Saturday 28 March 2009

Tuesday 24 March 2009

POLIS JUMPA GMP DI RUMAH PENA dan ISU BAHASA

Jam 3 petang Selasa tadi, 6 orang Pegawai Penyiasat Polis menemui ahli Jawatankuasa Induk GMP (Gerakan Membasmi PPSMI) bagi mendapatkan maklumat tentang tunjuk perasaan anti PPSMI pada 7 Mac yang lalu. Pertemuan diadakan di Rumah PENA bagi memudahkan pihak polis dan pihak GMP bertemu dalam keadaan yang lebih selesa dan mesra. Dato' Hassan Ahmad, Prof. Abdullah Hassan, Prof. Shahrir, Dato' Samad Said, Ainon Mohd, Hasni, dan Dinsman adalah antara sembilan aktivis GMP yang diwawancara dengan kehadiran dua orang peguam bagi pihak GMP. Dr Ibrahim Ghafar, Timbalan Pengerusi Tetap PENA telah berusaha mengatur tempat dan kemudahan bagi pertemuan tersebut.

Diharap pihak polis telah memperoleh maklumat penting yang diperlukan, dan dapat juga memahami matlamat utama yang menggerakkan GMP sehingga usaha mereka untuk menghantar memorandum tentang bahasa Melayu kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong berkembang menjadi perhimpunan yang sangat luar biasa.

Melihat betapa susah dan bermasalahnya pengalaman ahli-ahli jawatankuasa GMP ini, sehingga harus berhadapan dengan penyiasatan pihak polis, saya terfikir alangkah sukarnya untuk memajukan bahasa Melayu itu di buminya sendiri. Kenapakah sampai begitu keadaannya pada zaman yang dianggap global ini? Apakah globalisme telah menyesatkan pandangan dunia atau tasawur bangsa-bangsa yang sedang berkembang; dan apakah ini sebahagian daripada strategi Zionis Yahudi untuk melakukan disorientasi budaya dan sosial musuhnya? Memang jelas premis pemikiran mereka yang mengimpikan kemajuan ekonomi dan teknologi sangat percaya bahawa globalisme adalah lampu ajaib Aladin yang boleh memberi jawapan bagi mengatasi segala kemunduran . Jin daripada lampu Aladin itu akan menunjukkan jalan dan memberi pedoman bagaimana untuk mencapai kehendak nafsu manusia.

*****

Sebentar tadi (jam 9.30 malam) tersiar secara langsung di TV acara perasmian Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO oleh YAB Timbalan Presiden UMNO. Dato' Najib memberi ucapan yang jelas dan mudah difahami tentang kenapa UMNO mulai ditolak oleh rakyat, dan bagaimana untuk memenangi semula fikiran dan hati rakyat terutama generasi muda. Sebahagian besar pidatonya
mengarah ke dalam parti, dan hubungannya dengan perjuangan bangsa Melayu.

Tidak ketinggalan beliau menyentuh "Bahasa Jiwa Bangsa", tetapi tidak memberi apa-apa komitmen tentang PPSMI, malah menyebut bahawa bahasa Melayu akan diminati dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain apabila bangsa Melayu itu sendiri maju . Beliau mengambil contoh kematian bahasa Sankskrit, Latin, dan Aztec yang mengekori kemorosotan masyarakat penggunannya. Bahasa Sankskrit adalah bahasa kesusasteran Hindu kuno yang menjadi asas Hindi dan Urdu. Latin adalah bahasa yang digunakan oleh orang Rom pada zaman lampau yang juga menjadi bahasa kumpulan terpelajar di banyak negeri Eropa pada waktu dahulu. Bahasa Aztek adalah bahasa Empayar Aztek pada suatu waktu dahulu di Amerika.

Contoh sejarah ini tidak boleh dijadikan asas untuk membuat keputusan menolak bahasa Melayu dalam sains dan matematik; dan anggapan bahawa orang akan menghormati dan belajar bahasa Melayu apabila bangsa Melayu sudah maju nanti ( sebagaimana yang disebut-sebut oleh mantan PM Mahathir) tidak menjawab hujah-hujah pihak yang menentang PPSMI. Juga alasan ini tidak relevan.

