Friday, 31 October 2008

KEPELBAGAIAN BUDAYA DAN POTENSI KEKUATAN

Kembali kepada isu perkauman dan kedamaian hidup antara pelbagai kaum serta keturunan di tanah air yang kita sayangi ini, saya berasa terpanggil meneruskan pembicaraan selepas terdiam hampir dua minggu. Saya tak mahu menyebut istilah "perpaduan" yang saya anggap sudah menjadi basi, retorik politik yang klise, dan impian muluk semata-mata. Saya lebih cenderung menyebut kedamaian, harmoni dan kerjasama (collaboration) antara penduduk. Ingat kita tidak hanya berbicara tentang Melayu, Cina, India sahaja sehingga kita terlupa ada ratusan ribu peribumi Iban, Dayak, Melanau, Kadazan, Dusun, Bajau dan lain-lain lagi di Sarawak dan Sabah yang masing-masing mempunyai tradisi, budaya dan malah agamanya yang berbeza dengan Melayu, Banjar, Arab, Jawa, Minangkabau, Mandahiling, Kampar, Aceh, Patani dan sebagainya .

Dalam masyarakat keturunan Cina itu juga ada suku-suku Hakka, Hailam, Kantonis,etc, dan dalam masyarakat India ada pula Tamil, Jaffna, dan jangan lupa ramai keturunan Pakistan, Sikh, Bangladesh. pendek kata Malaysia ini merumahkan aneka warna kelompok dan keturunan manusia. Setiap kelompok memiliki dialek, adat kebiasaan, nilai-nilai dan kepercayaan agama yang tersendiri( ada Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikhism, dan animisme ).

Kita telah hidup sebelah menyebelah , berjauhan atau bersentuhan, dan pada umunya dalam aman dan harmoni baik di daerah-derah kediaman, mahupun dalam institusi-institusi awam dan swasta (sekolah, pejabat, syarikat, dan persatuan ). Kedamaian dan keharmonian ini yang harus dikekalkan, dan dari waktu ke waktu dimantap dan dieratkan. Ini yang realistik , praktikal dan boleh dicapai.
*****
Kepelbagaian yang kaya raya ini sebenarnya mengandungi potensi hebat bagi memperkaya kreativiti, ciptaan, ilmu dan teknologi, penghasilan ekonomi dan kebudayaan negara andainya
tenaga-tenaga kreatif insan di dalam sekalian kaum itu dapat bersinergi dan digembeleng secara
inovatif. Sebenarnya pada hari ini pun kerjasama dan perhubungan antara kaum itu sudah berlangsung demikian banyaknya dalam kehidupan ekonomi dan sosial yang memakmurkan negara ini. Tetapi apabila ada cakap-cakap politik daripada pemimpin yang hendak menunjukkan dia juara kaumnya bagi kepentingan kekuasan politik diri serta suku sakatnya maka terasalah jurang negatif antara kaum itu sedang membebankan perasaan bangsa kita.
Apabila perasaan perkauman dan syak wasangka ini diulang-ulang dan diperbesarkan, janganlah terkejut kalau berlaku lagi pergaduhan sengit dan pembunuhan sesama penduduk. Awaslah! Pemimpin-pemimpin politik dan persatuan yang bermulut besar dan celupar bertanggungjawab: selalu mengungkit dan malah seperti mencabar peruntukan-peruntukan Perlembagaan negara yang selama ini menjadi payung pelindung bagi pelbagai kumpulan rakyat .

Walau apapun masalah yang berbangkit adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merancang secara berkesan, dalam jangka segera dan panjang, membina sikap membina yang kukuh untuk setiap kaum berusaha hidup aman dengan orang lain. Tidaklah memadai dengan membuat seruan-seruan sahaja. Ini adalah tugas kebudayaan yang rumit, memerlukan penyelidikan sosial-budaya yang saintifik, dan usaha pembangunan yang berpanjangan dalam rangka pembangunan modal insan dan kehidupan bernegara. Ia mengaitkan semua kementerian, tetapi Kementerian yang bertanggungjawab langsung tentang kebudayaan dan perpaduan harus membangunkan satu institut khas bagi tujuan nasional ini.
Institut ini perlu menjalankan penyelidikan ilmiah yang berorientasikan keperluan membina kerjasama dan perhubungan bangsa, dan mencadangkan dasar-dasar dan program tindakan bagi kementerian-kementerian lain .

