Thursday 25 June 2009

Catatan Tulus Tentang PPSMI Untuk YAB Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pelajaran

Assalamualaikum ,

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kiranya tidaklah terlalu lambat untuk mengucapkan setinggi tahniah dan doa semoga Allah merestui Tan Sri atas sekalian kejayaan serta pekerjaan yang baik untuk rakyat dan negara.

Pada kesempatan pertemuan pertama antara YAB Tan Sri dengan kumpulan sasterawan tanah air, kami dengan hormat takzim menyampaikan pandangan tentang PPSMI kepada YAB selaku Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pelajaran.


  1. Isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik (PPSMI) seperti yang Tan Sri maklumi, sudah berlarutan begitu lama. Pelbagai ucapan, dialog, debat, kajian , memorandum dan malahan protes baik dalam majlis tertutup, dalam persidangan terbuka, mahupun dalam tunjuk perasaan di jalan raya telah diadakan, terutama di kalangan masyarakat Melayu-Islam.

  2. Sebelum PPSMI dilaksanakan pada 2003, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), telah mengeluarkan kenyataan akhbar , tepatnya pada 20 Jun 2002, menentang keputusan kerajaan menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, sebagai bahasa pengantar sains dan matematik. Jadi ini bukan perkara yang hanya baru-baru ini sahaja dibangkitkan. Penentangan PENA ini dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan, Dasar Kebudayaan Negara , Perlembagaan Persekutuan, dan demokrasi pendidikan. Tidaklah perlu dihuraikan di sini betapa dekatnya bahasa Melayu ini dengan hati orang Melayu dalam sejarah perjuangan kebangsaan sehingga Dewan Bahasa dan Pustaka itu sendiri ditubuhkan setahun lebih awal sebelum negara merdeka pada tahun 1957 dengan harapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi akan menjadi landasan pembinaan bangsa dan jati diri negara yang merdeka. Akan tetapi lebih daripada itu adalah menjadi visi para pejuang agar bahasa kebangsaan kita menjadi wahana pembangunan fikiran yang saintifik dan pembentukan emosi serta rohani yang mulia dan patriotik di kalangan rakyat pelbagai kaum dan budaya. Kepada pemimpin UMNO terutamanya diberikan kepercayaan besar untuk menjadi pemelihara atau custodian bagi kesejahteraan martabat dan kemajuan bahasa. Malangnya setelah 47 tahun kita menikmati kemerdekaan dan mencapai kemajuan ekonomi serta kebendaan, bahasa itu dianggap tidak penting lagi dan dengan gopoh serta tergesa-gesa ditolak ke tepi dalam sistem pendidikan negara oleh kerajaan.Pihak kerajaan, terutama Kementerian Pelajaran, tidak memberi alasan-alasan yang kuat, rationale yang meyakinkan di sebalik dasar PPSMI, dan malah dari waktu ke waktu mengeluarkan premis atau andaian hujahan yang berubah-ubah yang sekaliannya menandakan tidak ada pemikiran yang mendalam, jelas dan teliti untuk mengganti bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik yang telah diamalkan sejak 1971, dan telah berjaya melahirkan jutaan graduan, profesional dan ilmuwan.

  3. Apa yang selalu didengar ialah alasan untuk memperkuat penguasaan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar bagi kepentingan ilmu pengetahuan, kerjaya dan keupayaan negara untuk bersaing dalam zaman global. Tidak ada mana-mana pihak yang menentang tujuan dan usaha ke arah ini, tetapi jangan sampai meminggirkan kedudukan dan fungsi penting bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan menghalang perkembangannya menjadi bahasa ilmu moden pada masa akan datang. Penafian bahasa seperti ini boleh ditafsirkan sebagai melakukan diskriminasi songsang (reverse discrimination) dan pembunuhan bahasa (linguicide) bukan sahaja terhadap bahasa kebangsaan negara, tetapi juga terhadap tradisi dan tamadun orang Melayu yang telah berzaman-zaman lamanya berkembang melalui bahasa Melayu. Malahan agama Islam pun berkembang hebat di Nusantara melalui dakwah, khutbah, tarbiah serta kitab-kitab yang menggunakan bahasa Melayu sehingga hari ini. Apakah hanya dengan cara yang ada sekarang, iaitu melalui PPSMI, dan tidak ada cara lain lagi yang mampu difikirkan untuk mencapai tujuan memaju dan meningkatkan daya saing Malaysia?

  4. Adalah sangat mendukacitakan apabila pihak kementerian tidak memberi layanan wajar dan mesra terhadap pelbagai pendapat, kritikan dan kajian yang dikemukakan seolah-olah pihak yang memberi pandangan yang kontra ini tidak bertujuan jujur dan berfikiran munasabah. Hanya pada penghujung 2008 baru diadakan Persidangan Meja Bulat yang pula mengandungi banyak tanda tanya tentang cara pengendalian dan rumusan keputusannya. Malahan ada usaha-usaha untuk mengimbangi atau melawan pandangan yang menentang PPSMI dengan mengatur tindakan-tindakan daripada kelompok-kelompok tertentu seolah-olah ini suatu permainan politik, bukan suatu persoalan pendidikan dan kebudayaan yang dasar. Kesan daripada keadaan yang seperti ini ialah, pada pandangan penulis dan ilmuwan: kerajaan tidak sensitif kepada suara ikhlas rakyat, dan mahu terus menunjukkan kekuasaan serta ketegasannya dalam apa saja yang telah diputuskan. Tidaklah jelas apakah sikap pendirian yang seperti ini adalah kerana pihak YB Menteri tidak diberi pandangan yang jujur oleh pegawai-pegawai dalam kementerian atau diberikan maklumat yang salah oleh penasihat-penasihatnya.Walau apa pun sebabnya sangatlah merugikan masyarakat apabila tidak ada kerjasama yang akrab, malahan kecurigaan serta pertentangan, antara pihak pemimpin politik kerajaan dengan budayawan serta ilmuwan, pada saat negara kita harus menjadi stabil dan kompetitif dalam kemelut politik dalaman, dan ketidaktentuan ekonomi serta kewangan dunia hari ini.

  5. Harapan besar dan tinggi kaum penulis dan ilmuwan sekarang ialah pucuk pimpinan negara yang baru, khususnya kepada YAB Tan Sri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran:

    (i)
    mengembalikan dengan serta merta pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik ( di sekolah rendah dan juga di sekolah menengah) sebelum berlaku lebih banyak lagi kesan buruk terhadap perkembangan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dan pendidikan murid-murid terutama anak-anak Melayu di luar bandar dan di pinggir-pinggir bandar; dan

    (ii)
    memperkemas kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, meningkatkan kemahiran guru , dan memperbaiki kemudahan kepustakaan serta teknologi pendidikan bahasa di sekolah.

    Tindakan serampang dua mata inilah yang boleh menyelesaikan pertikaian PPSMI, dan mengembalikan kepercayaan kaum penulis, ilmuwan dan budayawan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional, terutama untuk mengikis anggapan bahawa pemimpin negara telah bertindak sangat authoritarian walaupun dalam hal yang menyangkut kehidupan berjuta-juta pelajar dan ibu-bapa , dan maruah bahasa serta tamadun Melayu itu sendiri.


    H
    anya sekian dahulu, dan kami berharap pintu musyawarah dengan Tan Sri akan terus terbuka, dan anggaplah pandangan kami ini sebagai pernyataan yang tulus ikhlas demi kepentingan masa depan pendidikan, tamadun, bahasa, serta negara kita; dan tak ada niat yang lain daripada itu.

    W
    assalam

    Baha Zain

    Presiden,

    Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

5 comments:

Aloy Paradoks said...

alhamdullilah

bahazain said...

Sdr paradoks

Surat tentang PPSMI ini disampaikan kpd TPM sewaktu Majlis Pertemuan dengan Sasterawan ,Anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia, di Shangrila Putrajaya, pd 19 Mei 200.
Gambar Ihsan ITNM.

Azimah Mima said...

Saya sokong!! Saya pun produk PPSMI juga walaupun bukan dasar kerajaan masa tu sbb di sekolah convent masa tu, ramai cikgu2 sains dan maths yg tak fasih Bahasa Melayu. Akhirnya Bahasa Inggeris saya A tapi sains dan maths saya ala kadar je - semuanya setakat kredit, dan add math pulak cangkul... tu pun sebab ada tuisyen dalam BM :p... ye la, sek rendah sek kampung, sek men baru pindah convent... terbayang pula bekas2 anak murid saya di tingkatan 5 dahulu, yg saya terpaksa ajar Bahasa Inggeris guna buku rujukan darjah 2... bagaimanalah pula pelajar2 semacam mereka berjuang untuk memahami konsep2 sains dan matematik dalam bahasa itu... kasihan...

bahazain said...

Assalamulaikum,
Sdr alloy,
sama-samalah kita berdoa dan bersyukur.

Sdr Mima
Pengalaman sdr mengingatkan saya di sekolah rendah pd zaman kolonial.Masuk darjah satu bangku atas tanah,tinggi rendah; dinding kelas, papan setakat pinggang; tak ada buku tulis, guna papan batu dan kalam, cik gu pakai papan hitam dan kapur.Sebelum masuk kelas kutip sampah dan cabut rumput.Lepas darjah 4 masuk sekolah Inggeris. Tak dengar bunyi bahasa Melayu langsung kecuali sewaktu subjek BM. Saya diseksa dengan singular, plural, feminine dan masculine gender, present, past dan future tense.Guru pula semua bukan Melayu kecuali guru BM.Mujurlah guru-guru itu sangatlah mahir mengajar dan dengan penuh pengertian serta kasih sayang di depan budak-budak kampung hulu yg tak pernah dengar
langsung perkataan Inggeris. Tahun 1950.

Atan said...

Salam, Dato';

Bangga rasa hati ini apabila TS Menteri Pelajaran bersedia untuk menerima catatan Dato' sebagai wakil PENA. Rasa megah juga sebab Dato' terus istiqomah dengan perjuangan menentang PPSMI.

Harapan saya ialah telahan awal saya bahawa kerajaan BN tidak akan berganjak daripada melaksanakan PPSMI itu tidak benar.

Doa saya ialah Allah membuka pintu hati Menteri Pelajaran dengan seluas-luasnya untuk mengenyahkan PPSMI.

Ego Menteri Pelajaran lalu tidak harus menjadi ikutan TS Menteri Pelajaran. Pemikiran songsang "Peludah Bahasa" tidak harus dibangga-banggakan. Pemikiran itu tidak layak dimuziumkan pun.