Wednesday 1 July 2009

LUPUS KEPERCAYAAN TERHADAP BUDAYA POLITIK

Kira-kira tengah hari tadi sedang mengais-ngais tanah, mencabut rumput di pekarangan , telefon bimbit di saku berbunyi. Selepas menyambut salam daripada sdr Azizi, Timbalan Pengerusi ABIM, Perak, dia mengundang saya ke seminar tentang PPSMI pada 12 Julai di Perak. Saya memohon maaf kerana pada hari berkenaan sudah ada acara lain dipersetujui.

Sdr Azizi bertanyakan bagaimana perkembangan PPSMI, terutama selepas ada beberapa pernyataan daripada TPM/Menteri Pelajaran yang akan membuat pernyataan pada Julai ini. Saya beritahu beliau, tunggu sampai betul-betul diputuskan apa buah butirnya. Janganlah percaya sangat terhadap apa jua bayangan keputusan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin politik bangsa kita. Peristiwa PPSMI ini sudah membuktikan banyak
sekali fikiran karut marut, dan juga janji-janji penyelesaian yang diucapkan oleh menteri , dan sokongan pemimpin tertentu terhadap penentangan PPSMI di belakang-belakang yang tak boleh dipercayai .

Ini pengajaran yang besar bagi penulis, budayawan dan cendekiawan. Jangan mudah terpesona, terkeliru dan teruja akan cakap-cakap pemimpin politik. Hanya angka dan fakta yang boleh dipegang mulai hari ini. Kalau sekali kita tertipu itu wajar; kalau dua kali bererti kita leka dan lalai; kalau sampai tiga kali kita ini badut bodoh ( bloody fool ). Jadi benarlah seperti kata orang: politik itu seni serba mungkin, termasuk seni penipuan.

Apabila PPSMI itu dilaksanakan pada tahun 2003 itu adalah penipuan yang blak-blakan dilakukan di depan mata rakyat. Seluruh negara tertipu oleh kegelojohan dan keangkuhan politik.Mujurlah segelintir penulis, ilmuwan dan cendekiawan cepat-cepat bingkas bangun mendedahkan kebodohan keputusan politik nasional itu. Jadi sekurang-kurangnya walaupun belum dibatalkan, mata kita semua sudah celik; celik terhadap serangan politik terhadap tradisi, jati diri dan budaya bangsa. BERWASPADALAH DARI SEKARANG.
Jangan mudah menggadaikan kepercayaan. Ini adalah zaman budaya politik itu direnung dengan fikiran yang kritis-kreatif, ditapis, diragui kebenaran ucapannya, dan diteliti daripada setiap sudut, diperdebatkan sebelum diangguk. Jangan mudah terpesona dengan ketokohan.

6 comments:

Atan said...

Salam Perjuangan, Dato;

Sangatlah benar bicara Dato' bahawa kata politikus tidak boleh ditelan bulat-bulat apatah lagi melintang.

Kalau kita biasa hadir dalam mana-mana atau apa-apa acara yang diulam-ulam dengan ucapan dan kemudiannya dirasmikan oleh tokoh politik di kampung, rakyat bawahan sudah pandai berdengus "uh" atau berkata terus-terang "cakap je berdegar-degar".

Hal ini sangat malang kerana kata pemimpin seharusnya didengar dan diikuti bukan disertai prasangka. Sangat malang! Kalau sikap ini diberitahukan kepada mereka, mereka menyalahkan pembangkang macam mantan Menteri Pelajaran lalu.

Contohnya, mantan menteri itu berkata, "Saya lihat ada hikmah di sebalik apa yang berlaku semalam (MERUJUK KEPADA DEMO PSSMI MAC LALU). Sekurang-kurangnya orang ramai dapat melihat sendiri apa yang saya sudah tahu lama, iaitu di belakang gerakan ini ada dalang-dalang yang sanggup mengeksploitasi apa juga isu, memperalatkan sesiapa sahaja demi agenda politik sempit mereka."

Nah, inilah contohnya yang membenarkan pegangan Dato', saya dan kebanyakan rakyat bahawa kata-kata politikus perlu ditapis, dianalisis secara kritis.

Pesanan yang bagus, Dato', khususnya kepada pengampu bodek.

MARSLI N.O said...

Masih ingat tiga sajak dari tiga penyair serentak disiarkan di Berita Minggu tahun 2003 selepas pengajaran bahasa Inggeris diumumkan?

Marsli N.O

juilis69 said...

Salam Perjuangan Dato'

Saya bangga membaca tulisan Dato'. Saya harap PPSMI ada jalan keluarnya. Bahasa Melayu diperkasakan semula.

bahazain said...

SALAM SDR ATAN
KEMUNGKINAN SENARIO POLITIK NEGARA PADA MASA DEPAN AKAN BERTAMBAH RUMIT DAN SUSAH DIBACA. SEMAKIN SENGIT PERSAINGAN TENTULAH SEMAKIN BANYAK TAKTIK DAN PENDEKATAN. jUSTERU ITULAH RAKYAT KENA SEGERA BELAJAR MENELITI MANA YANG BENAR DAN MANA YANG TIDAK MELALUI FIKIRAN YANG KRITIS DAN WASPADSA.

SDR MARSLI
MEMANG PENYAIR ANTARA YANG SEGERA MEMBERIKAN REAKSI MENENTANG. CUMA NAMPAKNYA PUISI DAN TULISAN TIDAK BEGITU DIPEDULIKAN. HANYA BAHASA POLITIK YG BERBENTUK FISIKAL YANG BERKESAN.

SDR JUILIS 69
SAMA-SAMALAH KITA BERDOA AGAR SEGERA SELESAI ISU INI. BANYAK SUNGGUH WAKTU TERBUANG KERANANYA.

Farmilla Hamdi said...

Sayang sekali Dato', politik di Malaysia penuh kecelaruan dan mencetuskan nanah dosa yang hanyir sepanjang perjalanannya...

HBM Consultant said...

Salam, Dato' Baha.

Catatan Dato' ini telah saya salin dalam catatan blog saya sebagai ingatan kepada semua pihak yang membantah PPSMI. Khabarnya, keputusan berkaitan PPSMI akan diumumkan esok (rujuk rencana pengarang Utusan Malaysia). Semoga kita tidak terus ditipu. Terima kasih atas peringatan dan pesanan Dato' ini.