Saturday 29 August 2009

PERGESERAN MALAYSIA-INDONESIA

Pada bulan Ramadan yang mulia, bulan yang diturunkan al-Quran dan kitab-kitab besar lain, dan satu-satunya bulan yang disebut di dalam al-Quran; bulan yang menyeru kepada kebaikan , kesabaran dan ketakwaan, sangatlah mendukacitakan apabila timbul sekali lagi protes dari sekelompok jiran tetangga di Indonesia terhadap Malaysia kerana dikatakan mengaku tarian "Pendet" Bali itu sebagai tarian Malaysia. Ia berpunca daripada tayangan iklan Pelancongan Malaysia.

Ini merupakan kes paling akhir; dan sebelumnya ada rentetan peristiwa lain seperti isu Batik, Keris, Sepadan, Ambalat dan malahan Nordin Mat Top. Nampaknya jahat sungguh Malaysia. Ada kira-kira tiga juta pendatang dari Indonesia di sini dan belum ada hotel diletupkan. Seorang Dr Azhari, dan kemudian Nordin menimbulkan huru hara yang tragis. Nah, akhbar Jakarta Post , 26 Ogos di Indonesia menyiarkan kontoversi dengan beberapa reaksi yang negatif daripada pembacanya. Berita Harian (Jumaat 28 Ogos) membawa berita tentang sebuah universiti di Indonesia enggan lagi menerima pelajar Malaysia kerana gara-gara tidak hormat terhadap kebudayaan kebangsaan Indonesia. Kenapa sampai begitu jauh sensitiviti dan reaksinya?

Kalau betul Malaysia menciplak dan mengaku apa yang bukan haknya, memang ini perbuatan yang tidak beretika dan harus minta maaf atas kesilapan. Hanya saya berasa dukacita kedua-dua jiran tetangga yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara masing-masing, dan duduk di khatulistiwa yang sama-sama lembab dan dipukul terik matahari, menjunjung Islam sebagai agama utama majoriti rakyatnya; dan tentu sekali sama-sama dicabar oleh globalisasi
selain daripada asakan budaya Barat yang hemogenistik; kita patut saling memperkukuh dan membina kekuatan budaya kita atas semangat Nusantara dan ASEAN.

Semoga akal waras dan bijaksana daripada pemimpin di atas dapat meredakan pergeseran, terutama pada bulan Ramadan ini (penghulu segala bulan). Ingatlah Ramadan mencatatkan
sejarah besar peperangan Islam menawan kemungkaran seperti yang berlaku pada Perang Badar, Perang menakluk Sepanyol (Andalusia diperintah oleh Islam selama 800 tahun), dan Perang Ramadan atau Perang Yom Kipur pada zaman modern, antara Arab dengan Israel pada 1973.

Kalau Malaysia dan Indonesia melakukan kerjasama atau kolaborasi yang produktif, kita boleh sama-sama mengangkat maruah Nusantara di tengah-tengah dunia yang memandang rendah terhadap rakyat berkulit sawo matang yang menjadi penduduk asli Tenggara Asia ini. Ayuh! mari kita sama-sama duduk semeja, berbuka puasa, dan bersolat di depan Tuhan.

Saya sendiri mengharapkan teman-teman baik saya seperti bapak Goenawan Muhammad
dapat melebarkan pengaruh kata-kata intelektual dengan penawarnya di kalangan pembaca media di Indonesia, dan bapak Emha Ainun Najib yang menjelajah ke pelusuk hati dan daerah rakyat melalui saluran dakwah Kiai Kanjengnya dapat menyejukkan hati yang dipedihkan oleh mereka yang marah. InsyaAllah. Amin

Tuesday 25 August 2009

PENYELESAIAN PPSMI YANG MERAGUKAN

Kenapa PPSMI tidak dihapuskan lebih awal?

Kenapa guru yang hendak mengajar Sains dan Matematik dlm Bahasa Melayu dari sekarang mahu ditindak?

