Saturday, 27 December 2008

WAJAH MELAYU DI MATA ORANG ( ii )

(Sambungan Paparan Lalu)

Dalam teks yang sama ada beberapa gambar orang Melayu. Swettenham memuji rupa wajah dan pakaian perempuan-perempuan Melayu yang memang sungguh ayu dan menarik dalam dua keping gambar.

Ada dua gambar lain yang elok juga kita baca keterangannya bagi menyelami persepsi dan pendapat pegawai British ini terhadap orang kita pada zaman dahulu. Gambar pertama : seorang lelaki Melayu berkopiah ketayap dan berkaki ayam menarik tenggala (bajak) , dan seorang perempuan berkain, dan bertudung kepala menyorong dari belakang. Keterangan atau caption gambar berkata begini:

MELAYU MALAS BERSUSAH PAYAH MEMBAJAK TANAH
" Alat yang digunakan oleh orang Melayu untuk pertanian sangatlah kuno; sebuah tenggala biasanya dibuat daripada cabang pokok dengan mata tenggalanya berbentuk kasar. Waktu lama yang memenatkan digunakan oleh buruh tani ini bagi mengerjakan tanah kepunyaannya, kerana mereka sangat tak suka berkerja tekun, dan kemalasan serta tabiat suka berseronok membuat mereka lebih suka berhutang daripada mencari wang.

Gambar kedua menunjukkan sepasang lelaki memakai kain, sepatu dan berketayap sedang menari, dan tiga orang lain bertinggung sedang asyik menonton.Keterangan gambar berbunyi begini:

TARIAN MELAYU DENGAN GERAKAN PENUH BERGAYA
" Bagi orang asing tarian ini memang membosankan--ulangan gerak geri yang itu itu juga; tetapi orang Melayu meminati apa yang dilakukan oleh penari mereka, dan sorakan penonton disambut dengan suara pekikan pujian daripada pemukul gendang yang memukul dengan sekuat-kuatnya gendang yang kosong.


Nampaknya Swettenham merumuskan bahawa bangsa Melayu ini memang baik hati dengan orang, bersopan, hormat, mesra, dan bergaya , tetapi boleh pula tanpa diduga mengamuk sampai membunuh. Melayu juga katanya: malas, tak suka bekerja kuat, leka berseronok dan suka berhutang daripada bekerja tekun mencari wang.

Barangkali kalau orang Melayu rajin dan tekun bekerja tentu hasil negeri bertambah berlipat ganda dan Inggeris akan memuji kerana boleh menjadikan Melayu hamba abdinya untuk mengaut lebih banyak wang untuk dihantar ke London sebagaimana dia ceduk daripada bijih timah dan getah yang dikerjakan oleh bangsa Cina dan India yang dianggapnya kuli. Tapi takkanlah bangsa Melayu macam itu juga sampai hari ini kerana sekarang sudah merdeka daripada penjajah Inggeris. Terserahlah apa yang anda fikirkan.

(Bersambung)

Thursday, 25 December 2008

WAJAH MELAYU DI MATA ORANG

Seratus dua puluh tahun yang lalu, orang Melayu daripada kaca mata seorang pentadbir Inggeris , beginilah rupanya:



" Sifat-sifat Melayu itu, dalam satu segi, mencerminkan persekitarannya. Dia bergaya dan bersopan santun, seperti bayu yang selalu menggetarkan daun-daun dusun sewaktu dia duduk termenung berangan-angan di bawah cahaya matahari di tebing salah satu daripada sungai-sungainya yang berair jernih. Ada waktunya, dia berbahaya dan tak menentu seperti ribut Sumatra, yang tiba-tiba

menjelma dan dalam beberapa minit memusnahkan apa jua di depan matanya. Itulah keadaan fikirannya yang membuat dia mengamuk, satu bentuk mania yang cenderung membunuh tanpa tolak ansur lagi. Kedaan ini semakin berkurangan walaupun pada zaman tradisi peristiwa demikian biasa terjadi dalam masyarakat ini...



Apa yang membuat dia sebagai seorang gentleman yang semula jadi susah hendak diterangkan , kerana asal usul bangsa Melayu tidak diketahui, walaupun besar kemungkinan sepanjang beberapa abad berkembang di Sumatera, Jawa, dan Semenanjung Tanah Melayu, dan di kepulauan-kepulauan sekitarnya, asalnya datang dari India. Kehidupannya di pinggir hutan yang dipenuhi dengan binatang-binatang liar menjadikannya pemburu, dan daripada sungai serta lautan sebagai sumber pendapatan yang mudah, menjadikan dia pelayar yang mahir dan perenang serta penyelam yang hebat.



Sifat utamanya ialah enggan bekerja kuat terus-terusan; cuaca dan tanahnya membuat dia percaya bahawa dengan sedikit usaha, kehidupan tetap boleh diteruskan, dan dia menerima hakikat ini. Dalam iklim yang tidak betul-betul sejuk, di mana kayu api mudah diperolehi untuk membakar, dan bahan-bahan membuat tempat tinggal senang dicari tanpa banyak belanja; untuk hidup bagi orang sihat yang tak bercita-cita tinggi tidaklah susah... Melayu adalah "Mohamedans " dan tidak meminum barang yang memabukkan, tetapi merokok tembakau tempatan atau yang diimpot, dan itulah kemewahannya. Semua yang tersebut di atas berlaku di kalangan yang miskin walaupun sebahagian besarnya pemilik tanah.



Orang Melayu itu kuat, bertubuh baik, tampan, dan berkelakuan menarik, dan apabila dia berminat dia boleh membuat apa saja serta tabah. Duit bukan selalu mendorong dia berkelakuan begitu, tetapi naluri baik hati, atau keinginannya untuk menyenangkan hati orang yang disukainya atau dihormatinya , akan melahirkan sifat-sifat terpuji yang ada dalam dirinya.

Bagi orang-orang Inggeris yang bersimpati, orang Melayu itu sangatlah menyenangkan, kalau mereka faham akan dia, dan dia pula faham akan mereka."

( Sir Frank Swettenham, " The Malay States and Their Tropic Life", dlm

J.A. Hammerton ( Edit.) People of All Nations: Their Life Today and the Story of their Past, Jilid II, (London: Educational Book. Co , Limited, N.D. ), Hal. 878-879.



Swettenham mula tiba ke Tanah Melayu pada usia muda 19 tahun selepas belajar di Cambridge. Dia pertama kali melawat Selangor pad tahun 1872, dan pada tahun 1882 dilantik sebagai Residen British di Selangor. British tak berbuat banyak membangunkan negeri ini, tetapi pada waktu beliau di Selangor (1882-89)

dia telah memberi banyak perhatian dan seperti Hugh Low di Perak , dia membuat banyak perubahan . Swettenham adalah antara pegawai-pegawai pentadbir British yang dianggap memberi banyak pengertian kepada orang Melayu seperti Ernest Birch (anak JWW Birch yang dibunuh), Wilkinson, dan Hugh Low.



Itulah tanggapan yang diberikan oleh Swettenham, dan imej Melayu itu tidak sama dengan imej Cina dan India yang dilukiskan olehnya. Bagaimana pun itulah Melayu di mata Mat Salleh pada zaman satu abad yang lalu. Bersetujukah anda ? Bagaimana Cina dan India sekarang melihat Melayu? Orang Melayu mesti belajar mengetahuinya. Demikian juga sebaliknya supaya masyarakat Malaysia tidak hidup dalam persepsi yang kacau; dalam pride yang palsu, dan prejudis yang liar.


(Bersambung)

Monday, 15 December 2008

SIAPA ITU MELAYU?

Saya menjenguk blog yapchengyee setelah namanya menjelma dalam senarai e-mel saya. Pemaparan dalam blognya yang terakhir mempertanyakan takrifan 'Melayu' kerana menurutnya : Dia menghadiri suatu perbincangan tentang apa makna Melayu dan peserta2 panelnya memakai pakaian seperti orang Melayu, tetapi mukanya muka India. Yap juga membincangkan bahawa Perdana Menteri Mahathir berketurunan India, dan Abdullah Ahmad Badawi berdarah Cina, tetapi hanya sekali sekala memakai pakaian Melayu , malah sering dibaluti tubuhnya dengan pakaian Barat.



Dia seolah-olah berkata sesiapa pun kalau begitu boleh jadi Melayu apabila berpakaian Melayu sekali sekala. Betul juga katanya. Mantan PM dan penggantinya sekarang ( bakal menjadi mantan PM pada bulan Mac 2009) bukan 100% Melayu. Bukan Jawa, Banjar, Bugis , Minagkabau, Mandailing atau Melayu-Riau pun. Katanya menurut Perlembagaan, Melayu itu mesti mengamalkan cara hidup Melayu, dan beranggapan sekali sekala berpakaian Melayu bolehlah siapa-siapa saja dipanggil Melayu.


Tafsiran Melayu seperti dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ramai diketahui, malah oleh orang Melayu sendiri. Imej Melayu itu pula memang selalu meragukan, bukan saja kerana darahnya, malah sikap , mentaliti dan pendiriannya. Jadi saya jawab kepada kepada blogger ini kira-kira begini:

"Saudara telah menimbulkan satu isu yang menarik tentang soal siapa Melayu. Memang betul Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi itu bukan Melayu tulen. Jadi sesiapa saja boleh menjadi Perdana Menteri dalam negara yang bebas dan demokratik ini asal saja bergelar Melayu. Saya nasehatkan sdr berunding dengan mana-mana kawan sdr yang ahli tentang Perlembagaan Persektuan untuk mengetahui dengan betul tafsiran Melayu menurut perlembagaan."


Melayu itu adalah bangsa yang sangat ramah tamah, mudah bertolak ansur dan banyak memberi (very hospitable to guests, ever willing to compromise, and concedes a lot). Jadi kalau pemimpin politiknya banyak mengalah dan memberi , malah secara sendiri mengurangi unsur-unsur kebudayaannya untuk digantikan dengan budaya orang lain, mereka tidaklah boleh dituduh mengkhianati bangsanya kerana itu semua tak apa bagi masyarakat Melayu di bawahnya. Saya juga menasehati Yap, segeralah bertindak sementara pembantaian terhadap Melayu itu semakin panas supaya lebih banyak keuntungan dicapai walaupun PM baru , Dato' Najib akan mengambil alih nanti.