1. Kita mesti memajukan bangsa bersama-sama dengan bahasa Melayu sekali kerana tujuan kemajuan bangsa bukan maju ekonomi dan teknologi saja. Apakah juga menggunakan bahasa Melayu menghalang kemajuan ekonomi, teknologi dan bangsa? Malahan dengan mengajar sains dan matematik di sekolah dalam bahasa yang difahaminya dalam keluarga akan memudahkan murid sekolah menjadi berilmu bagi membinanya sebagai modal insan yang kreatif.

2. Dengan mempertahankan penggunaan bahasa Melayu , tidak ada niat sedikit pun untuk meninggalkan bahasa Inggeris. Malahan mesti diperhebatkan penguasaannya; dan dimantapkan profisensi pelajar membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris .

3 Lojik fikiran bahawa apabila bangsa maju bangsa-bangsa lain akan belajar bahasa Melayu salah sama sekali. Kalau kita maju dengan menggunakan bahasa Inggeris ( pelajar, guru, pensyarah, penyelidik, dan rakyat Malaysia maju kerana menggunakan bahasa Inggeris ) kenapa mesti orang belajar bahasa Melayu yang tak berkembang itu ? Orang belajar saja bahasa Inggeris yg digunakan. Jepun , Korea, Jerman dan Perancis maju kita tidak pula berlumba-lumba untuk menguasai bahasa Jepun, Korea, Jerman dan Perncis. Selain itu kalau Korea atau Jepun menjadi tersangat unggul dalam ekonomi , teknolgi dan tamadunnya dalam bahasa Inggeris kenapa kita mesti pula belajar bahasa Korea atau Jepun yang tak berkembang maju seiring dengan kemajuan tamadunnya.

4. Apabila kita memperjuangkan perkembngan dan kemajuan bahasa Melayu supaya menjadi bahasa ilmu moden bukan kerana kita hendakkan sangat orang asing atau bangsa lain mempelajari bahasa Melayu. Kita bercakap bagi kepentingan bangsa kita dahulu. Bagi kepentingan ilmu, perpaduan, jati diri dan kepatuhan terhadap Perlembagaan negara. Ini keutamaan . Tak ada sangkut paut dengan Jepun atau Russia atau oarng lain akan teruja dengan bahasa kebangsaan kita. Mereka hendak belajar BM, silakanlah. Kalau tidak mereka boleh terjemah karya dan hasil penyelidikan dalam bahasa Melayu ke bahasa mereka.

5 Kalau Latin, Sankskrit , dan Aztec pupus kerana bangsa penggunanya pupus, bahasa Melayu pun lojiknya akan pupus kalau bangsa Melayu pupus. Tetapi masalahnya sekarang ( mulai 2003) bahasa Melayu itu sedang pupus sebagai bahasa sains dan matematik sebelum lagi bangsa Melayu sendiri betul-betul pupus . Di Indonesia ada kira-kira 80 juta masyarakat Jawa ( Melayu kita di sini berapa juta? 7? 8?) , tetapi bahasa Jawa sudah pupus sebagai bahasa sains, matematik, dan bahasa ilmu moden kerana tidak digunakan untuk mengajar dan belajar kimia, biologi, fizik, matematik dan kejeruteraan di intitusi pendidikannya. Ini isu pokok perbahasan PPSMI.

Rumusannya ialah marilah kita memikirkan dan menyelesaikan isu PPSMI ini dengan fikiran
yang jelas, tidak kusut dan berjerebu kerana ini isu tamadun yang akan menimbulkan pelbagai implikasi dan reaksi yang berpanjangan.
Pihak yang menuduh penentang PPSMI, dan penyokong GMP yang berdemonstrasi sebagai berfikiran emosional ( Lihat NST, Mac 21), tidak membaca atau tidak faham pandangan-pandangan serta hujah yang begitu banyak diutarakan, sehingga terlanjur membuat kesimpulan yang angkuh.
Sepatutnya editor media yang menyiarkan pandangan Pengerusi PAGE (Parent Action Group for Education) yang bernama Datin Nor Azimah menyunting sedikit ayat-ayatnya supaya dia nampak lebih cerdik dan matang .

