Monday 9 November 2009

SUKA DAN BENCI DI SINGAPURA (3)

(Sambungan)

Seminggu sebelum berangkat ke Singapura pada 23 Oktober 2009, seorang sahabat bekas Duta Besar mengirim kepada saya melalui e-mel tulisan Karim Raslan ( Malaysian Insider, 28 September, 2009) yang meluahkan fikiran kritis dan juga perasaan tidak senangnya terhadap apa yang berlaku di Malaysia. Baginya kejadian-kejadian politik dan perkembangan sosial serta kegiatan agama di negara ini semakin mencerut kebebasan terutama lapisan kelas menengah yang profesional, berfikiran terbuka dan berpendidikan tinggi. Kalau dahulu kelas menengah bukan Melayu yang berhijrah ke luar negara, tetapi sekarang ada golongan menengah Melayu yang cerdik dan berpelajaran tinggi yang berkira-kira untuk meninggalkjan tanah air ini, katanya.

Karim Raslan seorang kolumnis yang sangat pemerhati orangnya , dan sangat menarik gaya tulisannya ,terhadap perkembangan semasa politik, seni-budaya, dan kemasyarakatan Malaysia, Indonesia dan negara-negara di rantau ini. Dia berkelulusan undang-undang dari Cambridge, separuh Melayu dan Inggeris, berusia sekitar 46 tahun dan telah menerbitkan tiga kumpulan tulisannya dalam bahasa Inggeris dengan judul Ceritalah. Almarhum ayahnya ialah Mohamad Raslan Toh Muda Abdullah (Ketua Akauntan Negara yang pertama, dan perintis Bank Bumiputera ) yang telah meninggal dunia dalam kemalangan kereta sewaktu masih muda.

Pada minggu berada di Singapura, saya membaca The Straits Times, Okt. 27, 2009 ( akhbar Singapura yang setiap pagi disorongkan di bawah pintu kamar hotel), dan tersiar wawancara Cheong Suk-Wai ( Senior Writer) dengan Karim Raslan yang berjudul "The view from middle Malaysia". Karim sangat lantang dan berterus terang mengkritik kepimpinan Mahathir dan politik UMNO sekarang yang membuat fikiran orang Melayu tidak berkembang. Katanya antara lain:
" This is a logical conclusion of 22 years of Malaysia Boleh under Dr Mahathir, Melayu Boleh and Melayu Baru. It's a kind of a crass nationalism that Dr Mahathir mediated himself. Also, we are not being well -served by our mainstream Malay language media , which has taken an aggressively extreme path. That is a reflectioin of how outdated Umno's way of thinking is."

Pada suatu waktu yang sudah agak lama juga, dalam penerbangan ke Jakarta, Karim meninggalkan tempat duduknya; datang duduk di kerusi sebelah saya yang kebetulan
kosong. Dia memang selalu berulang alik ke Jakarta dan Jogjakarta dalam urusan perniagaannya. Kami bercakap banyak hal , terutama tentang sastera dan kesenian. Ternyata dia sangat banyak mengikuti perkembangan sastera dan seni rupa kedua-dua negara; dan lebih daripada itu mampu melihat isu kebudayaan dalam konteks persekitaran sosial-politiknya. Ini bererti dia jenis kelas menengah Melayu yang berfikir kritis , tergolong intelektual dan sangat lancar menampilkan idea, khasnya dalam bahasa Inggeris.

Membaca satu dua fikiran Karim akhir-akhir ini, pandangan negatifnya terhadap kejadian semasa, saya kira dia memang mewakili satu kelompok kelas menengah Melayu kota yang terdidik Inggeris, yang kebetulan sama dengan sikap kelas menengah bukan Melayu yang berasa terpinggir, dikesampingkan atau tidak dipedulikan dalam arus pembangunan kebangsaan .

Cuma saya berpendapat bahawa jenis kelas menengah yang canggih ini -- dalam beberapa hal sangat hiperkritikal-- tidaklah mewakili keseluruhan kelas menengah negara yang beraneka macam terdiri daripada kelas menengah berorientasi Islam, kelas menengah Melayu profesional, dan jumlah besar kelas menengah Melayu pegawai-pegawai awam dan swasta. Namun kita tak usah mengnyahkan atau tidak ambil peduli langsung kritikan, idea alternatif, serta persepsi Karim dan kawan-kawannya kerana mereka adalah sebahagian daripada kenyataan sosial bangsa yang wujud dalam proses kemajuan dan transformasi masyarakat yang pelbagai budaya . Fikiran mereka boleh diambil kira mana-mana yang relavan serta daya artikulasi mereka yang canggih boleh dimanfaatkan untuk komunikasi antarabangsa dan persaingan global yang semakin hari semakin rancak dalam bidang ekonomi, budaya dan diplomasi.


( Bersambung ...)

3 comments:

yus_anakmelayu said...

Assalamualaikum ayahanda.
Setujukah jika saya mengatakan masyarakat Melayu rata-ratanya lebih selesa memegang jawatan sebagai penjawat awam kerana dirasakan berada dalam situasi selamat dari segala aspek antaranya Kenaikan gaji, pangkat, elaun, pencen, dan sebagainya. Berada dalam syarikat swasta bermakna individu tersebut perlu bekerja lebih dan kadang kala usaha yang dilakukan itu tidak setimpal dengan apa yang diperolehi.
Assalamualaikum

bahazain said...

Sdr yus,
Ada banyak faktor dan apa yang sdr nyatakan itu betul juga.Unsur-unsur feudalisme dan mentaliti kepegawaian juga kuat pengaruhnya kerana sejak zaman tradisi menjadi orang berpangkat, berstatus di istana, kedudukan kebangsawanan dipandang mulia dalam budaya Melayu. Orang berniaga dan berdagang itu malah dianggap mata duitan, tidak jujur, dan tidak berbudaya halus & tinggi. Sebenarnya untuk menjadi kaya dan punya harta banyak lapangan usahawan dan perniagaan itulah tempatnya . Tentu sekali besar pula risikonya yang tak selalu berani dihadapi orang kecuali komuniti yang membesar dalam bidang perdagangan.Melayu misti lebih ramai mencari kebebasan di dunia yang baru dan berisiko ini .

sinaganaga said...

http://www.mstar.com.my/variasi/suara_alternatif/cerita.asp?file=/2009/11/14/mstar_suara_alternatif/20091114112326&sec=mstar_suara_alternatif