Kita orang Melayu ini memang cukup ironik. Walaupun sangat patriotik dan sayangkan keturunan, adat resam, bahasa dan agama, tetapi membiarkan pemimpinnya menyerah banyak apabila digugat dan dicabar terang-terang oleh orang lain. MIC dan Hindraf yang sejemput ( tak sampai 10%) itupun semakin lantang , tetapi itulah manifestasi yang betul daripada tanggungjawabnya sebagai pemimpin kaumnya. Melayu yang majoriti sampai 60% ini menikus di bawah ketiak pemipin negaranya, dan terpukau di bawah retorik politik yang bergema. Sampai bahasanya dipinggirkan oleh mantan Perdana Menterinya, orang Melayu masih terpegun dan terpukau, dan memujanya, termasuk beberapa tokoh budaya Melayu sendiri.Bayangkan kalau jumlah orang Melayu hanya kira-kira 10% saja seperti India, tentu membisu dan membuta tuli langsung.

Orang Melayu memang sungguh berbangga serta megah dengan kesetiaan dan kemurahan hatinya sehingga orang India dan Cina melihat kita sebagai badut sarkis yang berpakaian warna warni di dalam gelanggang yang penuh dengan najis dan kencing kuda.

Waktu kecil dahulu saya suka menonton sarkis yang datang membuat persembahan dekat kampung , tetapi sekarang nampaknya tak ada lagi persembahan yang memukau seperti pada zaman kanak-kanak dahulu. Walau bagaimanapun sarkis tersebut digantikan oleh sarkis yang lebih moden dan canggih kerana kalau dulu monyet atau orang tunggang kuda, sekarang orang tunggang orang.



( Bersambung dalam paparan selanjutnya)

MEREMAJAKAN PENGUCAPAN BUDAYA NASIONAL

Kebudayaan yang hidup memberikan ruang dan peluang untuk individunya mengucapkan imaginasi dan kreativitinya baik melalui tulisan, ukiran, suara, gerak badan, atau cara pengungkapan yang lain. Ini sebahagian daripada kebebasan demokratik dalam masyarakat yang sivil. Untuk kebudayaan menjadi asas tamadun dan pembangunan bangsa, bukan sahaja kebebasan yang wajar perlu diberikan bagi pengucapan kesenian dan intelektual, malah usaha memperkasa atau memberdaya (empowerment) dirancangkan supaya bakat-bakat di dalam masyarakat mudah melahirkan ciptaan, inovasi dan ekperimen bagi dinikmati oleh orang.

Inilah antara pendekatan budaya bagi menyegarkan kehidupan kebudayaan, pengalaman masyarakat, dan meremajakan proses pembangunan negara. Kita akan rugi kalau tidak membangunkan bakat; dan adalah satu jenayah kalau membazirkan bakat baik di dalam keluarga mahupun negara.

Dengan pengertian inilah Dewan Bahasa dan Pustaka patut dipuji kerana telah menjalankan satu program penggalakan bakat remaja dalam lapangan penulisan , secara tetap sejak 22 tahun lalu.
Antara bakat-bakat yang terbukti telah mencatatkan nama dalam perkembangan kesusasteraan semasa-- juga memenangi pelbagai hadiah persuratan seperti Rahimidin Zahari, Shamsuddin Othman, Zaen Kasturi, Lutfi Mohd, Faisal Tehrani dan Khairunnasriah etc-- kini bukan sahaja menjadi model penulis remaja , tetapi telah menjadi fasilitator dalam bengkel-bengkel penulisan.
Merekalah bakal menjadi pengembang dan pembina bahasa Melayu sebagaimana pujangga-pujangga dan seniman tradisi zaman silam memungkinkan kelanjutan bahasa Melayu di dalam hikayat-hikayat (Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Abdullah etc) sewaktu bahasa kita ditekan dan dipalu perkembangannya oleh Portugis, Belanda serta Inggeris; dan sekarang oleh menteri-menterinya sendiri.

Untuk Minggu Penulis Remaja kali ke -22 ini saya telah diundang untuk bercakap kepada 24 0rang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang menunjukkan hasrat dan bakat dalam lapangan penulisan. Mereka adalah orang muda yang masih sihat segar, berwajah ceria, dan mempunyai imaginasi serta emosi yang sedang mencari ruang luas serta lebar untuk hala pengucapan sanubarinya. Dunia di depannya masih jauh di kaki langit yang remang-remang, dan
di sanalah mereka akan menuju untuk mengalami kenyataan dan idealisme kehidupan. Kepada merekalah kita sandarkan harapan untuk menjadi nakhoda tanah tumpah darah , keringat dan air mata.

Mengingatkan semua yang telah saya alami ,dan entah apa-apa yang akan terjadi kepada bangsa , saya teransang menulis sebuah puisi selepas saja bertemu dengan generasi muda
tersebut pada pagi Sabtu 13 Disember 2008- waktu yang bertuah- apabila saya menjadi sehari lebih tua tatkala pada hari yang sama dikurniakan oleh Tuhan dengan seorang cucu lelaki.


REMAJA
(untuk para fasilitator dan peserta MPR)

Kulihat senyum mereka
cempaka harum sewaktu pagi
dimandi cahaya, seakan mendung tak pernah ada
disirami sinar, seakan senja tak bakal tiba.

Kalau aku piala dahaga merindukan masa lalu
kudengar muzik bergetar dalam dadamu
meraikan masa depan yang pasti berkunjung
kembara panjang yang remang berliku.

kalau aku hampir sampai ke perhujungan
kulihat waktu merayap memanjat urat-urat usiamu
engkau adalah ibu dan bapa , tua-tua masa depan
penyair yang bersuara berani, berbicara tentang kebenaran
seniman yang tegak berdiri, melukiskan warna zaman.

kudengar muzik bergetar
mencari arah di persimpangan
mencari wajah perjalanan
teriring doa dan,Text Colour
Amin


Baha Zain
Dusun Permai
13 Disember, 2008







Wednesday, 10 December 2008

SAHABAT DARI DENMARK

Siang tadi, jam 12, saya menghantar Vagn Plenge dan isterinya Lakambini Sitoy ( nama timangannya 'Bing') ke Stesen Keretapi lama untuk menaiki bas ekspres ke Penang. Vagn dari Denmark, pertama kali saya kenali 33 tahun lalu sewaktu beliau ke KL mencari bahan-bahan budaya seperti sastera untuk siaran radio.

Kini Vagn menjalankan sebuah penerbit kecil untuk menerbitkan karya sastera terjemahan dari negara-negara panas. Dialah penerbit, penterjemah dan editor ; dan ujarnya, " Saya telah merasai segala pahit getirnya". Pada musim gugur 2005 sewaktu diundang ke Pameran Buku Frankfurt, sedang saya leka bersembang dengan peserta lain di Dewan Antarabangsa, saya terkejut apabila Vagn tiba-tiba menyapa saya. Walaupun sudah lebih 30 tahun tidak bertemu, dia masih dapat mengecam wajah saya dari ruang tempat dia memamerkan buku-buku terbitannya.Dia hanya mengambil sebuah petak kecil saja untuk bahan pamerannnya kerana itu yang termampu, katanya. Gerai pameran di Frankfurt memang terlalu mahal kerana peserta dari seluruh dunia berebut datang ke sini.

Bing, isteri barunya selepas isteri pertamanya meninggal, berusia kira-kira 26 tahun lebih muda daripada Vagn. Dia penulis Filipina yang pernah menjadi wartawan dan kolumnis di Manila Times; dan memenangi hadiah-hadiah , penghargaan dan fellowship di UK, dan di Copenhagen. Dia lincah , prolifik, petah dan masih penuh ghairah dengan kehidupan sedangkan Vagn seperti dahulu : tenang, penyabar, dan bila berbicara teratur serta berhati-hati. Saya tidak dapat membayangkan saya mempunyai teman hidup di meja makan, di taman dan di katil dengan penulis seperti Bing yang segar bugar dan meluap dengan kreativiti. Saya tiga tahun lebih tua daripada Vagn, dan tak mungkin menjadi Vagn yang selalu nampak sabar dan tenang. Jadi nasehat saya pada teman-teman yang berangan-angan hendak beristerikan penulis muda, janganlah layan sangat keinginan itu kalau tak boleh menjadi seperti Vagn dari Denmark.


Saya gembira dapat menemukan Vagn serta Bing dengan kawan-kawan dari DBP, ITNM, dan PENA kerana Vagn baru saja menerbitkan kumpulan cerpen ASEAN termasuk empat cerita dari sastera Melayu Malaysia. Terdahulu dia menerbitkan terjemahan Ranjau Sepanjang Jalan Shahnon dalam bahasa Denmark. Mudah-mudahan pertemuan ini akan menghasilkan lebih banyak sastera Malaysia dibaca di negara jauh yang sejuk yang berada dekat dengan kutub utara dunia.

Menurut Vagn walaupun Denmark mempunyai penduduk sekitar lima juta orang, tetapi penerbitannya dalam bahasa Denmark dari segi jumlah judul setiap tahun cukup maju. Sekarang perkembangannya disaingi oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi elektronik. Tentang bahasa Denmark ia tetap menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya dari sekolah hingga ke universiti. Bahasa Inggeris hanya baru diajar pada tahun ketiga di sekolah. Di dalam hati, saya berasa hiba mengenangkan kita di sini sengaja meminggirkan bahasa Melayu walaupun penduduk kita lima kali lipat lebih besar. Cuma Denmark lebih banyak menghasilkan pengarang dan pemikir ternama seperti Hans Christian Andersen, dan Kierkegaard sehingga mentaliti pemimpin-pemimpinnya menjadi kukuh berdiri di atas bumi filsafat dan budaya bangsanya.

Monday, 24 November 2008

BAHASA MELAYU MELAWAN BALIK

Isu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di sekolah mengelirukan ramai rakyat jelata. Cendekiawan, pencinta dan pejuang bahasa terus meningkatkan kritikannya dan sekarang telah merebak di kalangan generasi muda, penulis dan mahasiswa.

Promoter bahasa Inggeris sedang memperluas propagandanya untuk
mempengaruhi fikiran dan sikap rakyat dengan berceramah di sana sini, dan menggunakan RTM dan media supaya bahasa Inggeris terus dikekalkan dalam Sains dan Matematik sehingga memfitnah bahawa mereka yang membangkang menentang ilmu dan bahasa ilmu (Inggeris). Buat apalah kelirukan rakyat yang tidak berdosa kerana tidak ada sesiapa yang begitu bebal menentang bahasa Inggeris . Apa yang ditentang menggunakannya sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah kerana penggunaan bahasa Melayu telah terbukti sangat-sangat berjaya selama ini menanamkan ilmu pengetahuan kepada berjuta pelajar hingga ada yang menjadi pensyarah serta Professor yang bukan sedikit jumlahnya.