Sunday 22 March 2009

BERCAKAP TENTANG MELAYU DENGAN SUARA SINIS

Hari minggu ini berhimpun sekelompok orang Melayu yang berniat untuk membangunkan kehidupan ekonomi , politik dan sosial bangsa Melayu dengan merumuskan fikiran-fikiran yang bernas daripada sejumlah pemikir yang ahli dalm bidang masing-masing. Usaha yang bersungguh-sungguh dengan berlandaskan hati yang bersih serta jujur dan fikiran yang rasional sangatlah penting, bukan sahaja bagi menemukan keputusan yang berguna, tetapi untuk mendapat restu daripada Allah.

Daripada media yang memberi liputan peristiwa ini saya mendengar seorang pembicara meluahkan pembantaiannya terhadap bangsa Melayu, seolah-olah bangsa Melayu itu teruk dan tak boleh diperbetulkan lagi kesalahannya: suka berhutang, rasuah, jual kontrak, menyalahgunakan kekuasaan serta peluang dan macam-macam lagi. Katakanlah semua ini betul, tetapi buat apa hendak diulang-ulang pada waktu yang sangat terbatas yang sepatutnya digunakan untuk memberi statistik kemunduran Melayu vis-a-vis bukan Melayu , dan apa cadangan-cadangan yang konkrit buat jangka pendek dan jangka panjang bagi memberi jalan keluar terhadap permasalahan.

Barangkali laporan media itu tidak memberi liputan yang lengkap sehingga apa yang saya dengar pada keseluruhannya negatif dan meletakkan kesalahan kepada sikap dan watak rakyat Melayu dan bukan kesalahan pemimpin yang diamanahkan untuk membuat dasar, mewujudkan institusi , dan melaksanakan dengan cekap dasar-dasar yang diperkenalkan. Barangkali dasar itu tak betul, institusi dan mekanisme lemah, pelaksanaan dan pemantauan tak jujur, atau pemimpin sendiri yang rusak sikap dan kepimpinannya. Inilah kesalahan besar politik pada masa yang sudah sehingga rakyat hilang kepercayaan, tetapi pemimpin asyik menyalahkan rakyat.

Cukuplah tabiat membantai ( bashing ) Melayu ini. Pemimpin cuba duduk diam-diam di ceruk-ceruk mana, bertafakur dan muhasabah diri. Sekarang adalah zaman untuk melakukan pembetulan terhadap keslahan yang lalu, dengan memberikan fikiran-fikiran yang positif , dan bukan sinisme dan memburuk-burukkan bangsa sendiri. Masyarakat sudah semakin membebaskan diri dan fikirannya daripada khutbah-khutbah pemimpin seperti tanda-tanda terang yang disampaikan oleh PMU ke-12. Pemimpin politik jangan menfikan kenyataan baru sekarang dan meneruskan amalan:" Kena di perut dikempiskan, kena di mata dipicingkan".

Wednesday 18 March 2009

ANTI PPSMI LAWAN KERAJAAN:UMNO PATUT JADI PENGADIL

BOLEHKAH UMNO YANG AKAN BERHIMPUN PADA HUJUNG BULAN MAC 2009 INI MENGEMBALIKAN PERANAN DAN TANGGUNGJAWABNYA SEBAGAI PARTI YANG BERKUASA MEMPENGARUHI DASAR-DASAR DAN PELAKSANAAN KERAJAAN SUPAYA DAPAT MENGHAPUSKAN PERSEPSI NEGATIF MASYARAKAT MELAYU?

