Sunday 7 June 2009

CATATAN GOMBAK-JEJU

Kehidupan itu adalah pengembaraan. Dalam diam tak bergerak pun ingatan boleh terlontar ke belakang ( ke zaman silam) atau ke depan (ke masa akan datang). Fikiran serta perasaan tidak diam , statik dan pejam; menjelajah ke luar ruang jasad. Jadi pengembaraan tidak terbatas kepada pengembaraan jasmaniah, dari ruang tempat ke tempat yang lain.

Saya tak pernah merancang untuk terbang ke mana-mana ke luar negara tahun ini, tetapi itulah hakikat kehidupan: ada peristiwa tidak ditentukan oleh perancangan. Dalam waktu dua bulan berselang saya diajak untuk berpergian, meskipun saya sudah menetapkan lebih baik membaca dan menulis saja daripada menghabiskan masa menunggu pengangkutan atau menghadiri terlalu banyak peristiwa yang rasmi-rasmian.

Sabtu 30-5-09--

Selepas Magrib berangkat ke KLIA . Beberapa hari sebelum terbang saya memohon makanan Muslim. Saya menaiki pesawat Korean Air, dan meminta tempat duduk hujung supaya tidak susah bergerak ke tandas kerana terbang selama 6 jam penumpuang di sebelah pasti tidur. Saya tak bisa tidur dalam perjalanan. Saya tidak was-was untuk makan kerana makanan disediakan dari KL. Setiap kali ada pengumuman dari pihak pesawat, anak kapal memberi pengumuman dalam bahasa Korea dan bahasa Melayu, dan kemudian bahasa Inggeris. Saya berasa gembira kerana Korean Air mengambil berat untuk berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan negara saya walaupun hanya segelintir sahaja penumpang Malaysia.

Tepat jam 11.45 malam kapal terbang Korea ( KE 672) mulai bergerak untuk berangkat meninggalkan landasan KLIA. Waktu di Seoul bersamaan jam 12.45; sejam lebih ke depan. Waktu penerbangan akan mengambil masa 6 jam 45 minit.

Setelah beberapa jam duduk membaca majalah Morning Calm yang disediakan di tempat duduk , saya mengalih pandangan ke luar jendela, dan tiba-tiba kelihatan garis melintang yang panjang seperti pelangi di bawah. Di sebelah atas banyak bintang yang terang benderang , tak pernah saya lihat begitu terang. Sebuah bintang menyala tak berkelip menandakan begitu dekatnya ia kerana ketebalan udara tak mengganggu perjalanan cahayanya ke arah bumi. Apakah itu planet Zuhrah atau Marikh , saya tak tahu.

Garis panjang melintang itu lama kelamaan semakin terang dan membesar, dan kemudian barulah saya tahu rupa-rupanya itu adalah cahaya matahari pagi yang sedang hendak menguasai malam di muka bumi. Alangkah aneh, indah dan hebatnya pemandangan alam yang selama ini menafikan pengalaman saya yang sering leka di muka bumi.

Ahad 31-5-09: 7.25 pagi ( 6.25 Malaysia) seperti dijadualkan kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul. Rencananya ada yang akan menunggu saya di pintu keluar, Ms. Kim, Bang Mi, tetapi saya terpinga-pinga mencari poster atau apa-apa tulisan pengenalan. Saya tak boleh menunggu lama kerana harus bergerak ke lapangan terbang domestik, Gimpo, dan mengikut jadual bertolak ke Pulau Jeju, jam 10.20. Untuk naik bas dan check in tak tahu berapa lama. Saya bergegas mencari telepon kerana nombor telepon Ms Kim sudah diberikan. Di warung sewa menyewa telepon saya tak mahu malu-malu membuka mulut. Ini tempat orang, sesat bertanya sesat jalan. Si gadis di situ dengan sukarela menggunakan telepon bimbitnya, dan saya dapat bercakap dengan Ms Kim yg rupanya sedang bergegas menembusi kerumunan orang mencari saya. Selepas bertegur sapa, mengucapkan selamat datang dan segala macam terima kasih, saya segera digiring ke perhentian bas yang memang berkhidmat memindahkan penumpang ke Gimpo. Pemandunya cukup sopan, rapi dan basnya bersih dan rapi seperti dia juga. Jelas ada disiplin yang tinggi sewaktu melayani pengguna.