Kerana ada seorang yang mengigau , jutaan orang disusahkan. Ini semua menjadi beban kepada Barisan Nasional yang merosot teruk sokongan terhadapnya pada PRU 2008, sehingga 5 negeri jatuh ke tangan PKR. Takkanlah kerajaan BN hendak tambah lagi kesulitan bagi menghadapi waktu tiga empat tahun ini dengan kemelut yang tak menentu dalam ekonomi, perpecahan dalaman parti, krisis kepercayaan, protes ISA, politik wang , rasuah, dan inflasi. Kata orang " the centre is breaking". Tidak semua orang di Malaysia ini suka nak masuk campur
persaingan politik. Rakyat hendakkan kestabilan supaya aman dan senang mencari nafkah. Bukan kestabilan ekonomi saja, tetapi kestabilan pertumbuhan kebudayaan kerana hidup ini bukan untuk perut yang lapar saja, tetapi harus ada maruah, harga diri, maruah bangsa, dan siapa kita dalam hubungan dengan siapa yang lain. Bahasa MelayItalicu itu memberi takrifan siapa dia Melayu-Islam di Malaysia ini, dan bahasa kebangsaan bagi sesiapa yang menjadi warganegara Malaysia.

Seorang penyair dan pemikir Jerman Johann Gottfried Herder (1744-1803) pernah berkata tentang bahasa ibunda dalam tulisannya, " A True Poet Must Write in His Own Languge.":


" It was the first language impressed on us, and that in our tenderest years , when through the medium of words we absorbed the world of ideas and images, which become a treasure house for the poet. In his mother tongue , therefore, he must be able to reflect with extreme facility and find expressions and the wealth of images and colours which are indispensible to the poet; here he must find the thunderbolts and lightening flashes which he hurls as the envoy of gods. Our mode of thinking is, as it were,implanted in it, and our soul and ear and organs of speech are moulded in it. In what medium then shall I be better able to express myself than in my mother tongue?" (Classical Readings from German Literature, 1969 , hal.45) .

Tegasnya dia berkata, bahasa , puisi, dan pemikiran pada dasarnya bersatu, dan dengan sifatnya demikian tak boleh dipisahkan . Bahasa bukan saja alat perhubungan, dan untuk mengucapakan fikiran, tetapi dengan daya kuasanya sebagai bahasa ibunda , membentuk fikiran dan perasaan.

Professor dan penyair Filipina, Gemino H. Abad pula menyatakan," The common usage of language is the common living of people speaking and thinking in that language in their own place and time.Language is the community of living , and so, it is never static; a people or a culture dies with its own language" ( In Ordinary Time, hal. 165).

Pengarang dan penyair tulen yang menulis dari lubuk perasaan dan hati untuk mengucapkan sanubari dan fikirannya tak mungkin menulis dengan bahasa lain, selain daripada bahasa yang telah menjadi tanah dan watan rohaninya sejak menyusu di tetek ibunya. Bahasa yang berkata dalam mimpi, dalam angan-angan , dendam dan murkanya. Dia juga akan melawan balik dengan bahasanya sebagaimana yang ditunjukkan oleh penyair muda Nassury Ibrahim:

SELOKA NASIB MELAYU

Aduhai malang nasibmu Melayu
dagang lalu disangka wali
rupanya dagang mencari pitis
ada tanah dilaburkan
anak sendiri hidup menumpang
ada bahasa dibuang-buangkan
bahasa penjajah juga dipandang
kerana anak lemah Inggeris
seluruh ilmu hendak diInggeriskan
aduhai malang nasibmu Melayu
ada pemimpin asyik bersengketa
hidup rakyat tidak terbela
orang lain berjalan lurus
engkau berjalan bengkang-bengkok
aduhai malang nasibmu Melayu
bahasa orang diwajibkan di universiti
bahasa sendiri kurang dipercayai

24 Jun 2002

( Tersiar dalam, Dewan Sastera, Julai 2002,

Monday, 17 November 2008

KONTRAK SOSIAL : BUKAN PENINDASAN UNTUK MELAYU JADI TUAN

Seorang peguam senior meragukan apakah maknanya kontrak sosial; dan apakah ada kontrak sosial wujud di negara kita? Jadi kalau ramai antara kita, rakyat biasa, juga ragu-ragu tentang kontrak sosial , maka tidaklah menghairankan. Kita bukan sejarawan politik atau ilmuwan undang-undang. Walau bagaimana pun eloklah kita mengetahui sedikit tentang kontrak sosial ini dalam sejarah bangsa kita kerana ada cendekiawan pernah berkata:" kalau kita jahil sejarah; sejarah akan menghina kita." Bukankah sejarah bangsa kita sangat panjang dan jauh ke belakang di persekitaran Selat Melaka? Kalau kita tidak menyorotinya , sejarah baru yang sedang berkembang akan mengaburkan hala tuju dan jati diri kita kerana ramai pemimpin politik yang berkuasa sekarang adalah elit-elit politik yang celik kuasa tetapi buta sejarah ; yang celik sejarah pula boleh memutar belitkannya .





Kontrak sosial adalah falsafah tentang perhubungan antara yang memerintah dengan yang diperintah, dan kebebasan individu sebagai manusia untuk memenuhi potensinya dan mengucapkan keperibadiannya di bawah sesuatu kerajaan. Di sinilah letakknya martabat serta kemuliaan seseorang itu. Dalam Islam kewujudan, tugas dan tanggungjawab dan maruah manusia , dan peranan pemimpin, telah didakwah dan tarbiahkan dengan hebatnya sejak zaman kebangkitan Islam di Mekah dan Madinah 1400 tahun dahulu.

Gagasan demokrasi yang menekankan kepentingan kemanusiaan berkembang di Itali sewaktu zaman Rennaisance (1350-1500); kemudian disuarakan pada abad 17 dan 18 di England oleh John Locke (1637-1704); dan di Perancis oleh Rousseau ( 1712-1778

Locke berpendapat bahawa kerajaan yang sah hanya boleh dibentuk melalui kontrak antara rakyat dan negara. Rousseau menulis karyanya, The Social Contract, dan mengimpikan keharmonian antara masyarakat dan kerajaan tanpa paksaan, iaitu melalui perjanjian yang sukarela. Kedua-dua cendekiawan dan pemikir ini menentang pemerintahan yang autoritarian.

Daripada fikiran-fikiran merekalah prinsip-prinsip pokok demokrasi boleh kita rumuskan (seperti kebebasan, persamaan, pemerintahan majoriti, dan kemerdekaan) yang telah memberi inspirasi kepada Revolusi Amerika pada abad ke-18.

Kontrak sosial tentang persetujuan perhubungan politik antara kelompok masyarakat, kaum dan golongan atasan dalam soal kehidupan bernegara memang pada hakikatnya berlaku dalam sejarah bangsa kita . Negeri-negeri Melayu yang beraja (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis) tidak pernah dijajah oleh Inggeris. Negeri-negeri Melayu Bersekutu hanya bersetuju dinaungi dan dilindungi oleh Inggeris. Sebab itu apabila tiba perundingan menggantikan Malayan Union, diadakan perundingan tiga penjuru: pihak Inggeris, pihak Raja-Raja dan UMNO yang kemudian membentuk Parti Perikatan (Melayu-Cina-India) pada tahun 1954.



Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan kemudian (1955) telah ditugaskan menyediakan Perlembagaan Persekutuan . Suruhanjaya ini tentu mengambil kira pandangan dan perundingan pelbagai pihak sehingga terbentuknya Perlembagaan Persekutuan dengan perkara-perkara pokoknya: Kedudukan Raja-Raja, Hak Keistemewaan orang Melayu, Kedudukan Bahasa Melayu, dan Agama Islam sebagai agama negara . Maknanya kontrak sosial yang dimanifestasi melalui peruntukan-peruntukan pokok perlembagaan ini bukan hanya digubal dengan persetujuan antara kerajaan British dengan Parti Perikatan saja, tetapi juga dengan persetujuan pihak Raja-Raja.



Persetujuan antara pemimpin politik Melayu-Cina-dan India , dengan pengikut masing-masing juga adalah satu kontrak sosial . Tentu telah dibincangkan antara Tunku Abdul Rahman dengan pemimpin2 Cina dan India tentang kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-raja, Bahasa Melayu , hak-hak keistemewaan Melayu, dan juga hak kerakyatan penduduk bukan Melayu pada waktu itu. Inilah kontrak sosial namanya walaupun tidak disebut istilahnya secara eksplisit.



Sebenarnya ungkapan kontrak sosial itu tak perlu disebut-sebut atau dinafikan , tetapi oleh kerana ada yang menggap perlembagaan itu berat sebelah dan memihak kepada orang Melayu, maka ada pejuang Melayu berasa terpaksa menyebutnya bagi mengingatkan hakikat bahawa ada perundingan dan persetujuan antara pelbagai pihak dahulu sehingga wujud kompromi seperti yang terhasil dalam perlembagaan .Dalam wacana dan ucapan di sana sini keadaan menjadi semakin getir apabila istilah ketuanan Melayu dikeluarkan. Bukan seluruhnya orang Melayu bersetuju dengan "ketuanan Melayu' itu kerana ia memberi konotasi bahawa kaum lain
dianggap sebagai kelas bawah , kelas rendah atau pengekor. Selain itu orang Melayu atau siapa saja boleh bermartabat tuan kalau dia berkuasa, lebih berilmu, berharta, berwibawa dan lebih cemerlang bahasa, budaya, kreativiti dan akhlaknya. Jadi kontrak sosial ini tidak boleh ditafsirkan sebagai bertujuan orang Melayu lebih mulia daripada rakyat lain. Ia diwujudkan sebagai memberi pengakuan terhadap kenyataan sejarah dan kerajaan Melayu yang sudah bermula sejak abad 14 lagi di Melaka, dan majoriti penduduk adalah Melayu.



