Friday 29 April 2011

ADIOS ! atau KE MANA KITA PERGI?

Betul atau tidak, demokrasi telah bersuara di Serawak. BN kembali berkuasa, seperti lima tahun dahulu, seperti 30 tahun dahulu, Taib Mahmud terus memegang tampuk kekuasaan.Tahniah BN, tahniah Parti Bumiputera Bersatu Serawak.Tetapi sekali gus keputusan pilihan raya negeri mengeluarkan signal yang membimbangkan BN.

Khabarnya BN memperolehi sekitar 55% undi, dan pembangkang 41%.Bererti sudah dekat separuh rakyat pengundi tidak menyokong BN. Signal kedua pengundi-pengundi Cina telah mengalihkan sokongannya kepada pembangkang terutama DAP. SUPP parti komponen
BN yang dianggotai orang Cina tumpas teruk. BN selamat kerana sokongan kuat bumiputera; dan juga kerana kawasan-kawasan yang dimenangi mempunyai tidak ramai pengundi; masih konservatif, dan mudah dipengaruhi. Demikianlah kedudukan masalah yang diceritakan oleh seorang teman dari negeri itu.

Kalau kecenderungan mood, sikap, sentimen yang berkembang di Serawak menular ke Semenanjung, bererti pengundi-pengundi Cina di sini tidak akan memasukkan undinya ke dalam kotak untuk menyokong calon Cina dari Gerakan atau MCA; dan akan mengundi DAP atau Pakatan Rakyat.Jadi apakah BN akan banyak bergantung kepada kertas undi Melayu. Dahulu calon India( MIC) dari BN, letak di manapun kalau majoriti di situ Melayu , dia akan menang. Apakah sekarang orang Melayu mahu menyokong calon Cina atau India lagi kerana mereka telah menunjukkan suara yang agresif melalui Hindraf,atau mengecam dan membakar novel serta gambar pengarang Melayu, penulis Interlok?Ramai pula antara mereka yang kembali menyokong PPSMI yang dianggap mengkhianati martabat bahasa Melayu di sekolah.Pemimpin MCA Chua soi Lek pernah menyokong aktivis PPSMI supaya sekolah diberi pilihan untuk menggunakan PPSMI atau tidak sedangkan dasar ini ditolak sama sekali oleh pejuang-pejuang bahasa dan para pendidik kebangsaan.

Malangnya pada hari ini pula orang Melayu juga berpecah teruk , sebahagian menyokong perjuangan Islam melalui PAS, sebahagian lagi menyokong PKR,ramai yang masih menyokong UMNO, dan ramai pula generasi muda Melayu seperti biasa bersikap anti-establishment serta tak mengundi pun.Ada yang mentafsirkan situasi sosial-politik Melayu ini sedang membawa sial politik kepada orang Melayu sendiri kerana dengan perpecahan itu suara undi Melayu tidak kompak dan padu lagi sehingga UMNO perlu mengambil hati dan berkompromi dengan tuntutan kaum Cina dan malahan kaum India yang minoriti itu.

Sejak keputusan Pilihan Raya 2008 pelbagai pihak secara ilmiah, secara profesional atau melalui pengalaman telah menganalisis anjakan-anjakan pola-pola politik kebangsaan.Banyak faktor daripada isu kredibiliti pemimpin, dasar-dasar parti, demografi, teknologi,dan nilai-nilai sosial-budaya etc. telah diperinci. Masing-masing pihak berkepentingan terus melengkapi kajian masing-masing untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Secara dialektis ada yang melihat bahawa daripada senario politik yang dinamik ini muncul satu keinginan kuat di kalangan penduduk Melayu-Islam, iaitu cita-cita untuk mencari keharmonian dan kesucian hidup yang lebih unggul dan suci.Bukan lagi sekadar untuk mencari keselesaan dan kemewahan kerana pada asasnya orang boleh saja mendapat pekerjaan untuk makan minum dan berumah tangga kalau berusaha.Kemiskinan bukan lagi membelit setiap penjuru jalan dan kampung seperti 40 tahun dahulu.Perkembangan pendidikan Islam ( baik secara formal atau tidak) juga semakin mennyemai benih-benih iman, keyakinan rohani, dan akhlak sehingga masyarakat Melayu semakin menghormati kehidupan yang bersih, halal, bermoral, tidak rasuah,tidak menipu, dan tidak berlebih-lebihan. Perkembangan semangat Islam pada hari ini bukanlah seperti api besar menyala di padang lalang (jelas dipandang dan mudah dipadamkan), tetapi seperti api yang merebak di tanah gambut atau di dalam sekam.

