Wednesday 4 February 2009

PUISI PAGI

PUISI PAGI
( SESUDAH PECAH FAJAR , SEBELUM PAGI MENINGGI)




Sesudah pecah fajar
pada hujung dinihari
azan dan kokok ayam menyepi
pohon mempelam berbalam-balam
burung-burung terjun ke bumi
sihir pagi beransur hadir:
jernih dan dingin
aman dan hening.

Kenapa aku termenung
diselubungi sepi
tanpa hasrat dan mimpi
apakah sudah Kau lengkapi hatiku
tenteram menunggu
tanpa keluh dan keinginan baru?


Baha Zain
Taman Permai Jaya
4 Feb 2009


3 comments:

Hasmora said...

Assalamulaikum Dato',

ada kesunyian dalam stanza puisi ini..sesiapapun Dato' yang merasakan akan tiba masanya adalah orang yang bijak kerana Nabi SAW pun ada menyebut bahawa orang yang paling bijak adalah orang yang banyak mengingati mati dan paling bersedia menghadapinya.. saya sendiri tidak pasti dalam usia muda begini.. entahkan dulu dijemput.. subhanallah..

Hanie T. said...

Assalamualaikum Dato',

Tahun 2000,saya pelajar di UIA dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris. Ada satu semester, saya belajar tentang World Literature in English, nama subjeknya. Kami baca dan belajar karya-karya dari negara lain yang diterjemah ke B.Inggeris. Ada satu ketika, kami diminta untuk memilih seorang penulis/penyajak dan membentangkannya di dalam kelas. Saya telah memilih Dato' kerana puisi-puisi Dato' sangat indah. Saya juga baca puisi Dato' sebelum mula untuk bentangkan hasil kerja saya. Pensyarah saya, mungkin Dato' pernah dengar, Assoc. Prof. Dr. Norfaridah Abdul Manaf, telah berikan saya "A" untuk subjek itu. Saya rasa saya patut berterima kasih kepada Dato' kerana memberi inspirasi kepada saya.

Terima kasih.

bahazain said...

SALAM Sdr Hasmora
Saya percaya setiap orang pada ketika tertentu akan terlontar jauh ke dalam dirinya, ke jurang yg jauh dan dalam; berasa keseorangan dan tersangat sepi.Pada saat itulah dia mungkin menilai hakikat kehidupannya dlm hubungan dengan Penciptanya.Ini adalah sumber puisi yg sangat bersih, indah dan syahdu. Carilah saat2 it, dan semoga kita semua panjang usia untuk melhirkan puisi-puisi yg indah dan jujur.

Sdr Umihannie
Terima kasih kerana pernah menggemari beberapa puisi saya.Bacalah juga karya-karya yang autentik, jujur, dan indah-indah drpd penyair2 dunia kerana sdr sangat beruntung menguasai bahasa sastera Inggeris.Saya percaya grade A yg sdr perolehi itu bukan sangat kerana puisi saya (ia hanya satu subjek), tetapi kerana daya apresiasi kreatif dan komunikasi kritikal yg sdr kemukakan sewaktu
membicara dan menilai puisi tersebut.Saya fikir menghadapi karya seni secara kreatif-kritikal adalah kerja intelektual yg bukan semua orang dapat lakukan.Tahniah.