UMNO SEBAGAI SEBUAH PARTI POLITIK BUKAN MESTI TUNDUK KEPADA PEMIMPIN KERAJAAN. MALAH SEBALIKNYA KERANA UMNO YANG MENJADI TULANG BELAKANG BN MEMBENTUK KERAJAAN DAN MENGAMANAHKAN PENTADBIRAN NEGARA KEPADA MEREKA. PEMIMPIN2 UMNO TIDAK PATUT DIPERGUNAKAN UNTUK MEMPERTAHANKAN DASAR2 YANG SALAH YANG DILAKSANAKAN OLEH PEMIMPIN2 KERAJAAN. TEMPAT DUDUK UMNO VIS-A-VIS KERUSI-KERUSI KERAJAAN HARUS DIPERJELASKAN SEMULA SUPAYA SELURUH NEGARA AKAN STABIL DAN BERADA DI LANDASAN YANG BETUL.

BERJAYAKAH UMNO MENEKANKAH PENGARUHNYA SUPAYA DASAR ppsmi YANG
SILAP DAN LEMAH ITU DITAMATKAN ; DAN BAHASA MELAYU KEMBALI MENJADI BAHASA PENGANTAR UTAMA SAINS DAN MATEMATIK-- DI SEKOLAH RENDAH; DAN DI SEKOLAH MENENGAH?

INI ADALAH UJIAN GETIR BAGI SEBUAH PARTI POLITIK MELAYU DALAM WAKTU TERDEKAT INI SUPAYA IA TIDAK AKAN DILIHAT DENGAN PRASANGKA; HARAPKAN PAGAR , PAGAR MAKAN PADI.

JUTAAN PASANG MATA RAKYAT SEDANG TERBELIAK MEMERHATI.

Saturday 14 March 2009

PPSMI YG KELIRU DAN MENGELIRUKAN

Merujuk BH Sabtu 14 Mac 2009, kata Mahathir:
"Pemimpin negara harus bertanggungjawab memastikan ...(PPSMI) dilaksanakan tanpa masalah supaya generasi muda tidak ketinggalan atau hilang daya saing kerana gagal menguasai bahasa global itu."

Kenapa mesti pemimpin negara memastikan cara yang tidak cerdik ini untuk menguasai bahasa Inggeris melalui sains dan matematik? Ini perbuatan yg tidak bertanggungjawab kerana kalau hendak mahir dan cekap menguasai bahasa Inggeris perhebat dan pertingkatkan kaedah dan cara guru mengajar dan murid belajar bahasa supaya generasi muda boleh pasih bercakap, lancar membaca , kreatif menulis dan hebat berdebat dengan menggunakan metafora, peribahasa , lojik, ilmu dan gaya pengucapan yang kreatif serta berkesan. Bukan melalui istilah teknikal sains dan matematik . Apa yang penting ialah ilmu daripada sains dan matematik itu. Tidakkah sudah lebih 30 tahun ilmu tersebut di ajar dalam bahasa Melayu sehingga berpuluh-puluh ribu yang lulus . Apakah Angkasawan Malaysia pertama itu disekolahkan di England dan belajar sains dan matematik sejak darjah satu dalam bahasa Inggeris?

Jangan juga membuat kesimpulan yang mudah bahawa kalau tak belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris generasi muda akan ketinggalan dan hilang daya saing. Ini fikiran yang sangat simplistik. Bagaimana halnya dengan ramai diplomat antarabangsa yang berkelulusan undang-undang, falsafah, sejarah, sosiologi, politik atau ekonomi yang sangat pasih dan pintar berbahasa Inggeris , tetapi belajar sains dan matematik dalam bahasa kebangsaannya (bahasa Jepun, Perancis, Jerman, Russia, Sepanyol, Melayu etc) di sekolah ? Apakah dia hilang daya saing dan ketinggalan sebagai Duta atau diplomat negaranya? Selain itu kualiti manusia untuk berdaya saing bukan sahaja faktor sains, matematik dan bahasa Inggeris. Sikap mental, moral yang bersih, pegangan agama, pengalaman yang luas, dan keyakinan akan jati diri, latihan khusus dlm bidang-bidang tertentu sehingga menjadi ahli adalah sangat penting. Semua ini harus diperhalusi kalau kita hendak membina generasi muda yang tahan bersaing dan berjuang.
Contoh pemimpin yang bersih dan adil, dan persekitaran politik yg tidak korup juga sangat mustahak untuk melahirkan generasi yang dinamik.

