Friday 1 January 2010

HASSAN ALI , PENGARANG MUSAFIR YANG MERENDAH DIRI

Allahyarham Haji Hassan Ali (bersongkok) di sisi anaknya sewaktu kami menziarahinya di rumah. Rajasewari dan Ahmad Razali di belakang.

Sekembali dari majlis tahlil , jam 10 malam, saya membaca pesanan ringkas telepon bimbit di rumah. Rupa-rupanyanya jam 12 siang sdr Saleeh Rahmat (Timbalan Presiden PENA) sudah menyampaikan berita tentang pemergian pengarang novel Musafir ( yang telah memenangi tempat kedua peraduan mengarang novel merdeka anjuran DBP sewaktu baru-baru negara merdeka dahulu). Tidak ada pemenang pertama dalam peraduan ini. Novel Salina karangan A.Samad Said mendapat hadiah sagu hati, tetapi ternyata kemudian lebih terkenal. Musafir telah dicetak ulang belasan kali; barangkali antara judul yang paling banyak dicetak semula.

Pada bulan Julai 2009 saya tergerak hati ingin bertemu dengannya, lantas mengajak ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PENA berkunjung ke rumahnya. Beliau sudah agak uzur, tetapi masih baik pendengaran, penglihatan dan ingatannya. Dia menceritakan teks novelnya itu ditulis tangan sewaktu beliau menjalani latihan sebagai guru di Bukit Senyum, dan mengirimkannya untuk peraduan. Hadiah wang daripada peraduan itulah digunakannya untuk membeli mesin taip yang pertama; dan ternyata sangat banyak budinya mesin itu apabila pelbagai karya sastera berhasil diterbitkan oleh Allahyarham.

Beliau pernah bergiat cergas di dalam GAPENA dan PENA. Seorang pengarang yang taat kepada agama, rendah hati dan tak meninggi diri, bercakap dengan sopan dan lembut, Hassan Ali sangat banyak berjasa kepada pengajaran bahasa, dan penulisan karya sastera kanak-kanak dan dewasa.

Hari ini beliau kembali dipanggil Tuhan, dan buat selama-lamanya meninggalkan kita. Hanya karyanya yang kita ada di barisan buku-buku yang tersusun di perpustakaan bangsa. Dia telah menyumbang terhadap penyebaran bahasa Melayu; dia telah menambah jumlah muka surat yang bertulis dalam persuratan bangsa, dan sepanjang hayat penulisannya selalu berpandukan hati nurani guru untuk menyemaikan kebaikan akal budi kepada pembaca.

Semoga Allah menempatkan rohnya di sisi mereka yang disirami dengan rahmat dan ganjaran yang baik daripada-Nya. Amin

5 comments:

ZULKIFLI said...

Salam hormat, Dato';
Saya betul-betul ketinggalan dalam mengetahui berita ini. Cuti Tahun Baharu Masihi telah mencutikan maklumat daripada pengetahuan saya dan mencutikan saya daripada mengikuti maklumat. Pelik.

Saya sempat mengerjakan (menyunting) novel kanak-kanak Almarhum Cikgu Hassan semasa saya bertugas di PFB dahulu serta membaca pruf Kamus Ejaannya. Benar, Almarhum sangat rendah hati dan bersoapan santun. Saya pernah berjemaah (solat Jumaat) di masjid yang saya yakin almarhumlah bilalnya (semoga saya tidak silap kerana saya tidak sempat bertemu dengannya seusai solat itu).

Semoga Allah mencahayai kuburnya dengan cahaya syurga, menghimpunkannya di Padang Mahsyar bersama-sama dengan orang yang beriman, dan menempatkannya di dalam syurga dengan orang-orang yang beriman. Amin.

bahazain said...

Sdr Zul,
Saya melihat dia sebagai contoh sasterawan ideal yang cintakan keindahan pengucapan yang bertaut dengan kecintaan kebenaran yang hakiki.Sdr beruntung dapat menyumbang menyempurnakan novel kanak-kanak karyanya kerana apabila bermanfaat bagi membangunkan jiwa dan mental pembacanya sdr akan dapat juga ganjaran serta pahalanya.

guru besar haneem kaydeen said...

Al-Fatihah.

hafez j malim said...

ANTARA PENGARANG LULUSAN IBU KANDUNG SULUH BUDIMAN ( SITC, MPSI, IPSI, UPSI ) YANG MENONJOL. KETOKOHANNYA AMAT DIRASAI...BEGITU JUGA PERGINYA.

Danielle_Corleone said...

Salam Dato' Baha,

Saya Muhammad Daniyal. Saya kini sedang menjadi tenaga pengajar untuk kumpulan manifestasi puisi Kolej Kediaman Keempat, Festival Seni Universiti Malaya yang akan diadakan pada bulan Mac nanti. Untuk makluman Dato' pasukan puisi kami telah memilih puisi Dato' bertajuk Pahlawan Kuda Kepang dan Maharaja untuk dipersembahkan pada pertandingan itu nanti. Di sini saya memohon keizinan Dato'. Terima kasih.