Kalau orang Melayu yang lebih 60% penduduk negara masih pada takuk 20% pemilikan ekuiti, jumlah kelompok profesional dan pengurusannya lebih rendah daripada bukan Melayu, diam di lokasi desa yang serba kekurangan kemudahan modern, dan bahasa Melayu yang jadi asas serta identiti tamadun Melayu itu semakin tergelunsur ke bawah, tak ada makna kita bercakap tentang ketuanan Melayu. Jadi yang penting ialah mempertahankan kedaulatan Melayu berasaskan peruntukan perlembagaan yang telah dipersetujui oleh perintis-perintis kemerdekaan , dan melaksanakannya dengan penuh komitmen . Kalau pemimpin Melayu yang berkuasa sendiri lalai, leka, curang atau menjadi kacang lupakan kulit , tidaklah aneh kalau orang lain menjadi kaduk naik junjung. Salah siapa?



Perlembagaan negara juga jelas menyebut tentang bahasa-bahasa dan agama-agama lain tidak dilarang , dan boleh diamalkan oleh masyarakat Cina , India dan lain-lain. Hanya perlembagaan tidak memberikan hak-hak keistemewaan ,kedudukan utama bahasa , kedudukan rasmi agama kepada bukan Melayu sehingga selalu dibangkitkan. Apakah perkara-perkara ini menindas dan digunakan untuk memundurkan kehidupan bukan Melayu? Kiranya masalah-masalah seperti ini yang patut didialogkan secara bijaksana antara pemimpin bagi kesejahteraan bersama supaya antara kaum kehidupan dan nasibnya lebih berimbang, dan bebas merealisir potensi masing-masing. Lagipun peruntukan2 perlembagaan itu boleh menghiburkan hati saja kalau dasar dan pelaksanaannya tidak berhasil menterjemahkan semangat perlembagaan itu. Sebab itu kita memerlukan bukan sekadar pemimpin politik, tetapi negarawan yang bijak, dan memandang negara jauh ke depan ke dalam kehidupan manusianya.

Kontrak sosial yang menghasilkan Perlembagaan Persekutuan dengan peruntukan-peruntukan yang ada telah menjadi pokok rimbun yang berbatang tegap serta dahan yang kuat untuk semua bangsa bernaung di bawahnya. Kalau kita hendak mentafsirkannya sebagai menindas sesuatu kaum memang boleh disiapkan retoriknya. Kalau kita hendak mentafsirkannya sebagai hak ketuanan Melayu , boleh juga disediakan retoriknya. Tetapi apa gunanya kalau yang berasa tertindas masih berada dalam ruang bebas untuk meneruskan kejayaan hidupnya; dan yang berasa dirinya tuan masih terlunta-lunta untuk setaraf dengan orang lain. Ujian kebijaksanaan
politik akhirnya terletak sejauh mana pemimpin-pemimpin politik berjaya merapatkan jurang emosi, budaya dan ekonomi antara Bumiputera-Cina-India. Selagi itu belum berhasil semua kita masih gagal. Kita gagal sebagai satu bangsa.

Tuesday, 11 November 2008

SENYUM-NYUM SELALU



Tiba-tiba saya berasa jemu, bosan dan bengang. Terlalu jenuh membaca agaknya, lalu saya selongkar buku jenaka atau humor di rak buku. Kegemaran saya Khuswant Singh dari India, dan corat coret jenaka dari Cina. Selepas membacanya otak berasa segar kembali, dan saya ingin berkongsi perasaan dengan saudara sekalian, tetapi saya buat cerita sendiri, berdasarkan ilham daripada membaca cerita jenaka klasik Cina dan jenaka modern dari India. Kenapa dari Cina dan India ?



(1 ) 1/5 Cina

Salah satu jenaka Kushwant Singh, ada sepasang kelamin India yang sangat berbangga dengan empat orang anaknya. Semuanya pandai-pandai dan cerdik otaknya. Kalau begitu tanya kawan-kawannya kenapa tak buat seorang lagi kerana nampaknya zuriatnya daripada baka yang bagus. Si suami menjawab bahawa dia bimbang kerana setiap seorang daripada lima bayi yang dilahirkan di dunia adalah Cina.
***


(2) Pemburu dan Pistolnya
Seorang ketua pemburu yang ganas menyerbu masuk sebuah pondok yang ditinggalkan
tergesa-gesa oleh tuannya dalam sebuah hutan. Begitu dia masuk dengan pengikut-pengikutnya , dia lihat berjejeran gambar di dinding: gambar muka harimau, beruang, beruk dan lain-lain. Dengan suara keras dia segera bertanya kepada pembantunya.



"Ini gambar siapa?" sambil menunjuk ke gambar harimau.
" Ini Botak Chin! " jawab pembantunya cepat.
Dia mengeluarkan pistolnya lalu menembak gambar harimau.

" Ini gambar siapa?" sambil menunjuk ke muka beruang.
" Ini ketua Gang Mamak" jawab pembantu.
Dia mengacu pistol ke muka beruang dan menembak lagi.

" Ini gambar siapa?' sambil menudingkan muncung pistol ke gambar beruk.
" Ini Menteri," jawab pembantunya dengan penuh khuatir.
Dia menggerakkan jarinya untuk menembak terus, tetapi tiba-tiba terhenti. Dia lalu mengangkat kedua belah tangan ke langit sambil berkata,"Ya Tuhan, selamatkanlah kami di dunia dan juga di akhirat nanti." ....


{ Cuba teka apakah pemburu ganas itu akan menembak gambar beruk atau tidak? Kalau ya kenapa? Kalau tidak kenapa ?}
***


(3) 0 lawan 0

Sebuah angka 0 tiba-tiba terlanggar angka 0 yang bersaiz lebih besar. Angka 0 besar menyindir , dan bertanya apakah dia tak nampak badannya yang lebih besar itu. Maka jawab angka 0 kecil,
"Aku nampak, tetapi nilai engkau dengan nilai aku sama saja".

** *



(4) Buku Teks dan Tikus


Seorang Professor selesai menulis buku teks tentang bagaimana teknik menghapuskan tikus rumah, pergi ke dapurnya. Kemudian dia tertinggal buku tersebut di atas meja dapur. Pada waktu tengah malam, seperti biasa, datang seekor tikus lalu menggigit kertas buku itu sehingga hampir berkecai. Buku itu lalu bersuara dan mengingatkan sang tikus bahawa dia bertugas menyimpan rahsia untuk menghapuskan tikus-tikus yang merusakkan.


Tikus lalu menjawab, " Ah! bukankah itu teori saja."


Jawab buku, " Ini bukan teori. Professor sudah menulisnya."


Jawab tikus lagi, " Ah, itu hanya retorik saja. Dia sedang tidur nyenyak di biliknya."


***


Kalau saudara ada cerita jenaka , mari kita senyum bersama. Kehidupan sudah menjadi sangat serius dan kacau. Tidak baik untuk kesihatan jiwa dan mental. Orang sudah banyak jadi gila , dan kembalikan kehidupan yang normal. Amin.

Sunday, 9 November 2008

Mencari debat yang sihat di dewan parlimen

Pada tanggal 27 Mei 2008, jam 10.30 pagi, sedang bercakap serta menasihati cucu-cucu yang datang menziarahi saya sewaktu cuti sekolah, saya tergesa-gesa diajak menonton TV yang menyiarkan perdebatan di sidang Parlimen. Saya agak terkejut melihat telatah beberapa orang Yang Berhormat bertengkar, menyanggah orang lain yang sedang berhujah, ada yang menerpa ke kerusi Yang Dipertua, dan ada yang mencelah dengan suara keras.


Saya menjadi berasa malu kepada cucu-cucu yang baru beberapa minit sebelumnya saya nasihati supaya jangan menjerit bila bercakap (kanak-kanak memang suka menjerit), berkelakuan baik di meja makan, hormat kepada orang tua-tua, orang gaji dan lain-lainnya. Nah! cucu-cucu saya juga terpegun melihat telatah jerit herdik di dewan yang kononnya mulia itu. Dari kaca mata cucu-cucu saya seolah-olah saya memiliki dua ukuran tatatertib: satu untuk anak-anak, dan yang satu lagi untuk orang dewasa yang bebas tanpa norma.

Waktunya sudah tiba bagi kedua-dua pemimpin, pihak kerajaan dan pembangkang, duduk berbincang secara baik bagaimana untuk mendidik atau mengajak Ahli-ahli Yang berhormat supaya menahan sabar, bertindak hormat, dan tidak menjadikan pemandangan di Parlimen seperti sebuah pasar borong di mana orang berinteraksi untuk membeli ikan dan sayur bagi mengisi selera dan perut masing-masing.
Kalau gaya bertanya, menjawab, berhujah dan berdialog seperti ini berlanjutan tanpa keinsafan yang mendalam terhadap etiket dan etika, tidak mustahil apa yang berlaku di dewan-dewan perundangan lain ( entah Korea, Taiwan , atau Itali ) akan pada satu hari nanti berlaku di Parlimen Malaysia: berlengan di dewan yang mulia.

Cukuplah dengan pelbagai jenayah, demonstrasi jalanan, maksiat dan kelakuan kurang ajar yang sedang menjadi-jadi di tengah-tengah masyarakat di luar Parlimen itu. Apakah apa yang berlaku dalam Parlimen sebahagian daripada simptom atau gejala masyarakat yang sakit? Ini tidak mungkin kerana mereka yang terpilih tentu dipilih oleh rakyat dengan andaian kecerdikannya, tingkah laku yang baik dan sopan, boleh dipercayai dan amanah, dan sanggup berkorban demi kebenaran serta kebaikan semua orang. Mereka patut menjadi tokoh contoh kepada remaja dan orang muda bagaimana berhujah dengan bahasa yang baik, nada yang tidak meninggi, jalan fikiran yang jelas dan niat yang lurus. Air yang jernih tidak akan mengalir dari telaga yang keruh.

Barangkali pandangan ini terlalu idealistik, meminta terlalu tinggi daripada kenyataan yang ada. Tidak ramai orang yang memiliki ciri-ciri yang positif seperti di atas , meskipun bergelar Yang Berhormat. Memang masalah kepemimpinan dalam proses demokrasi yang popular dan dalam masyarakat demokratik yang berubah cepat ( tidak seperti dalam proses feudal di mana pemimpin diasuh oleh norma tradisi yang panjang) ada pemimpin yang nampak hebat dipilih oleh rakyat walaupun emosi dan akhlaknya belum cukup matang ( seperti mempelam yang masak diperam, matang di luar , mentah di dalam). Lama-kelamaan mereka yang bermasalah ini diharap akan dimatangkan oleh pengalaman dan menjadi ahli yang berakal budi dan dihormati.