*****
Pada hari ini sangat banyak kejahilan yang wujud di kalangan pemimpin dan rakyat. Masyrakat Melayu tidak benar-benar memahami struktur sosial dan nilai-nilai masyarakat Cina, India dan pribumi lain, dan demikian juga sebaliknya. Tidak semua orang Cina itu sama . Tentulah orang Cina yang berpendidikan Inggeris berbeza sikapnya dengan mereka yang berpendidikan sekolah Cina dari awal hingga akhir persekolahannya. Orang Cina yang bekerja dengan kerajaan, dalam tentera misalnya, tentu berlainan sikap, stail kehidupan, cita rasa dan impiannya dengan towkay kaya di pasar borong. Demikian juga dalam masyarakat Melayu , wanita Melayu yang bertudung menutup aurat lebih patuh kepada peraturan akhlak Islam, tetapi dia bukanlah misti pembenci penduduk yang beragama Hindu, malahan mungkin lebih toleran daripada wanita Islam yang tak memakai tudung. Bukan sahaja kejahilan, malahan prasangka juga menjadikan banyak syak wasangka yang selalu dieksploit oleh pihak-pihak tertentu.

Sesuatu kaum patut mengetahui sensitiviti, pantang larang, dan kepercayaan kaum yang lain supaya berhati-hati dan tidak menyinggung perasaan orang. Masyarakat bukan Islam wajib mengetahui apa-apa yang dikatakan haram dan halal bagi umat Islam. Bukan sahaja babi dan arak itu haram, makanan lain pun menjadi tidak halal kalau proses penyediaannya tidak bersih , seperti misalnya kilang membuat bihun bersebelahan kandang babi. Orang Islam juga patut faham bahawa orang India penganut Hindu dilarang memakan daging lembu. Hal-hal yang seperti ini patut menjadi sebahagian daripada pendidikan sosial dan budaya bangsa kita, iaitu kefahaman dan pengertian tentang nilai-nilai dan norma yang diamalkan oleh pelbagai kaum dan budaya. Pihak mana dan bagaimanakah ia patut dilaksanakan? Ini memerlukan usaha yang serius, bukan lip service, dan retorik . Ia memerlukan pemikiran yang besar, strategi yang boleh dicapai, dan dana yang bukan sedikit.

Kita harus dapat menikmati dan memanfaatkan bersama kecemerlangan pencapaian daripada setiap kaum dan budaya sebagaimana masyarakat Melayu, Cina dan India sama-sama berasa bangga dan megah melihat Nicol David, Chong Wei, dan Sheikh Muzaffar mencetak nama masing-masing untuk negaranya di luar sempadan, lautan, dan angkasa . Perlu diingat pencapaian peribadi itu tidak mungkin tanpa sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada kemudahan kebangsaan, dan bangsa kita tak mungkin berbangga tanpa komitmen tinggi daripada peribadi individu yang berkenaan. Kerjasama, persefahaman dan komitmen seperti inil;ah yang harus kita wujudkan antara kaum setiap waktu.



Jadi marilah kita berfikiran positif dan berusaha membina perasaan hormat pada sejarah masing-masing, membina impian perdamaian dalam kepelbagaian . Engkau dengan agama engkau; aku dengan agama aku, dan aku tidak menyembah apa yang engkau sembah; aku akan memelihara kesucian agama aku, dan berlaku adil terhadap orang lain. Semua kita boleh
menuju ke kemuncak impian kita dalam kedaulatan perlembagaan negara yang ada. Sangat luas serta lapang ruang yang berada di sekitar ; dan jangan disempitkan dengan tindakan yang tergesa-gesa dan tidak bertanggungjawab. Tanggungjawab dalam erti kata: kita tahu apa kesan, akibat atau konsekwensi daripada perbuatan kita.

Monday, 13 October 2008

PERPADUAN: DARIPADA METOS KEPADA KENYATAAN

Bolehkah kita mewujudkan perpaduan bangsa di kalangan Melayu, Cina , India dan lain-lain keturunan? Tetapi sebelum itu apakah ada perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri, masyarakat Cina atau masyarakat India ?



Apakah maknanya perpaduan? Bergabung menjadi satu dan bersebati; bersatu hati dan sehidup semati apabila menghadapi setiap masalah; bersetiakawan dan searah sehaluan? Menyeragamkan pelbagai kebudayaan kebendaan dan rohaniah menjadi sama untuk semua? Kalau ini yang kita maksudkan, maka perpaduan bangsa itu adalah satu angan-angan, satu idealisme tinggi yang tak tercapai, dan satu metos. Jangan kelirukan fikiran dan lidah kita.