Di Lapangan Terbang Gimpo saya bertembung dengan Prof Emeritus Edwin Thumboo dan isterinya. Thumboo mewakili Singapura, dan pertama kali saya menemuinya sewaktu saya menjadi Pengerusi ASEAN Writers Conference (1977) di Kuala Lumpur. Edwin Thumboo Prof Bahasa Inggeris , dan penyair Singapura yang terkenal menulis dalam bahasa tersebut. Seperti saya Edwin juga nampak loyo dan letih kerana sudah hampir 24 jam tidak tidur .

Setelah terbang selama satu jam, maka pada jam 11.25 pagi, kami mendarat di Pulau Jeju yang terletak di sebelah selatan Semenanjung Korea; di kirinya tanah besar Cina, dan di kanannya Jepun. Ini pulau yang terhasil daripada lahar gunung berapi, bercuaca tidak terlalu dingin, tetapi mengalami angin yang lebih kencang daripada Seoul. Jeju adalah Hawai bagi Korea, kawasan istimewa pelancongan, lebih besar daripada Singapura, dan tanahnya mengandungi batu volkanik yang tak begitu subur atau mudah ditumbuhi pohon. Namun pohon-pohon pinus dan palma yang tumbuh serta bunga-bungaan yang mewah warna pada musim bunga ini memukau pengunjungnya.

Di lapangan terbang Jeju kami ditunggui oleh Ms. Kim, Shin Young, pegawai dari Korea Literature Translation Institute yang menganjurkan kunjungan kami. Saya gembira menemui Kim kerana beliau cukup ramah tamah, dan sebelum itu telah dengan sabar melayani setiap pertanyaan saya melalui internet sebelum saya bersetuju untuk berangkat ke Jeju. Meskipun tidak begitu petah berbahasa Inggeris, tetapi dia tidak berasa kekok dan malu untuk berkomunikasi, kerana agaknya kenapa dia harus berasa malu kalau tak mahir berbahasa Inggeris kerana itu bukan bahasa kebangsaannya. Bahasa Korea mendominasi papan tanda dan pengumuman awam di mana-mana.

Aduh, dari lapangan terbang naik bas lagi ke hotel. Edwin Thumboo memberitahu saya kalau mahu buang air, cepat-cepat ke tandas kerana satu jam baru tiba di hotel penginapan. Saya menurut perintahnya kerana saya mahu berasa selesa menikmati udara dan pemandangan Jeju sepanjang perjalanan sebelum menghempaskan badan ke tilam hotel untuk membayar hutang tidur yang dipinjamkan untuk berjaga sepanjang perjalanan sebelumnya. ( Bersambung)

7 comments:

anazkia said...

Assalamu'alaikum Dato... Sudah sampaikah ke Malaysia. membaca bait-bait cerita Dato, saya sangan terkesan. Seolah saya ikut sama dalam perjalanan.

D'Rimba said...

Syukur ayahanda selamat kembali, hebatkan pemandangan negara yang amat menghormati bahasanya sendiri.......Anakanda juga akan cuba hadir di Laman Istana Budaya 12 Jun ini jam 8 malam ada majlis baca puisi daripada penyair handalan. Anakanda baru jumpa blog PENA ini. Majlis Baca Puisi di PENA Jumaat minggu pertama setiap bulan juga mesti diiklankan dengan meluas. Masih ada yang tidak tahu.

Atan said...