Inilah masalah besar Malaysia: pemimpinnya taksub kemajuan kebendaan, dan memandang ringan warisan budaya, moral dan etik , dan sudahnya kita bukan melahirkan ramai mansuia yg beradab, tetapi haiwan politik dan haiwan ekonomi. Kalau kita imbas kembali skandal BMF dan kes-kes rasuah sekarang, tidakkah mereka yg didapati bersalah adalah orang yang hebat-hebat bahasa Inggerisnya, dan global wataknya?

Bekas Perdana Menteri juga berkata; " ...Korea Selatan dan China kini giat menggalakkan rakyat mereka belajar bahasa Inggeris kerana sedar komunikasi menjadi asas penting dalam meningkatkan daya saing global dan ilmu pengetahuan."

Kalau Korea Selatan dan China baru kini menggalakkan belajar bahasa Inggeris, Malaysia sejak zaman Tunku dan Tun Razak lagi sudah memastikan bahasa Inggeris di ajar sejak tahun satu lagi. Kenapa pelajar kita dianggap tak pintar juga berbahasa Inggeris selama 11 tahun di sekolah ? Tentulah sistem persekolahan dan pemerintahan negara kita harus menjawab dan bertanggungjawab. Selama 22 tahun bekas Perdana Menteri ini berkuasa apa yang dibuatnya untuk memperbetulkan sistem pendidikan sehingga 11 tahun belajar bahasa Inggeris pelajar masih dianggap tongong menguasai bahasa ajaib yg konon boleh menyelamatkan segala masalah
negara?

Cuba juga selidik apakah Korea Selatan dan China mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mulai tahun satu (seperti kita) atau bermula di sekolah menengah. Cuba juga rajin-rajin bertanya apakah mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matematik dan sains --seperti yang negara ini lakukan sejak 2003 . Mustahil pemimpin politik dua negara ini melaksanakan kereja bodoh mengajar anak-anak bangsanya yang baru hendak membaca dan menulis belajar sains dan matematik dan mata pelajaran lain dalam bahasa asing.

Jadi tak kena betul untuk menyebut Korea Selatan dan Cina sebagai contoh. Bagi orang yang singkat akal dan berfikiran sempit tentulah terjun merumuskan bahawa orang yang menentang PPSMI ini anti bahasa Inggeris kerana Korea Selatan dan China yg maju itu pun menggalakkan belajar bahasa Inggeris. Menggalakkan bagaimana ? Bukan semberono seperti kita sehingga menghina bahasa kebangsaan sendiri. Kajilah betul-betul apa yang negara-negara maju lain amalkan seperti Korea Selatan dan China itu. Tak payah pergi jauh-jauh , tanya saja kedutaan
Korea Selatan dan China di tepi-tepi Jalan Ampang, K.L. betulkah mereka mengajar sains dan matematik di sekolah dengan menggunakan bahasa asing itu.

Orang yang menyokong PPSMI ini pun sama bebalnya, atau memang lihai atau licik untuk tujuan-tujuan keuntungan peribadi tertentu. Bayangkan berapa bilion ringgit [ 3 atau 4 bilion ?] telah dibelanjakan daripada wang rakyat untuk melaksanakan kerja PPSMI yang diperkenalkan dengan mendadak oleh Tun Mahathir pada 2003. Apakah ini suatu perbuatan yang bertanggungjawab?

" Saya lihat kebanyakan yang membantah isu ini sendiri berpendidikan Inggeris dan petah berbahasa Inggeris, tetapi tidak mahu pula generasi muda kita menguasai ilmu sama. Saya tidak faham motif sebenar mereka," katanya kepada pemberita.