Apakah tidak lebih baik gelaran “Yang Berhormat” itu sekarang diubah menjadi “Yang Berkhidmat” ? Panggilan Yang Berkhidmat lebih memberi pesan semantik
yang relevan dengan harapan rakyat; dan apabila harapan-harapan rakyat itu dipenuhi, maka secara automatik Ahli Parlimen kita akan dihormati oleh rakyat. Penghormatan tidaklah boleh diminta, dipergelarkan atau dipamerkan secara rasmi, tetapi dianugerahkan oleh perasaan terhutang budi dan kekaguman hati orang melihat jasa yang ditaburkan. Saya bukanlah ingin mengajak pembaca terlibat dalam masalah verbal atau retorik, tetapi benar-benar ingin mengingatkan diri kita tentang tugas serta tanggungjawab Ahli Parlimen sementara kita memasuki satu era baru dalam budaya politik nasional.

Sekadar untuk berkongsi maklumat , ada sebuah buku yang sangat bermanfaat untuk ditelaah oleh Ahli-Ahli Yang Berkhidmat tentang tatacara bertukar pendapat atau berdebat, iaitu karya Dr. Muhammad Sayid Thantawi, Etika Dialog dalam Islam, terjemahan Ahmad Zamroni Kamali dan Abdul Hafidz bin Zaid, Jakarta, Mustaqiim, 2001 . Untuk Ahli-Ahli yang bukan Islam juga buku ini sangat bermanfaat bagi mereka untuk memahami bahawa rakan-rakan Islam yang diam bersabar dan tekun mendengar, bukanlah bererti tidak pintar atau bodoh, tetapi berhemah dan berakhlak .

Untuk sekalian wakil rakyat elok jugalah menyedari bahawa 20 juta lebih rakyatnya di luar dewan itu bukanlah semuanya tak berfikir dan tak pandai menilai bahasa serta tingkah laku Ahli-Ahli Parlimen, atau Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri . Zaman ini adalah zaman yang segera memberi tindak balas
melalui artikulasi yang terbuka luas dalam prasarana maklumat yang canggih. Tindak balas tersebut bukan sahaja dengan pantas membentuk persepsi awam, tetapi mempengaruhi fikiran penduduk untuk menilai secara kritikal terhadap tokoh-tokoh politik di Parlimen.

Saya akhiri dengan ucapan ,”Selamat Berkhidmat” kepada sekalian YB.

* Diterbit semula dengan ehsan Malaysian Digest. Pertama kali diterbitkan di www.malaysiandigest.com pada bulan Jun 2008

Thursday, 6 November 2008

DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN: MENCARI KEJERNIHAN FIKIRAN

Tadi siang saya diundang menghadiri wacana, " DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN DALAM SUASANA LIBERAL KEBUDAYAAN MASA KINI". Ini adalah kali kedua saya menghadiri pertemuan tentang topik yang pada dasarnya sama. Pada mulanya saya agak enggan menghadirinya kerana jauh dari rumah ke Shah Alam, tetapi membayangkan mungkin ada fikiran-fikiran yang berharga dilontarkan untuk saya hadham saya gagahi juga.

Selama dua jam itu saya tekun mendengar dan malah dijolok untuk berbicara saya enggan kerana saya bertujuan menyelami perasaan dan fikiran hadirin tentang isu budaya ini. Rata-rata yang hadir adalah tokoh penulis negeri dan ada juga ilmuwan dan budayawan, sekitar 30-40 orang. Apabila semua yang hadir adalah Melayu, maka orang tidak segan silu mencurahkan perasaan hatinya, kekesalannya terhadap pemimpin politik Melayu, darjat kebudayaan Melayu yang terabai, dan kegetiran terhadap bukan Melayu yang tidak bertimbang rasa, dan sebagainya. Rintihan diluahkan oleh bukan peribadi biasa, tetapi nama-nama yang dikira tokoh , dan ada pula yang secara bersopan mengungkapkan pandangan alternatif.

Malangnya tajuk wacana itu sendiri terbiar tak terpecahkan. Apakah yang dimaksudkan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Suasana Liberal Kebudayaan Masa Kini ? Dalam pemaparan blog saya beberapa ketika dahulu ( ) saya telah menyentuh bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu lebih merupakan metos daripada satu dokumen yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan atau telah diluluskan oleh Kabinet. Ia satu keputusan dan pernyataan yang dibuat pada Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 yang dihadiri oleh ramai seniman, dan dipersetujui oleh budayawan, pegawai
dan malah Kementerian Kebudayaan. Jadi dasar itu lebih pada kepercayaan orang yang hendak percaya saja walaupun kandungannya cukup penting .

Pada penghujung pertemuan barulah seorang pegawai daripada Kementerian Kebudayaan menjelaskan bahawa dia sendiri tidak jelas batas dan ruang dasar itu, dan mengaku ia lebih merupakan satu pernyataan sahaja. Supaya saya tidak berasa berdosa kerana dari awal lagi meragukan konsep dan status dasar itu saya turut menyatakan fikiran saya bahawa kita sebenarnya berbicara dalam gelap kerana mempercayai bahawa dasar itu benar-benar wujud.
Di negara lain dasar kebudayaan ini hanya terbatas dalam perimeter tertentu, yakni dunia kesenian material dan bukan material ( seperti bangunan warisan lama, istana, kota, monumen, dan seni muzik, bahasa, sastera, seni rupa serta persembahan, etc). Jadi lebih jelas ruang lingkup konsep dan programnya; dan tidak menyentuh kebudayaan dalam erti umum , iaitu cara hidup, sistem sosial, dan sistem nilai-budaya yang amat luas itu.

Hari ini pelbagai wacana, perbincangan, pertemuan dan kongres diadakan oleh masyarakat Melayu kerana berasa tertekan dengan situasi politik semasa. Melayu seolah-olah berada dalam krisis. Apakah ini kebimbangan, keadaan emosi atau memang betul-betul nyata ? Ramai antara kita tak memikirkan sebab musababnya , bagaimana boleh terjadi begitu. Secara mudah ada yang melihat bahawa masyarakat Melayu sedang dihadapkan dengan ancaman dan gugatan daripada masyarakat bukan Melayu. Dari sejarah, kita mengetahui bahawa selama ini Menteri Kebudayaan itu semuanya dipegang oleh ahli politik Melayu. Jadi kalau kita tidak berpuas hati dengan keadaan kebudayaan kebangsaan, kita hendak salahkan siapa. Apakah semua ini terjadi selepas Pilihan Raya ke-12, dan sebelumnya semua bagus-bagus belaka? Itulah apakala Melayu diberi kekuasaan , lalai menggunakan kekuasaan. Lihat di bawah dua Perdana Menteri Melayu, bahasa yang menjadi asas penting kebudayaan kita itu sedang menuju kehancurannya. Ini bukan kerja Lim Kheng Yik, Ong Kah Ting atau Samy Vellu. Marilah kita menjernihkan fikiran dan hati kita.

Apa yang saya dapat rumuskan daripada pertemuan petang ini , ialah ramai antara kita tidak berfikir secara rasional, kritis, dan berhemat menghuraikan situasi dan masalahnya. Kita mudah terpesona dengan pidato yang keras dan tegar. Kita wajar beremosi bagi memperkukuh pendirian, tetapi harus dibarengi dengan metode berfikir yang betul berasaskan maklumat dan pengetahuan. Kalau tidak kita akan kalah dengan lawan, selain daripada tak berjaya mengemukakan cadangan-cadangan yang boleh diterima oleh masyarakat pelbagai bangsa atau pemimpin.

Kehidupan kebudayaan ini, walaupun aspek keseniannya, sangatlah kompleks dan rumit. Faktor-faktor persekitarannya ( kepelbagaian etnik, teknologi komunikasi moden, sistem pasaran bebas, seni tradisi dan seni avant-garde, kebebasan seniman, lalu lintas unsur budaya antarabangsa, hegemoni media Barat, dan gelombang komoditi serta budaya Cina baru, etc), harus dihurai kesan positif dan negatifnya , potensi dan risikonya dalam membicarakan pembentukan kebudayaan kebangsaan. Satu penilaian kritikal perlu dilakukan oleh kerajaan dan kita yang prihatin terhadap jatidiri dan negara.

Wednesday, 5 November 2008

UCAPAN DARI LIDAH NEGARAWAN

Tengah hari tadi saya mengikuti ucapan McCaine di CNN setelah beliau ternyata tewas dalam persaingan menuju ke Rumah Putih di Washington. Dengan nada suara yang jelas, teratur dan lancar beliau mengucapkan tahniah kepada lawannya, Obama, dan menawarkan apa jua kerjasama yang diperlukan bagi memperkuat Amerika . Sesuai dengan visinya sebagai patriot bangsa, dan pengalamannya sebagai tawanan perang di Vietnam, dia tahu bila untuk berlawan dan bila untuk menerima kekalahan.

Ucapannya sangat cantik ungkapan bahasa Inggerisnya, tak menampakkan rasa dendam serta benci, dan sebagai gentleman menerima kekalahan dengan semangat demokrasi yang rasional dan matang. Dia memperlihatkan watak dan peribadi seorang patriot dan negarawan yang besar: menggunakan ekspresi bahasa ibundanya yang sangat kreatif , bermurah hati dengan tahniah dan harapan kepada pesaing politik, dan terus kuat menyeru penyokongnya supaya berganding bahu memperjuangkan negara walaupun dia gagal .

Ucapannya menyentuh hati musuh dan kawan, pengundi dan pengkritiknya; dan dia kalah dengan penuh kehormatan sesuai dengan statusnya sebagai seorang tokoh politik nasional. Walaupun dia tidak sampai ke Rumah Putih, tetapi dia telah menguji dengan gigihnya mutu kepemimpinan Obama supaya benar-benar berwibawa dan bijak untuk menjadi pemimpin jutaan rakyat. McCain kalah, tetapi dia tetap tidak hilang akal, budi bahasa, maruah dan hemahnya.

Bilakah agaknya kita akan memiliki seorang tokoh politik yang patriotik, ekspresif dalam lidah bangsanya, bermoral, dan berhemah tinggi?



Tuesday, 4 November 2008

PADAN BAHASA MELAYU!

Seorang teman tiba-tiba pada malam hari begini menelepon saya. Katanya , "Padan muka Bahasa Melayu." Saya tergamam sebentar, lalu bertanya kenapa? Jawabnya pemimpin MCA menyokong DAP menggunakan pelbagai bahasa, selain daripada BM dan Inggeris, untuk nama jalan raya di Penang dan di KL.