Kalau kita memandu kereta dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Plus dan berhenti di tempat istirihat di Tapah, kita akan melihat kereta-kereta Produa, BMW, Mercedes, VW, Toyota, Honda, KIA dan lain-lainnya. Semua jenis kereta ini baik di bawah 2000 cc, atau yang berkuasa lebih tinggi di miliki oleh pelbagai kaum baik Melayu, Jawa, Hakka, Jaffna atau lain-lainnya, dan tak ada satu-satu keturunan memonopoli sesuatu jenis kenderaan atau sesuatu kelas kereta. Jadi dalam setiap kaum ( Melayu, Cina atau India) terdapat beberapa lapisan, kumpulan, dan profesion yang berbeza-beza: miskin kaya , berpendidikan tinggi dan rendah; yang tradisi atau yang moden, dan dari bandar atau luar bandar. Kalau pun ada yang sama pekerjaan profesionalnya ( seperti peguam, doktor, dan ilmuwan), tetapi dari segi adat resam budaya, agama dan stail kehidupan , tidak mesti sama. Pendek kata kira-kira 26 juta penduduk Malaysia
ini hidup dalam pelbagai kebudayaan.

Inilah hakikat kaum dan kebudayaan Malaysia: ada bangsa Melayu dengan kebudayaan dan agamanya, ada bangsa Cina dengan kebudayaan dan kepercayaannya, ada bangsa India dengan kepercayaan dan agama Hindunya, dan ada kaum-kaum lain lagi yang menganut agama Buddha, Kristian ,Sikh, animisme etc. Tentu ada juga anggota masyarakat yang atheis dan tak percaya kepada tuhan atau mana-mana agama. Dalam masing-masing bangsa juga ada kumpulan-kumpulan mempunyai keutamaan terhadap falsafah, ideologi, aliran, fahaman,
dan rukun tertentu yang berbeza daripada anggota masyarakat sebangsanya. Latarbelakang kemasyarakatan, kepecayaan, dan intelektual yang berbeza ini , diperkuatkan pula dalam beberapa hal oleh jarak atau sempadan alam seperti antara Kelantan dengan Johor, dan Timur Malaysia dengan Semenanjung Malaysia, maka semakin beragam dan pelbagailah nilai-nilai, unsur-unsur dan amalan sosial-budaya di negara persekutuan ini.

Kepelbagaian di atas barangkali jelas ditunjukkan oleh adanya sangat banyak parti politik baik di kalangan Bumiputera, Cina atau India seperti PBS, UMNO, PAS, Keadilan, DAP, MCA, Gerakan, SAPP, MIC , Progresif, dan banyak lagi.

Penduduk kita kena menerima hakikat ini, dan hidup dalam kepelbagaian ini, dan situasi yang bernama perpaduan itu adalah satu konsep yang idealis, satu metos, dan bukan kenyataan.
Ini fakta kehidupan yang harus kita hadapi dengan objektif dan rasional, dan jangan dikelirukan
oleh retorik politik yang tidak berdiri tegak di atas muka bumi yang nyata.

Kalau kita berani menghadapi kenyataan itu, selanjutnya kita harus dengan fikiran yang jelas memahami masalah-masalah dan cabarannya bagi memupuk kehidupan yang sivil, adil, berakal budi dan harmoni. Kita harus sedar dan insaf akan sejarah masa lalu, dan memeta kehidupan bernegara masa depan. Dialog dan perbincangan ini harus terbuka kepada rakyat yang bertanggungjawab, dan bukan diarah , dipaksa, diakta dan diperundangkan sebagai jalan pintas ke depan. [ BERSAMBUNG ]

Monday, 6 October 2008

IGAUAN-IGAUAN SOSIAL

Salam Syawal yang seikhlasnya kepada semua pengunjung blog saya dan sahabat-sahabat semoga kita semua lebih segar hati dan rohani dan cerah fikiran dan idea setelah menempuh sebulan pengalaman yang rohaniah dan kembali kepada fitrah.

Ketaqwaan kita tidak akan lengkap dan sempurna kalau kita mengabaikan isu-isu sosial yang menjejaskan perhubungan dan kehidupan yang berakhlak, adil, bebas, selamat, bersih dan beradab. Setiap ciri hidup ini saling berkaitan dan yang satu diperlukan bagi yang lainnya. Bagaimana kita boleh selamat, bebas, dan bersih kalau orang tidak berakhlak, tidak adil dan tidak beradab. Demikian juga bagaimana orang boleh hidup berakhlak, adil dan beradab kalau tidak bebas, tidak bersih dan tidak selamat. Jadi klehidupan beragama itu tidak sekadar
akidah dan ibadat kita kepada Tuhan, tetapi menyeluruh mencakupi suruhan-suruhan Tuhan tentang perilaku kita terhadap jiran tetangga, masyarakat, dan negara agar, kezaliman, kejahatan, penyelewengan, tipu helah, pelanggaran akhlak, dan pemusnahan budaya dan alam dicegah demi kesejahteraan rohani dan jasmani manusia . Kita manusia beragama dan bertuhan , dan harus hidup dalam hukum hakam yang betul.

