siapakah sekarang yang harus bertanggungjawab membetulkan semula kesalahan yang berlaku?

Sunday, 17 August 2008

OLIMPIK dan MASJID: Malaysia Boleh

Pada saat Lee Chong Wei berhasil mencipta rekod perak, dan sedang menghadapi saat-saat akhir yang tegang untuk merebut emas sebagai rekod pertama negara di Olimpik, Malaysia telah terlebih dahulu mencipta rekod pertama dalam sejarahnya apabila Mohd. Saiful Bukhari melakukan "sumpah laknat" dimasjid atas nama Allah dengan menyatakan beliau telah diliwati oleh Dato' Anwar Ibrahim.

Lee Chong Wei terbaring membujur dengan raket tergeletak di lantai gimnasium Universiti Teknologi Beijing, serta kedua belah tangannya di muka seolah-olah berdoa mengucapkan syukur .Saiful pula dengan bergaya duduk bersila memegang al-Quran di tangan kiri, dan sehelai kertas di tangan kanan di lantai solat Masjid Wilayah Persekutuan . Maka terjadilah kedua-dua kisah yang merebut perhatian negara pada hari menjelang Nisfu Syaaban bersamaan 17 Ogos 2008.

Apa yang dilaksanakan oleh Saiful ini saya fikir adalah peristiwa bersejarah pertama kali dilakukan oleh seseorang yang menyatakan dia menjadi mangsa oleh perbuatan jahat orang lain. Barangkali juga ini adalah peristiwa pertama kali dalam 1400 tahun sejarah Islam , sumpah yang melibatkan nama dua orang: mangsa dan pemangsa. Kalau benar ini adalah peristiwa sejarah yang pertama di Malaysia dan di dunia Islam, memang ini adalah sesuatu yang sangat hebat yang Malaysia boleh lakukan.

Tunggulah apakah Lee Chong Wei boleh menang dalam final badminton di Beijing; dan apakah Anwar Ibrahim boleh kalah dalam Pilihan Raya di Permatang Pauh? Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Pengadil. Dialah yang mengetahui bila sesehelai daun akan gugur ke bumi. Salut "Malaysia Boleh".

Thursday, 14 August 2008

membunuh kunang-kunang, tersesat di hari siang




Telah kau bunuh kunang-kunang
Yang berkelipan dalam gelap malam
Dengan lampu suluh di tangan
Tersesat engkau di hari siang.



Dapatkah engkau kembali

Melangkah ke belakang

Memohon maaf di pangkal jalan?



Segala-galanya telah sirna
Kunang-kunang kematian cahaya
Lampu suluh tidak di tangan lagi
Hanya sesal dan kelam menikam diri.


Monday, 11 August 2008

SAJAK-SAJAK MERDEKA

TENTANG KRITIKAN

Dalam simpang- siur kritikan itu
tertulis sebuah puisi yang terasing
daripada perdebatan berlingkar berbelit
menyeringai ke angkasa tinggi
memuntahkan pelangi.

Memang perdebatan bisa seru dan sengit
tak selalu lurus kerana berbelit
bagai ular dan naga
menelan ekor kecilnya
yang disangka geliga.


ABOUT CRITICISM


On the higway of criticism
is etched a poem, one alien
to the rambling debates
grinning to the high heavens
and throwing up a rainbow.

It's true, debates may turn bitter
often indirect , for they wind
as snakes and dragons
which swallow their tails
mistaking them for pearls

( Translated by Prof. Muhammad Haji Salleh
from Postponing Truth and Other Poems)

Saturday, 9 August 2008

Membangunkan Manusia Dalam Politik Negeri

Tak akan diluluskan lagi projek pembangunan baru di lereng bukit. Demikian kata bos baru Selangor, Menteri Besar, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim ( NST, 3 April 2008) . Walau bagaimanapun 141 projek yang pentadbiran dahulu luluskan boleh jalan terus. Bayangkan kalau BN terus berkuasa apakah nombor 141 itu akan bermaharajalela dan menjalar ke 150 lalu meliar ke 365 (sempena angka 365 hari dalam satu tahun) ? Kalau kita bermain-main dengan angka dahulu dan angka sekarang, bagaimana daripada 141 boleh menjadi tak ada langsung ( 0 ). Takkanlah begitu besar dan mendadak perubahannya, dan takkanlah kerajaan sekarang anti pembangunan. Tidak mungkin juga pemimpin kerajaan sekarang ini mahu tunjuk gimik atau pepatah baru: “ penyapu lama membawa sial, penyapu baru menyapu bersih “.