Memang betullah ramai yang menentang PPSMI petah bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris seperti Dato' Dr . Hassan Ahmad, Prof . Shahrir (ahli matematik), Tan Sri Prof Ismail Hussein (Ketua 1 Gapena), Prof . Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara dan penulis puisi Inggeris/Melayu), Prof Emeritus Bakar Hamid, Prof . Dr Abdullah Hassan, dan malah Prof. Di Raja Ungku Aziz. Tetapi apa buktinya yang mereka tak mahu generasi muda menguasai bahasa Inggeris? Tohmah? Justeru itulah yang mereka ajukan agar pelajar dididik menguasai bahasa Inggeris melalui kaedah yang betul supaya berilmu dan fasih berbahasa Melayu dan Inggeris seperti mereka. Tetapi bukan dengan cara yang salah atau keliru melalui PPSMI.

Kenapa susah sangat memahami maksud dan tujuan mereka? Tak ada apa-apa yang terselindung. Mereka ilmuwan dan budayawan yang berhasrat menyatakan kebenaran. Mereka telah dilatih dengan prinsip keilmuan, iaitu menerangkan kebenaran . Mereka bukan orang politik yang memetingkan kekuasaan , dan tidak bertungkus lumus untuk memperolehinya sehingga kalau perlu menjatuhkan orang . Apatah lagi untuk menjatuhkan kebudayaan bangsanya.

Isu PPSMI ini bukan sekadar isu di sekolah, tetapi isu besar tamadun dan jati diri Malaysia , terutama bangsa Melayu. Ia akan menjadi masalah yang lebih besar dan berlarutan kalau tidak dikembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik ( di sekolah rendah dan di sekolah menengah). Tun Mahathir telah meninggalkan beban dan masalah yang berat kepada UMNO yang sekarang sudah tertangkap dalam lingkaran kemelut yang kusut. Tetapi kenapa seluruh bangsa Melayu harus terseret dalam kemelut pendidikan yang menjejaskan maruah dan kedaulatan bahasanya akibat daripada PPSMI yang Tun Mahathir sendiri menjadi puncanya?

Kenapa mesti penulis, pengarang , pelajar, ilmuwan dan budayawan yang apolitikal, yang tidak campur dalam politik kepartian, terpaksa mencari rakan perjuangan daripada ahli-ahli politik? Kenapa mesti mereka bertindak melapor kepada polis; dan sekarang memohon kepada pihak istana dan raja-raja untuk menyelamatkan bahasa Melayu? Apakah pemimpin -pemimpin kerajaan yang hebat berkuasa sekarang menganggap ini perkara remeh temeh, dan mereka yang membantah itu semua tidak penting dan tidak bermakna kepada masalah sekarang dan nasib bangsa pada masa hadapan ?

Friday 13 March 2009

BIMBANG & KINI MENJADI NYATA

Antara sebab-sebab utama orang menentang PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dlm Bahasa Inggeris) ialah dikurangi penggunaan bahasa Melayu kerana bahasa Inggeris mengambil alih tempatnya di sekolah-sekolah negara ini. Sebahagian besar mata pelajaran, terutama yang berasaskan sains dan matematik ( seperti matematik tambahan, fizik, kimia, biologi, teknologi, dan kejeruteraan ) diajar dalam bahasa Inggeris . Dianggarkan lebih 70% mata pelajaran di sekolah menengah akan bertukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Dengan demikian generasi muda sekarang semakin kurang menghargai bahasa Melayu, dan semakin mengutamakan bahasa Inggeris.

Kesan jangka panjangnya ialah bahasa Melayu semakin kurang digunakan untuk menyampaikan ilmu ( terutama dalam subjek yang berasaskan sains dan matematik); bahasa Melayu tidak dianggap penting seperti sebelum 2003 dahulu; dan akhirnya proses perkembangannya selama ini sebagai bahasa ilmu pengetahuan dalam bidang kemanusiaan dan sains akan tergencat. Maka bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini akan turun sebagai bahasa kelas kedua di negaranya sendiri.