Inilah tugas dan tanggungjawab sosial penulis, seniman, bloggers, pemikir, seniman dan budayawan, iaitu menjadi mata kepala dan lidah yang segar untuk kehidupan seni, budaya dan sosial di sekitarnya. Tuhan merestui anda. Tanam keberanian itu. Tuhan menyelamatkan anda. Jangan takut kepada manusia. Tuhan lebih besar dan Dia Maha Pencipta dan Pemberi Rahmat. Itulah semangat Ramadhan dan Syawal. Jujur, yakin, dan berani; tawakal, ikhtiar dan pasrah.

@@@

Hujung Ramadhan dan pangkal Syawal ini bertimbun isu politik, sosial dan budaya yang mengapung ke permukaan; ada yang tenggelam timbul, ada yang hanyut seperti sampah sarap, dan ada yang bercokol setiap hari di depan mata. Apa pun jangan lepaskan semuanya tanpa dipedulikan. Terlalu banyak yang rusak dan menjahanamkan kehidupan budaya dan sosial bangsa kita telah berlaku kerana segelintir masyarakat yang berfikir dan berupaya mengucapkan fikirannya telah diperbudakkan oleh pemimpin politik pada masa-masa yang lalu. Agamawan pun ramai yang dicucuk hidungnya seperti ternakan. Ilmuwan pun ramai yang menjadi mesin bebal. Tokoh budayawan dan seniman pun ada yang menjadi kera kongkang. Ramai yang lumpuh atau dilumpuhkan . Sungguh malang bangsa kita.

BN sedang terperangkap dengan kemelut dalamannya. PKR nampak saja kompak solidaritasnya dari luar. Dalam mana-mana parti politik pun mesti ada perebutan kuasa kerana dalam politik keutamaan ialah mempunyai kekuasaan ( ekonomi, pentadbiran, dan pengaruh). Tempiasnya kepada rakyat yang majoritinya tak faham apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tajuk-tajuk besar berita di TV dan akhbar harian yang didalangi oleh manipulator pelbagai pihak. Nasib baik ada blog-blog yang bebas, walaupun pengaruhnya taklah hebat sangat bagi membentuk pandangan awam dan persepsi rakyat terbanyak.

@@@

Satu isu yang saya hendak beri pandangan kali ini ialah ura-ura hendak mengadakan akta
tentang perpaduan atau perhubungan ras. Entah pemimpin politik mana yang mula-mula menonjolkan perkara ini ( GERAKAN atau DAP atau MCA?) kerana seorang Ketua UMNO mengeluarkan kenyataan yang berbau perkauman , iaitu tentang sejarah kedatangan orang Cina, maka dicadangkanlah supaya diadakan akta perhubungan ras bagi mengekang perbuatan yang seumpamanya pada masa depan.

Apakah kita hendak jadikan negara ini berserabut dengan macam-macam akta sehingga menjadikan masyarakat Malaysia ini lemas dengan sangat banyak akta? Apakah tidak ada pendekatan yang lebih cerdik otak dan bijak fikiran untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan? Apakah tidak ada akta atau undang-undang lain yang boleh menindak pesalah laku atau pelanggar yang menjejaskan ketenteraman penduduik berbilang kaum? Apakah wakil rakyat, Ahli Parlimen, dan Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri itu dipilih untuk menggubal undang-undang sahaja kerjanya? Kenapa juga tidak fikirkan juga tentang memansuhkan akta-akta yang ada yang susah hendak dikuatkuasakan? Semakin banyak akta yang memberi kekuasaan kepada pegawai penguatkuasaan undang-undang semakin banyak peluang untuk melakukan rasuah .

Sudah tiba zamannya bagi setiap pemimpin berfikir dalam-dalam sebelum bercakap tentang urusan rakyat; dan mengkaji dengan teliti pelbagai makna dan implikasi tindakannya bukan sahaja sewaktu mereka berkuasa , tetapi juga kesannya berpuluh tahun akan datang . Kita memerlukan ahli politik yang memiliki tanggungjawab moral yang tinggi, dan berfikir secara halus serta teliti pada zaman ini . Tuan-tuan sekalian harus menunjukkan kredibiliti yang besar. Politik praktis dan pragmatik sahaja akan bengkok dibawah paluan mata fikir rakyat. Pembangunan politik negara yang patriotik dan nasionalistik harus juga dilandasi nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan idealisme besar yang berpandangan jauh ke depan.