Semua kita yakin bahawa pemimpin-pemimpin sekarang belajar banyak daripada krisis dan kebobrokan sosial akibat pembangunan kebendaan yang tak dikawal dengan otak yang bijaksana. Tanah runtuh di lereng bukit; banjir lumpur menyerbu ke dalam rumah; parit dan longkang tersumbat; kesesakan jalan raya yang menggila ; dan kekurangan pengurusan prasarana untuk rakyat di kawasan-kawasan majlis tempatan ( parit, jalan, tong sampah, longkang, lampu, tempat riadah atau taman,anak sungai dll) adalah pengalaman yang biasa .

Kita belum lagi menyorot jauh ke dalam masalah sosial yang semakin kacau serta rumit ( jenayah, penyalahgunaan dadah, perlumbaan haram, ponteng sekolah, seks bebas di kalangan remaja dan dewasa, ceruk-ceruk gelap hiburan dan judi , arak etc. ). Tidak semua salah laku sosial ini berpunca daripada kemiskinan ekonomi, tetapi hasil daripada kegoncangan nilai-nilai dan norma akibat pembangunan fisikal itu sendiri: perumahan, industri, lebuh raya, kompleks dagang dan sebagainya. Memang tak akan mungkin ada satu masyarakat bebas dan moden yang ideal: bersih ,selamat serta berdisiplin seratus persen.

Menginsafi hakikat itulah maka setiap seorang pemimpin sosial, lebih-lebih lagi pemimpin politik yang mentadbirkan negeri atau negara, harus berfikir tentang pembangunan sosial, pembangunan moral dan akhlak, pembangunan akal budi, pembangunan estetik, pembinaan kreativiti dan inovasi dan lain-lain pembangunan kemanusiaan, pembangunan yang manusiawi sifatnya, dan bukan memberi keutamaan yang berlebihan kepada pembangunan kebendaan, dan prasarana fisikal yang mewah, tetapi pada jangka panjangnya tak menimbulkan kesejahteraam dan tak terpelihara dengan sempurna. Jadikanlah keinsafan tentang perseimbangan moral-material, teknologi-kemanusiaan, ekonomi-sosial,dunia-akhirat, dan rohani-jasmani sebagai filsafat pembangunan politik baru .

Apa gunanya anak muda menunggang motosikal yang laju dan berjentera maju kalau biadab di jalan raya, tanpa hormat kepada pengguna jalan yang lain; telefon dan komputer yang canggih untuk berasmara atau berborak kosong atau menonton porno; rumah yang mewah, tetapi miskin buku; berjiran tetapi tak bertegur sapa; galeri dan perpustakaan yang mahal, tetapi isi dan perkhidmatannya usang; dataran dan lapangan menjadi tempat orang melepak sepanjang senja dan malam; dan pendapatan keluarga meningkat berlipat ganda , tetapi anak-anak di rumah bakal menjadi generasi yang kehilangan kasih sayang dan nihilistik. Ini semua adalah bahagian pembangunan sosial, mental dan emosi yang susah, rumit, dan boleh mengelirukan, dan selalu pula dilupakan kerana pemimpin asyik hendak menunjukkan KPI atau prestasi kejayaan melalui pembangunan yang tangible atau nyata pada pandangan mata.

Lebih parah lagi apabila ada pemimpin yang menjadi gila gah tanpa peduli penggunaan wang rakyat kerana hendak menunjuk-nunjuk ke dunia tentang kecemerlangan teknologi, perniagaan, dan prasarana ekonomi sewaktu kepemimpinannya. Baru-baru ini seorang teman dari Jepun menginap di rumah saya. Dia tinggal di kawasan sesak dan mahal di Shinjuku, Tokyo. Saya tak sempat untuk membawanya ke luar kota untuk melihat kehidupan kampung yang lebih tenang dan bersahaja. Dia pernah mendengar KLCC dan Putera Jaya dan saya membawanya bersiar-siar ke situ. Dia pandai berbahasa Melayu dan Jawa, dan pernah mengkaji Borobodur.

Saya tidak bertanya apa-apa tentang kesan pandangannya kerana saya tahu benar dia sangat berhati-hati untuk memuji , lebih-lebih lagi mengkritik , tetapi anak saya bertanya bagaimana pandangannya terhadap mercu tanda Malaysia . Dia hanya menjawab ringkas dengan kalimat yang pendek, “Ya , megah.” Saya tidak ingin melanjutkan perbincangan tentang watak , jati diri dan gaya estetik pembangunan yang megah itu kerana tak ada watak kemelayuan atau kemalaysiaan yang memukaukan, kecuali ketinggian yang mengamamkan, dan kubah-kubah ala Arab, India atau Turki yang tersergam.