Saya seterusnya berkata bahawa saya tak berasa pelik. Barangkali dia pula tergamam mendengar keterangan tersebut. Kali ini dia pula bertanya kenapa saya berkata begitu. Saya beritahu dia , kalau pemimpin Melayu sendiri tidak menghormati BM dengan mengenepikan bahasa Melayu sebagai pengantar Sains dan Matematik di sekolah, takkan pemimpin bangsa lain pula diharap akan menghormati bahasa kita.
Mana lebih penting BM di tepi jalan atau BM di dalam kelas sekolah?

"Padan muka orang Melayu," balasnya.

Memang begitulah kecenderungannya. Kalau kita sendiri tak jaga maruah dan air muka bangsa sendiri, bangsa lain peduli apa. Inilah pengajaran yang kita dapat kalau kita nak jaga sangat hati orang , konon untuk mendapat sokongan. Kalau orang lain tengok kita dah lemah, dia akan tampar muka dan pijak kepala kita. Kita pun begitu juga kalau nilai-nilai kita berorientasikan pragamatisme, kebendaan dan kegunaan bukannya kemanusiaan , budaya nasional dan patriotisme. Berwaspadalah ! Kalau masalah ini merebak sampai tak menghormati kesepakatan atau kesefahaman sosial yang selama ini kita pelihara dan berjangkit pada hal-hal agama sehingga berlaku pergaduhan kaum, pemimpin2 politik bertanggungjawab sebagai miang keladinya.

Sekarang Menteri Dalam Negeri patut memberkas politikus yg menyinggung perasaan cintakan bahasa kebangsaan walaupun daripada UMNO, MCA, MIC, atau Gerakan supaya tidak terus memudaratkan toleransi pencinta bahasa kebangsaan , terutama orang Melayu yg sudah muak dengan penghinaan pemimpin politik terhadap bahasa Melayu. Jangan discount isu bahasa ini sebagai salah satu faktor kenapa sejumlah penduduk mempunyai persepsi bahawa kerajaan tidak sensitif lagi pada perjuangan dan hasrat masyarakat Melayu. Pemimpin parti-parti politik kerajaan bukan hanya perlu fikirkan persepsi anggota akar umbi di dalam parti, tetapi juga persepsi jutaan rakyat pengundi di luar organisasi . Kedua-duanya akan jadi penentu.

Friday, 31 October 2008

KEPELBAGAIAN BUDAYA DAN POTENSI KEKUATAN

Kembali kepada isu perkauman dan kedamaian hidup antara pelbagai kaum serta keturunan di tanah air yang kita sayangi ini, saya berasa terpanggil meneruskan pembicaraan selepas terdiam hampir dua minggu. Saya tak mahu menyebut istilah "perpaduan" yang saya anggap sudah menjadi basi, retorik politik yang klise, dan impian muluk semata-mata. Saya lebih cenderung menyebut kedamaian, harmoni dan kerjasama (collaboration) antara penduduk. Ingat kita tidak hanya berbicara tentang Melayu, Cina, India sahaja sehingga kita terlupa ada ratusan ribu peribumi Iban, Dayak, Melanau, Kadazan, Dusun, Bajau dan lain-lain lagi di Sarawak dan Sabah yang masing-masing mempunyai tradisi, budaya dan malah agamanya yang berbeza dengan Melayu, Banjar, Arab, Jawa, Minangkabau, Mandahiling, Kampar, Aceh, Patani dan sebagainya .

Dalam masyarakat keturunan Cina itu juga ada suku-suku Hakka, Hailam, Kantonis,etc, dan dalam masyarakat India ada pula Tamil, Jaffna, dan jangan lupa ramai keturunan Pakistan, Sikh, Bangladesh. pendek kata Malaysia ini merumahkan aneka warna kelompok dan keturunan manusia. Setiap kelompok memiliki dialek, adat kebiasaan, nilai-nilai dan kepercayaan agama yang tersendiri( ada Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikhism, dan animisme ).

Kita telah hidup sebelah menyebelah , berjauhan atau bersentuhan, dan pada umunya dalam aman dan harmoni baik di daerah-derah kediaman, mahupun dalam institusi-institusi awam dan swasta (sekolah, pejabat, syarikat, dan persatuan ). Kedamaian dan keharmonian ini yang harus dikekalkan, dan dari waktu ke waktu dimantap dan dieratkan. Ini yang realistik , praktikal dan boleh dicapai.
*****
Kepelbagaian yang kaya raya ini sebenarnya mengandungi potensi hebat bagi memperkaya kreativiti, ciptaan, ilmu dan teknologi, penghasilan ekonomi dan kebudayaan negara andainya
tenaga-tenaga kreatif insan di dalam sekalian kaum itu dapat bersinergi dan digembeleng secara
inovatif. Sebenarnya pada hari ini pun kerjasama dan perhubungan antara kaum itu sudah berlangsung demikian banyaknya dalam kehidupan ekonomi dan sosial yang memakmurkan negara ini. Tetapi apabila ada cakap-cakap politik daripada pemimpin yang hendak menunjukkan dia juara kaumnya bagi kepentingan kekuasan politik diri serta suku sakatnya maka terasalah jurang negatif antara kaum itu sedang membebankan perasaan bangsa kita.
Apabila perasaan perkauman dan syak wasangka ini diulang-ulang dan diperbesarkan, janganlah terkejut kalau berlaku lagi pergaduhan sengit dan pembunuhan sesama penduduk. Awaslah! Pemimpin-pemimpin politik dan persatuan yang bermulut besar dan celupar bertanggungjawab: selalu mengungkit dan malah seperti mencabar peruntukan-peruntukan Perlembagaan negara yang selama ini menjadi payung pelindung bagi pelbagai kumpulan rakyat .

Walau apapun masalah yang berbangkit adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merancang secara berkesan, dalam jangka segera dan panjang, membina sikap membina yang kukuh untuk setiap kaum berusaha hidup aman dengan orang lain. Tidaklah memadai dengan membuat seruan-seruan sahaja. Ini adalah tugas kebudayaan yang rumit, memerlukan penyelidikan sosial-budaya yang saintifik, dan usaha pembangunan yang berpanjangan dalam rangka pembangunan modal insan dan kehidupan bernegara. Ia mengaitkan semua kementerian, tetapi Kementerian yang bertanggungjawab langsung tentang kebudayaan dan perpaduan harus membangunkan satu institut khas bagi tujuan nasional ini.
Institut ini perlu menjalankan penyelidikan ilmiah yang berorientasikan keperluan membina kerjasama dan perhubungan bangsa, dan mencadangkan dasar-dasar dan program tindakan bagi kementerian-kementerian lain .

*****
Pada hari ini sangat banyak kejahilan yang wujud di kalangan pemimpin dan rakyat. Masyrakat Melayu tidak benar-benar memahami struktur sosial dan nilai-nilai masyarakat Cina, India dan pribumi lain, dan demikian juga sebaliknya. Tidak semua orang Cina itu sama . Tentulah orang Cina yang berpendidikan Inggeris berbeza sikapnya dengan mereka yang berpendidikan sekolah Cina dari awal hingga akhir persekolahannya. Orang Cina yang bekerja dengan kerajaan, dalam tentera misalnya, tentu berlainan sikap, stail kehidupan, cita rasa dan impiannya dengan towkay kaya di pasar borong. Demikian juga dalam masyarakat Melayu , wanita Melayu yang bertudung menutup aurat lebih patuh kepada peraturan akhlak Islam, tetapi dia bukanlah misti pembenci penduduk yang beragama Hindu, malahan mungkin lebih toleran daripada wanita Islam yang tak memakai tudung. Bukan sahaja kejahilan, malahan prasangka juga menjadikan banyak syak wasangka yang selalu dieksploit oleh pihak-pihak tertentu.

Sesuatu kaum patut mengetahui sensitiviti, pantang larang, dan kepercayaan kaum yang lain supaya berhati-hati dan tidak menyinggung perasaan orang. Masyarakat bukan Islam wajib mengetahui apa-apa yang dikatakan haram dan halal bagi umat Islam. Bukan sahaja babi dan arak itu haram, makanan lain pun menjadi tidak halal kalau proses penyediaannya tidak bersih , seperti misalnya kilang membuat bihun bersebelahan kandang babi. Orang Islam juga patut faham bahawa orang India penganut Hindu dilarang memakan daging lembu. Hal-hal yang seperti ini patut menjadi sebahagian daripada pendidikan sosial dan budaya bangsa kita, iaitu kefahaman dan pengertian tentang nilai-nilai dan norma yang diamalkan oleh pelbagai kaum dan budaya. Pihak mana dan bagaimanakah ia patut dilaksanakan? Ini memerlukan usaha yang serius, bukan lip service, dan retorik . Ia memerlukan pemikiran yang besar, strategi yang boleh dicapai, dan dana yang bukan sedikit.

Kita harus dapat menikmati dan memanfaatkan bersama kecemerlangan pencapaian daripada setiap kaum dan budaya sebagaimana masyarakat Melayu, Cina dan India sama-sama berasa bangga dan megah melihat Nicol David, Chong Wei, dan Sheikh Muzaffar mencetak nama masing-masing untuk negaranya di luar sempadan, lautan, dan angkasa . Perlu diingat pencapaian peribadi itu tidak mungkin tanpa sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada kemudahan kebangsaan, dan bangsa kita tak mungkin berbangga tanpa komitmen tinggi daripada peribadi individu yang berkenaan. Kerjasama, persefahaman dan komitmen seperti inil;ah yang harus kita wujudkan antara kaum setiap waktu.



Jadi marilah kita berfikiran positif dan berusaha membina perasaan hormat pada sejarah masing-masing, membina impian perdamaian dalam kepelbagaian . Engkau dengan agama engkau; aku dengan agama aku, dan aku tidak menyembah apa yang engkau sembah; aku akan memelihara kesucian agama aku, dan berlaku adil terhadap orang lain. Semua kita boleh
menuju ke kemuncak impian kita dalam kedaulatan perlembagaan negara yang ada. Sangat luas serta lapang ruang yang berada di sekitar ; dan jangan disempitkan dengan tindakan yang tergesa-gesa dan tidak bertanggungjawab. Tanggungjawab dalam erti kata: kita tahu apa kesan, akibat atau konsekwensi daripada perbuatan kita.

Monday, 13 October 2008

PERPADUAN: DARIPADA METOS KEPADA KENYATAAN

Bolehkah kita mewujudkan perpaduan bangsa di kalangan Melayu, Cina , India dan lain-lain keturunan? Tetapi sebelum itu apakah ada perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri, masyarakat Cina atau masyarakat India ?