******
Kekhuatiran tersebut pada hari ini benar-benar menjadi nyata, apabila Kementerian Pelajaran mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2008. Ketua Pengarah Pelajaran berasa puas hati kerana lebih ramai pelajar memilih bahasa Inggeris untuk menjawab soalan-soalan perperiksaan. Ini bererti semakin sedikit pelajar menggunakan bahasa Melayu untuk menjawab soalan-soalan mata pelajaran yang berasaskan sains dan matematik.

Penyingkiran peranan utama bahasa Melayu di sekolah-sekolah; dan terbantutnya kemajauan perkembangannya sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden dalam pelbagai disiplin mengakibatkan merosot penggunaan , kepentingan dan kedudukannya dalam masyarakat. Maka kesudahannya bahasa Melayu itu menjadi bahasa kelas kedua di dalam masyarakatnya sendiri.

Inilah yang menimbulkan kegetiran dan penentangan keras para pencinta bahasa kerana perbuatan ini bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan yang diminta oleh pemimpin dan menteri supaya rakyat patuh dan hormat pada perlembagaan dan undang-undang. Siapakah yang terbukti melanggarnya terlebih dahulu? Apakah mereka yang berhimpun atas nama GMP pada 7 Mac 2009 di Masjid Negara yang mulia itu yang tidak menghormati undang-undang?

Apa yang lebih mengaibkan ialah apabila bahasa Melayu itu tergelunsur ke bawah daripada tempat asalnya yang utama di sekolah sejak 1970 ( 30 tahun lebih), bererti kedaulatan dan maruahnya tergelunsur jatuh, membawa sekali maruah bangsa Melayu yang bermati-matian memperjuangkannya bersama-sama kemerdekaan tanah air. Inikah akhirnya hadiah dan balasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Melayu, dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan, kepada rakyat yang telah memilihnya serta menaruhkan kepercayaan kepada mereka?

Bukan sangat masalah pelajar boleh menjawab soalan dalam bahasa Inggeris. Bukan sangat soal murid-murid luar bandar ketinggalan berbanding murid-murid bandar.
Lama kelamaan semua mereka boleh menguasai bahasa Inggeris setelah ratusan ribu menjadi korban kegelojohan menggantikan bahasa Melayu dengan mendadak. Bahasa Iban, Kadazan, Cina , Tamil dan bahasa Orang Asli pun akhirnya boleh digunakan dengan jayanya oleh pelajar dan murid ( bandar dan luar bandar) kalau diutamakan dalam sains dan matematik. Jadi tak ada apa yang pelik atau istemewanya kalau ramai pelajar boleh lulus melalui bahasa Inggeris.

*****

Marilah berfikir dengan jujur. Apakah isu masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang hendak kita utamakan, atau kebolehan pelajar menjawab soalan
-soalan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris?

Premis atau landasan pemikiran untuk membuat keputusan ini harus jelas terlebih dahulu terutama di kalangan pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan. Kita tak boleh berfikiran keliru, atau sengaja mahu mengelirukan.Kita harus menyelami hati nurani kita walaupun keputusan kita akhirnya bertentangan dengan kepentingan air muka politik atau kerjaya kita sendiri.

Peratus kejayaan pelajar yang bertambah menjawab kertas perperiksaan dalam bahasa Inggeris bukan alasan bagi menghalalkan penerusan PPSMI kerana penerusan PPSMI ini akan memberi akibat buruk, iaitu membantut kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan asas tamadun bangsa kita. Kalau kepentingan ini yang menjadi falsafah pemikiran , tidaklah sampai terjadi PPSMI itu dilaksanakan dengan tak sabar-sabar lagi pada 2003; dan tentu juga sudah boleh diberi kata putus hendak meneruskan atau tidak awal-awal lagi.