Di sini yang ingin ditanyakan kepada YAB Tan Sri Khalid ialah jati diri atau identiti budaya apa yang Selangor hendak tonjolkan mengingat negeri ini tidak juga kurang dengan muzium, galeri, kompleks budaya, perpustakaan dan dewan-dewan persembahan , malahan merumahkan institusi yang melatih seniman, pelukis, penulis, pengarca, perupa , dramatis, pengkritik seni, pembikin filem dan arkitek ? Takkanlah kita cukup selesa menonton nama-nama jalan dan taman-taman perumahan dan pengisiannya seperti rupa Hongkong, Singapura atau Amerika ( ingat presint, boulevard ).

Barangkali majlis-majlis perbandaran atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor patut memperhebatkan usaha penggunaan nama, meningkatkan estetik bangunan serta landskap yang ada relevansinya dengan budaya dan flora fauna serta jati diri tempatan. Khabarnya Dewan Bahasa dan Pustaka ada menerbitkan dan memberi percuma buku Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan . Kita menunggu wajah baru negeri daripada kerajaan yang baru.


* Diterbit semula dengan ehsan Malaysian Digest. Pertama kali diterbitkan di www.malaysiandigest.com pada bulan Mei 2008

DUGAAN SETENGAH ABAD MERDEKA

Sudah beberapa hari blog ini terhenti . Ini bulan mengenang kembali kemerdekaan , iaitu tahun ke-51 negara kita dikatakan merdeka daripada penjajahan Inggeris; bebas untuk mentadbir dan menentukan nasib dan wataknya. Apa yang terjadi di depan mata kita hari ini? Kemelut, kacau, korupsi, penyelewengan amanah dan kedudukan, tekanan terhadap sistem kehakiman, nepotisme dan kronisme, dan terakhir inflasi yang mengakibatkan barang makanan mahal. Bukan sekadar faktor minyak melonjak naik. Pemimpin kita tidak cukup bijaksana merancang dasar dan pembangunan satu dua dekad yang lalu. Dalam hal makanan tanah air kita dianugerahi Tuhan dengan alam semula jadi yang luar biasa hebatnya: sepanjang tahun air hujan, dan sinar matahari; tanah luas, sungai dan lautan di sekelilingnya; dan tiada gempa, taufan dan gunung berapi. Hutan ditebang untuk mengkayakan segelintir pemimpin politik dan kuncu-kuncu kapitalis; tanah terbiar tidak ditanam seoptimum mungkin dengan pohon-pohon makanan; bangunan tinggi dan besar tersergam tidak memanfaatkan rakyat biasa. Sekarang baru dapat dibaca kebobrokan itu. Dalam proses dekonstruksi politik, kehakiman, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan pada hari ini, ramai pula yang bercakap tentang kepentingan Melayu. Mereka yang bercakap ini adalah pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa beberapa tahun yang lalu. Mereka telah mengkhianati kepercayaan rakyat. Golongan cendekiawan juga sama berdosa kerana lebih banyak menghalalkan perbuatan salah pemimpin di atas, dan baru sekarang pula sibuk bercakap kepentingan Melayu. Dahulu kepentingan Melayu mana yang dibela?
Sebagai salah satu contoh ialah isu bahasa dalam pendidikan, ada beberapa orang Menteri Besar, seorang Ketua Menteri, dan beberapa orang Menteri Persekutuan yang secara terbuka menyokong keputusan PM
yang meminggirkan Bahasa Melayu pada tahun 2003. Kita akan catat nama-nama mereka apabila tiba waktunya nanti. Sementara itu berikut sebuah sajak dalam kumpulan yang baru terbit : Postponing Truth and Other Poems ( Menagguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak lain) terjemahan Prof. Muhammad Hj . Salleh sebagai cinta patriotik saya kepada negara kita.

ENGKAU dan AKU dalam KEMERDEKAAN

engkau kata merdeka
aku kata bebas


engkau kata negara
aku kata tanah air.

engkau kata setia
aku kata berontak
engkau kata ia
aku kata tidak.

engkau bilang menteri
aku bilang rakyat
engkau bilang masa depan
aku bilang masa silam
engkau bilang wawasan
aku bilang slogan.

engkau bilang kebangsaan
aku bilang kekuasaan
engkau bilang politik
aku bilang duit
engkau bilang telus
aku nampak korupsi.

Engkau bilang berjuang untuk bangsa dan agama
Aku tanya kenapa engkau khianati bahasa?