Kenapa darjah satu pada tahun 2o11 tidak boleh diajar dalam Bahasa Melayu?

Apakah Ketua Pengarah Pelajaran telah memberi nasihat yang betul kepada Timbalan Perdana Menteri?

Cukuplah sekali dahulu rakyat dipermainkan sehingga akibatnya cerdik pandai dan ramai rakyat biasa hilang kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu dan birokerat kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin selaku TPM/Menteri Pelajaran nampaknya perlu menilai semula strategi
pelaksanaan. Ini hanya masalah pendekatan sahaja, bukan soal dasar kerana pada dasar dan prinsipnya sudah ditetapkan memansuhkan PPSMI.

Kalau dulu pada 2003 PM dengan mudah mengarahkan Kementerian Pelajaran mencampak Bahasa Melayu ke longkang dengan tak bertangguh-tangguh lagi kenapa hendak memperbetulkan balik kesalahan besar itu sampai memakan banyak tahun? Berapa ratus ribu lagi pelajar mahu dibiarkan menjadi mangsa sistem yang kucar kacir ini?

Kita belum lagi membahaskan isu memartabatkan BM di tingkatan 6 dan di pusat-pusat pengajian tinggi. Diharap Tan Sri Muhyiddin menghimpunkan ketegasannya sekali lagi menyelesaikan semua isu sensitif kebahasaan ini secara tuntas.

[ Ulasan tentang proses perubahan PPSMI kepada PPSM-BahasaMelayu lihat blog MARNI]

Friday 21 August 2009

Berpuasa, Beribadat Demi Bertakwa

Assalamualaikum kepada semua sahabat, pembaca blog yang dihormati, kenalan jauh dan dekat,
dan saudara-saudara Musliminin dan Muslimat,

Dengan tulus ikhlas saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa yang wajib pada Ramadhan ini semoga kita menyahut seruan Allah supaya bertakwa. Alangkah manis dan cantiknya Ramdhan, penghulu segala bulan, yang datang dengan penuh kasih sayang, keampunan dan pahala yang berlipat ganda.
Inilah bulan--Ramadhan- yang disebut namanya di dalam al_Quran.

Salam dan semoga di rahmati , diberkati dan dimurahkan rezeki oleh Allah jua.

Baha Zain

Tuesday 18 August 2009

IKHTIAR MENGHINDAR SELSEMA BABI

Sahabat baik saya sejak sekolah dahulu telah bersusah payah menyampaikan petua untuk menjauhkan diri daripada dihinggapi Selsema Babi (Swine Flu):

1. Sedut bau minyak cengkih (Lavanga oil)--2 titik minyak atas sapu tangan dan hidu-hidu selalu.

2. Kunyah sekurang-kurangnya satu bunga cengkih sehari

3. Makan sedikit bawang putih mentah, bawang dan juga halia.

4. Minum susu panas bercampur 2 gm kunyit.

5. Makan banyak buah-buahan mengandungi vitamin C ( limau, beri, jambu etc).



Maklumat daripada Times of India . Agaknya itulah sebabnya India belum begitu teruk kena Selsema Babi.

Berdoalah juga minta Tuhan pelihara keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan masyarakat Islam kita yang tak makan babi dan tak ternak babi agar terselamat. Masjid-masjid dekat kediaman kami sudah beberapa kali selepas solat Jumaat mengadakan solat hajat mohon perlindungan Allah.

Berikhtiar, berdoa dan bertawakallah dengan keinsafan terhadap Yang Maha Penyayang.

Thursday 13 August 2009

HANYA TULISAN YANG TINGGAL DIBACA

Dalam waktu seminggu ini empat berita kematian orang kenalan disampaikan melalui pesanan telepon. Mula-mula berita kematian Allahyarham penyair Sabar Bohari yang berasal dari satu daerah dengan saya ; kemudian W.S.Rendra penyair Indonesia; sesudah itu Hajah Halimah, Pegawai Perancang Bahasa, di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kelmarin 12 Ogos Dharmala N.S
penulis cerpen, esei dan novel yang telah berkarya sejak 70-an. Kerana tidak jauh dari rumah ,saya sempat turut bersama sembahayang jenazahnya di masjid Sri Gombak sesudah usai solat zohor.