Hakikat inilah yang harus difahami, disedari dan benar-benar diinsafi oleh aktivis politik tentang faktor penentuan yang sedang mempengaruhi arah jalannya poltik Malaysia.Jadi setiap parti harus membersihkan imejnya dengan menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang kebendaan, sekuler, oporcunistik dan tidak nampak jujur membela kebenaran hidup yang berbudaya, beragama,dan adil.Perihal peratus pertumbuhan ekonomi,peluang pekerjaan, gaji yang lebih tinggi, penghapusan kemiskinan,dan
peluang pekerjaan,dan keperluan-keperluan hidup yang lain, memang terus menjadi tanggungjawab mana-mana parti yang berkuasa. Dalam kehidupan yang lebih berilmu, lebih berpengetahuan agama, lebih canggih dengan maklumat global, masyarakat memerlukan lebih daripada sekadar sandang pangan, tetapi ke arah mana idealisme, darjat kemanusiaan, moral,dan akal budi bangsa hendak direncanakan.

Apa yang berlaku sehari dua ini dengan kelucahan moral serta seks diangkat ke khalayak ramai melalui media perdana atau media nyamuk,didedahkan di muka anak bini,dan sanak saudara, sangatlah mengaibkan budaya politik bangsa kita.Di manakah letaknya hati nurani, perasaan bersalah dan berdosa, perasaan segan silu tokoh-tokoh masyarakat, alim ulama, pemimpin politik, dan ketua-ketua masyarakat kita dalam senario yang mengaibkan sekarang?

Bolehkah kita percaya lagi kepada mereka yang berebutan kuasa, baik dalam kerajaan mahupu parti pembangkang itu?

Semoga Tuhan menjauhkan kita semua daripada terlibat dalam kebusukan politik.Dan melindungi rakyat yang tidak berdosa daripada ditimpa musibah, bencana dan mala petaka. Marilah kita berusaha kembali ke jalan kebenaran; dan jalan yang lurus.

10 comments:

Anonymous said...

Salam Datuk.

Bagus juga posting ini. Nampaknya Datuk sudah ada minat tentang Islam. Alhamdulillah. Tapi saya kurang senang bila Datuk masih glorify achievements Datuk dengan quotes dari teman-teman. Lebih cantik jika ditiadakan, lebih manis, dan tentunya lebih Islamik. Soal kerohanian ini sangat sukar, kerana sifat ghurur dan ujub memang menjadi hiasan diri manusia biasa. Harap Datuk jadi orang yang luar biasa! Harap maaf ...

bahazain said...

Assalamualaikum sdr dr Ariff Budiman,
T. Kasih mengulas paparan saya. Melihat nama sdr (Ariff Budiman) segera menarik perhatian saya ke rana sewaktu Di Jakarta awal 70-an, saya sering terpikat dengan tulisan, kritikan dan kenyataan cendekiawan muda Angkatan 66 Indonesia,almarhum Ariff Budiman.
Tentang kutipan pandangan dari teman-teman, ilmuwan, pengarang lain bagi membantu pandangan saya memang terpaksa saya lakukan kerana saya sendiri tak berupaya melahirkan maklumat dan tafsiran yang saya selidiki dan rumuskan sendiri.Saya hanya ingin berkongsi pandangan yang difikirkan baik untuk dipertimbangkan oleh pembaca, dan bukan bertujuan untuk menjadi orang luar biasa.Cuma kadang-kadang saya kesal kerana tidak menyebutkan sumber dari mana saya ceduk sesuatu maklumat/pendapat etc sehingga ia seolah-olah menjadi penemuan saya sendiri sehingga boleh ditafsirkan sebagai ketidak jujuran ilmiah.Semoga sdr akan terus mengikuti paparan blog saya , dan terus bebas memberi ulasan untuk saya mengukur sikap serta pendidiran saya. Oh! ya , tentang "minat tentang Islam" itu, alhamdulillah selalu ada, tetapi belum sampai untuk jadi lebai dengan serban besar di depan mimbar.