Saya akan mengulas lagi tentang perihal akta perhubungan ras di atas pada paparan atau posting akan datang. Ini isu yang mesti kita sama-sama bahas supaya bangsa kita yang berbilang kaum ini berpeluang untuk menyertai perbahasan penting yang menyangkut keharmonian bersama sekalian rakyat dan generasi akan datang.

Friday, 26 September 2008

SERIBU MAKNA DARI SATU KATA

AIDULFITRI

HARI RAYA AIDULFITRI
SALING MEMBERI DAN MEOMOHON MAAF,
SALING MEMPEERAT HUBUNGAN AKRAB .

DAN CINTA KITA KEPADA-NYA
,
BERLINANGAN DALAM AIR MATA ,
SEPERTI MATAHARI DENGAN BULAN ,
SEPERTI AWAN DENGAN HUJAN ,
DI MANAKAH ENGKAU KEKASIH?

(ii)

DI WAJAH BULAN TIDAK MENJELMA ,
DI DALAM AWAN ENGKAU TIADA ,
HANYA BAYANG-BAYANG GUGUR KE BUMI ,
AKU BERTEKA TEKI ,
APAKAH ITU ENGKAU ATAU WAJAHKU?
ALANGKAH MANIS KALAU KITA ,
BERSATU DALAM SUSU DAN MADU.

AKU MENGEMBARA KE KAKI LANGIT,
SEMAKIN KUDEKATI SEMAKIN JAUH ,
TETAPI AKU TAHU ENGKAU ADA ,
MENGHITUNG JEJAK SETIAP LANGKAH,
MEMBILANG LENA DALAM LALAIKU ,
LEKA ALPA DALAM CINTA-MU

( iii)

Kan kucari engkau di segenap penjuru,
Di hujung senja, di ambang fajar,
Hanya daerah yang belum kujelajah,
Belantara rohani yang rimbun liar,
Di dalam hati, di hujung lidah,
Di situ sekian lama menunggu,
Dan aku justeru tak tahu.

(iv)

Angin lembut menyisir daun

Gerimis di serata pohon

Kulihat wajah-Mu di sana

Sedang suaraku berbisik-bisik di telinga-Mu

Dan Engkau sedang membisikkan sesuatu ke hatiku

Air mata yang berlinangan di pipi

Setitik demi setitik adalah air mata-Mu

Tahulah aku engkau masih sayang padaku

Setiap malam dan dini hari aku mahu luluh

Dalam perlindungan yang teduh

Seperti menyusu di tetek ibu dahulu..

Amin.

(V)

Amin, Amin, ya Rabbulalmin,
Aku tidak takut lagi pada gelap malam,
Aku tidak silau lagi pada sinar siang,
Amin, Amin ya Rabbulghafur,
Aku tunduk ke arah-Mu,
Dan aku sujud dengan dahi-Mu,
Setelah aku terlanjur zalim,
Menghina diriku.

Ini aku,
Terimalah,
Dalam kuyup basah,
Air mata,
Saksi setia,
Doa dan pasrah.
Amin.




Baha Zain

















Thursday, 25 September 2008

BERWASPADALAH! JANGAN KEMBALIKAN SUASANA KONFLIK MEI 69

Kalau anda sekarang berusia bawah 40 tahun, anda tidak mengalami kegelisahan politik dan sosial yang tajam dengan syak wasangka perkauman, dan perbalahan pandangan tentang apa maknanya kemerdekaan sewaktu baru-baru merdeka dahulu. Kalau anda tidak tinggal di Kuala Lumpur sewaktu 13 Mei tahun 1969, anda tidak tahu tentang kebimbangan untuk berjalan kaki atau bersiar-siar melalui Jalan Petaling, Chow Kit, Jinjang, Sentul, Kampung Baru, Kampung Kerinci atau Gombak. Orang Melayu bimbang ditetak oleh orang Cina , orang Cina khuatir kalau-kalau dipancung oleh orang Melayu, dan orang India berasa tidak aman ke mana-mana.

Ada kegerunan dan pesimisme di merata ceruk dan lorong; ada kesuraman dan kebencian yang memerintah perasaan dan sikap penduduk pelbagai kaum. Bayangkan juga perasaan dendam dan marah serta ingin menuntut bela bagi mereka yang rumahnya dibakar, dan ibu bapa atau adik beradiknya yang dibunuh tanpa dosa dalam perkelahian Mei 1969. Walau bagaimana pun orang Cina dan India yang tinggal terpencil satu atau dua keluarga di kampung-kampung Melayu di luar bandar selamat dan aman.

