Sekarang sudah sah Barrack Hussin Obama dipanggil Presiden Sastera oleh kalangan
pengarang di Amerika. Demikian kata Chicago Tribune. Obama bukan sahaja menggunakan ungkapan bahasa yang cantik di dalam ucapan-ucapannya di depan khalayak ramai, tetapi dia juga menulis buku di dalam kesepiannya. Perihal Presiden Amerika yang mahir menulis tentang idea demokrasi dan kebebasan rakyat di dalam bahasa Inggeris telah pernah juga dibuktikan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Presiden Roosevelt. Mereka bukan sahaja melahirkan retorik sensasi di atas pentas untuk mempengaruhi pendengar memberikan undi esok atau lusa, tetapi cuba memasuki hati nurani dan kesedaran pendengar tentang permasalahan kehidupan yang asas dan manusiawi dalam bidang keadilan, kebebasan, dan kesejagatan.
Keistemewaan Obama ( sebagai Presiden Sastera) dalam kreativiti ucapannya menjadi semakin menonjol apabila dibandingkan dengan Bush yang dianggap sebagai Presiden Poster, yang hanya membaca ucapan-ucapan bertulis yang dikarang oleh orang lain( speech writer/ghost writer atau penulis hantu/penulis halimunan). Lebih teruk lagi Bush dikatakan tidak membaca buku, malah berbangga tentang perihal tidak membaca buku.
Begitulah kalau orang sudah menyampah (atas perbuatan dan kejahatan sendiri)
macam-macam orang kata apabila sudah terlucut daripada kerusi negara.
Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin kita? Siapa yang boleh dikatakan sebagai Perdana Menteri Sastera ? Jawabnya tak ada. Kalau ada pun yang menulis , bahasanya tidak cantik atau hebat, dan tidak menambat perasaan , apatah lagi untuk diingat dan dihafal. Mereka hanya menulis karangan biasa hari-hari untuk maklumat atau idea tentang peristiwa atau isu semasa yang topikal, dan tidak menghubungkannya dengan makna kewujudan insan, kemasyrakatan dan kenegaraan di pentas kehidupan yang lebih luas serta jauh. Apa yang lebih lucu dan jenaka lagi (sebenarnya tidak lucu dan bukan jenaka), pemimpin-pemimpin , Perdana Menteri ( kecuali allahyarham Tun Razak), dan Menteri-menteri kita tidak berasa perlu memperjuangkan dengan penuh iltizam bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengucapan yang kaya, sebagai bahasa budaya, bahasa ilmu dan intelektual. Juga apabila berucap di depan khalayak atau di depan media bercampur aduk bahasa Melayu dan Inggeris kerana ramai antara kita telah dilatih berfikir dan mengucapkan fikiran dalam bahasa asing itu sewaktu di sekolah.
Itulah sebabnya bahasa Melayu kita tidak indah, dan tak berdaya menambat fikiran; bahasa Inggeris kita pula tidak halus dan canggih. Kita menjadi serba tanggung, kiri tidak dan kanan pun tidak, kerana menganggap peranan bahasa itu sebagai sepatu yang dipakai setiap hari ke tempat kerja. Mungkin sepatu kita lebih cantik dan mahal daripada bahasa yang kita gunakan.
Bahasa bukan sahaja menyampaikan maklumat dan fikiran, tetapi membentuk idea, mendidik fikiran dan nilai-nilai. Inilah rahsia dan amanah bahasa yang dianugerahkan oleh Tuhan bagi bangsa- bangsa di dunia.
Sewaktu mengirim jawapan terhadap pandangan seorang seniman tentang hakikat puisi, saya memetik fikiran Paulo Coelho, pengarang Brazil yang terkenal, yang mengatakan bahawa setiap insan patut memiliki dua bahasa: bahasa masyarakat, dan bahasa tanda. Satu untuk berkomunikasi dengan orang lain; dan satu lagi untuk membaca pesanan Tuhan.
Catatan: Saya sedang menunggu terjemahan buku Obama ( Audicity of Hope ) yang diusahakan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia.