Wednesday 30 April 2008

Melayu Rindu Melayu; Melayu Cari Melayu

Siapa Melayu tulen? Dato Onn? Tunku Abd Rahman? Tun Razak? Tun Hussin Onn? Tun Dr. Mahathir?Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi? Barangkali Tun Razak sahaja yang lebih berat timbangan darah Melayu Nusantaranya. Sebab itu dalam konteks politik modern Malaysia sia-sia sahaja bercakap tentang Melayu dari segi darah keturunan, terutama kalau masing-masing masih berbangga dengan keminangkabauan, kejawaan, kebugisan, kemendahilingan, keacehan, atau kebanjarannya. Baru-baru ini saya bertemu ustaz dan imam yang sekampung dengan saya, yang berketurunan Banjar. Kelakar dakwahnya menggeletek pinggang. Katanya : kawin satu itu wajar; kawin dua itu belajar; kawin tiga itu Banjar; kawin empat itu kurang ajar. Sambungnya lagi dari istilah Banjar itulah timbulnya nama Banjaran Gunung Titi Wangsa; berbanjar-banjar etc. Maaf saya sudah menyeleweng sedikit, tetapi tidak mungkin kurang ajar.

Kekuasaan Melayu, ketuanan Melayu atau kedudukan masyarakat Melayu vis-a-vis Cina , India, dan kaum lain lebih wajar dibicarakan dalam kerangka perundangan dan Perlembagaan Malaysia yang mengandungi beberapa peruntukan bagi Bahasa Melayu, agama Islam, kedudukan raja-raja dan istana, adat istiadat Melayu, hak-hak keistemewaan Melayu dan lain-lain. Sebagai pemahaman permulaan bagi ramai orang biasa ada sebuah artikel yang cukup bagus di tulis oleh Prof. Aziz Bari , Pensyarah ilmu undang-undang dari UIA ( Sila rujuk blog: kumpulanprihatin. blogspot.com ). Pentafsiran dan pemahaman perundangan inilah yang sangat penting bagi kita membahaskan sekalian dasar dan pelaksanaan dasar kerajaan, dan perancangan strategik Melayu dan nasional pada masa depan. Jadi kita sangat memerlukan banyak keterangan dan huraian daripada pakar undang-undang untuk memberi pendapat yang bijak tentang kedudukan Melayu kerana perlembagaan negara ini bukan eksklusif untuk Melayu sahaja, tetapi adalah satu kerangka nasional yang inklusif untuk semua rakyat. Kabarnya akan ada perhimpunan besar di Johor pada 3 Mei ini tentang perpaduan Melayu. Semoga pertemuan fikiran berlangsung berdasarkan kebijakan yang bukan sekadar sentrik UMNO, tetapi juga Melayu dalam lingkungan PAS, PKR, Bumiputera Sabah Serawak, dan tentu sekali jutaan jiwa Melayu dlm NGO yang akan memainkan pengaruh besar pada masa depan

2 comments:

lutfi said...

Assalamualaikum Datuk. Ttg Melayu sebenarnya sangat kompleks. Hal ini kerana, kita Melayu, dalamn perlembagaan sendiri, Melayu tidak ditakrif daripada 'tanah asal', faktor darah, seperti yang sering dijadikan garis panduan untuk memberikan sesuatu identiti kepada bangsa lain di dunia. Dalam perlembagaan, kita lihat, kita menjadi Melayu kerana 3 sebab; 1, Agama Islam. Mengamalkan adat Melayu. Dan berbahasa Melayu. Takrif ini saya rasa membuatkan Melayu itu menjadi universal. Kerana identiti kepada Melayu itu ialah agama Islam, bahasa, dan adat. Hal ini, jika kita kaitkan dengan pelbagai dilema yang dihadapi oleh orang Melayu kini, sangat membimbangkan. Kita lihat menteri buta budaya dan pengetahuan ini masih mahu mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam matematik dan sains. Saya hanya terfikir, apakah akan terjadi kepada orang Melayu jika satu masa nanti, mereka tidak lagi boleh berhasa Melayu, mengamalkan adat melayu? Dastuk tentunya lebih arif mengenai hal ini. muhammadlutfi.blogspot.com

bahazain said...

ASM Sdr Lutfi, Perubahan senario sosial politik akhir2 ini sebenarnya membuka ruang yang lebih baik bagi kita sekalian menggerakkan tekanan intelektual dan budaya untuk mengembalikan kedaulatan BM.Elok penulis beramai-ramai memperluas debat dan hujjah yang gencar terhadap
kerajaan sepanjang lapan bulan akan datang. Selamat