Suasana kemasyarakatan Kuala Lumpur yang menjadi pusat pentadbiran, perniagaan dan politik dalam dekad 60-an seolah-olah berpetak-petak dan berpuak-puak . Tidak utuh dan hanya nampak aman di permukaan. Saya tidak ingin mengalami sekali lagi kerapuhan hidup yang seperti itu . Ia seolah-olah mengejek segala idealisme tentang kehidupan kemerdekaan yang pada mulanya diimpikan sebagai aman bersatu padu , indah serta romantik. Akhirnya satu dekad kemerdekaan itu menemukan tragedi berdarah 13 Mei 1969 .

Di sini kita tidak mahu mencungkil siapa yang merancang, siapa yang bersalah dan mencetuskan peristiwa berdarah tersebut. Tetapi elok kita imbas peristiwa-peristiwa yang sedikit demi sedikit melonggokkan kebencian antara kaum , keturunan, agama, bahasa dan adat resam. Istilah-istilah agama, bahasa , nilai-nilai dan adat resam pada hari ini sudah menjadi terlalu biasa sehingga kita lupa bahawa pride dan prejudice perkauman itu sangat kuat mempengaruhi perasaan, sikap dan seterusnya tindakan seseorang apabila berhubungan dengan penduduk lain setiap hari; apabila menonton TV atau membaca akhbar. Hari ini sensitiviti ini kembali terasa, dan kita perlu berwaspada. Jangan leka dan lupa akan faktor prasangka perkauman yang boleh menjerumuskan kita sekali lagi.

Beberapa tahun sebelum tragedi berdarah itu, iaitu pada 9 Ogos 1965, Dewan Rakyat Malaysia telah meluluskan pindaan perlembagaan yang membenarkan Singapura keluar daripada Malaysia. Ketetapan ini diambil kerana PAP atau People’s Action Party di Singapura (yang waktu itu berada dalam Persekutuan Malaysia), dianggap sebagai ancaman kepada perpaduan kaum dengan kempennya “Malaysian Malaysia”. Kempen ini memperjuangkan bahawa semua kaum mempunyai hak yang sama dalam apa jua bidang. Tidak ada keistimewaan bahasa dan keistimewaan hak bagi orang Melayu. Tentulah cakap-cakap dan kempen yang seperti ini mendapat sokongan kuat orang bukan Melayu, dan dalam waktu yang sama sedikit demi sedikit menyemai benih kemarahan penduduk Melayu.

Kempen politik di atas melemahkan sokongan kaum Cina terhadap MCA, dan dalam waktu yang sama menimbulkan kemarahan sesetengah orang Melayu terhadap pemimpin UMNO yang dianggap tidak tegas mempertahankan hak-hak orang Melayu, dan terlalu bertolak ansur dengan masyarakat lain sehingga pulau Singapura yang sangat berharga itu pun akhirnya diserahkan balik kepada orang asing. Para penulis, budayawan serta cendekiawan Melayu juga berkonfrontasi dengan PM dan pemimpin UMNO yang dianggap konservatif, dipengaruhi fahaman kapitalis , tidak membasmi kemiskinan rakyat, dan tidak tegas melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal.

Jadi baik dalam bidang politik, sosial atau kebudayaan zaman sepuluh tahun kemerdekaan itu terlalu banyak fahaman politik yang bercanggahan sehingga kebebasan demokrasi yang baru dimenangi daripada penjajah Inggeris, menjadi sangat bebas mulut dan penuh dengan kempen dan polemik yang belum tentu betul atau bermanfaat bagi penduduk yang pelbagai kaum. Konflik parti politik semakin tajam, perdebatan dan polemik yang berbau perkauman merebak.

Apakah pasca Pilihan Raya Ke-13 hari ini memberi satu milieu yang serupa dengan wujudnya bermacam-macam pengucapan , perbincangan, forum, perdebatan , demonstrasi, dan media , terutama internet dan blog yang sangat bebas dengan pendapat, kritikan , tuduhan malahan tohmahan pun. Di sana sini diadakan perbincangan tentang Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, kesamrataan antara kaum, kontrak sosial, dan kedudukan istana.

Topik ‘kontrak sosial’ saja seolah-olah sedang dianalisis di bawah mikroskop undang-undang untuk menilai kepentingannya dengan kehidupan bernegara sekarang. Ada yang menganggap ia tidak wujud, dan ada yang menganggap ia adalah suatu persefahaman yang real antara Tunku Abd Rahman, pemimpin UMNO, dengan Pemimpin MCA sehubungan persetujuan tentang hak keistimewaan Melayu, dan hak kerakyatan jus soli kepada bukan Melayu. Kontrak sosial tersebut sekarang dihujah pula dari perspektif hak-hak asasi manusia, dan kebebasan beragama . Ada niat di satu pihak untuk merungkai amalan yang lama, dan ada reaksi di pihak lain untuk mempertahankannya dalam rangka amalan, adat kebiasaan dan semangat undang-undang ( the spirit of the law ) yang telah berpuluh tahun wujud di negara berbilang kaum ini.

