Saturday 9 August 2008

DUGAAN SETENGAH ABAD MERDEKA

Sudah beberapa hari blog ini terhenti . Ini bulan mengenang kembali kemerdekaan , iaitu tahun ke-51 negara kita dikatakan merdeka daripada penjajahan Inggeris; bebas untuk mentadbir dan menentukan nasib dan wataknya. Apa yang terjadi di depan mata kita hari ini? Kemelut, kacau, korupsi, penyelewengan amanah dan kedudukan, tekanan terhadap sistem kehakiman, nepotisme dan kronisme, dan terakhir inflasi yang mengakibatkan barang makanan mahal. Bukan sekadar faktor minyak melonjak naik. Pemimpin kita tidak cukup bijaksana merancang dasar dan pembangunan satu dua dekad yang lalu. Dalam hal makanan tanah air kita dianugerahi Tuhan dengan alam semula jadi yang luar biasa hebatnya: sepanjang tahun air hujan, dan sinar matahari; tanah luas, sungai dan lautan di sekelilingnya; dan tiada gempa, taufan dan gunung berapi. Hutan ditebang untuk mengkayakan segelintir pemimpin politik dan kuncu-kuncu kapitalis; tanah terbiar tidak ditanam seoptimum mungkin dengan pohon-pohon makanan; bangunan tinggi dan besar tersergam tidak memanfaatkan rakyat biasa. Sekarang baru dapat dibaca kebobrokan itu. Dalam proses dekonstruksi politik, kehakiman, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan pada hari ini, ramai pula yang bercakap tentang kepentingan Melayu. Mereka yang bercakap ini adalah pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa beberapa tahun yang lalu. Mereka telah mengkhianati kepercayaan rakyat. Golongan cendekiawan juga sama berdosa kerana lebih banyak menghalalkan perbuatan salah pemimpin di atas, dan baru sekarang pula sibuk bercakap kepentingan Melayu. Dahulu kepentingan Melayu mana yang dibela?
Sebagai salah satu contoh ialah isu bahasa dalam pendidikan, ada beberapa orang Menteri Besar, seorang Ketua Menteri, dan beberapa orang Menteri Persekutuan yang secara terbuka menyokong keputusan PM
yang meminggirkan Bahasa Melayu pada tahun 2003. Kita akan catat nama-nama mereka apabila tiba waktunya nanti. Sementara itu berikut sebuah sajak dalam kumpulan yang baru terbit : Postponing Truth and Other Poems ( Menagguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak lain) terjemahan Prof. Muhammad Hj . Salleh sebagai cinta patriotik saya kepada negara kita.

ENGKAU dan AKU dalam KEMERDEKAAN

engkau kata merdeka
aku kata bebas


engkau kata negara
aku kata tanah air.

engkau kata setia
aku kata berontak
engkau kata ia
aku kata tidak.

engkau bilang menteri
aku bilang rakyat
engkau bilang masa depan
aku bilang masa silam
engkau bilang wawasan
aku bilang slogan.

engkau bilang kebangsaan
aku bilang kekuasaan
engkau bilang politik
aku bilang duit
engkau bilang telus
aku nampak korupsi.

Engkau bilang berjuang untuk bangsa dan agama
Aku tanya kenapa engkau khianati bahasa?


3 comments:

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Assalamualaikum Datuk.. Rindu saya untuk membaca penulisan Datuk yang baru, jelas saya amat puas apabila dapat melihat sudah bait-bait kata Datuk.. Meskipun pendek tapi penuh dengan isi, saya kagum dengan Datuk.. Saya kurang menghormati orang lain, terutamanya mereka yang si tua yang kononnya melaungkan semangat zaman.. Datuk senantiasa bersama kami yang muda, saya puji sikap Datuk.. Terimas Datuk..

Yaa Datuk, senaraikan nama-nama pak-pak Menteri itu.. Kita senaraikan nama nasionalis pengkhianat yang kononnya berjuang atas nama bangsa dan agama.. Saya sokong Datuk.. Sudahlah bahasa Melayu kita diaibkan, sekarang maruah negara kita pula mahu di kambing hitamkan.. Apakah ini semua?

Teruskan Datuk yang saya sentiasa kagumi.. Saya tidak mahu melihat lagi alam ini parah atas modal pembangunan, saya tidak mahu ekonomi atas modal modenisasi, saya tidak mahu lagi bahasa dianaktiri atas modal globalisasi.. Saya hanya mahu hak kita yang asas dipeliharai.. Itu harapan anak muda semacam saya ini.. Sudah terluka dan sudah parah jiwa, tiba masa anak muda memberi reaksi Muda Mudinya..

Insyaallah..

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Assalamualaikum Datuk..

Datuk izinkan saya meminjam puisi datuk untuk di letak di dalam laman saya sempena merdeka.. Saya rasa terpukau dengan bait-bait ini.. Boleh datuk?

Terima kasih..

Rekayasa Creative and Event Management said...

Assalamuaikum..
Saya tertarik dengan puisi Datuk ini..saya mengenali datuk comment yang Datuk tinggalkan di blog teater tok perak..
Disini blog terbaru kawan saya mengenai teater roh anai-anai..yang akan dipentaskan oleh kawan-kawan saya dari uitm pada bulan oktober..dengan harapan Datuk dapat memberi sokongan kepada kawan-kawan saya..terima kasih - rianasidek@yahoo.com

www.rekayasauitm.blogspot.com