Baru sahaja selesai membaca sajak Sabar Bohari, "Satu Malaysia" dalam keluaran Dewan Sastera , Ogos, tiba pula berita kematiannya. Tentang Rendra, sepatutnya kami sama-sama berhimpun , pada minggu pertama Julai, di Korea Selatan, tetapi akhirnya dia tidak datang kerana uzur. Apa yang sampai hanya sajak-sajaknya, dan itupun tidak dibacakan pada malam 'Poetry Night". Saya mulai mengenal Rendra pada awal tahun 70-an sewaktu tinggal di Jakarta, dan sering menonton teater serta persembahan-persembahan puisinya di Taman Ismail Marzuki. Dia sangat memikat di atas pentas kerana bakat teaternya yang hebat. Hajah Halimah walaupun bukan penulis, tetapi sangat berjasa dalam pembinaan istilah teknikal yang menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata-kata ilmu pengetahuan di dalam bahasa kita . Bahasa kebangsaan masih sangat memerlukan keahlian dan pengalamannya , terutama pada saat ini setelah 6 tahun bahasa sains dan matematik dinyahkan. Dia pergi terlalu awal, tetapi seruan Tuhan lebih mengetahui dan adil terhadap hamba-hamba- Nya. Karya Dharmala pernah saya baca sejak lama dahulu, terutama apabila menjadi panel hakim bagi memilih cerpen-cerpen yang baik untuk memenangi hadiah. Memang dia sangat berbakat, dan turut memperkaya khazanah persuratan moden bangsa kita.

Sekalian yang telah memperkaya bahasa Melayu dengan imaginasi , sensitiviti seni dan inteleknya tiba-tiba meninggalkan lapangannya. Hanya hasil jerih payah: puisi, esei,cerpen, makalah dan istilah dalam majalah dan buku yang menjadi kesaksian tentang kehadiran mereka pada suatu waktu yang lalu. Mereka telah pergi meninggalkan buku-buku. Peristiwa ini menginsafkan bahawa kita jangan alpa setiap hari tentang berniat dan berusaha untuk meninggalkan kebaikan. Hanya itulah yang akan menjadi kenangan orang di dunia, dan bantuan
meringankan roh kita di akhirat. InsyaAllah.

Jadi menulislah dengan sebab dan tujuan yang betul; bukan dengan niat yang salah.

Persoalan ini mengingatkan kita kepada ratusan pengarang dahulu yang telah mempertaruhkan jiwa raganya dalam dunia karang mengarang dan perjuangan menentang kezaliman dan penindasan seperti Zaaba, Kajai, Ishak Haji Muhamad dan Samad Ismail. Kedua-dua pengarang Ishak dan Samad Ismail meninggalkan cerpen dan novel yang sangat komited kepada masyarakatnya; dan bertahun-tahun dihumban ke dalam penjara. Hanya pada larut usianya baru diberi perhatian yang besar setelah kemerdekaan rakyat menjadi kenyataan.

Barangkali sudah tibalah saatnya kerajaan melalui agensi tertentu mengabadikan nama kedua-dua tokoh besar persuratan, politik dan kewartawanan ini pada ruang-ruang tertentu di mana terpamer secara visual imej , karya dan pembicaraan tentang mereka bagi mendidik perasaan dan fikiran generasi anak-anak kemerdekaan tentang apa ertinya perjuangan dan pengorbanan. Institusi yang paling tepat tentulah Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mewujudkan ruangan khas bergelar " Kamar Kemuliaan " untuk Pak Sako dan Samad Ismail. Kedua-dua tokoh ini telah melalui kehidupan yang sangat berwarna warni dan aneh dalam denyut-denyut nafas bahasa, sastera, kewartawanan dan politik kebangsaan. Mereka sangat wajar dan berhak untuk dikenang ketokohannya.