Kalau arus perdebatan atau polemik ini menjadi semakin rancak dalam kebebasan berdialog dan menyalurkan pandangan; kalau tidak diuruskan dengan perasaan tanggungjawab, kematangan, dan kebijaksanaan akal budi , dan ramai pula hendak menjuarakan satu-satu pihak atau kaum, tidak mustahil konflik tajam akan berlaku sekali lagi. Dialog harus berterusan, tetapi jangan menjadi terlalu ghairah dan salah timing. Hari ini pelbagai kesulitan ekonomi dan jenayah sosial sedang menimpa negara; dirumitkan lagi oleh konflik kepemimpinan, dan tergugatnya kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti pegawai-pegawai tinggi kerajaan . Semuanya ini adalah tanah subur bagi tumbuhnya emosi yang ekstrem dan ketidakstabilan.

Kita tidak harus membazirkan peluang-peluang yang luas untuk memupuk keharmonian antara penduduk. Mari kita elakkan tragedi seperti Mei 13 berulang lagi sehingga darurat diisytiharkan, Parlimen digantung, dan demokrasi dinafikan .

Eloklah kita belajar daripada peristiwa masa lalu kerana sejarah mengajar manusia untuk berfikir lebih baik, dan bertindak lebih bijaksana . Mari kita pelihara asas-asas kehidupan masa depan yang indah bagi anak-anak kita semua. Berusahalah menahan lidah dan hati kita daripada melukai lidah dan hati manusia lain.


* Diterbit semula dengan ehsan Malaysian Digest. Pertama kali diterbitkan di www.malaysiandigest.com pada bulan Jun 2008

Monday, 22 September 2008

APA SEBENARNYA SIKAP KEMENTERIAN PELAJARAN

"Mixed opinions on English review" New Straits Times, Sabtu , September 20,2008.

Begitulah tajuk laporan berita NST tentang Persidangan Meja Bulat ke-3 yang dianjurkan oleh Kementerian untuk membincangkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang dihadiri oleh guru-guru dan pelajar. Nanti pada 20 Oktober akan diadakan pula persidangan ke-4 untuk pemimpin politik dan komuniti. Ini cara yang sangat luar biasa bagi menentukan dasar apa yang hendak dilaksanakan. Dalam satu aspek bagus kerana nampak lebih demokratik, tidak seperti waktu dilaksanakan PPSMI pada tahun 2003, seperti dirodok ke dalam tekak guru-guru dan murid-murid, satu cara yang lebih luar biasa.

Kalau Kementerian Pelajaran ( KP ) menghitung balik sekalian kritikan, protes , persidangan dan memorandum yang diadakan sejak 2002, oleh pendidik, penulis , dan cendekiawan, baik Melayu dan bukan Melayu, tentulah KP faham bahawa ini adalah satu dasar yang dihujah dan ditentang sedemikian teruknya. Tidak bolehkah pemikir-pemikir dan profesional di KP itu menyelami hakikat yg sebenarnya , baik dari segi sensitiviti di kalangan awam, mahupun dari segi pemikiran yang objektif tentang kekukuhan rationale daripada dasar PPSMI ini? Apakah sampai perlu dipanggil pelajar dan guru ke sidang meja bulat ? Tidakkah KP melakukan penyelidikan yang betul-betul ilmiah dan neutral? Dan memberikan nasihat yang jujur kepada Menteri. Apakah sebenarnya politik di sebalik semua ini.

Dalam NST yang sama disiarkan juga berita bertajuk, "Let's get to work says Hishamuddin." Antara lain kata Menteri Pelajaran, " We must pay attention to work because over the past six months , we have been bogged down by various issues," he said...the people were fed up with the political issues that have dragged leaders , ministers and UMNO supreme council members into altercations.

Betul, betul, memang betul masyarakat, terutama penulis, pendidik, budayawan dan ilmuwan sudah muak dan meluat dengan altercations ini, yakni pertengkaran, perbalahan , perbahasan, dan persidangan seperti dalam isu PPSMI. Rakyat sudah semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan dan pemimpin yang sepatutnya sensitif terhadap pandangan jujur di bawah dan bertindak cepat supaya kerusakan terhadap bahasa dan budaya tidak terus lebih teruk.

Dalam kes PPSMI ini YB Menteri Pelajaran sendiri tentu sudah cukup maklum, dan telah menerima maklumat yang boleh dipercayai daripada pelbagai pihak, bahawa PPSMI kalau diteruskan akan menghapuskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang modern dalam beberapa tahun akan datang. Ini isu pokoknya.