Apakah maknanya perpaduan? Bergabung menjadi satu dan bersebati; bersatu hati dan sehidup semati apabila menghadapi setiap masalah; bersetiakawan dan searah sehaluan? Menyeragamkan pelbagai kebudayaan kebendaan dan rohaniah menjadi sama untuk semua? Kalau ini yang kita maksudkan, maka perpaduan bangsa itu adalah satu angan-angan, satu idealisme tinggi yang tak tercapai, dan satu metos. Jangan kelirukan fikiran dan lidah kita.



Kalau kita memandu kereta dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Plus dan berhenti di tempat istirihat di Tapah, kita akan melihat kereta-kereta Produa, BMW, Mercedes, VW, Toyota, Honda, KIA dan lain-lainnya. Semua jenis kereta ini baik di bawah 2000 cc, atau yang berkuasa lebih tinggi di miliki oleh pelbagai kaum baik Melayu, Jawa, Hakka, Jaffna atau lain-lainnya, dan tak ada satu-satu keturunan memonopoli sesuatu jenis kenderaan atau sesuatu kelas kereta. Jadi dalam setiap kaum ( Melayu, Cina atau India) terdapat beberapa lapisan, kumpulan, dan profesion yang berbeza-beza: miskin kaya , berpendidikan tinggi dan rendah; yang tradisi atau yang moden, dan dari bandar atau luar bandar. Kalau pun ada yang sama pekerjaan profesionalnya ( seperti peguam, doktor, dan ilmuwan), tetapi dari segi adat resam budaya, agama dan stail kehidupan , tidak mesti sama. Pendek kata kira-kira 26 juta penduduk Malaysia
ini hidup dalam pelbagai kebudayaan.

Inilah hakikat kaum dan kebudayaan Malaysia: ada bangsa Melayu dengan kebudayaan dan agamanya, ada bangsa Cina dengan kebudayaan dan kepercayaannya, ada bangsa India dengan kepercayaan dan agama Hindunya, dan ada kaum-kaum lain lagi yang menganut agama Buddha, Kristian ,Sikh, animisme etc. Tentu ada juga anggota masyarakat yang atheis dan tak percaya kepada tuhan atau mana-mana agama. Dalam masing-masing bangsa juga ada kumpulan-kumpulan mempunyai keutamaan terhadap falsafah, ideologi, aliran, fahaman,
dan rukun tertentu yang berbeza daripada anggota masyarakat sebangsanya. Latarbelakang kemasyarakatan, kepecayaan, dan intelektual yang berbeza ini , diperkuatkan pula dalam beberapa hal oleh jarak atau sempadan alam seperti antara Kelantan dengan Johor, dan Timur Malaysia dengan Semenanjung Malaysia, maka semakin beragam dan pelbagailah nilai-nilai, unsur-unsur dan amalan sosial-budaya di negara persekutuan ini.

Kepelbagaian di atas barangkali jelas ditunjukkan oleh adanya sangat banyak parti politik baik di kalangan Bumiputera, Cina atau India seperti PBS, UMNO, PAS, Keadilan, DAP, MCA, Gerakan, SAPP, MIC , Progresif, dan banyak lagi.

Penduduk kita kena menerima hakikat ini, dan hidup dalam kepelbagaian ini, dan situasi yang bernama perpaduan itu adalah satu konsep yang idealis, satu metos, dan bukan kenyataan.
Ini fakta kehidupan yang harus kita hadapi dengan objektif dan rasional, dan jangan dikelirukan
oleh retorik politik yang tidak berdiri tegak di atas muka bumi yang nyata.

Kalau kita berani menghadapi kenyataan itu, selanjutnya kita harus dengan fikiran yang jelas memahami masalah-masalah dan cabarannya bagi memupuk kehidupan yang sivil, adil, berakal budi dan harmoni. Kita harus sedar dan insaf akan sejarah masa lalu, dan memeta kehidupan bernegara masa depan. Dialog dan perbincangan ini harus terbuka kepada rakyat yang bertanggungjawab, dan bukan diarah , dipaksa, diakta dan diperundangkan sebagai jalan pintas ke depan. [ BERSAMBUNG ]

Monday, 6 October 2008

IGAUAN-IGAUAN SOSIAL

Salam Syawal yang seikhlasnya kepada semua pengunjung blog saya dan sahabat-sahabat semoga kita semua lebih segar hati dan rohani dan cerah fikiran dan idea setelah menempuh sebulan pengalaman yang rohaniah dan kembali kepada fitrah.

Ketaqwaan kita tidak akan lengkap dan sempurna kalau kita mengabaikan isu-isu sosial yang menjejaskan perhubungan dan kehidupan yang berakhlak, adil, bebas, selamat, bersih dan beradab. Setiap ciri hidup ini saling berkaitan dan yang satu diperlukan bagi yang lainnya. Bagaimana kita boleh selamat, bebas, dan bersih kalau orang tidak berakhlak, tidak adil dan tidak beradab. Demikian juga bagaimana orang boleh hidup berakhlak, adil dan beradab kalau tidak bebas, tidak bersih dan tidak selamat. Jadi klehidupan beragama itu tidak sekadar
akidah dan ibadat kita kepada Tuhan, tetapi menyeluruh mencakupi suruhan-suruhan Tuhan tentang perilaku kita terhadap jiran tetangga, masyarakat, dan negara agar, kezaliman, kejahatan, penyelewengan, tipu helah, pelanggaran akhlak, dan pemusnahan budaya dan alam dicegah demi kesejahteraan rohani dan jasmani manusia . Kita manusia beragama dan bertuhan , dan harus hidup dalam hukum hakam yang betul.

Inilah tugas dan tanggungjawab sosial penulis, seniman, bloggers, pemikir, seniman dan budayawan, iaitu menjadi mata kepala dan lidah yang segar untuk kehidupan seni, budaya dan sosial di sekitarnya. Tuhan merestui anda. Tanam keberanian itu. Tuhan menyelamatkan anda. Jangan takut kepada manusia. Tuhan lebih besar dan Dia Maha Pencipta dan Pemberi Rahmat. Itulah semangat Ramadhan dan Syawal. Jujur, yakin, dan berani; tawakal, ikhtiar dan pasrah.

@@@

Hujung Ramadhan dan pangkal Syawal ini bertimbun isu politik, sosial dan budaya yang mengapung ke permukaan; ada yang tenggelam timbul, ada yang hanyut seperti sampah sarap, dan ada yang bercokol setiap hari di depan mata. Apa pun jangan lepaskan semuanya tanpa dipedulikan. Terlalu banyak yang rusak dan menjahanamkan kehidupan budaya dan sosial bangsa kita telah berlaku kerana segelintir masyarakat yang berfikir dan berupaya mengucapkan fikirannya telah diperbudakkan oleh pemimpin politik pada masa-masa yang lalu. Agamawan pun ramai yang dicucuk hidungnya seperti ternakan. Ilmuwan pun ramai yang menjadi mesin bebal. Tokoh budayawan dan seniman pun ada yang menjadi kera kongkang. Ramai yang lumpuh atau dilumpuhkan . Sungguh malang bangsa kita.

BN sedang terperangkap dengan kemelut dalamannya. PKR nampak saja kompak solidaritasnya dari luar. Dalam mana-mana parti politik pun mesti ada perebutan kuasa kerana dalam politik keutamaan ialah mempunyai kekuasaan ( ekonomi, pentadbiran, dan pengaruh). Tempiasnya kepada rakyat yang majoritinya tak faham apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tajuk-tajuk besar berita di TV dan akhbar harian yang didalangi oleh manipulator pelbagai pihak. Nasib baik ada blog-blog yang bebas, walaupun pengaruhnya taklah hebat sangat bagi membentuk pandangan awam dan persepsi rakyat terbanyak.

@@@

Satu isu yang saya hendak beri pandangan kali ini ialah ura-ura hendak mengadakan akta
tentang perpaduan atau perhubungan ras. Entah pemimpin politik mana yang mula-mula menonjolkan perkara ini ( GERAKAN atau DAP atau MCA?) kerana seorang Ketua UMNO mengeluarkan kenyataan yang berbau perkauman , iaitu tentang sejarah kedatangan orang Cina, maka dicadangkanlah supaya diadakan akta perhubungan ras bagi mengekang perbuatan yang seumpamanya pada masa depan.

Apakah kita hendak jadikan negara ini berserabut dengan macam-macam akta sehingga menjadikan masyarakat Malaysia ini lemas dengan sangat banyak akta? Apakah tidak ada pendekatan yang lebih cerdik otak dan bijak fikiran untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan? Apakah tidak ada akta atau undang-undang lain yang boleh menindak pesalah laku atau pelanggar yang menjejaskan ketenteraman penduduik berbilang kaum? Apakah wakil rakyat, Ahli Parlimen, dan Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri itu dipilih untuk menggubal undang-undang sahaja kerjanya? Kenapa juga tidak fikirkan juga tentang memansuhkan akta-akta yang ada yang susah hendak dikuatkuasakan? Semakin banyak akta yang memberi kekuasaan kepada pegawai penguatkuasaan undang-undang semakin banyak peluang untuk melakukan rasuah .

Sudah tiba zamannya bagi setiap pemimpin berfikir dalam-dalam sebelum bercakap tentang urusan rakyat; dan mengkaji dengan teliti pelbagai makna dan implikasi tindakannya bukan sahaja sewaktu mereka berkuasa , tetapi juga kesannya berpuluh tahun akan datang . Kita memerlukan ahli politik yang memiliki tanggungjawab moral yang tinggi, dan berfikir secara halus serta teliti pada zaman ini . Tuan-tuan sekalian harus menunjukkan kredibiliti yang besar. Politik praktis dan pragmatik sahaja akan bengkok dibawah paluan mata fikir rakyat. Pembangunan politik negara yang patriotik dan nasionalistik harus juga dilandasi nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan idealisme besar yang berpandangan jauh ke depan.

Saya akan mengulas lagi tentang perihal akta perhubungan ras di atas pada paparan atau posting akan datang. Ini isu yang mesti kita sama-sama bahas supaya bangsa kita yang berbilang kaum ini berpeluang untuk menyertai perbahasan penting yang menyangkut keharmonian bersama sekalian rakyat dan generasi akan datang.

Friday, 26 September 2008

SERIBU MAKNA DARI SATU KATA

AIDULFITRI

HARI RAYA AIDULFITRI
SALING MEMBERI DAN MEOMOHON MAAF,
SALING MEMPEERAT HUBUNGAN AKRAB .