Saturday 8 August 2009

Selamat Datang Ke Kebuncipta

Apabila dunia terlalu hiruk pikuk dengan pelbagai peristiwa kita perlu bertenang dan duduk merenung ke dalam diri supaya tidak hanyut daripada dasar kehidupan yang hakiki. Ini bukan pelarian , tetapi tempat berteduh sementara dan mencari diri sendiri yang telah terbawa-bawa oleh peristiwa di sekitar, entah benar ataupun tidak.

Di kebuncipta kita mendengar panggilan hati nurani, dan belajar mendengar perasaan orang lain.
Kesenian bukan sekadar untuk menikmati keindahan, tetapi mencari kebenaran. Datanglah berkunjung untuk kita berdialog .

Pintu ke kebuncipta menunggu di sebelah atas kanan blog desakota
:
Blog Seni & Sastera
kebuncipta

Tuesday 4 August 2009

MEMBACA SEMULA CIPTAAN SILAM

Mengembalikan Semula Dunia yang Hilang

Gerakan pembebasan dan revolusi di Indonesia dahulu telah menjadi inspirasi membangkitkan
semangat perjuangan di Semenanjung Tanah Melayu. Revolusi Indonesia tercetus menjadi kenyataan sesudah gagasan pemberontakan itu matang dalam fikiran rakyatnya. Fikiran itu dipersiapkan dan dimatangkan oleh penulis, budayawan, wartawan dan aktivis agama serta politik. Sesudah itu barulah rakyatnya bersedia bertumpah darah menebus kedaulatan dan maruahnya: Merdeka.

Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia, para penulis dan pengarang telah menulis cerpen serta novel yang menceritakan pertentangan antara adat resam, nilai-nilai dan falsafah Timur dengan yang dibawa oleh penjajah Barat. Kesusasteraan menjadi suara perlawanan yang halus , tetapi menginsafkan kerana ia mempengaruhi bukan sekadar fikiran tetapi juga emosi dan sikap.

Lahirlah pelbagai karya yang ditulis dalam bahasa Indonesia bagi bacaan di Sumatera, Jawa, dan di pulau-pulau sekitarnya. Bahasa Indonesia lalu menjadi bahasa baru, bahasa pemersatuan, dan suara perjuangan nasional bagi ratusan suku-bangsa: Sunda, Jawa, Minangkabau, Batak, Bali, Minado, Madura, Aceh, Melayu etc,etc. yang menuntut keadilan.

Baru-baru ini , Balai Pustaka, penerbit yang wujud sebelum merdeka, kabarnya menerbitkan semula novel-novel klasik modern Indonesia yang telah menunjukan keistemewaan bakat kreatif dan pemikiran intelektual bangsa Indonesia zaman pra-merdeka.

Penerbitan disempurnakan dalam bentuk kumpulan khas yang setiap satu terdiri daripada 8 judul dengan nombor sirinya:
1. Azab dan Sangsara, Merari Siregar
2. Salah Pilih, Nur Sutan Iskandar
3. Siti Nurbaya, Marah Rusli
4. Dari Ave Maria ke Jalan Lain ke Roma, Idrus
5. Layar Terkembang, Sutan Takdir Alisjahbana
6. Atheis, Achdiat K Mihardja
7. Salah Asuhan, Abdoel Muis
8. Habis Gelap Terbitlah Terang, R.A. Kartini

Projek penerbitan ini dikelolakan oleh sekumpulan lapan pengarang yang diketuai oleh penyair Tufik Ismail.

Demikianlah bagaimana Indonesia melalui kesusasteraan mengembalikan dunia yang hilang supaya bangsanya sedar bahawa zaman yang merdeka ini telah diwujudkan oleh keringat dan darah sejarah yang lalu.

Bagaimana Malaysia menaksir sejarahnya ?