Anna said...

Salam Datuk

Kali pertama saya ziarah blog tapi telah terpikat dengan gaya penulisan di sini. Ziarah ini adalah untuk mencari jawapan kepada persoalan "Siapakah Baha Zain?" Ia timbul bila saya baca akhbar BH, tulisan Nazmi Yaakub, pada Isnin 11 April bertajuk PPSMI sengaja dipolitikkan. Saranan Datuk "..kita perlu menganalisis kelompok ini dan berdepan dengan mereka menggunakan hujah berbeza."

Saya amat berharap Datuk tidak keberatan untuk memberi sedikit petunjuk kepada saya yang sedang dalam semester pertama menjalankan kajian rhetorik dalam polisi bahasa di Malaysia.

Suzana Hamzah
szn17@yahoo.co.uk

bahazain said...

Assalamualaikum Sdr Anna,
Semoga berjaya menghadapi pengajian. Andainya sdr mempunyai soalan yang khusus tentang retorik & polisi bahasa ini bolehlah saya cuba memberi pandangan, InsyaAllah. Apapun bahasa komunikasi dalam retorik itu harus berlandaskan maklumat & ilmu, serta ditulis dengan bahasa Melayu yang betul serta segar.Teriring doa restu daripada saya.

Dila's Art said...

Salam Datuk,
Saya orang biasa yang mempunyai idea-idea biasa. Sudilah kiranya datuk singgah di blog saya dan menegur apa yang patut.

ZULKIFLI said...

Salam, Dato’ Baha,
Allahumma amin atas doa Dato’.

Saya fikir, Dato’, kebusukan politik yang leluasa sekarang sudah merupakan suatu bala, suatu mala petaka. Dengan meningkatnya jumlah ulama’ yang seperti ular, yang sanggup melibatkan diri dengan kebusukan politik itu, mahu tidak mahu, kita harus mengeyakan hakikat bahawa fitnah akhir zaman sedang berlaku, Dato’ dan ini memang suatu mala petaka.

Wallahua‘lam.

Anna said...

Terima kasih Dato'. Saya pasti akan kembali lagi.

bahazain said...

Assalamualaikum,
Sdr Dang Tari, Semua kita adalah orang biasa; dan tidak semua kita mengalami idea biasa yang sama sehingga perlu dikongsikan untuk memperkaya pengalaman masing-masing.

Sdr Zul, saya percaya menjelang pilihan raya banyak lagi kejadian mengejutkan akan berlaku.Diharap masing-masing berusaha keras menunjukkan apa yang mereka
boleh sumbangkan sebagai pemerintah; bukan menunjukkan keburukan lawan secara tidak bermoral.Inilah doktrin Islam yang saya percaya akan menjauhkan kita daripada bala.

Dila's Art said...

Salam, Dato’ Baha,
Ini pandangan saya, surirumah biasa yang punya pandangan biasa-biasa. Dari kita asyik berpolemik tentang skandal dan video seks, alangkah baiknya kita berbincang cara untuk menyatukan semula bangsa melayu. Kalau Hitler dapat menyatukan rakyat Jerman, begitu jua Napoleon menghimpunkan orang Perancis..kenapa kita tak boleh? Tengok saja bangsa Korea..mereka tak tau berbahasa Inggeris bukan tak hendak belajar..mereka memang tak perlukannya. Kereta import kita tak jumpa di Seoul atau mana-mana pun di Korea. Mereka sangat bangga dengan identiti dan barang-barang mereka. Begitupun mereka hanyalah terdiri dari satu kaum. Sedang kita terpaksa menelan jadam peninggalan penjajah. Bila-bila masa saja ada pihak yang akan cuba menikam dari belakang.

Unknown said...

Assalammualaikum Datuk,

Saya Khairul dari Sasbadi. Kami ada terbit buku Pak Latiff Mohidin, Catatan Latiff Mohidin. Beliau amanahkan kami untuk menyerahkan senaskhah kepada Datuk. Mohon jasa baik Datuk smskan alamat ke emel saya: aisyam@yahoo.com