Salam, Dato';

Alhamdulillah, Dato' selamat di rantauan dan selamat kembali ke tanah air.

Dengan menghayati cerita Dato' betapa bangsa kita dihormati apabila bahasa Melayu digunakan di dalam pesawat Korean Air itu pun sudah membuat saya bangga, tentulah Dato' yang mengalaminya berlebih-lebih lagi.

Di sini, di sesetengah tempat, berbahasa Melayu seperti mengaibkan pula. Alangkah berlawanannya.

Saya menunggu sambungan pengalaman Dato'.

Citra Wangsa said...

Salam ziarah Dato',
Saya turut sama merasai kehebatan perjalanan ke Jeju menerusi entri ini. Dan saya kagum dengan warga Korea yang berbangga dengan bahasa kebangsaan mereka. Sama juga seperti jiran saya (warga Jepun) yang tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, namun tak malu pun mengakuinya. Kami masih boleh berinteraksi dengan baik.

HBM Consultant said...

Assalamualaikum Dato'.

Selamat kembali ke Tanah Melayu. Alhamdulillah, sejahtera dalam lindungan Nya. Seronok membaca catatan Dato' dan serasa tidak sabar menunggu sambungannya.

juilis69 said...

Selamat kembali ke Malaysia. Apa khabar Dato', saya percaya perjalanan yang begitu jauh memercikkan sejuta pengalaman kepda Dato'. Dan pengalaman itulah yang saya nak baca dalam laman Dato ni. Saya setia membaca tulisan Dato sejak dulu hingga kini, malah perjuangan Dato untuk mengembalikan kepercayaan Bahasa Melayu adalah aspek penting yang perlu diteruskan. Teruskan menulis.

bahazain said...

Assalamu'alaikum
Sdr Anazkia,
Saya bercadang menulis terus pengalaman kecil perjalanan itu untuk rekod dan dikongsi secara kreatif bersama teman-teman sekalian.

Sdr D"Rimba
Korea boleh memberi beberapa pengajaran penting bagi model kemajuan bangsa, bukan sahaja dari segi memartabatkan bahasanya, tetapi juga dari segi pembangunan teknologi dan prasarana ,juga sukan dan budaya. Disiplin masyarakatnya cukup tinggi.

Sdr Atan,
Dua teman saya Prof. Ahn Young Ho, dan Prof. Chung Young Rhim mengajar bahasa Melayu di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul untuk pelajar Korea. Mereka mempelajari bahasa asing bersungguh-sungguh, tetapi tidak sampai menghina bahasa ibunda mereka sendiri spt apa yang pemimpin kita telah lakukan.

Sdr zura halid,
Saya ingin bercerita terus tentang kembara singkat ini untuk dijadikan semacam jurnal atau diari. InsyAllah.Memang bangsa yang sudah maju dan percaya diri bangga akan bahasanya, dan tidak berasa kecil kalau tidak pasih
berbahasa orang lain. Jepun dan Korea telah mengalami penjajahan serta penindasan yang ganas dan sedang membangunkan imej kekuatan jiwa raganya di tengah-tengah dunia.

Sdr Marniayati,
Berkat doa saudara sekalian saya sihat dan dapat memanfaatkan perjalanan singkat di Jeju.Hari ini saya akan menerbitkan sambungan paparan perjalanan bagi mengajak pembaca menyelami perasaan serta fikiran saya tentang perkenalan, persahabatan dan perpisahan yang merindukan.

Sdr julius,
Terima kasih kerana sudi mengikuti tulisan-tulisan saya yang hampir seluruhnya dalam bahasa kebangsaan kita. Saya cuba untuk menjadikan bahasa ini sebagai bahasa intelektual, bahasa kreatif dan budaya yang bertenaga berkomunikasi secara halus bagi membangunkan potensi besar yang terpendam dalam imaginasi, emosi dan daya fikir rakyat, bukan masyarakat atasan atau elit sahaja.