Masalah guru dan murid yang masih terkial-kial mengajar dan belajar dlm bahasa Inggeris itu soal kedua. Lama kelamaan baik dalam bahasa Penan, Hindi atau Arab pun boleh diajarkan Sains dan Matematik itu.

Tidakkah kita hormat dan sayang pada Bahasa Melayu itu? Tidakkah mengutamakan bahasa Inggeris ( kecuali sebagai bahasa kedua) bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta Pendidikan ? Yang sebenarnya berwewenang untuk memutuskan isu ini adalah Menteri sendiri,
dan tak sepatutnya timbul banyak tarik tali seperti yang berlaku sekarang. Menteri Pelajaran yang harus membuat pendirian tegas , bukan tokoh-tokoh lain di bawahnya.

Keputusan yang bakal berlaku adalah satu ujian dan batu ukur perjuangan UMNO terhadap kepentingan orang Melayu dalam waktu terdekat ini.

Friday, 19 September 2008

TAFSIR ISA ATAS BLOGGER

Pemaparan pada blog saya sebelum ini segera mendapat reaksi pengunjung. Memang isu penahanan blogger di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 sedang menjadi isu hangat dibincangkan oleh pengamal undang-undang, blogger dan penulis. Pada umumnya perbincangan boleh dibagi kepada dua pihak: setuju dan tidak setuju.

Penahanan blogger MalaysiaToday, Raja Petra, mendapat tentangan parti politik pembangkang, dan juga ramai bloggers lain. Tetapi yang cukup menarik perhatian ialah apabila YB Senator Zaid Ibrahim merangkap Menteri Kabinet menyatakan secara jelas tidak bersetuju ISA digunakan. Pernyataan sebegini cukup luar biasa kerana dia sendiri berada dalam kerajaan dan dalam Kabinet. Dia tidak pula menjelaskan apakah dia setuju atau tidak setuju tindakan mendakwa terhadap Raja Petra. Berdasarkan senarai akta-akta yang diterbitkan dalam blog saya sebelum ini dan ditambah lagi beberapa akta lain seperti Akta Percetakan dan Penerbitan 1984; Kanun Keseksaan, Akta Polis 1967; dan Akta Penyiaran 1988 tidakkah cukup senjata bagi kerajaan menindak atau mendakwa seseorang blogger yang dianggap tidak bertanggungjawab terhadap masyarakat , tanpa menggunakan ISA ?

Justeru itu ada yang menganggap kerajaan bertindak terlalu keras dan overreact. Pemimpin kerajaan tidak menghormati kebebasan bersuara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Di pihak lain ada yang bersetuju supaya kerajaan bertindak tegas serta berani dengan alasan kerajaan bertanggungjawab memelihara kestabilan dan ketenteraman awam.

Walau apa pun peristiwa baru-baru ini mempunyai kesan positif dan negataifnya kepada kedua-dua belah pihak. Kerajaan menjadi lebih tidak populer di kalangan blogger, penulis bebas dan peminat parti pembangkang. Dalam waktu yang sama blogger dan penulis menjadi lebih berhati-hati dan bertanggungjawab.

Apakah yang kita maksudkan dengan TANGGUNGJAWAB ? Blogger atau penulis yang bertanggungjawab sedar akan kesan atau akibat buruk dan baik daripada kenyataannya.
Demikian juga kerajaan yang bertanggungjawab sedar akan kesan buruk atau baik daripada tindakannya. Dalam hal ini tidak mudah mengukur kesan-kesan yang mungkin terjadi atau membuktikan kesan-kesan yang telah terjadi. Akhirnya perdebatan akan banyak berlegar di sekitar pendapat yang subjektif.

Suatu hal yang membimbangkan ialah kalau kerajaan terus menggunakan ISA
bagi mempertahankan kekuasaannya, rakyat akan melakukan kekangan yang berlebihan daripada bersuara untuk menyatakan kritikan, pandangan alternatif dan idea sehingga pemimpin-pemimpin negara hilang peluang untuk menyelami hati serta perasaan yang sebenarnya . Kerajaan juga tidak memperoleh cadangan-cadangan dan pandangan baru bagi meningkatkan kecekapan sistem atau mengenali kelemahan-kelemahannya sehingga ia boleh menjadi sistem yang klise.

Blog atau internet adalah aset yang sangat penting bagi perhubungan maklumat yang pantas
dan menjadi prasyarat bagi keupayaan negara bersaing dalam dunia tanpa sempadan hari ini.
Blog jangan dimusuhi; dan jangan disalahgunakan.