Jadi keputusan-keputusan UPSR, PMR dan SPM itu sebenarnya tidak relevan dalam
pertimbangan untuk meneruskan atau memansuhkan PPSMI di sekolah rendah dan di sekolah menengah. Inilah yang patut disedari oleh orang ramai dalam isu PPSMI.

Memanglah ramai yang mempertahankan PPSMI, terutama yang taksub dengan globalisai; yang taksub dengan kemajuan kebendaan; yang cetek pemahamannya tentang peranan akhlak , ilmu dan warisan tamadun dalam erti kejayaan yang sebenarnya. Kekeliruan fikiran dan ketaksuban kemajuan kebendaan inilah yang sekarang sedang menghancurkan pembangunan kebudayaan, sosial dan kredibiliti politik. Krisis ekonomi sedang menyempurnakan kehancuran ini. Berdoalah supaya kita selamat; dan beranilah berkata benar supaya kita semua selamat.

Kata Harold Nicolson: "God knows politics is a complicated business, and the hearts and minds of men often flutter helplessly around in it, like birds in a net. But if we are unable to feel indignant at a great injustice , we will never be able to act righteously."


SELAMAT MALAM




















Wednesday 4 March 2009

APA YANG BAIK BAGI NEGARA KITA

Alhamdulillah telefon dan internet saya kembali berdenyut setelah seminggu membisu. Hampir setiap pagi dan petang saya mengadu ke pejabat telekom sehingga timbul anggapan buruk dalam hati saya: kalau-kalau sengaja dibisukan. Untuk menenangkan kerusuhan perasaan, saya berfikir dalam hati bahawa memang Malaysia sekarang berada dalam zaman kacau: ekonomi, politik, alam, dan malah bahasa pun kacau. Jadi tak mustahil komunikasi juga boleh kacau.
Kalau tidak, takkanlah sampai ahli-ahli YB Adun Perak sampai kena cari pokok untuk bermesyuarat dan membuat resolusi. Inilah akibat adanya dua tokoh (masing-masing mengaku dia betul ) dalam satu negeri.

Betul sungguh apa yang dikatakan oleh peribahasa Melayu lama:
" Seperti dua nakhoda dalam satu kapal; tak sehaluan." Masing-masing kata dia betul. Kalau dua-dua salah, tak mungkin ada yang betul. Jadi salah seorang mesti salah.

Belum lagi Perak jernih, Kuala Lumpur mungkin keruh pula kalau pihak polis halang atau tembak air berkimia kepada rombongan yang hendak menyerahkan memorandum basmikan PPSMI pada Sabtu 7 Mac lusa ke Istana Agong. Janganlah sampai macam itu. DYMM Agong pun sudah bersetuju wakilnya menerima memorandum tersebut. Kalau polis tak beri permit memanglah rombongan yang berjalan ke istana itu dianggap melanggar undang-undang. Ia harus ditafsirkan sebagai hendak menegakkan undang-undang dan perlembagaan kerana mereka hendak membela nasib bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Mengikut ucapan Ketua Polis Kuala Lumpur dalam TV malam ini , perarakan itu ada campur tangan parti politik PAS dan PKR. Bagaimana kalau UMNO turut serta? Saya harap UMNO juga turut sekali bagi membersihkan tangapan negatif terhadap peristiwa itu pada Sabtu ini. Semoga pihak polis akan bertindak baik dan bijaksana , dan tidak berkasar atau ganas kepada ahli-ahli bahasa , pengarang dan budayawan yang selalu mencintai kedamaian dalam kebebasannya bersuara. Lagi pun mereka tak dilatih untuk melawan dengan alat senjata, atau dengan kemahiran mempertahankan diri. Apalah mereka sangat.
Mereka hanya menzahirkan hasrat dan kesetiaan yang tak berbelah bagi kepada bahasa negaranya. Bahasa kita bersama. Bahasa anak-anak kita. Mereka bukan memperjuangkan bahasa asing.

" APA YANG BAIK BAGI BAHASA, ADALAH BAIK UNTUK BANGSA;

APA YANG BAIK BAGI BANGSA, ADALAH BAIK UNTUK BAHASA".