DAN CINTA KITA KEPADA-NYA
,
BERLINANGAN DALAM AIR MATA ,
SEPERTI MATAHARI DENGAN BULAN ,
SEPERTI AWAN DENGAN HUJAN ,
DI MANAKAH ENGKAU KEKASIH?

(ii)

DI WAJAH BULAN TIDAK MENJELMA ,
DI DALAM AWAN ENGKAU TIADA ,
HANYA BAYANG-BAYANG GUGUR KE BUMI ,
AKU BERTEKA TEKI ,
APAKAH ITU ENGKAU ATAU WAJAHKU?
ALANGKAH MANIS KALAU KITA ,
BERSATU DALAM SUSU DAN MADU.

AKU MENGEMBARA KE KAKI LANGIT,
SEMAKIN KUDEKATI SEMAKIN JAUH ,
TETAPI AKU TAHU ENGKAU ADA ,
MENGHITUNG JEJAK SETIAP LANGKAH,
MEMBILANG LENA DALAM LALAIKU ,
LEKA ALPA DALAM CINTA-MU

( iii)

Kan kucari engkau di segenap penjuru,
Di hujung senja, di ambang fajar,
Hanya daerah yang belum kujelajah,
Belantara rohani yang rimbun liar,
Di dalam hati, di hujung lidah,
Di situ sekian lama menunggu,
Dan aku justeru tak tahu.

(iv)

Angin lembut menyisir daun

Gerimis di serata pohon

Kulihat wajah-Mu di sana

Sedang suaraku berbisik-bisik di telinga-Mu

Dan Engkau sedang membisikkan sesuatu ke hatiku

Air mata yang berlinangan di pipi

Setitik demi setitik adalah air mata-Mu

Tahulah aku engkau masih sayang padaku

Setiap malam dan dini hari aku mahu luluh

Dalam perlindungan yang teduh

Seperti menyusu di tetek ibu dahulu..

Amin.

(V)

Amin, Amin, ya Rabbulalmin,
Aku tidak takut lagi pada gelap malam,
Aku tidak silau lagi pada sinar siang,
Amin, Amin ya Rabbulghafur,
Aku tunduk ke arah-Mu,
Dan aku sujud dengan dahi-Mu,
Setelah aku terlanjur zalim,
Menghina diriku.

Ini aku,
Terimalah,
Dalam kuyup basah,
Air mata,
Saksi setia,
Doa dan pasrah.
Amin.




Baha Zain

















Thursday, 25 September 2008

BERWASPADALAH! JANGAN KEMBALIKAN SUASANA KONFLIK MEI 69

Kalau anda sekarang berusia bawah 40 tahun, anda tidak mengalami kegelisahan politik dan sosial yang tajam dengan syak wasangka perkauman, dan perbalahan pandangan tentang apa maknanya kemerdekaan sewaktu baru-baru merdeka dahulu. Kalau anda tidak tinggal di Kuala Lumpur sewaktu 13 Mei tahun 1969, anda tidak tahu tentang kebimbangan untuk berjalan kaki atau bersiar-siar melalui Jalan Petaling, Chow Kit, Jinjang, Sentul, Kampung Baru, Kampung Kerinci atau Gombak. Orang Melayu bimbang ditetak oleh orang Cina , orang Cina khuatir kalau-kalau dipancung oleh orang Melayu, dan orang India berasa tidak aman ke mana-mana.

Ada kegerunan dan pesimisme di merata ceruk dan lorong; ada kesuraman dan kebencian yang memerintah perasaan dan sikap penduduk pelbagai kaum. Bayangkan juga perasaan dendam dan marah serta ingin menuntut bela bagi mereka yang rumahnya dibakar, dan ibu bapa atau adik beradiknya yang dibunuh tanpa dosa dalam perkelahian Mei 1969. Walau bagaimana pun orang Cina dan India yang tinggal terpencil satu atau dua keluarga di kampung-kampung Melayu di luar bandar selamat dan aman.

Suasana kemasyarakatan Kuala Lumpur yang menjadi pusat pentadbiran, perniagaan dan politik dalam dekad 60-an seolah-olah berpetak-petak dan berpuak-puak . Tidak utuh dan hanya nampak aman di permukaan. Saya tidak ingin mengalami sekali lagi kerapuhan hidup yang seperti itu . Ia seolah-olah mengejek segala idealisme tentang kehidupan kemerdekaan yang pada mulanya diimpikan sebagai aman bersatu padu , indah serta romantik. Akhirnya satu dekad kemerdekaan itu menemukan tragedi berdarah 13 Mei 1969 .

Di sini kita tidak mahu mencungkil siapa yang merancang, siapa yang bersalah dan mencetuskan peristiwa berdarah tersebut. Tetapi elok kita imbas peristiwa-peristiwa yang sedikit demi sedikit melonggokkan kebencian antara kaum , keturunan, agama, bahasa dan adat resam. Istilah-istilah agama, bahasa , nilai-nilai dan adat resam pada hari ini sudah menjadi terlalu biasa sehingga kita lupa bahawa pride dan prejudice perkauman itu sangat kuat mempengaruhi perasaan, sikap dan seterusnya tindakan seseorang apabila berhubungan dengan penduduk lain setiap hari; apabila menonton TV atau membaca akhbar. Hari ini sensitiviti ini kembali terasa, dan kita perlu berwaspada. Jangan leka dan lupa akan faktor prasangka perkauman yang boleh menjerumuskan kita sekali lagi.

Beberapa tahun sebelum tragedi berdarah itu, iaitu pada 9 Ogos 1965, Dewan Rakyat Malaysia telah meluluskan pindaan perlembagaan yang membenarkan Singapura keluar daripada Malaysia. Ketetapan ini diambil kerana PAP atau People’s Action Party di Singapura (yang waktu itu berada dalam Persekutuan Malaysia), dianggap sebagai ancaman kepada perpaduan kaum dengan kempennya “Malaysian Malaysia”. Kempen ini memperjuangkan bahawa semua kaum mempunyai hak yang sama dalam apa jua bidang. Tidak ada keistimewaan bahasa dan keistimewaan hak bagi orang Melayu. Tentulah cakap-cakap dan kempen yang seperti ini mendapat sokongan kuat orang bukan Melayu, dan dalam waktu yang sama sedikit demi sedikit menyemai benih kemarahan penduduk Melayu.

Kempen politik di atas melemahkan sokongan kaum Cina terhadap MCA, dan dalam waktu yang sama menimbulkan kemarahan sesetengah orang Melayu terhadap pemimpin UMNO yang dianggap tidak tegas mempertahankan hak-hak orang Melayu, dan terlalu bertolak ansur dengan masyarakat lain sehingga pulau Singapura yang sangat berharga itu pun akhirnya diserahkan balik kepada orang asing. Para penulis, budayawan serta cendekiawan Melayu juga berkonfrontasi dengan PM dan pemimpin UMNO yang dianggap konservatif, dipengaruhi fahaman kapitalis , tidak membasmi kemiskinan rakyat, dan tidak tegas melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal.

Jadi baik dalam bidang politik, sosial atau kebudayaan zaman sepuluh tahun kemerdekaan itu terlalu banyak fahaman politik yang bercanggahan sehingga kebebasan demokrasi yang baru dimenangi daripada penjajah Inggeris, menjadi sangat bebas mulut dan penuh dengan kempen dan polemik yang belum tentu betul atau bermanfaat bagi penduduk yang pelbagai kaum. Konflik parti politik semakin tajam, perdebatan dan polemik yang berbau perkauman merebak.

Apakah pasca Pilihan Raya Ke-13 hari ini memberi satu milieu yang serupa dengan wujudnya bermacam-macam pengucapan , perbincangan, forum, perdebatan , demonstrasi, dan media , terutama internet dan blog yang sangat bebas dengan pendapat, kritikan , tuduhan malahan tohmahan pun. Di sana sini diadakan perbincangan tentang Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, kesamrataan antara kaum, kontrak sosial, dan kedudukan istana.

Topik ‘kontrak sosial’ saja seolah-olah sedang dianalisis di bawah mikroskop undang-undang untuk menilai kepentingannya dengan kehidupan bernegara sekarang. Ada yang menganggap ia tidak wujud, dan ada yang menganggap ia adalah suatu persefahaman yang real antara Tunku Abd Rahman, pemimpin UMNO, dengan Pemimpin MCA sehubungan persetujuan tentang hak keistimewaan Melayu, dan hak kerakyatan jus soli kepada bukan Melayu. Kontrak sosial tersebut sekarang dihujah pula dari perspektif hak-hak asasi manusia, dan kebebasan beragama . Ada niat di satu pihak untuk merungkai amalan yang lama, dan ada reaksi di pihak lain untuk mempertahankannya dalam rangka amalan, adat kebiasaan dan semangat undang-undang ( the spirit of the law ) yang telah berpuluh tahun wujud di negara berbilang kaum ini.

Kalau arus perdebatan atau polemik ini menjadi semakin rancak dalam kebebasan berdialog dan menyalurkan pandangan; kalau tidak diuruskan dengan perasaan tanggungjawab, kematangan, dan kebijaksanaan akal budi , dan ramai pula hendak menjuarakan satu-satu pihak atau kaum, tidak mustahil konflik tajam akan berlaku sekali lagi. Dialog harus berterusan, tetapi jangan menjadi terlalu ghairah dan salah timing. Hari ini pelbagai kesulitan ekonomi dan jenayah sosial sedang menimpa negara; dirumitkan lagi oleh konflik kepemimpinan, dan tergugatnya kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti pegawai-pegawai tinggi kerajaan . Semuanya ini adalah tanah subur bagi tumbuhnya emosi yang ekstrem dan ketidakstabilan.

Kita tidak harus membazirkan peluang-peluang yang luas untuk memupuk keharmonian antara penduduk. Mari kita elakkan tragedi seperti Mei 13 berulang lagi sehingga darurat diisytiharkan, Parlimen digantung, dan demokrasi dinafikan .

Eloklah kita belajar daripada peristiwa masa lalu kerana sejarah mengajar manusia untuk berfikir lebih baik, dan bertindak lebih bijaksana . Mari kita pelihara asas-asas kehidupan masa depan yang indah bagi anak-anak kita semua. Berusahalah menahan lidah dan hati kita daripada melukai lidah dan hati manusia lain.


* Diterbit semula dengan ehsan Malaysian Digest. Pertama kali diterbitkan di www.malaysiandigest.com pada bulan Jun 2008